Rabu, 29 Julai 2015





















Nur Fatiha Fadila, "Tinjauan Makna "Intelektualisme" dalam Tradisi Keilmuan Barat-Islam dan Kedudukannya dalam Kesusasteraan Melayu", Dewan Sastera, Julai, 2015:21-26.

Nur Fatiha Fadila, "Dera: Ketahui Hak Adik", Dewan Pelajar, Julai, 2015:4-5



Jumaat, 24 Julai 2015

HAKIKAT KAYA

Erti kaya yang sebenarnya
Bukan pada timbunan harta-
Tetapi pada pengertian hamba
Tentang hakikat Tuhan dan insan.

Hakikat dunia, 
Ladang hari kemudian
Untung-rugi insan
Kaya-miskin yang sebenar
Di situ mendapat kepastian.



Ahad, 12 Julai 2015

MALAM SERIBU BULAN

Kau boleh kasihkan dia sedalam-dalamnya,
hanya sepuluh hari saja.

Satu antara dua - seribu tahun tanpa Kintan,
atau sepuluh malam Kintan dalam pangkuan.

Aku memilih sepuluh hari,
dalam sehari ada seribu bulan.

-Noordin Hassan, Bukan Lalang Ditiup Angin


Rabu, 8 Julai 2015

MAKNA

Makna cinta diri insani
Bukan dakap erat jasadi,
Sabar-harap pada Ilahi
Pemberi bahagia abadi

Makna rindu dalam diri
Bukan ujaran nafsu insani,
Rapat doa ke langit Ilahi
Pemberi nikmat hakiki

Orang sabar selalu menang
Hatta, dalam perjuangan perasaan





Sabtu, 4 Julai 2015

SHIKWA & JAWAB-I-SHIKWA, SIR MUHAMMAD IQBAL

SAJAK Shikwa ditulis pada tahun 1909 dan memaparkan pandangan Sir Muhammad Iqbal tentang kemunduran, kemiskinan dan kesengsaraan yang dilalui masyakarat Islam di India. Ini berbeza dengan kehidupan masyarakat bukan Islam (kafir, musyrik, penyembah berhala) yang menurut Iqbal dilimpahi kemewahan, kekayaan dan kesenangan (1983:41). Kehidupan baik yang menyebelahi masyarakat bukan Islam dianggap  sebagai ketiadakadilan (injustice) Allah SWT terhadap masyarakat Muslim India (1983:30). Pertimbangan ini didasarkan kepada pengamatannya terhadap usaha masyarakat Islam di India untuk beriman dan sedaya upaya mempertahankan agama Allah SWT melalui jalan peperangan, dan kesanggupan hidup dalam kemiskinan semata-mata untuk menyatakan keimanan kepada Allah SWT:

Who were the people who asked only for You and no other?
And for You did fight battles and travails suffers?
Whose world-conquering swords spread the might over one and all?
Who stirred mankind with Allah-o-Akbar’s clarion call?
Whose dread bent stone idols into fearful submission?
(183:37).


Empat tahun selepas penerbitan Shikwa yang menimbulkan kontroversi dan kecaman sebahagian ulama’, Iqbal menulis Jawab-i-Shikwa (1913), yang merupakan analogi jawapan Allah SWT terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam Shikwa. Dalam Jawab-i-Shikwa, Iqbal menjelaskan antara sebab kemunduran masyarakat Islam ialah pemahaman yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar. Ini merujuk kepada tindakan masyarakat Islam yang dilakukan bukan didasarkan kepada ilmu sebaliknya sebagai satu ikut-ikutan. Justeru, keimanan dan pengorbanan terhadap Islam yang dianggap telah sempurna itu adalah satu bentuk tipu daya kepada umat Islam sendiri. 

Antara perkara penting yang disifatkan sebagai punca kemunduran masyarakat Islam ialah perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri (1983:73). Berhubung perkara ini, Iqbal antaranya menyebut kehidupan masyakat bukan Islam yang dalam Shikwa diperakukan sebagai baik, sempurna dan membahagiakan terjadi antaranya disebabkan kecenderungan mereka mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam Islam seperti perpaduan, saling memahami dan memaafkan:

You always quarrel among yourselves: they were kind and understanding.
You do evil deeds, find faults in others: they covered other’s sins and were forgiving
(1983:81).

Khamis, 2 Julai 2015

FALSAFAH AKHLAK KERANA ALLAH OLEH ZA'BA

DALAM Bahath 7, Asohan Budi Za'ba membincangkan tentang falsafah akhlak "kerana Allah". Za'ba mengupas peri tiga fasa ketaatan manusia iaitu:

1. Ketaatan kerana mahukan balasan
2. Ketaatan kerana kasihkan Tuhan
3. Ketaatan kerana kebaikan dan kejahatan yang ditetapkan Allah

Ketaatan tahap ketiga ialah kemuncak ketaatan pada jiwa insan yang paling bersih dan mendekati makna taqwa yang sebenarnya iaitu menjaga suruhan dan larangan Allah, iaitu dengan melakukan kedua-dua perkara itu semata-mata kerana sifat jahat dan baik perkara itu, bukan mengharapkan balasan atau kerana takut. Za'ba menyimpulkan perbincangan ini menerusi rangkap-rangkap syair.

(Za'ba, 1958, Asohan Budi, H.M. Shah Enterprise: Kuala Lumpur)

Buatlah baik ayuhai rakan,
Ke dalam laut kamu campakkan;
Jikalau tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iakah bukan.

Sebagai pembaca tentu kita ada pengalaman menghadapi buku yang kita susah nak berhenti daripada membacanya. Ada keseronokan pada setiap halaman yang mengikat pembaca untuk terus menekuninya. Buku karangan Za'ba yang terbit pada tahun 1958 ini antara contoh bagaimana pembaca (saya) terikat kepada makna (teks).



Al Fatihah Zainal Abidin Ahmad


Rabu, 1 Julai 2015

SIKAP GURU TERHADAP ILMU

SOCRATES guru dan ahli falsafah yang begitu disayangi oleh murid-muridnya yang ikhlas dahagakan ilmu. Beliau mengajar tanpa meminta bayaran kerana tujuannya adalah berkongsi dan meraikan pengetahuan. Dengan itu, Socrates menolak golongan berpangkat yang tidak jujur dan tidak ikhlas pada ilmu untuk menjadi muridnya. Keperibadiannya yang sebegini menjadikan dia tidak disenangi dan dimusuhi sarjana-sarjana tiruan yang menjual ilmu untuk mendapat keuntungan material dan populariti. Pada usia 70 tahun, Socrates dihukum mati, tetapi ternyata dia 'hidup' sehingga kini.

Bagi Socrates, mati kerana memperjuangkan ilmu dan kebenaran lebih mulia daripada memalsukan ilmu dan kepandaian untuk mengaut keuntungan material dan kesenangan hidup di dunia.

Agus Salim, 1954, Djejak Langkah, ms. 336


Isnin, 29 Jun 2015

DJEJAK LANGKAH & ASOHAN BUDI: KESELARASAN PEMIKIRAN DUA ULAMA'-PENGARANG

SAYA selesai membaca dua karangan ulama'-pengarang di kepulauan Melayu-Indonesia ini iaitu Djejak Langkah (1954) oleh Haji Agus Salim dan Asohan Budi (1958) oleh Pendeta Za'ba. Hasil pembacaan mendapati kedua-dua karangan ini mempunyai dua fokus iaitu tentang kehidupan masyarakat di negara masing-masing merangkumi politik, ekonomi, dan sosial, dan kedudukan Islam sebagai ukuran penilaian kehidupan yang perlu dipertahankan.

Perbezaannya terletak pada konteks mengikut situasi di kedua-dua negara. Umpamanya, Haji Agus Salim membahaskan aspek kemerdekaan Indonesia daripada penjajahan Belanda baik dari segi fizikal dan khususnya mental. Pendeta Za'ba pula selain menekankan kepentingan orang Melayu untuk membebaskan diri daripada penjajahan fikiran bawaan Barat, turut membicarakan dengan panjang lebar aspek ekonomi orang Melayu. Dari segi sosial, kedua-dua pengarang menekankan pentingnya aspek sosial (khususnya kebudayaan) dipasakkan kepada falsafah Tauhid dan Islam. Dalam konteks inilah, kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kewajipan manusia untuk berpegang kepada Islam apabila berhadapan dengan pengaruh Barat baik dari aspek material mahupun epistemologi. 




Kedua-dua ulama'-pengarang ini menekankan kenyataan bahawa Islam terlebih dahulu membawa konsep intelektualisme, individualisme dan nasionalisme di Alam Melayu ketika Barat mengalami zaman kegelapan (Islam yang memperkenalkan ketiga-tiga konsep itu kepada Barat sehingga mendorong mereka mencapai zaman kebangkitan). Ketiga-tiga konsep ini terikat pada falsafah Tauhid, peranan al-Quran dan peranan aqal. 

Dalam hal ini, kedua-dua pengarang menjelaskan tentang falsafah Tauhid, iaitu merujuk perakuan tentang keesaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Perakuan bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah membebaskan manusia daripada cengkaman animisme dan feudalisme. Konsep perhambaan dihapuskan sekali gus terlerainya strata sosial yang memisahkan manusia kerana darjat. Ini memberi hak kepada manusia sebagai individu yang tidak lagi tertakluk pada kuasa alam ghaib atau kuasa istana.

Seterusnya, kehadiran Islam yang membawa bersamanya al-Quran menjadikan masyarakat di Alam Melayu dapat menerima ilmu pengetahuan tanpa sebarang sekatan sosial. Hal ini bertepatan dengan konsep qalam yang tersebut dalam al-Quran, yang menuntut umat Islam untuk membaca dan menulis (mencari, menyebarkan dan mempertahankan ilmu yang benar). 

Selain itu, peranan aqal yang ditegaskan dalam al-Quran pula merujuk kepada kemampuan manusia untuk membuat pertimbangan secara rasional berpandukan al-Quran. Kesemua ini telah mengangkat darjat manusia dan mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada cahaya ilmu.

Persamaan yang dapat dikesan dalam dua karangan ini ialah susunan perbahasan. Kedua-dua ulama'-pengarang ini memulakan perbahasan dengan topik yang lebih ringan seperti politik, ekonomi dan budaya sebelum disusuli dengan perbahasan tentang falsafah.

Perbezaan yang saya kesan daripada pembacaan terhadap dua karangan ini iaitu style penyampaian penulisan Haji Agus Salim yang lebih lembut dan halus, manakala style Pendeta Za'ba yang lebih tegas. Penyampaian penulisan Pendeta Za'ba mengingatkan saya kepada penulisan Imam Ibn Qayyum Al Jauzi yang lantang, keras dan tegas dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya. Membaca gaya penulisan seperti ini membuatkan saya tertawa, termenung dan memberi kepuasan yang tersendiri. Penyampaian penulisan Haji Agus Salim pula mengingatkan saya pada tulisan-tulisan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat yang lembut. 

Djejak Langkah (1954)
1. Anutan dan Dasar
2. Kemajuan Tanah Air dan Bangsa
3. Tinjauan dan Kecaman
4. Islam
5. Kebudayaan
6: Falsafah

Asohan Budi (1958)
Bahagian 1
1. Peri Kemuliaan Perangai (3 Fasal)
2. Kewajipan Kasar kepada Diri Sendiri (3 Fasal)
3. Kewajipan Halus kepada Diri Sendiri (6 Fasal)
4. Didekan kepada Anak2 (4 Fasal)
5. Ajaran Jimat Chermat- Dalam Islam (4 Fasal)

Bahagian 2
6. 'Ibadat Puasa Dalam Islam (4 Fasal)
7. Bera'mal kerana Allah (4 Fasal)
8. Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat (3 Fasal)
9. Ugama dan Kemestian-nya Kepada Manusia (4 Fasal)
10. Pelajaran Ugama Pada Umat Melayu (5 Fasal)

Al Fatihah buat Allahyarham Haji Agus Salim, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad yang meninggalkan kita karangan-karangan yang bermanfaat. Semoga Allah merahmati mereka dengan daya usaha karangan ini.

Rabu, 3 Jun 2015

LAYLA MAJNUN

Tuan melihat dengan mata
Nampak segala pincang nan nyata
Layla merenung dengan cinta
Terpancar semesta hakikat jiwa-
Budi di dalam jasad hamba

Jadikan Majnun luar biasa



 

Selasa, 2 Jun 2015

IKHLAS

ANTARA perkara yang saya mohon ialah keikhlasan. Semoga Allah SWT memberi saya keikhlasan. Ikhlas dalam kehidupan. Keutamaan dan kepentingan keikhlasan dapat dilihat penekanannya dalam penamaan Surah al-Ikhlas yang termaktub di dalam al-Quran. Akan tetapi, apakah keikhlasan dan bagaimanakah keikhlasan diraih? Bagaimana kita mahu ikhlas tanpa punya ilmu tentangnya?

Saya insaf, pemahaman saya tentang ikhlas sangat dangkal. Setakat yang saya tahu, ikhlas melakukan/memberi sesuatu supaya mendapat pahala dan reda Allah SWT. Pemahaman saya terhenti di situ. Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, persoalan tentang ikhlas sering timbul dalam fikiran saya tetapi dalam konteks yang terpecah-pecah.

Ketika itulah, sang darwis memperkenalkan saya perlahan-lahan tentang falsafah ikhlas. Kata sang darwis, "memberi dengan ikhlas dan menerima dengan ikhlas ialah dua perbuatan yang satu makna iaitu syukur". Tambahnya lagi di celah kuliah yang lain, "Orang memberi tidak pernah rugi kerana apa yang ada di tangannya pun bukan miliknya". Pada waktu yang lain, sang darwis berkata, "Yang memberi tidak rasa berat jika dia ikhlas. Yang memberi tidak pernah menuntut kerana itu akan merendahkan akhlaknya. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah mengajar orang berbudi, bukan untuk menjadi angkuh kerana yang menerima sangat bersyukur."

Persoalan ikhlas ini semakin mendapat perhatian saya selepas membaca sebuah buku dalam beberapa hari lalu yang memuatkan sabda Nabi Muhammad SAW tentang ikhlas. Seorang sahabat Nabi Muhammad SAWA mempersoalkan balasan dan reaksi tanpa curiga Nabi Muhammad SAW terhadap perbuatan seseorang. Sahabat mencurigai keikhlasan orang itu, maka Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa bukanlah tanggungjawab insan untuk mentafsirkan apa yang ada di sebalik perbuatan orang itu. Cukuplah sekadar menerima penzahirannya yang nyata dilihat baik. Daripada kisah ini, Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk bersangka baik pada kebaikan yang dizahirkan orang lain. Hal ini bangkit dalam perbincangan dengan kenalan pada malam tadi.

Pagi ini, saya hadir lagi dalam kuliah sang darwis, masih lagi tentang ikhlas. Sang darwis memulakan kuliahnya dengan hadis Nabi Muhammad SAW tentang keutamaan bersedekah hatta dengan sebelah biji kurma. Menurut sang darwis, falsafah di sebalik hadis itu ialah keikhlasan memberi dan keikhlasan menerima. Jelasnya, perbuatan bersedekah penting khususnya untuk mendidik hati sang pemberi daripada kecintaan terhadap dunia dan keangkuhan dalam diri. Selain itu, sang penerima juga mendapat didikan yang sama jika ikhlas menerima hatta pada pemberian yang sebesar zarah. Lanjut sang darwis lagi, tahap ikhlas itu ada dua. Tahap pertama merangkumi keikhlasan pada sesama manusia, dan yang tertinggi iaitu keikhlasan kepada Allah SWT dalam erti makna Ihsan.

Begitulah falsafah ikhlas, ikhlas memberi dan ikhlas menerima yang perlahan-lahan saya fahami. Sebagai insan, memang tidak mudah untuk menterjemahkan ikhlas dan beramal dengannya kerana sifat lupa insan (nisyan), nafsu dan pengaruh Iblis. Akan tetapi, dengan doa kepada Allah SWT, kesabaran dan latihan demi latihan terhadap nafsu dan hati pasti membuahkan hasil. Hati manusia itu perlu dididik.

Proses ini menginsafkan saya betapa luasnya ilmu Allah SWT dan kurangnya ilmu saya sebagai hamba-Nya kerana hatta untuk memahami secebis juzuk dalam lautan ilmunya pun memerlukan masa yang lama dan masih banyak cacatnya.

Saya fikir, kronologi kuliah tentang ikhlas ini merupakan persediaan kepada saya untuk membaca buku berjudul "Ikhlas Tanpa Batas" yang saya beli beberapa tahun dahulu, baru kini terbuka hati untuk dibaca. Wallahua'alam


Semoga Allah SWT memberikan kita ikhlas dan ihsan. Amin Ya Rahim

Isnin, 1 Jun 2015

BELAJAR MEMBACA DAN MEMAHAMI

KISAH malam tadi, kami berbincang tentang takah-takah pemahaman terhadap buku. Mengapa saya berasa lebih tersentuh, lebih terdidik pada pembacaan yang kini berbanding dengan pembacaan pada dua tahun lalu. Pembacaan pada buku yang sama, pada masa yang berbeza menghasilkan pemahaman yang juga berbeza. Apakah kerana ada lapis-lapis tersembunyi dalam bahan sumber yang sama? Atau subjektiviti dan relativiti makna teks yang menimbulkan kepelbagaian pemahaman dan sering berubah?

Hakikatnya, makna teks yang membincangkan hakikat kebenaran tidak pernah berubah. Yang berubah ialah tahap pemahaman kita, yang dimatangkan dengan ilmu dan pengalaman. Jika sebelum ini kita tidak faham atau kurang faham, bukan kerana teks itu yang sulit kerana dibumbui lapis-lapis makna tersembunyi, kerana hakikat bahasa kepada insan adalah untuk menyampaikan makna dengan tepat sekali gus memberi kefahaman kepada hati yang menerima untuk bertindak bijak dan adil, lantas mendorong pada peri laku yang terbaik untuk kehidupan di dunia dan akhirat. 


Apabila berhadapan kesukaran untuk memahami makna teks pada pembacaan yang pertama, bersabarlah. Ambil masa untuk mematangkan diri, menambah pengalaman semoga bertambah nanti tahap kefahaman. Buku yang dibaca tanpa faham jangan terus ditinggalkan, baca kembali pada masa lain. Bukankah kisah kegagalan Ibnu Sina memahami teks Metaphysics nukilan Aristotles setelah 40 kali pembacaan memberi iktibar supaya pencinta ilmu tidak lelah untuk terus berusaha memahami ilmu? Begitulah iktibar yang disampaikan kepada kita menerusi rantaian khabar yang benar.

Semoga Allah membuka pintu hati kita untuk membaca dan memahami dengan lebih mudah.

Ahad, 31 Mei 2015

HIMPUNAN RISALAH KARANGAN PROFESOR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

SAYA percaya yang rata-rata pembeli himpunan tulisan ilmuwan kita ini iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas, telah pun memiliki keempat-empat tulisan Profesor Al-Attas yang terhimpun di dalam buku ini, iaitu Risalah untuk Kaum Muslimin, Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam dan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Yang membezakan edisi himpunan ini dengan buku-buku yang berasingan itu ialah kemasukan bahagian Indeks yang diusahakan Profesor Muhammad Zainiy Uthman dan Sdr. Mohd. Hilmi, yang rapi dan terperinci, sekali gus menjadikan kemasukannya sangat membantu dalam usaha rujukan nanti. 


Tahniah kepada IBFIM, CASIS dan semua yang terlibat di balik tabir penerbitannya. Semoga Allah SWT merahmati usaha kalian.

Semoga Allah SWT merahmati usaha Profesor Al-Attas, dan memberikannya kesihatan dan ketenangan untuk meneruskan perjuangan ilmunya

Khamis, 28 Mei 2015

MAKNA KEBAHAGIAAN DAN PENGALAMANNYA DALAM ISLAM

APAKAH makna kebahagiaan menurut Islam? Buku ini merupakan tulisan Profesor Syed Muhmmad Naquib al Attas yang membincangkan dan menjelaskan perihal makna dan hakikat kebahagiaan menurut Islam. Prof. Al-Attas menjelaskan makna kebahagiaan (saadah) yang melibatkan aspek rohani dan aspek jasmani manusia. Kebahagaiaan apabila insan memperoleh keyakinan tentang hak Allah SWT dan menterjemahkannya dalam peri amalan kepatuhan dan penyerahan yang sempurna kepada-Nya. Kebahagiaan tertinggi ialah ru'yat Allah iaitu melihat Allah SWT di Akhirat nanti. Bagi mencapai kebahagiaan tertinggi, insan perlu terlebih dahulu melalui dua tahap kebahagiaan di dunia iaitu pada tahap nafsi dan tahap ruhani. Kebahagiaan di dunia ini berkait rapat dengan keyakinan terhadap Kebahagiaan Terakhir.  Kebahagiaan (saadah) menghadirkan ketenangan, ketenteraman pada diri insan, sentiasa berasa diri diperhatikan Allah justeru menjadikannya melakukan kebaikan, sentiasa berharap dan yakin kepada rahmat Allah SWT. Bagi mencapai kebahagiaan ini, insan perlu mempunyai ilmu yang benar yang dengannya membantu insan untuk bersikap adil iaitu tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan seterusnya menggerakkan ikhtiyar iaitu usaha untuk mendapatkan yang terbaik di sisi Allah SWT dengan melaksanakan amal salih.  Dalam konteks ini turut dibincangkan ialah empat sifat mahmudah iaitu hikmah, keberanian, kesederhanaan dan keadilan. 


Menurut Prof. Al-Attas, sifat-sifat ini telah sedia dibincangkan oleh Aristotles namun hakikat perbincangan Aristotles tentang sifat-sifat tersebut yang mengabaikan hakikat ketuhanan telah mengundang keraguan. Ini kerana keempat-empat sifat itu dianggap mustahil untuk difahami dengan hanya berteraskan pemahaman aqal yang tanpa bimbingan wahyu.  Seterusnya, bagi memahami makna kebahagiaan iaitu saadah, Prof. Al-Attas membincangkan dan menjelaskan tentang makna kesengsaraan iaitu shaqawah. Kesengsaraan hadir dalam diri insan yang tidak menyerah diri kepada Allah SWT, justeru menganggap masalah dan ujian sebagai bala bencana, menjadikan manusia berasa hampa, putus asa, diburu ketakutan pada sesuatu yang tidak pasti dan terbelenggu dengan kebimbangan, jauh dari rasa tenteram tetapi sering dicengkam gundah-gulana. Dalam perbincangan ini, Prof. Al Attas turut menyentuh perihal konsep tragedi dalam kebudayaan Barat yang berpunca daripada kepercayaan tentang Dosa Asal (original sins) Nabi Adam as. Bagi kebudayaan Barat, masalah dan ujian hidup ialah bala Tuhan kepada manusia yang terpaksa ditanggung sebagai pewaris Dosa Asal (original sins) yang diwariskan daripada Nabi Adam yang tersingkir dari Syurga kerana tipu daya Iblis. Walau bagaimanapun, menurut Islam, ujian ialah ibtila' iaitu dugaan yang diberikan Allah SWT kepada hamba-hamba yang beriman untuk menguji keimanan mereka.  Membaca tulisan ini membawa pembaca muhasabah diri dan kembali mengenal diri kerana hakikat insan itu yang tidak terlepas dari sifat lupa dan lalai.

Saya teringat kenyataan Prof. Zainy tentang buku ini yang tentunya mempunyai nilai sentimental kepadanya sebagai penterjemah: "Ada seorang hamba Allah yang telah lama meninggal, setiap kali ke umrah dia akan membaca buku ini di Masjidil Haram menghadap Kaabah kerana katanya pada saya kesannya kepada jiwa dan pemikirannya. Dan setiap kali beliau berada di Masjid al-Haram membaca buku ini beliau akan menghantar SMS kepada saya."

Ketika berbincang dengan teman tentang ujian dan bala, kawan menyebut  dugaan hidup daripada Allah sebagai bala. Saya menyatakan bahawa yang tepat ialah ibtila' (ujian untuk meningkatkan iman insan) seperti yang dijelaskan Profesor Al Attas ini, kawan membalas, "Ya, betul. Kita ni selalu beri makna yang salah pada konsep yang dah sedia ada di dalam Islam". Wallahua'alam.

Jumaat, 15 Mei 2015

Ahad, 3 Mei 2015

MENGENAL MAKNA

SAYA membiarkan komen balas terakhir oleh sahabat ini tanpa jawab. Saya memandang komennya, tidak pasti jawapan untuk diberi. Ketika itu, pembacaan saya pada buku Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam karangan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas berbaki beberapa helai sahaja untuk ditamatkan. Dalam waktu itu juga, saya berasa terlalu mengantuk, waktu berubah pada jam 1 pagi. Saya gagal menahan mata, berasa terganggu untuk meneruskan pembacaan, lalu saya katakan pada diri, "Biar aku tidur sekejap, nanti bangun dan habiskan bacaan". Saya tidur dengan ingatan tentang komen balas sahabat, mengapa perlu tahu tentang gelap untuk kenal terang, dan isi-isi daripada buku yang telah saya lewati.


Apabila bangun pada jam 2, saya menyambung bacaan dan sampai pada nota penterjemah buku ini iaitu Prof. Zainy Uthman:

Mengenal lawan pada sesuatu adalah satu kaedah akliah untuk memudahkan faham menerima sesuatu yang sukar untuk ditanggap oleh daya khayal. Dengan memperikan segala sifat pada lawan sesuatu itu, maka akal akan lebih hampir kepada menerima faham akan suatu ta'rif haddi terhadap sesuatu yang ditinjaunya itu. Kaedah ini digunakan dalam menyatakan iman dengan menyatakan lawannya iaitu kufur yang dikenali dengan pelbagai cabangnya yang lain seperti berbuat shirik, zindik, ilhad dan sebagainya (2002:44).

Inilah jawapannya maka saya menjawab komentar sahabat "Seperti kenal neraka untuk kenal syurga. Kenal shaqawah untuk kenal saadah."

Tidak terhenti setakat itu, soal ini terus berlegar di fikiran saya dan dalam konteks bidang saya iaitu kesusasteraan. Saya teringat pada perakuan seorang sarjana sastera yang mempertahankan novel Tivi sebagai karya sufi. Bagi yang telah membaca novel nukilan Shahnon Ahmad, tentu ingat benar plot novel nipis tersebut. Jujur pada hati, apakah pembaca berasa sekurang-kurangnya melewati daerah sufi atau digigit keberahian dek unsur-unsur sensasi dan erotik yang melatarinya. Saya teringat juga pada jawapan Shahnon Ahmad bahawa apa yang ditulis itu iaitu memaparkan kejahatan demi kejahatan (disebut sebagai juzuk azab) dikatakannya menepati al-Quran juga yang memaparkan kisah-kisah tentang neraka untuk manusia mengambil iktibar. Dari satu segi, Shahnon betul tetapi tindakannya meniadakan perihal kebaikan untuk menyeimbangi kejahatan itu membawa kepada tiadanya penilaian moral (poetic judgement) dan mengundang kekaburan moral (moral ambiguity). Oleh itu, bagaimana boleh dikatakan karya itu sebagai karya sufi?

Begitulah lintasan-lintasan di fikiran saya seusai membaca buku itu. Maknanya tentang kebahagiaan menurut Islam, tetapi telah mendorong saya untuk berfikir dalam konteks yang pelbagai. Mengapa jadi demikian? Pada saya, inilah tanda-tanda universalnya ilmu Islam. Tetapi, lebih tepat lagi ialah komen Prof. Zainy Uthman ini, "
Now your thinking starts. That is how that book captivates the readers. It makes them think. That's the mark of a good book."
 
"Jadi orang, berfikirlah dengan betul", dialog ini diujarkan oleh watak Dadu (lakonan Shiro) dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang! yang saya tonton petang tadi, dan saya pilih untuk tugasan bagi subjek filem yang saya ikuti. Dialog itu, diujarkan dengan bersahaja dalam situasi yang lucu melibatkan dua watak pemuda yang insaf, bertaubat dan mahu kembali ke jalan Allah, tetapi amat bermakna bagi saya.

Jadi orang, berfikirlah dengan betul.

Rabu, 11 Mac 2015

JANGAN PUTUS ASA

ORANG Islam tidak ada putus asa. Berdosa besar putus asa kerana kita tidak diajar begitu. Betapa gelapnya dunia Nabi Yunus buat sementara, dan betapa terangnya sebaik-baik dia diberikan doa itu (doa Nabi Yunus ketika ditelan ikan Nun). Itu satu panduan yang sangat baik. Itulah perjuangan. Kekuatan kita ialah kepercayaan kita kepada kebaikan, bukan kepada keburukan. Kebaikan itu bahtera Nabi Nuh, boleh mengatasi apa juga jenis banjir sebesar mana pun kerana itulah yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala sendiri. Setiap kali rasa lemah, ingat saja kita berada di dalam Bahtera Nabi Nuh. Ingat baginda membinanya 100 tahun, bukan main lama. Ingat, pengalaman Kelantan tenggelam buat sementara pada penghujung tahun lalu, tetapi banyak kelurga yang terselamat berbanding dengan yang tidak.

Jangan putus asa pada rahmat-Nya.



Jumaat, 6 Mac 2015

BERBAHAS ATAU BERBALAH

SAYA terfikir tentang dua perkataan iaitu berbahas dan berbalah lantas mengingatkan saya pada pengalaman mewakili sekolah dalam pertandingan Bahas ala Parlimen (2004), dan makna kedua-duanya di dalam kamus.

Yang membezakan antara berbahas dengan berbalah ialah hujah. Tujuan berbahas adalah untuk menegakkan hujah yang disokong dengan data dan bukti yang relevan dan kukuh. Manakala berbalah tidak ubah seperti perbuatan kanak-kanak bertengkar hanya untuk menegakkan benang masing-masing yang basah. Tujuan berbalah adalah untuk kepuasan ego, bukan tuntutan intelektual iaitu kebenaran seperti yang dituntut dalam berbahas. Yang menjadikan perbahasan itu unik ialah gaya kreatif dan kritisnya. Yang menjadikan perbalahan nampak menarik ialah retoriknya.


Jadi, tentukan dalam penulisan atau pertuturan, sama ada kita berbahas atau berbalah. Yang satu menjadikan ilmu sebagai tunjang, menjadikannya bersifat ilmiah. Yang lagi satu menjadikan emosi sebagai paksi, menjadikannya bersifat gosip.

Wallahua'alam

Nota: Buku "The Uses of Argument" oleh Stephen Toulmin bagus untuk kita memahami aspek penghujahan meliputi fungsi, kepentingan dan tatacaranya.

Isnin, 9 Februari 2015

DI PADANG PENGEMBARAAN

Di mana ku langkahkan kaki,
Duri bercerencam - kerikil tajam,
Di mana aku mula berlari,
Pasir di sana hangat sekali.

Panas menimpa kepala,
Menyucuk badan - membawa dahaga,
Kaki bisa,
Dicucuk duri - ditikam batu,

Biar panas menghangus badan,
Biar duri menikam kaki,
Aku tetap mara ke muka,
Pasir panas ku korek juga,
Walau lapar mengamuk,
Dan mayat terkapar merata,
Mutiara ku cari juga.

MABHAS, Utusan Kanak-Kanak, 13 Mei 1956

*MABHAS ialah nama pena Mohd. Affandi Hassan yang digunakan ketika beliau mula menulis pada usia seawal 10 tahun.


Jumaat, 30 Januari 2015

PEDOMAN BELIA: PUJANGGA ZA'BA

Ingat pesanku, wahai belia,
Jangan berdusta, jangan perdaya,
Jangan kikir, kasihkan harta,
Jangan boros yang sia-sia.

Jangan mengata, jangan mengeji,
Jangan aniaya, bengis dan benci,
Jangan takbur diri terpuji,
Jangan sekali memungkir janji.

Judi arak jangan biasa,
Lucah cabul jangan selesa,
Usah bermain ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.

Jangan meminjam, jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung ke orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Meminjam jangan, meminjamkan jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan maruah pandangan.

Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

Latihlah diri sifat merdeka,
Daya sendiri segenap ketika,
Jangan sombongkan asal dan baka,
Atau kelebihan adik dan kaka.

Bangau yang hitam cuba layangkan,
Besi yang tawar kilir tajamkan,
Waja yang keras padat padukan,
Allah kurniai dapat menjayakan.

Ingat selalu akan Tuhanmu,
Tuhan pun tentu ingat'kan kamu,
Jahat dan keji tidak tersemu,
Bahaya bencana jauh bertemu.

Semua manusia adik-beradik,
Semua manusia satu geladik,
Bantu membantu itulah didik,
Jangan bermusuh, tengking dan herdik.

Sakit dan susah walaupun mati,
Semua ditanggung bersungguh hati,
Kerana faedah orang berkati,
Mengorbankan diri itulah arti.
Sebaik-baik orang ada jahatnya,
Sejahat-jahat orang ada baiknya,
Tidaklah sayogia barang siapanya, 
Menyalahkan orang tidak dirinya.

Dalam perkara perhubungan negeri,
Sangat mustahak bijak bestari,
Runding mesyuarat ambil dan beri,
Jalan muafakat hendak dicari. 

Demikian kurasa dalam diriku,
Benarnya tetap dapat diaku,
Banyak yang lain dalam hatiku,
Kutunjukkan hanya simpul sebuku.

Selain ini rasa kusangka,
Tidaklah sayogia aku berbeka,
Pintu yang ghaib tidak berbuka,
Kepada Allah harus belaka.

Padalah itu aku khabari,
Ingatlah semua muda jauhari,
Kiranya kabul Allah memberi,
Dirimu jadi pemulih negeri.

Karangan oleh Zainal Abidin Ahmad. Al Fatihah.

Dipetik dari biografi Za'ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa, Asmah Haji Omar, 2015

Sabtu, 24 Januari 2015

RIWAYAT UNGKU AZIZ

PROFESOR DIRAJA UNGKU ABDUL AZIZ (seterusnya Ungku Aziz) terkenal di peringkat kebangsaan dan di peringkat antarabangsa sebagai tokoh akademik, tokoh ekonomi dan tokoh bahasa yang disegani. Melewati usia sembilan dekad, Ungku Aziz ternyata memberikan pelbagai sumbangan baik dari segi idea dan fizikal dalam pembangunan negara. Biografi yang ditulis Asmah Haji Omar berjudul Riwayat Ungku Aziz ini menghimpunkan riwayat hidup Ungku Aziz dan ketokohannya sebagai pendidik, ahli ekonomi, dan pencinta seni dan kebudayaan Melayu. Buku setebal 259 halaman ini mengandungi lapan bab yang memaparkan salasilah keluarga, pendidikan, kerjaya dan sumbangan-sumbangan Ungku Aziz dalam pembangunan negara. Sebagai pengenalan kepada ketokohan Ungku Aziz, buku ini diawali dengan Prolog yang  merupakan kertas kerja Ungku Aziz berjudul “Tiga Paksi Perpaduan Nasional”. Kedudukan kertas kerja tersebut pada permulaan buku ini membolehkan pembaca sejak awal mendapat gambaran jelas tentang gagasan Ungku Aziz terhadap pembangunan negara iaitu; perpaduan nasional, peranan dan kepentingan bahasa Melayu dan pengurangan kemiskinan tegar.


Sesuai dengan judul bab 1 iaitu “Tokoh dan Ketokohan”, penulis menjelaskan peribadi Ungku Aziz sebagai Ikon Akademik dan Ikon Ekonomi Malaysia. Tumpuan terhadap aspek ini berfokus pada era kepimpinan Ungku Aziz sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya. Sepanjang dua dekad menerajui Universiti Malaya, pelbagai kemajuan diberikan sehingga menjadikan Universiti Malaya dan Ungku Aziz dianggap begitu sinonim. Antara sumbangan Ungku Aziz ketika memulakan terajunya ialah pemansuhan budaya ragging yang digantikan dengan acara kebudayaan, pemberian ciri khas bagi konvokesyen Universiti Malaya iaitu dari segi pakaian, muzik dan tatacara penerimaan. Menariknya, tidak seperti kebiasaan majlis konvokesyen yang dipimpin oleh pengacara majlis, Ungku Aziz memulakan tradisi konvokesyen tanpa pengacara majlis. Walaupun tanpa pengacara majlis, konvokesyen berjalan lancar dan teratur disebabkan perancangan, ketelitian dan disiplin semasa raptai diadakan. Selain itu, sejajar dengan keprihatiannya terhadap soal kemiskinan masyarakat, Ungku Aziz begitu mengambil berat tentang kehidupan pelajar-pelajar miskin khususnya pelajar di luar bandar yang menuntut di Universiti Malaya. Beliau mengusahakan kelas Bimbingan Khas kepada penuntut-penuntut luar bandar agar golongan ini turut mendapat maklumat dan bimbingan yang cukup seperti yang dimiliki oleh pelajar-pelajar dari bandar. Turut disentuh dalam bab ini ialah keperibadian Ungku Aziz sebagai individu dan pemimpin yang berkarisma dan mementingkan adab dan etika kerja. Berhubung soal ini, penulis meriwayatkan kesantunan Ungku Aziz dalam menangani masalah-masalah terutamanya yang melibatkan soal integriti pekerja. Ungku Aziz turut dikenali dengan caranya yang tersendiri ketika menegur kesilapan pegawai-pegawai tanpa menjatuhkan air muka mereka.

Selanjutnya, dalam penulisan biografi, antara elemen yang menarik diketengahkan ialah latar belakang kehidupan tokoh. Pada bahagian ini, peristiwa-peristiwa penting yang dilalui tokoh sejak kecil sehingga dewasa dan berjaya hadir untuk dijadikan teladan. Menerusi Bab 2 “Keturunan dan Keluarga”, dan Bab 3 “Laluan Hidup”, buku yang disertakan dengan foto-foto istimewa Ungku Aziz ini, melakarkan salasilah keturunan Ungku Aziz yang dikesan dari Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid yang memerintah Johor ketika zaman Sultan Abdul Hamid Syah II. Jalur keturunan itu sampai kepada nenda Ungku Aziz iaitu Ruqayah Hanim (wanita Turki yang berhijrah ke Johor) dan Ungku Abdul Majid, yang mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Ungku Abdul Aziz dan Ungku Abdul Hamid. Ungku Abdul Hamid berkahwin dengan Hamidah Abdullah, seorang wanita Armenia yang dikenalinya semasa berada di England.  Perkahwinan inilah yang melahirkan Ungku Abdul Aziz pada tanggal 28 Januari 1922. Beliau dibesarkan di England hingga berusia tujuh tahun. Ungku Aziz kematian bondanya ketika beliau berusia dua tahun. Sejak itu, Ungku Aziz dibesarkan oleh Mrs. White iaitu nendanya. Peristiwa kematian bondanya meninggalkan kesan yang hebat kepada ayahandanya sehingga mengalami kemurungan. Walau bagaimanapun, kehadiran bapa saudaranya iaitu Ungku Abdul Aziz ke London bagi memujuk Ungku Abdul Hamid pulang ke Johor telah mengubah kehidupan keluarga kecil ini.  Penghijrahan ke Johor memberi ruang kepada Ungku Aziz melalui zaman kanak-kanak yang menggembirakan. Ungku Aziz terdidik dalam keluarga yang menghargai alam dan menghormati orang lain. Beliau bermain dan bergaul dengan bebas tanpa mengira pangkat dan keturunan. Ini menjadikan anak berdarah bangsawan ini disenangi dan disayangi.

Ketika Ungku Aziz berusia 17 tahun, ayahandanya meninggal dunia. Peristiwa ini kemudiannya memperlihatkan pembinaan peribadi unggul yang dimiliki Ungku Aziz. Walaupun mempunyai bapa saudara dan ahli keluarga yang terdiri daripada golongan kebanyakan dan pegawai tinggi kerajaan yang sentiasa bersedia membantunya, Ungku Aziz memilih untuk menjadi yatim piatu yang berdikari. Bagi menyara kehidupannya, Ungku Aziz menjadi buruh kasar yang membina semula Tambak Johor yang roboh selepas dibom British, membawa lori dan menjadi kerani. Di sebalik kegigihan menyara kehidupannya, sifat cinta ilmu yang diwarisi daripada ayahandanya menjadikan Ungku Aziz sentiasa bersemangat menuntut ilmu. Semangat cinta ilmu ini membawanya ke Universiti Waseda, Jepun dan lulus Haseki, melanjutkan pengajian di Singapura dan seterusnya di Universiti Malaya. Keperibadian Ungku Aziz ini diakuinya banyak dipengaruhi oleh Pendeta Za’ba menerusi buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Peribadi unggul Ungku Aziz yang berdikari, gigh dan cinta ilmu ini dikuatkan lagi dengan sikapnya yang tidak suka bermegah-megah dengan gelaran dan kedudukan keluarga. Hal ini jelas menerusi perakuannya tentang gelaran ‘Ungku’ yang hakikatnya bukanlah pilihannya.  Oleh sebab itu, Ungku Aziz menggugurkan gelaran bangsawan kepada cahaya mata tunggalnya yang diberi nama Zeti Akhtar. Sifat rendah diri dan tidak mementingkan kedudukan-gelaran ini ketara dengan penolakan beliau terhadap pemberian gelaran termasuklah gelaran ‘Tun’, satu gelaran tertinggi negara yang ingin dianugerahkan kepadanya.  Namun, Ungku Aziz tidak menolak pemberian anugerah akademik dari dalam dan luar negara yang rata-rata melibatkan sumbangannya dalam pelbagai bidang akademik, pembangunan dan pentadbiran; antaranya ialah Anugerah Maharaja Jepun, Anugerah Tabung Haji, Anugerah Akademik Negara dan Anugerah Ma’al Hijrah. Menurut Ungku Aziz tentang gelaran Profesor Diraja, anugerah itu diterima atas pertimbangan tentang kedudukannya dalam bidang akademik. Prinsip Ungku Aziz yang tidak mementingkan gelaran turut mempengaruhi isterinya iaitu Sharifah Azah yang juga menggugurkan gelaran ‘Sharifah’, dan lebih selesa dikenali sebagai Puan Azah.

Seterusnya, perbincangan tentang ketokohan Ungku Aziz sebagai pemimpin, ikon akademik dan ikon ekonomi dalam Bab 4, Bab 5, Bab 6 dan Bab 7 memperlihatkan keprihatinan tokoh ini terhadap perkembangan ekonomi dan pendidikan di Malaysia. Sebagai tokoh ekonomi yang prihatin terhadap kesusahan hidup masyarakat Melayu luar bandar dan miskin, Ungku Aziz merangka dan menubuhkan beberapa badan yang bertujuan membantu golongan tersebut. Antara sumbangan besar Ungku Aziz ialah penubuhan RIDA (1950) (Rural Industrial Development Authority) yang kini dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA). Selain itu, Ungku Aziz mengasaskan penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (1962) yang bertujuan memudahkan urusan penyimpanan wang bagi masyarakat Melayu yang berhajat menunaikan haji.  Turut diusahakan beliau ialah Badan Koperatif dan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) pada tahun 1971. Ungku Aziz juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pengasas Dewan Bahasa dan Pustaka (1956). Beliau turut terlibat dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru selepas tragedi 1969. Sementara itu, sumbangan Ungku Aziz dalam perkembangan pendidikan Malaysia antaranya pembangunan dan peningkatan fakulti di Universiti Malaya, penubuhan Pusat Komputer, Pusat Bahasa, Pusat Kebudayaan, Pusat Sukan, Pusat Asasi Sains dan Ambang Asuhan Jepun. Ungku Aziz berusaha melakukan yang terbaik untuk Universiti Malaya. Kesungguhannya memajukan Universiti Malaya menyebabkan beliau digelar sebagai a man with a golden touch; dengan maksud segala yang diimpikan terbaik untuk Universiti Malaya pasti akan dijadikan kenyataan. Selepas bersara setelah 20 tahun menerajui Universiti Malaya, tokoh yang meminati seni lukis Picasso dan kesenian klasik ini meneruskan sumbangan ideanya dalam memperkukuhkan Kolej Universiti Metropolitan, mengumpul dan mengkaji pantun Melayu. Sehingga kini, Ungku Aziz terus merangka dan menulis idea-ideanya yang difikirkan bermanfaat untuk masyarakat Melayu dan Malaysia amnya. 


Sebagai pembaca, saya terkesan dengan keperibadian Ungku Aziz yang rendah diri dan tidak feudalistik meskipun lahir dan dibesarkan dalam keluarga bangsawan. Peribadinya yang gigih, bersemangat, berdikari dan mencintai ilmu merupakan teladan dan inspirasi kepada pembaca untuk memperbaiki diri dalam kesemua aspek tersebut. Semoga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dianugerahkan kesihatan, berada dalam keadaan yang sejahtera dan terus memberikan sumbangan idea dan kepakarannya yang berharga, dan dipermudahkan segala urusannya baik di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya, Ungku Aziz ialah genius Melayu yang perlu diteliti idea-idea dan sumbangan-sumbangannya, dan diperkenalkan kepada generasi muda secara serius. Membaca buku ini mengingatkan saya pada pengalaman menonton filem The Theory of Beginning yang memaparkan perjalanan hidup genius Barat iaitu Stephan Hawkings, dan filem The Big Eyes tentang riwayat hidup pelukis terkenal Margaret Ulbrich pada zaman kebangkitan feminisme di Barat. Saya terfikir, alangkah baiknya sekiranya penerbit filem dan penulis skrip tempatan berusaha menerbitkan filem biografi tentang genius Melayu seperti Ungku Aziz.





Selesai membaca buku ini, saya tertarik untuk membuat carian tentang Ungku Aziz di internet. Saya menemui blog Permata di Menara yang menerbitkan beberapa temu ramah dan artikel dari akhbar tentang Ungku Aziz.

Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah, mati. Habis cerita. Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur. Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani. Peribadi yang unggul; Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi. Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu. -Profesor Diraja Ungku Aziz

Khamis, 15 Januari 2015

AL-ANDALUS

Aku berdiri di Wadi al-Kabir
Cordoba
Namamu tetap indah dalam sejarah
Di sini memancar pena Ibn Rushd
Menyinar seluruh Eropah, hiduplah Aristotle
Dibangkitkan oleh Hayy bin Yaqzan, yang tetap jaga
Ibn Tufayl dalam hatiku, Ibn Hazm dalam akalku
Di sini Ibn Bajjah mengajar Galileo yang bakal lahir
Cordoba
Kamu tidak runtuh kerana kini terbina tamadun
Di atas timbunan syuhada dan dakwat ulama.

Cordoba
Masjid agungmu bilakah berkumandang
Azan masa lampau yang mengalun di Wadi al-Kabir?
Cordoba
Aku bukanlah musafir yang dikalahkan
Engkau yang melahirkan Ibn Arabi
Bisa lagi melahirkan seorang Ibn Yusufi
Engkau yang telah melahirkan Ibn Hazm
Bisa sekali lagi melahirkan tokoh agung
Kerana yang bakal lahir mendapat ilham darimu
Cordoba
Jambatanmu masih kuat, menjadi bererti
Kerana masjidmu yang megah masih melaungkan azan
     kemenangan:
Muslim seluruh dunia, bina kembali Cordoba
Dalam hati dan akalmu
Engkau yang melahirkan Ibn Rushd
Mengapa kau benamkan semangatmu di Wadi al-Kabir?

II

al-Hambra,
Di depanmu aku berdiri,
Merenung masa silam yang terus hidup pada 
     keindahanmu
Di bawah bumbungmu aku rasakan keagungan Allah
Di cakerawala langit-langitmu aku rasa kekecilan 
      diriku
Di dindingmu terpahat keagunganmu:
Kemenangan hakiki keupayaan Allah semata!
Itulah amaranmu, rahsia yang minta dibaca
Itulah makna perjuangan, kemusnahan bukanlah 
     kekalahan
Benang ukiranmu yang halus itulah kekuatan
Kini telah putus dalam hati kami
al-Hambra
Kami kini terikat tali besi kebaculan rohani
Kini kami terpenjara dalam ketamakan kuasa
Kami tidak punya apa-apa, engkau punya segala
Kami papa dalam kaya, engkau kaya dalam makna
Kami penonton hanya, engkau pembina
al-Hambra
Bayu lembut tamanmu terus bertiup
Lena teruskah hati yang kini tertutup?

III

al-Andalus
Siapa yang mengenalmu pasti terus kagum
Meski kini sejarahmu hanya tercatat di kertas
Siapakah bisa menandingi tamadunmu
Yang menemukan Ibn Rushd, Maimonides, Alfonso?

Wadi al-Kabir
Bisakah airmu akan membanjiri dunia lagi?

Mohd. Affandi Hassan,
Pujangga Melayu, 1997:107-108



Selasa, 6 Januari 2015

BUIH BAKARAN API

Api yang membakar
Seperti rindu yang menggelepar
Akhirnya sirna terdampar!

Yang kekal hanya Cinta Ilahi
Yang memberi kebahagiaan Abadi
Selainnya hanya buih bakaran api!