Jumaat, 7 November 2014

WACANA LIBERALISME DALAM KEMI KARYA ADIAN HUSAINI

NOVEL Kemi (2010) karangan Adian Husaini memaparkan pergelutan masyarakat khususnya golongan intelektual di Indonesia berhadapan dengan kemasukan pelbagai aliran pemikiran Barat khususnya liberalisme. Berdasarkan latar belakang pendidikan, kerjaya dan penyelidikan Adian Husaini yang rata-rata tertumpu pada bahaya aliran-aliran pemikiran Barat seperti liberalisme yang merayakan nilai individu dalam penilaian; dan pluralisme yang merayakan kepelbagaian keyakinan, yang kedua-duanya berakarkan sekularisme, iaitu satu pemikiran yang mengasingkan aspek dunia dengan agama, dan tercetus dengan sebab-sebabnya yang tersendiri di Barat (sila rujuk buku Adian Husaini berjudul Wajah Peradaban Barat, 2010), bukanlah satu kejanggalan apabila Kemi 1 hadir sebagai novel wacana yang lantang membahaskan aspek ini dengan berkesan. Dengan latar belakang penulis yang sedemikian, novel ini ditulis bertujuan memberikan kefahaman tentang bahaya liberalisme khususnya kepada masyarakat Islam. Menurut Adian Husaini, pemahaman yang mendalam tentang liberalisme penting bagi menyakinkan masyarakat Islam untuk menangkis serangan liberalisme, sebagaimana yang tertulis di bahagian ransang sari, “Novel ini wajib dibaca oleh para santri dan keluarga Muslim yang mencintai keimanan dan berkeinginan selamat dari jeratan angan-angan dan gurita liberalisme, yang tiap detik menyerbu pikiran mereka”. Seiring dengan matlamat novel untuk membahaskan soal liberalisme, ransang sari novel turut menyenaraikan watak-watak yang cerdas, berilmu pengetahuan dan berwawasan yang menunjangi novel iaitu Kemi, Rahmat dan Siti. Ketiga-tiga watak ini mempunyai latar belakang pendidikan dari pesantren. Menurut Taufik Ismail, tujuan novel menghadirkan watak-watak berlatarbelakangkan pendidikan pesantren ini adalah untuk mengangkat semua martabat institusi pesantren, yang digambarkan dalam filem Perempuan Berkalung Sorban (2009), sebagai institusi pendidikan Islam yang mundur dan gagal mempertahankan Islam menerusi paparan watak-watak agamawan yang lemah dan tidak berwibawa. Daripada penelitian ini, adalah jelas bahawa novel Kemi ditulis sebagai wadah untuk menangkis wacana liberalisme menerusi kewibawaan dan kebijaksanaan tokoh-tokoh agamawan.

Seterusnya, bagi menghadirkan wacana liberalisme, novel memanipulasi peristiwa Kemi (Ahmad Sukaimi) meninggalkan Pesantren Minhajul Abidin pimpinan Kiai Rios bagi mengikuti kuliah di Universiti Lintas Agama di Jakarta. Sebagai pelajar cerdas yang diharapkan untuk menjadi tenaga pengajar di pesantren, tindakan Kemi menimbulkan tanda tanya khususnya Kiai Rios dan sahabatnya, Rahmat. Bagi mengetahui faktor yang mendorong Kemi meninggalkan pesantren, Rahmat menjejaki Kemi di Jakarta dan mendapati bahawa sahabatnya itu telah terpengaruh dengan gerakan liberal. Kemi bukan sahaja aktif sebagai mahasiswa yang mempromosikan liberalisme dan ‘Islam Liberal’, tetapi juga sebagai aktivis gerakan liberal yang bertanggungjawab merekrut ahli-ahli baharu khususnya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam. Menurut Kemi, konsep kebebasan individu termasuklah kebebasan beragama yang menunjangi liberalisme menarik perhatiannya. Konsep kebebasan ini dianggapnya lebih sesuai dan dapat berlaku adil berbanding dengan konsep ketuhanan Islam yang dianggap terlalu eksklusif, iaitu dengan menolak sebarang konsep ketuhanan yang bertentangan dengan Islam, dan justeru dianggap tidak berlaku adil kepada agama lain. Bagi Kemi, liberalisme melahirkan perpaduan menerusi sikap saling menghormati antara agama, dengan membenarkan keyakinan beragama yang pelbagai. Umpamanya, konsep ketuhanan Kristian perlu diperakukan oleh Islam, begitu juga sebaliknya. Dalam konteks ini, tiada kemutlakan berhubung soal ketuhanan. Sehubungan itu, ajaran Islam menurut Kemi, perlu berubah dan bersikap liberal bagi mewujudkan kehidupan yang harmoni. Usaha Kemi meluaskan gerakan Islam Liberal dilakukan dengan menganggotai gerakan Liberal yang didanai oleh Shee-Cooler Foundation, satu pertubuhan Inggeris yang menyalurkan dana kewangan bagi meluaskan liberalisme.

Setelah mengetahui kegiatan dan pemikiran Kemi, Rahmat berusaha membawa Kemi kembali ke pangkal jalan. Pada tahap inilah, konflik-konflik idea antara Rahmat dengan Kemi dan dengan beberapa tokoh Islam Liberal seperti Dr. Ita, Profesor Malikan dan Kiai Dulpikir dipaparkan. Antaranya idea yang diperdebatkan ialah soal kesetaraan gender yang tercetus dalam idea feminisme, dan soal kebebasan ekspresi yang tercetus dalam idea humanisme. Dengan pengetahuan yang luas tentang wacana dan logik-logik liberalisme yang diperoleh dengan membaca buku-buku pendukung gerakan liberalisme Barat, Rahmat bukan sahaja berhasil menangkis hujah dan logik yang dikemukakan oleh Kemi, Profesor Malikan, tetapi juga berjaya mendorong Kiai Dulpikir, aktivis terkemuka Islam Liberal bertaubat pada penghujung usianya. Kejayaan Rahmat menangkis idea-idea liberalisme oleh tokoh-tokoh Islam Liberal mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa. 


Walau bagaimanapun, melepasi tahap kejayaan Rahmat ini, novel dikesan tidak lagi mendukung aspek wacana dengan lebih serius seperti yang ditangani sewaktu memaparkan konflik-konflik idea pada sebelumnya. Sebaliknya, novel bergerak dengan cerita tentang Kemi yang menerima balasan buruk oleh kelompok aktivis liberal disebabkan kegagalannya mempengaruhi Rahmat. Seterusnya, novel meneruskan perjalanannya dengan kisah tentang usaha Rahmat menjejaki Kemi yang diculik daripada Rumah Sakit Jiwa setelah mengalami kecederaan otak yang teruk.

Pada pandangan saya sebagai pembaca, Kemi 1 (2010) lebih menyeronokkan dan memberi kepuasan dengan kehadiran wacana tentang liberalisme dan bagaimana Islam menangani hujah-hujah dan logik-logik lapuk kelompok liberalisme. Sebagai pembaca, saya mendapat maklumat yang lumayan untuk mengenali liberalisme dan bagaimana pemikiran ini menyusup masuk ke dalam negara Indonesia. Namun demikian, nikmat pembacaan Kemi 1 ini tidak saya dapati dalam sambungannya iaitu Kemi 2 (2012). Menurut penelitian saya, berbanding dengan Kemi 1 yang berfokus kepada wacana liberalisme yang hadir menerusi konflik-konflik idea antara Rahmat-Kemi-Profesor Malikan-Doktor Ita-Kiai Dulpikir yang ditangani dengan wacana yang mantap, Kemi 2 larut  pula larut dengan cerita tentang kehilangan Kemi dan usaha menjejakinya. Dalam bahagian kedua ini, aspek wacana dikesan agak terpinggir sebaliknya dibumbui dengan konflik-konflik fizikal yang dilalui watak. Hasil penelitian saya terhadap Kemi 2 mendapati aspek wacana hanya muncul dalam perbualan antara watak Siti Murtafiah dengan ibu dan bapanya tentang poligami, dan sedikit dalam peristiwa forum yang dianggotai antara Siti Murtafiah dengan dua tokoh feminis dan liberal iaitu Dr. Ita dan Preti. 

Dari segi kepuasan, Kemi 1 lebih berjaya menarik perhatian, minat dan kesungguhan saya membacanya berbanding dengan Kemi 2. Walau bagaimanapun, sumbangan Kemi 2 signifikan dari segi paparan bagaimana gerakan liberal menyebarkan fahaman mereka ke negara-negara khususnya negara dunia ketiga seperti Indonesia, iaitu dengan menggunakan kuasa wang.

Di Malaysia, terdapat beberapa buah novel yang diperagakan mengangkat isu pluralisme antaranya ialahTuhan Manusia oleh Faisal Tehrani, dan isu perkelanaan manusia jahil mencari kebenaran menerusi penerokaan pelbagai isme dalam novel Penyeberang Sempadan oleh Anwar Ridhwan. Pembaca yang berminat dengan isu-isu ini boleh mendapatkan ketiga-tiga novel dan membuat penelitian tentang novel yang manakah yang lebih cemerlang dan berjaya dalam menangani isu ini. Bagi saya, novel Kemi 1 adalah yang terbaik setakat ini dalam membicarakan isu yang berkaitan dengan kemasukan isme-isme Barat di Alam Melayu dalam bentuk kreatif.



wallahua’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan