Khamis, 28 Mei 2015

MAKNA KEBAHAGIAAN DAN PENGALAMANNYA DALAM ISLAM

APAKAH makna kebahagiaan menurut Islam? Buku ini merupakan tulisan Profesor Syed Muhmmad Naquib al Attas yang membincangkan dan menjelaskan perihal makna dan hakikat kebahagiaan menurut Islam. Prof. Al-Attas menjelaskan makna kebahagiaan (saadah) yang melibatkan aspek rohani dan aspek jasmani manusia. Kebahagaiaan apabila insan memperoleh keyakinan tentang hak Allah SWT dan menterjemahkannya dalam peri amalan kepatuhan dan penyerahan yang sempurna kepada-Nya. Kebahagiaan tertinggi ialah ru'yat Allah iaitu melihat Allah SWT di Akhirat nanti. Bagi mencapai kebahagiaan tertinggi, insan perlu terlebih dahulu melalui dua tahap kebahagiaan di dunia iaitu pada tahap nafsi dan tahap ruhani. Kebahagiaan di dunia ini berkait rapat dengan keyakinan terhadap Kebahagiaan Terakhir.  Kebahagiaan (saadah) menghadirkan ketenangan, ketenteraman pada diri insan, sentiasa berasa diri diperhatikan Allah justeru menjadikannya melakukan kebaikan, sentiasa berharap dan yakin kepada rahmat Allah SWT. Bagi mencapai kebahagiaan ini, insan perlu mempunyai ilmu yang benar yang dengannya membantu insan untuk bersikap adil iaitu tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan seterusnya menggerakkan ikhtiyar iaitu usaha untuk mendapatkan yang terbaik di sisi Allah SWT dengan melaksanakan amal salih.  Dalam konteks ini turut dibincangkan ialah empat sifat mahmudah iaitu hikmah, keberanian, kesederhanaan dan keadilan. 


Menurut Prof. Al-Attas, sifat-sifat ini telah sedia dibincangkan oleh Aristotles namun hakikat perbincangan Aristotles tentang sifat-sifat tersebut yang mengabaikan hakikat ketuhanan telah mengundang keraguan. Ini kerana keempat-empat sifat itu dianggap mustahil untuk difahami dengan hanya berteraskan pemahaman aqal yang tanpa bimbingan wahyu.  Seterusnya, bagi memahami makna kebahagiaan iaitu saadah, Prof. Al-Attas membincangkan dan menjelaskan tentang makna kesengsaraan iaitu shaqawah. Kesengsaraan hadir dalam diri insan yang tidak menyerah diri kepada Allah SWT, justeru menganggap masalah dan ujian sebagai bala bencana, menjadikan manusia berasa hampa, putus asa, diburu ketakutan pada sesuatu yang tidak pasti dan terbelenggu dengan kebimbangan, jauh dari rasa tenteram tetapi sering dicengkam gundah-gulana. Dalam perbincangan ini, Prof. Al Attas turut menyentuh perihal konsep tragedi dalam kebudayaan Barat yang berpunca daripada kepercayaan tentang Dosa Asal (original sins) Nabi Adam as. Bagi kebudayaan Barat, masalah dan ujian hidup ialah bala Tuhan kepada manusia yang terpaksa ditanggung sebagai pewaris Dosa Asal (original sins) yang diwariskan daripada Nabi Adam yang tersingkir dari Syurga kerana tipu daya Iblis. Walau bagaimanapun, menurut Islam, ujian ialah ibtila' iaitu dugaan yang diberikan Allah SWT kepada hamba-hamba yang beriman untuk menguji keimanan mereka.  Membaca tulisan ini membawa pembaca muhasabah diri dan kembali mengenal diri kerana hakikat insan itu yang tidak terlepas dari sifat lupa dan lalai.

Saya teringat kenyataan Prof. Zainy tentang buku ini yang tentunya mempunyai nilai sentimental kepadanya sebagai penterjemah: "Ada seorang hamba Allah yang telah lama meninggal, setiap kali ke umrah dia akan membaca buku ini di Masjidil Haram menghadap Kaabah kerana katanya pada saya kesannya kepada jiwa dan pemikirannya. Dan setiap kali beliau berada di Masjid al-Haram membaca buku ini beliau akan menghantar SMS kepada saya."

Ketika berbincang dengan teman tentang ujian dan bala, kawan menyebut  dugaan hidup daripada Allah sebagai bala. Saya menyatakan bahawa yang tepat ialah ibtila' (ujian untuk meningkatkan iman insan) seperti yang dijelaskan Profesor Al Attas ini, kawan membalas, "Ya, betul. Kita ni selalu beri makna yang salah pada konsep yang dah sedia ada di dalam Islam". Wallahua'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan