Jumaat, 30 Januari 2015

PEDOMAN BELIA: PUJANGGA ZA'BA

Ingat pesanku, wahai belia,
Jangan berdusta, jangan perdaya,
Jangan kikir, kasihkan harta,
Jangan boros yang sia-sia.

Jangan mengata, jangan mengeji,
Jangan aniaya, bengis dan benci,
Jangan takbur diri terpuji,
Jangan sekali memungkir janji.

Judi arak jangan biasa,
Lucah cabul jangan selesa,
Usah bermain ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.

Jangan meminjam, jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung ke orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Meminjam jangan, meminjamkan jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan maruah pandangan.

Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

Latihlah diri sifat merdeka,
Daya sendiri segenap ketika,
Jangan sombongkan asal dan baka,
Atau kelebihan adik dan kaka.

Bangau yang hitam cuba layangkan,
Besi yang tawar kilir tajamkan,
Waja yang keras padat padukan,
Allah kurniai dapat menjayakan.

Ingat selalu akan Tuhanmu,
Tuhan pun tentu ingat'kan kamu,
Jahat dan keji tidak tersemu,
Bahaya bencana jauh bertemu.

Semua manusia adik-beradik,
Semua manusia satu geladik,
Bantu membantu itulah didik,
Jangan bermusuh, tengking dan herdik.

Sakit dan susah walaupun mati,
Semua ditanggung bersungguh hati,
Kerana faedah orang berkati,
Mengorbankan diri itulah arti.
Sebaik-baik orang ada jahatnya,
Sejahat-jahat orang ada baiknya,
Tidaklah sayogia barang siapanya, 
Menyalahkan orang tidak dirinya.

Dalam perkara perhubungan negeri,
Sangat mustahak bijak bestari,
Runding mesyuarat ambil dan beri,
Jalan muafakat hendak dicari. 

Demikian kurasa dalam diriku,
Benarnya tetap dapat diaku,
Banyak yang lain dalam hatiku,
Kutunjukkan hanya simpul sebuku.

Selain ini rasa kusangka,
Tidaklah sayogia aku berbeka,
Pintu yang ghaib tidak berbuka,
Kepada Allah harus belaka.

Padalah itu aku khabari,
Ingatlah semua muda jauhari,
Kiranya kabul Allah memberi,
Dirimu jadi pemulih negeri.

Karangan oleh Zainal Abidin Ahmad. Al Fatihah.

Dipetik dari biografi Za'ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa, Asmah Haji Omar, 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan