Isnin, 29 Jun 2015

DJEJAK LANGKAH & ASOHAN BUDI: KESELARASAN PEMIKIRAN DUA ULAMA'-PENGARANG

SAYA selesai membaca dua karangan ulama'-pengarang di kepulauan Melayu-Indonesia ini iaitu Djejak Langkah (1954) oleh Haji Agus Salim dan Asohan Budi (1958) oleh Pendeta Za'ba. Hasil pembacaan mendapati kedua-dua karangan ini mempunyai dua fokus iaitu tentang kehidupan masyarakat di negara masing-masing merangkumi politik, ekonomi, dan sosial, dan kedudukan Islam sebagai ukuran penilaian kehidupan yang perlu dipertahankan.

Perbezaannya terletak pada konteks mengikut situasi di kedua-dua negara. Umpamanya, Haji Agus Salim membahaskan aspek kemerdekaan Indonesia daripada penjajahan Belanda baik dari segi fizikal dan khususnya mental. Pendeta Za'ba pula selain menekankan kepentingan orang Melayu untuk membebaskan diri daripada penjajahan fikiran bawaan Barat, turut membicarakan dengan panjang lebar aspek ekonomi orang Melayu. Dari segi sosial, kedua-dua pengarang menekankan pentingnya aspek sosial (khususnya kebudayaan) dipasakkan kepada falsafah Tauhid dan Islam. Dalam konteks inilah, kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kewajipan manusia untuk berpegang kepada Islam apabila berhadapan dengan pengaruh Barat baik dari aspek material mahupun epistemologi. 




Kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kenyataan bahawa Islam terlebih dahulu membawa konsep intelektualisme, individualisme dan nasionalisme di Alam Melayu ketika Barat mengalami zaman kegelapan (Islam yang memperkenalkan ketiga-tiga konsep itu kepada Barat sehingga mendorong mereka mencapai zaman kebangkitan). Ketiga-tiga konsep ini terikat pada falsafah Tauhid, peranan al-Quran dan peranan aqal. 

Dalam hal ini, kedua-dua pengarang menjelaskan tentang falsafah Tauhid, iaitu merujuk perakuan tentang keesaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Perakuan bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah membebaskan manusia daripada cengkaman animisme dan feudalisme. Konsep perhambaan dihapuskan sekali gus terlerainya strata sosial yang memisahkan manusia kerana darjat. Ini memberi hak kepada manusia sebagai individu yang tidak lagi tertakluk pada kuasa alam ghaib atau kuasa istana.

Seterusnya, kehadiran Islam yang membawa bersamanya al-Quran menjadikan masyarakat di Alam Melayu dapat menerima ilmu pengetahuan tanpa sebarang sekatan sosial. Hal ini bertepatan dengan konsep qalam yang tersebut dalam al-Quran, yang menuntut umat Islam untuk membaca dan menulis (mencari, menyebarkan dan mempertahankan ilmu yang benar). 

Selain itu, peranan aqal yang ditegaskan dalam al-Quran pula merujuk kepada kemampuan manusia untuk membuat pertimbangan secara rasional berpandukan al-Quran. Kesemua ini telah mengangkat darjat manusia dan mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada cahaya ilmu.

Persamaan yang dapat dikesan dalam dua karangan ini ialah susunan perbahasan. Kedua-dua ulama'-pengarang ini memulakan perbahasan dengan topik yang lebih ringan seperti politik, ekonomi dan budaya sebelum disusuli dengan perbahasan tentang falsafah.

Perbezaan yang saya kesan daripada pembacaan terhadap dua karangan ini iaitu style penyampaian penulisan Haji Agus Salim yang lebih lembut dan halus, manakala style Pendeta Za'ba yang lebih tegas. Penyampaian penulisan Pendeta Za'ba mengingatkan saya kepada penulisan Imam Ibn Qayyum Al Jauzi yang lantang, keras dan tegas dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya. Membaca gaya penulisan seperti ini membuatkan saya tertawa, termenung dan memberi kepuasan yang tersendiri. Penyampaian penulisan Haji Agus Salim pula mengingatkan saya pada tulisan-tulisan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat yang lembut. 

