Sabtu, 15 Mac 2014

TOMMY

CATATAN beberapa minggu yang lalu.
Dalam perjalanan ke hospital pagi tadi, saya ternampak anak anjing di depan surau berdekatan rumah. Dia nampak gelisah tapi saya lihat matanya yang mesra. Saya berhenti di bahu jalan dan beri dia biskut kucing. Dia makan sampai tiga sudu biskut. Saya panggil dia meow meow sebab tidak tahu nak panggil dia bagaimana. Setiap kali saya panggil anak anjing ini, dia akan berhenti makan dan pandang tepat kepada saya sambil menggerakkan ekornya tanda persahabatan. Sebelum pergi, saya beri salam kepadanya. Semoga dia selamat dan bahagia. Bagi saya, pertemuan ini adalah satu rezeki.


Saya berbicara dengan Saudara Saifullizan Yahaya yang sangat berminat tentang Tommy, anak anjing yang pertama kali saya temui dan mesrai di depan surau kawasan perumahan. Dalam perbicaraan kami itu, kata-kata Saudara Saiful yang amat saya ingat dan menghantui fikiran saya ialah 'Apa-apa pun, mesti ada titik akhir antara Wardah dengan anak anjing itu.'

Pulang dari bengkel, setiap kali keluar rumah saya memang mencari-cari Tommy. Saya fikir betullah kata  Saudara Saiful, antara saya dan Tommy sudah ada titik akhir.

Akan tetapi, belum lagi!

Selepas Isyak tadi saya keluar dengan kereta untuk ke kedai. Selepas urusan sepatutnya saya dan teman terus pulang tapi saya bertegas minta kereta dipandu menelusuri kawasan perumahan. Dalam pusingan kedua, saya ternampak kelibat anak anjing yang agak besar. Saya terus menjerit, Tommy! Kata kawan, itu bukan Tommy kerana anak anjing itu agak besar. Saya tegaskan bahawa itu memang Tommy dan dia semakin besar (anjing memang cepat membesar berbanding dengan kucing). Maka fahamlah saya bahawa perbuatan bersiar-siar di kawasan perumahan tadi tidak termasuk dalam perancangan saya tetapi termaktub dalam perancangan-Nya untuk mempertemukan saya dengan Tommy.

Saya menggesa teman membuat pusingan. Saya menurunkan tingkap kereta dan mencari kelibat Tommy. Ketika terlihat padanya, saya segera memanggil Tommy dan membuat isyarat bunyi tangan ke arahnya. Tommy melihat saya dan terus mengejar kereta. Wah, babak ini sangat cantik. Babak melihat Tommy berlari bersungguh-sungguh mengejar kereta sebelum diparkir di tepi jalan, kira-kira enam meter dari surau yang sama ketika pertama kali saya jumpa Tommy pada 21 Januari 2014. Saya rasa sebak. Gembira sangat sebab Tommy masih kenal saya.

Dua biji roti dibeli kerana tiada bekalan biskut di dalam kereta. Kata pemilik kedai berbangsa India, memang anjing itu datang ke kedainya tapi dia tak bagi makan kerana takut pelanggan Melayu tidak mahu ke kedainya lagi jika anak anjing itu duduk di kedainya. Oh, man!

Tommy makan dengan berselera. Saya beri kepada Tommy roti yang saya cubit. Satu untuk Tommy, kadang-kadang masuk juga ke mulut saya. Paling menarik, Tommy boleh ambil roti itu dari tangan saya dengan sopan dan mesra. Cantik sunggub cara Tommy duduk di depan saya sementara menunggu teman membeli roti.

Tidak lama, saya lihat ada dua anjing dewasa. Yang betina nampak sakit kakinya manakala yang jantan nampak okay. Tommy menggerakkan ekornya dan berlari kepada anjing jantan. Kemudian Tommy datang semula ke arah saya dan sambung makan roti. Dua anjing itu memandang Tommy dari jauh tanpa langsung menyalak ke arah saya. Takut juga saya kalau anjing dewasa itu serang saya. Selesai makan, Tommy berlari ke arah anjing jantan dan menjilat wajah bapanya itu.

Bagi saya, inilah keistimewaan anjing berbanding kucing. Anjing hidup berkeluarga. Tidak seperti kucing yang hanya ibu dan anak sahaja. Saya sangat gembira, bukan sahaja dapat bertemu Tommy lagi tetapi juga ibu dan bapanya.

Lebih utama, saya tahu bahawa kisah saya dan Tommy belum berakhir.


3
Alhamdulillah. Baru balik dari jumpa Tommy. Lokasinya masih sama, di depan surau. Beriya-iya saya pergi beli roti ikan bilis dan dua biji roti vanila, tapi Tommy tak mahu. Dia makan biskut pun main-main. Kenyang agaknya. Lebihnya bermain dan bergurau lebih kurang 20 minit. Sempat juga Tommy naik atas riba. Manja sangat budak ini. Jumpa lagi nanti. Sayang kamu. 


4
Sudah lama saya tidak berjumpa Tommy walaupun dicari. Kata beberapa orang pekedai, mungkin Tommy sudah diambil orang untuk dipelihara. Saya harap itu benar. Tommy anjing yang sangat baik, mesra dan baik laku. Semoga dia beroleh kebahagiaan dan menikmati indahnya berkongsi kasih sayang dengan orang yang mengasihinya.


Sila rujuk pautan ini bagi penjelasan mengenai hukum memegang anjing menurut Mazhab Imam Shafie Hukum Pegang Anjing

Tiada ulasan:

Catat Ulasan