Sabtu, 24 Januari 2015

RIWAYAT UNGKU AZIZ

PROFESOR DIRAJA UNGKU ABDUL AZIZ (seterusnya Ungku Aziz) terkenal di peringkat kebangsaan dan di peringkat antarabangsa sebagai tokoh akademik, tokoh ekonomi dan tokoh bahasa yang disegani. Melewati usia sembilan dekad, Ungku Aziz ternyata memberikan pelbagai sumbangan baik dari segi idea dan fizikal dalam pembangunan negara. Biografi yang ditulis Asmah Haji Omar berjudul Riwayat Ungku Aziz ini menghimpunkan riwayat hidup Ungku Aziz dan ketokohannya sebagai pendidik, ahli ekonomi, dan pencinta seni dan kebudayaan Melayu. Buku setebal 259 halaman ini mengandungi lapan bab yang memaparkan salasilah keluarga, pendidikan, kerjaya dan sumbangan-sumbangan Ungku Aziz dalam pembangunan negara. Sebagai pengenalan kepada ketokohan Ungku Aziz, buku ini diawali dengan Prolog yang  merupakan kertas kerja Ungku Aziz berjudul “Tiga Paksi Perpaduan Nasional”. Kedudukan kertas kerja tersebut pada permulaan buku ini membolehkan pembaca sejak awal mendapat gambaran jelas tentang gagasan Ungku Aziz terhadap pembangunan negara iaitu; perpaduan nasional, peranan dan kepentingan bahasa Melayu dan pengurangan kemiskinan tegar.


Sesuai dengan judul bab 1 iaitu “Tokoh dan Ketokohan”, penulis menjelaskan peribadi Ungku Aziz sebagai Ikon Akademik dan Ikon Ekonomi Malaysia. Tumpuan terhadap aspek ini berfokus pada era kepimpinan Ungku Aziz sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya. Sepanjang dua dekad menerajui Universiti Malaya, pelbagai kemajuan diberikan sehingga menjadikan Universiti Malaya dan Ungku Aziz dianggap begitu sinonim. Antara sumbangan Ungku Aziz ketika memulakan terajunya ialah pemansuhan budaya ragging yang digantikan dengan acara kebudayaan, pemberian ciri khas bagi konvokesyen Universiti Malaya iaitu dari segi pakaian, muzik dan tatacara penerimaan. Menariknya, tidak seperti kebiasaan majlis konvokesyen yang dipimpin oleh pengacara majlis, Ungku Aziz memulakan tradisi konvokesyen tanpa pengacara majlis. Walaupun tanpa pengacara majlis, konvokesyen berjalan lancar dan teratur disebabkan perancangan, ketelitian dan disiplin semasa raptai diadakan. Selain itu, sejajar dengan keprihatiannya terhadap soal kemiskinan masyarakat, Ungku Aziz begitu mengambil berat tentang kehidupan pelajar-pelajar miskin khususnya pelajar di luar bandar yang menuntut di Universiti Malaya. Beliau mengusahakan kelas Bimbingan Khas kepada penuntut-penuntut luar bandar agar golongan ini turut mendapat maklumat dan bimbingan yang cukup seperti yang dimiliki oleh pelajar-pelajar dari bandar. Turut disentuh dalam bab ini ialah keperibadian Ungku Aziz sebagai individu dan pemimpin yang berkarisma dan mementingkan adab dan etika kerja. Berhubung soal ini, penulis meriwayatkan kesantunan Ungku Aziz dalam menangani masalah-masalah terutamanya yang melibatkan soal integriti pekerja. Ungku Aziz turut dikenali dengan caranya yang tersendiri ketika menegur kesilapan pegawai-pegawai tanpa menjatuhkan air muka mereka.

Selanjutnya, dalam penulisan biografi, antara elemen yang menarik diketengahkan ialah latar belakang kehidupan tokoh. Pada bahagian ini, peristiwa-peristiwa penting yang dilalui tokoh sejak kecil sehingga dewasa dan berjaya hadir untuk dijadikan teladan. Menerusi Bab 2 “Keturunan dan Keluarga”, dan Bab 3 “Laluan Hidup”, buku yang disertakan dengan foto-foto istimewa Ungku Aziz ini, melakarkan salasilah keturunan Ungku Aziz yang dikesan dari Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid yang memerintah Johor ketika zaman Sultan Abdul Hamid Syah II. Jalur keturunan itu sampai kepada nenda Ungku Aziz iaitu Ruqayah Hanim (wanita Turki yang berhijrah ke Johor) dan Ungku Abdul Majid, yang mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Ungku Abdul Aziz dan Ungku Abdul Hamid. Ungku Abdul Hamid berkahwin dengan Hamidah Abdullah, seorang wanita Armenia yang dikenalinya semasa berada di England.  Perkahwinan inilah yang melahirkan Ungku Abdul Aziz pada tanggal 28 Januari 1922. Beliau dibesarkan di England hingga berusia tujuh tahun. Ungku Aziz kematian bondanya ketika beliau berusia dua tahun. Sejak itu, Ungku Aziz dibesarkan oleh Mrs. White iaitu nendanya. Peristiwa kematian bondanya meninggalkan kesan yang hebat kepada ayahandanya sehingga mengalami kemurungan. Walau bagaimanapun, kehadiran bapa saudaranya iaitu Ungku Abdul Aziz ke London bagi memujuk Ungku Abdul Hamid pulang ke Johor telah mengubah kehidupan keluarga kecil ini.  Penghijrahan ke Johor memberi ruang kepada Ungku Aziz melalui zaman kanak-kanak yang menggembirakan. Ungku Aziz terdidik dalam keluarga yang menghargai alam dan menghormati orang lain. Beliau bermain dan bergaul dengan bebas tanpa mengira pangkat dan keturunan. Ini menjadikan anak berdarah bangsawan ini disenangi dan disayangi.

Ketika Ungku Aziz berusia 17 tahun, ayahandanya meninggal dunia. Peristiwa ini kemudiannya memperlihatkan pembinaan peribadi unggul yang dimiliki Ungku Aziz. Walaupun mempunyai bapa saudara dan ahli keluarga yang terdiri daripada golongan kebanyakan dan pegawai tinggi kerajaan yang sentiasa bersedia membantunya, Ungku Aziz memilih untuk menjadi yatim piatu yang berdikari. Bagi menyara kehidupannya, Ungku Aziz menjadi buruh kasar yang membina semula Tambak Johor yang roboh selepas dibom British, membawa lori dan menjadi kerani. Di sebalik kegigihan menyara kehidupannya, sifat cinta ilmu yang diwarisi daripada ayahandanya menjadikan Ungku Aziz sentiasa bersemangat menuntut ilmu. Semangat cinta ilmu ini membawanya ke Universiti Waseda, Jepun dan lulus Haseki, melanjutkan pengajian di Singapura dan seterusnya di Universiti Malaya. Keperibadian Ungku Aziz ini diakuinya banyak dipengaruhi oleh Pendeta Za’ba menerusi buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Peribadi unggul Ungku Aziz yang berdikari, gigh dan cinta ilmu ini dikuatkan lagi dengan sikapnya yang tidak suka bermegah-megah dengan gelaran dan kedudukan keluarga. Hal ini jelas menerusi perakuannya tentang gelaran ‘Ungku’ yang hakikatnya bukanlah pilihannya.  Oleh sebab itu, Ungku Aziz menggugurkan gelaran bangsawan kepada cahaya mata tunggalnya yang diberi nama Zeti Akhtar. Sifat rendah diri dan tidak mementingkan kedudukan-gelaran ini ketara dengan penolakan beliau terhadap pemberian gelaran termasuklah gelaran ‘Tun’, satu gelaran tertinggi negara yang ingin dianugerahkan kepadanya.  Namun, Ungku Aziz tidak menolak pemberian anugerah akademik dari dalam dan luar negara yang rata-rata melibatkan sumbangannya dalam pelbagai bidang akademik, pembangunan dan pentadbiran; antaranya ialah Anugerah Maharaja Jepun, Anugerah Tabung Haji, Anugerah Akademik Negara dan Anugerah Ma’al Hijrah. Menurut Ungku Aziz tentang gelaran Profesor Diraja, anugerah itu diterima atas pertimbangan tentang kedudukannya dalam bidang akademik. Prinsip Ungku Aziz yang tidak mementingkan gelaran turut mempengaruhi isterinya iaitu Sharifah Azah yang juga menggugurkan gelaran ‘Sharifah’, dan lebih selesa dikenali sebagai Puan Azah.

Seterusnya, perbincangan tentang ketokohan Ungku Aziz sebagai pemimpin, ikon akademik dan ikon ekonomi dalam Bab 4, Bab 5, Bab 6 dan Bab 7 memperlihatkan keprihatinan tokoh ini terhadap perkembangan ekonomi dan pendidikan di Malaysia. Sebagai tokoh ekonomi yang prihatin terhadap kesusahan hidup masyarakat Melayu luar bandar dan miskin, Ungku Aziz merangka dan menubuhkan beberapa badan yang bertujuan membantu golongan tersebut. Antara sumbangan besar Ungku Aziz ialah penubuhan RIDA (1950) (Rural Industrial Development Authority) yang kini dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA). Selain itu, Ungku Aziz mengasaskan penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (1962) yang bertujuan memudahkan urusan penyimpanan wang bagi masyarakat Melayu yang berhajat menunaikan haji.  Turut diusahakan beliau ialah Badan Koperatif dan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) pada tahun 1971. Ungku Aziz juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pengasas Dewan Bahasa dan Pustaka (1956). Beliau turut terlibat dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru selepas tragedi 1969. Sementara itu, sumbangan Ungku Aziz dalam perkembangan pendidikan Malaysia antaranya pembangunan dan peningkatan fakulti di Universiti Malaya, penubuhan Pusat Komputer, Pusat Bahasa, Pusat Kebudayaan, Pusat Sukan, Pusat Asasi Sains dan Ambang Asuhan Jepun. Ungku Aziz berusaha melakukan yang terbaik untuk Universiti Malaya. Kesungguhannya memajukan Universiti Malaya menyebabkan beliau digelar sebagai a man with a golden touch; dengan maksud segala yang diimpikan terbaik untuk Universiti Malaya pasti akan dijadikan kenyataan. Selepas bersara setelah 20 tahun menerajui Universiti Malaya, tokoh yang meminati seni lukis Picasso dan kesenian klasik ini meneruskan sumbangan ideanya dalam memperkukuhkan Kolej Universiti Metropolitan, mengumpul dan mengkaji pantun Melayu. Sehingga kini, Ungku Aziz terus merangka dan menulis idea-ideanya yang difikirkan bermanfaat untuk masyarakat Melayu dan Malaysia amnya. 


Sebagai pembaca, saya terkesan dengan keperibadian Ungku Aziz yang rendah diri dan tidak feudalistik meskipun lahir dan dibesarkan dalam keluarga bangsawan. Peribadinya yang gigih, bersemangat, berdikari dan mencintai ilmu merupakan teladan dan inspirasi kepada pembaca untuk memperbaiki diri dalam kesemua aspek tersebut. Semoga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dianugerahkan kesihatan, berada dalam keadaan yang sejahtera dan terus memberikan sumbangan idea dan kepakarannya yang berharga, dan dipermudahkan segala urusannya baik di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya, Ungku Aziz ialah genius Melayu yang perlu diteliti idea-idea dan sumbangan-sumbangannya, dan diperkenalkan kepada generasi muda secara serius. Membaca buku ini mengingatkan saya pada pengalaman menonton filem The Theory of Beginning yang memaparkan perjalanan hidup genius Barat iaitu Stephan Hawkings, dan filem The Big Eyes tentang riwayat hidup pelukis terkenal Margaret Ulbrich pada zaman kebangkitan feminisme di Barat. Saya terfikir, alangkah baiknya sekiranya penerbit filem dan penulis skrip tempatan berusaha menerbitkan filem biografi tentang genius Melayu seperti Ungku Aziz.





Selesai membaca buku ini, saya tertarik untuk membuat carian tentang Ungku Aziz di internet. Saya menemui blog Permata di Menara yang menerbitkan beberapa temu ramah dan artikel dari akhbar tentang Ungku Aziz.

Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah, mati. Habis cerita. Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur. Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani. Peribadi yang unggul; Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi. Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu. -Profesor Diraja Ungku Aziz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan