Isnin, 29 Jun 2015

DJEJAK LANGKAH & ASOHAN BUDI: KESELARASAN PEMIKIRAN DUA ULAMA'-PENGARANG

SAYA selesai membaca dua karangan ulama'-pengarang di kepulauan Melayu-Indonesia ini iaitu Djejak Langkah (1954) oleh Haji Agus Salim dan Asohan Budi (1958) oleh Pendeta Za'ba. Hasil pembacaan mendapati kedua-dua karangan ini mempunyai dua fokus iaitu tentang kehidupan masyarakat di negara masing-masing merangkumi politik, ekonomi, dan sosial, dan kedudukan Islam sebagai ukuran penilaian kehidupan yang perlu dipertahankan.

Perbezaannya terletak pada konteks mengikut situasi di kedua-dua negara. Umpamanya, Haji Agus Salim membahaskan aspek kemerdekaan Indonesia daripada penjajahan Belanda baik dari segi fizikal dan khususnya mental. Pendeta Za'ba pula selain menekankan kepentingan orang Melayu untuk membebaskan diri daripada penjajahan fikiran bawaan Barat, turut membicarakan dengan panjang lebar aspek ekonomi orang Melayu. Dari segi sosial, kedua-dua pengarang menekankan pentingnya aspek sosial (khususnya kebudayaan) dipasakkan kepada falsafah Tauhid dan Islam. Dalam konteks inilah, kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kewajipan manusia untuk berpegang kepada Islam apabila berhadapan dengan pengaruh Barat baik dari aspek material mahupun epistemologi. 




Kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kenyataan bahawa Islam terlebih dahulu membawa konsep intelektualisme, individualisme dan nasionalisme di Alam Melayu ketika Barat mengalami zaman kegelapan (Islam yang memperkenalkan ketiga-tiga konsep itu kepada Barat sehingga mendorong mereka mencapai zaman kebangkitan). Ketiga-tiga konsep ini terikat pada falsafah Tauhid, peranan al-Quran dan peranan aqal. 

Dalam hal ini, kedua-dua pengarang menjelaskan tentang falsafah Tauhid, iaitu merujuk perakuan tentang keesaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Perakuan bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah membebaskan manusia daripada cengkaman animisme dan feudalisme. Konsep perhambaan dihapuskan sekali gus terlerainya strata sosial yang memisahkan manusia kerana darjat. Ini memberi hak kepada manusia sebagai individu yang tidak lagi tertakluk pada kuasa alam ghaib atau kuasa istana.

Seterusnya, kehadiran Islam yang membawa bersamanya al-Quran menjadikan masyarakat di Alam Melayu dapat menerima ilmu pengetahuan tanpa sebarang sekatan sosial. Hal ini bertepatan dengan konsep qalam yang tersebut dalam al-Quran, yang menuntut umat Islam untuk membaca dan menulis (mencari, menyebarkan dan mempertahankan ilmu yang benar). 

Selain itu, peranan aqal yang ditegaskan dalam al-Quran pula merujuk kepada kemampuan manusia untuk membuat pertimbangan secara rasional berpandukan al-Quran. Kesemua ini telah mengangkat darjat manusia dan mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada cahaya ilmu.

Persamaan yang dapat dikesan dalam dua karangan ini ialah susunan perbahasan. Kedua-dua ulama'-pengarang ini memulakan perbahasan dengan topik yang lebih ringan seperti politik, ekonomi dan budaya sebelum disusuli dengan perbahasan tentang falsafah.

Perbezaan yang saya kesan daripada pembacaan terhadap dua karangan ini iaitu style penyampaian penulisan Haji Agus Salim yang lebih lembut dan halus, manakala style Pendeta Za'ba yang lebih tegas. Penyampaian penulisan Pendeta Za'ba mengingatkan saya kepada penulisan Imam Ibn Qayyum Al Jauzi yang lantang, keras dan tegas dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya. Membaca gaya penulisan seperti ini membuatkan saya tertawa, termenung dan memberi kepuasan yang tersendiri. Penyampaian penulisan Haji Agus Salim pula mengingatkan saya pada tulisan-tulisan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat yang lembut. 

Djejak Langkah (1954)
1. Anutan dan Dasar
2. Kemajuan Tanah Air dan Bangsa
3. Tinjauan dan Kecaman
4. Islam
5. Kebudayaan
6: Falsafah

Asohan Budi (1958)
Bahagian 1
1. Peri Kemuliaan Perangai (3 Fasal)
2. Kewajipan Kasar kepada Diri Sendiri (3 Fasal)
3. Kewajipan Halus kepada Diri Sendiri (6 Fasal)
4. Didekan kepada Anak2 (4 Fasal)
5. Ajaran Jimat Chermat- Dalam Islam (4 Fasal)

Bahagian 2
6. 'Ibadat Puasa Dalam Islam (4 Fasal)
7. Bera'mal kerana Allah (4 Fasal)
8. Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat (3 Fasal)
9. Ugama dan Kemestian-nya Kepada Manusia (4 Fasal)
10. Pelajaran Ugama Pada Umat Melayu (5 Fasal)

Al Fatihah buat Allahyarham Haji Agus Salim, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad yang meninggalkan kita karangan-karangan yang bermanfaat. Semoga Allah merahmati mereka dengan daya usaha karangan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan