Ahad, 31 Mei 2015

HIMPUNAN RISALAH KARANGAN PROFESOR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

SAYA percaya yang rata-rata pembeli himpunan tulisan ilmuwan kita ini iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas, telah pun memiliki keempat-empat tulisan Profesor Al-Attas yang terhimpun di dalam buku ini, iaitu Risalah untuk Kaum Muslimin, Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam dan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Yang membezakan edisi himpunan ini dengan buku-buku yang berasingan itu ialah kemasukan bahagian Indeks yang diusahakan Profesor Muhammad Zainiy Uthman dan Sdr. Mohd. Hilmi, yang rapi dan terperinci, sekali gus menjadikan kemasukannya sangat membantu dalam usaha rujukan nanti. 


Tahniah kepada IBFIM, CASIS dan semua yang terlibat di balik tabir penerbitannya. Semoga Allah SWT merahmati usaha kalian.

Semoga Allah SWT merahmati usaha Profesor Al-Attas, dan memberikannya kesihatan dan ketenangan untuk meneruskan perjuangan ilmunya

Khamis, 28 Mei 2015

MAKNA KEBAHAGIAAN DAN PENGALAMANNYA DALAM ISLAM

APAKAH makna kebahagiaan menurut Islam? Buku ini merupakan tulisan Profesor Syed Muhmmad Naquib al Attas yang membincangkan dan menjelaskan perihal makna dan hakikat kebahagiaan menurut Islam. Prof. Al-Attas menjelaskan makna kebahagiaan (saadah) yang melibatkan aspek rohani dan aspek jasmani manusia. Kebahagaiaan apabila insan memperoleh keyakinan tentang hak Allah SWT dan menterjemahkannya dalam peri amalan kepatuhan dan penyerahan yang sempurna kepada-Nya. Kebahagiaan tertinggi ialah ru'yat Allah iaitu melihat Allah SWT di Akhirat nanti. Bagi mencapai kebahagiaan tertinggi, insan perlu terlebih dahulu melalui dua tahap kebahagiaan di dunia iaitu pada tahap nafsi dan tahap ruhani. Kebahagiaan di dunia ini berkait rapat dengan keyakinan terhadap Kebahagiaan Terakhir.  Kebahagiaan (saadah) menghadirkan ketenangan, ketenteraman pada diri insan, sentiasa berasa diri diperhatikan Allah justeru menjadikannya melakukan kebaikan, sentiasa berharap dan yakin kepada rahmat Allah SWT. Bagi mencapai kebahagiaan ini, insan perlu mempunyai ilmu yang benar yang dengannya membantu insan untuk bersikap adil iaitu tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan seterusnya menggerakkan ikhtiyar iaitu usaha untuk mendapatkan yang terbaik di sisi Allah SWT dengan melaksanakan amal salih.  Dalam konteks ini turut dibincangkan ialah empat sifat mahmudah iaitu hikmah, keberanian, kesederhanaan dan keadilan. 


Menurut Prof. Al-Attas, sifat-sifat ini telah sedia dibincangkan oleh Aristotles namun hakikat perbincangan Aristotles tentang sifat-sifat tersebut yang mengabaikan hakikat ketuhanan telah mengundang keraguan. Ini kerana keempat-empat sifat itu dianggap mustahil untuk difahami dengan hanya berteraskan pemahaman aqal yang tanpa bimbingan wahyu.  Seterusnya, bagi memahami makna kebahagiaan iaitu saadah, Prof. Al-Attas membincangkan dan menjelaskan tentang makna kesengsaraan iaitu shaqawah. Kesengsaraan hadir dalam diri insan yang tidak menyerah diri kepada Allah SWT, justeru menganggap masalah dan ujian sebagai bala bencana, menjadikan manusia berasa hampa, putus asa, diburu ketakutan pada sesuatu yang tidak pasti dan terbelenggu dengan kebimbangan, jauh dari rasa tenteram tetapi sering dicengkam gundah-gulana. Dalam perbincangan ini, Prof. Al Attas turut menyentuh perihal konsep tragedi dalam kebudayaan Barat yang berpunca daripada kepercayaan tentang Dosa Asal (original sins) Nabi Adam as. Bagi kebudayaan Barat, masalah dan ujian hidup ialah bala Tuhan kepada manusia yang terpaksa ditanggung sebagai pewaris Dosa Asal (original sins) yang diwariskan daripada Nabi Adam yang tersingkir dari Syurga kerana tipu daya Iblis. Walau bagaimanapun, menurut Islam, ujian ialah ibtila' iaitu dugaan yang diberikan Allah SWT kepada hamba-hamba yang beriman untuk menguji keimanan mereka.  Membaca tulisan ini membawa pembaca muhasabah diri dan kembali mengenal diri kerana hakikat insan itu yang tidak terlepas dari sifat lupa dan lalai.

Saya teringat kenyataan Prof. Zainy tentang buku ini yang tentunya mempunyai nilai sentimental kepadanya sebagai penterjemah: "Ada seorang hamba Allah yang telah lama meninggal, setiap kali ke umrah dia akan membaca buku ini di Masjidil Haram menghadap Kaabah kerana katanya pada saya kesannya kepada jiwa dan pemikirannya. Dan setiap kali beliau berada di Masjid al-Haram membaca buku ini beliau akan menghantar SMS kepada saya."

Ketika berbincang dengan teman tentang ujian dan bala, kawan menyebut  dugaan hidup daripada Allah sebagai bala. Saya menyatakan bahawa yang tepat ialah ibtila' (ujian untuk meningkatkan iman insan) seperti yang dijelaskan Profesor Al Attas ini, kawan membalas, "Ya, betul. Kita ni selalu beri makna yang salah pada konsep yang dah sedia ada di dalam Islam". Wallahua'alam.

Jumaat, 15 Mei 2015

Ahad, 3 Mei 2015

MENGENAL MAKNA

SAYA membiarkan komen balas terakhir oleh sahabat ini tanpa jawab. Saya memandang komennya, tidak pasti jawapan untuk diberi. Ketika itu, pembacaan saya pada buku Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam karangan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas berbaki beberapa helai sahaja untuk ditamatkan. Dalam waktu itu juga, saya berasa terlalu mengantuk, waktu berubah pada jam 1 pagi. Saya gagal menahan mata, berasa terganggu untuk meneruskan pembacaan, lalu saya katakan pada diri, "Biar aku tidur sekejap, nanti bangun dan habiskan bacaan". Saya tidur dengan ingatan tentang komen balas sahabat, mengapa perlu tahu tentang gelap untuk kenal terang, dan isi-isi daripada buku yang telah saya lewati.


Apabila bangun pada jam 2, saya menyambung bacaan dan sampai pada nota penterjemah buku ini iaitu Prof. Zainy Uthman:

Mengenal lawan pada sesuatu adalah satu kaedah akliah untuk memudahkan faham menerima sesuatu yang sukar untuk ditanggap oleh daya khayal. Dengan memperikan segala sifat pada lawan sesuatu itu, maka akal akan lebih hampir kepada menerima faham akan suatu ta'rif haddi terhadap sesuatu yang ditinjaunya itu. Kaedah ini digunakan dalam menyatakan iman dengan menyatakan lawannya iaitu kufur yang dikenali dengan pelbagai cabangnya yang lain seperti berbuat shirik, zindik, ilhad dan sebagainya (2002:44).

Inilah jawapannya maka saya menjawab komentar sahabat "Seperti kenal neraka untuk kenal syurga. Kenal shaqawah untuk kenal saadah."

Tidak terhenti setakat itu, soal ini terus berlegar di fikiran saya dan dalam konteks bidang saya iaitu kesusasteraan. Saya teringat pada perakuan seorang sarjana sastera yang mempertahankan novel Tivi sebagai karya sufi. Bagi yang telah membaca novel nukilan Shahnon Ahmad, tentu ingat benar plot novel nipis tersebut. Jujur pada hati, apakah pembaca berasa sekurang-kurangnya melewati daerah sufi atau digigit keberahian dek unsur-unsur sensasi dan erotik yang melatarinya. Saya teringat juga pada jawapan Shahnon Ahmad bahawa apa yang ditulis itu iaitu memaparkan kejahatan demi kejahatan (disebut sebagai juzuk azab) dikatakannya menepati al-Quran juga yang memaparkan kisah-kisah tentang neraka untuk manusia mengambil iktibar. Dari satu segi, Shahnon betul tetapi tindakannya meniadakan perihal kebaikan untuk menyeimbangi kejahatan itu membawa kepada tiadanya penilaian moral (poetic judgement) dan mengundang kekaburan moral (moral ambiguity). Oleh itu, bagaimana boleh dikatakan karya itu sebagai karya sufi?

Begitulah lintasan-lintasan di fikiran saya seusai membaca buku itu. Maknanya tentang kebahagiaan menurut Islam, tetapi telah mendorong saya untuk berfikir dalam konteks yang pelbagai. Mengapa jadi demikian? Pada saya, inilah tanda-tanda universalnya ilmu Islam. Tetapi, lebih tepat lagi ialah komen Prof. Zainy Uthman ini, "
Now your thinking starts. That is how that book captivates the readers. It makes them think. That's the mark of a good book."
 
"Jadi orang, berfikirlah dengan betul", dialog ini diujarkan oleh watak Dadu (lakonan Shiro) dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! yang saya tonton petang tadi, dan saya pilih untuk tugasan bagi subjek filem yang saya ikuti. Dialog itu, diujarkan dengan bersahaja dalam situasi yang lucu melibatkan dua watak pemuda yang insaf, bertaubat dan mahu kembali ke jalan Allah, tetapi amat bermakna bagi saya.

Jadi orang, berfikirlah dengan betul.