Djejak Langkah (1954)
1. Anutan dan Dasar
2. Kemajuan Tanah Air dan Bangsa
3. Tinjauan dan Kecaman
4. Islam
5. Kebudayaan
6: Falsafah

Asohan Budi (1958)
Bahagian 1
1. Peri Kemuliaan Perangai (3 Fasal)
2. Kewajipan Kasar kepada Diri Sendiri (3 Fasal)
3. Kewajipan Halus kepada Diri Sendiri (6 Fasal)
4. Didekan kepada Anak2 (4 Fasal)
5. Ajaran Jimat Chermat- Dalam Islam (4 Fasal)

Bahagian 2
6. 'Ibadat Puasa Dalam Islam (4 Fasal)
7. Bera'mal kerana Allah (4 Fasal)
8. Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat (3 Fasal)
9. Ugama dan Kemestian-nya Kepada Manusia (4 Fasal)
10. Pelajaran Ugama Pada Umat Melayu (5 Fasal)

Al Fatihah buat Allahyarham Haji Agus Salim, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad yang meninggalkan kita karangan-karangan yang bermanfaat. Semoga Allah merahmati mereka dengan daya usaha karangan ini.

Rabu, 3 Jun 2015

LAYLA MAJNUN

Tuan melihat dengan mata
Nampak segala pincang nan nyata
Layla merenung dengan cinta
Terpancar semesta hakikat jiwa-
Budi di dalam jasad hamba

Jadikan Majnun luar biasa



 

Selasa, 2 Jun 2015

IKHLAS

ANTARA perkara yang saya mohon ialah keikhlasan. Semoga Allah SWT memberi saya keikhlasan. Ikhlas dalam kehidupan. Keutamaan dan kepentingan keikhlasan dapat dilihat penekanannya dalam penamaan Surah al-Ikhlas yang termaktub di dalam al-Quran. Akan tetapi, apakah keikhlasan dan bagaimanakah keikhlasan diraih? Bagaimana kita mahu ikhlas tanpa punya ilmu tentangnya?

Saya insaf, pemahaman saya tentang ikhlas sangat dangkal. Setakat yang saya tahu, ikhlas melakukan/memberi sesuatu supaya mendapat pahala dan reda Allah SWT. Pemahaman saya terhenti di situ. Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, persoalan tentang ikhlas sering timbul dalam fikiran saya tetapi dalam konteks yang terpecah-pecah.

Ketika itulah, sang darwis memperkenalkan saya perlahan-lahan tentang falsafah ikhlas. Kata sang darwis, "memberi dengan ikhlas dan menerima dengan ikhlas ialah dua perbuatan yang satu makna iaitu syukur". Tambahnya lagi di celah kuliah yang lain, "Orang memberi tidak pernah rugi kerana apa yang ada di tangannya pun bukan miliknya". Pada waktu yang lain, sang darwis berkata, "Yang memberi tidak rasa berat jika dia ikhlas. Yang memberi tidak pernah menuntut kerana itu akan merendahkan akhlaknya. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah mengajar orang berbudi, bukan untuk menjadi angkuh kerana yang menerima sangat bersyukur."

Persoalan ikhlas ini semakin mendapat perhatian saya selepas membaca sebuah buku dalam beberapa hari lalu yang memuatkan sabda Nabi Muhammad SAW tentang ikhlas. Seorang sahabat Nabi Muhammad SAWA mempersoalkan balasan dan reaksi tanpa curiga Nabi Muhammad SAW terhadap perbuatan seseorang. Sahabat mencurigai keikhlasan orang itu, maka Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa bukanlah tanggungjawab insan untuk mentafsirkan apa yang ada di sebalik perbuatan orang itu. Cukuplah sekadar menerima penzahirannya yang nyata dilihat baik. Daripada kisah ini, Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk bersangka baik pada kebaikan yang dizahirkan orang lain. Hal ini bangkit dalam perbincangan dengan kenalan pada malam tadi.

Pagi ini, saya hadir lagi dalam kuliah sang darwis, masih lagi tentang ikhlas. Sang darwis memulakan kuliahnya dengan hadis Nabi Muhammad SAW tentang keutamaan bersedekah hatta dengan sebelah biji kurma. Menurut sang darwis, falsafah di sebalik hadis itu ialah keikhlasan memberi dan keikhlasan menerima. Jelasnya, perbuatan bersedekah penting khususnya untuk mendidik hati sang pemberi daripada kecintaan terhadap dunia dan keangkuhan dalam diri. Selain itu, sang penerima juga mendapat didikan yang sama jika ikhlas menerima hatta pada pemberian yang sebesar zarah. Lanjut sang darwis lagi, tahap ikhlas itu ada dua. Tahap pertama merangkumi keikhlasan pada sesama manusia, dan yang tertinggi iaitu keikhlasan kepada Allah SWT dalam erti makna Ihsan.

Begitulah falsafah ikhlas, ikhlas memberi dan ikhlas menerima yang perlahan-lahan saya fahami. Sebagai insan, memang tidak mudah untuk menterjemahkan ikhlas dan beramal dengannya kerana sifat lupa insan (nisyan), nafsu dan pengaruh Iblis. Akan tetapi, dengan doa kepada Allah SWT, kesabaran dan latihan demi latihan terhadap nafsu dan hati pasti membuahkan hasil. Hati manusia itu perlu dididik.

Proses ini menginsafkan saya betapa luasnya ilmu Allah SWT dan kurangnya ilmu saya sebagai hamba-Nya kerana hatta untuk memahami secebis juzuk dalam lautan ilmunya pun memerlukan masa yang lama dan masih banyak cacatnya.

Saya fikir, kronologi kuliah tentang ikhlas ini merupakan persediaan kepada saya untuk membaca buku berjudul "Ikhlas Tanpa Batas" yang saya beli beberapa tahun dahulu, baru kini terbuka hati untuk dibaca. Wallahua'alam


Semoga Allah SWT memberikan kita ikhlas dan ihsan. Amin Ya Rahim

Isnin, 1 Jun 2015

BELAJAR MEMBACA DAN MEMAHAMI

KISAH malam tadi, kami berbincang tentang takah-takah pemahaman terhadap buku. Mengapa saya berasa lebih tersentuh, lebih terdidik pada pembacaan yang kini berbanding dengan pembacaan pada dua tahun lalu. Pembacaan pada buku yang sama, pada masa yang berbeza menghasilkan pemahaman yang juga berbeza. Apakah kerana ada lapis-lapis tersembunyi dalam bahan sumber yang sama? Atau subjektiviti dan relativiti makna teks yang menimbulkan kepelbagaian pemahaman dan sering berubah?

Hakikatnya, makna teks yang membincangkan hakikat kebenaran tidak pernah berubah. Yang berubah ialah tahap pemahaman kita, yang dimatangkan dengan ilmu dan pengalaman. Jika sebelum ini kita tidak faham atau kurang faham, bukan kerana teks itu yang sulit kerana dibumbui lapis-lapis makna tersembunyi, kerana hakikat bahasa kepada insan adalah untuk menyampaikan makna dengan tepat sekali gus memberi kefahaman kepada hati yang menerima untuk bertindak bijak dan adil, lantas mendorong pada peri laku yang terbaik untuk kehidupan di dunia dan akhirat. 


Apabila berhadapan kesukaran untuk memahami makna teks pada pembacaan yang pertama, bersabarlah. Ambil masa untuk mematangkan diri, menambah pengalaman semoga bertambah nanti tahap kefahaman. Buku yang dibaca tanpa faham jangan terus ditinggalkan, baca kembali pada masa lain. Bukankah kisah kegagalan Ibnu Sina memahami teks Metaphysics nukilan Aristotles setelah 40 kali pembacaan memberi iktibar supaya pencinta ilmu tidak lelah untuk terus berusaha memahami ilmu? Begitulah iktibar yang disampaikan kepada kita menerusi rantaian khabar yang benar.

Semoga Allah membuka pintu hati kita untuk membaca dan memahami dengan lebih mudah.