Sabtu, 19 Oktober 2013

TESIS

DALAM penulisan tesis, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah soal bahan. Setiap bahan yang diperlukan (bukan yang dimahukan) mestilah mencukupi setelah melalui prosedur pemilihan dan penyaringan. Hal ini bertujuan terlepas daripada berbangga (syok sendiri) tidak tentu fasal dengan lambakan maklumat atau penemuan; dengan tujuan menebalkan tesis semata-mata, kerana ketebalan bukanlah penentu tinggi /rendah kualiti tulisan atau penghujahan.

Setelah semua maklumat yang perlu diperoleh, prosedur seterusnya ialah penulisan yang akan disusuli dengan pemadatan. Prosedur ini melibatkan proses pengguguran, penambahan atau penyaringan tanpa menghilangkan pokok perbincangan. Hal ini dilakukan bagi memastikan maklumat dan data yang dipilih benar-benar sesuai dan tepat dengan konteks perbincangan sekali gus memastikan kelancaran hujah tidak terganggu.

Proses mendapatkan bahan dan maklumat itu satu cabaran, manakala proses setelah mendapatkan maklumat itu pula ialah cabaran yang tidak kecil sukarnya. Hal ini kerana tahap yang ini menuntut penelitian tajam dan sikap berlapang dada terhadap sebahagian perkara yang perlu dipinggirkan. Jika dilihat dalam konteks penulisan kreatif, peminggiran atau penghapusan bahan yang sedia ada setelah dicari ini umpama membunuh watak yang sedia dibina cantik. Kadangkala penulis menggemari watak tertentu yang dibikin. Akan tetapi tidak semestinya watak yang disukai itu bakal menjadikan karya yang ditulis bertambah baik, malah boleh jadi sebaliknya. Pada tahap inilah pemilihan yang wajar perlu dilakukan dan berlapang dada melepaskan sesuatu yang kita cintai tetapi tidak jelas manfaatnya.

Jalan ilmiah ini tidak mudah kerana menuntut kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Namun, nikmat dan keindahan terasa apabila tercapainya matlamat dan makna penulisan yang diusahakan dengan nawaitu, ilmu dan kefahaman yang jelas; bukan ikut-ikutan dengan tujuan menggenggam segulung ijazah semata-mata. Hakikat 'kesarjanaan' bukan pada pengiktirafan tetapi pada fahamnya diri terhadap ilmu untuk diamalkan dan disebarkan sebagai melunasi hakikat tanggungjawab diri selaku khalifah Allah SWT di bumi.

Ijazah membolehkan seseorang itu layak diberi aneka gelar ikhtisas mengikut ukuran dunia, tetapi belum tentu adil untuk digelar 'sarjana' dalam erti yang hakiki. Ijazah juga bukan penamat kembara ilmu manusia tetapi penerus kepada kelangsungan kembara pencarian dan pengamalan ilmu sehingga masuknya tubuh ke dalam liang lahad; dengan kesedaran diri bahawa segala ilmu yang dicari dan dimanfaatkan akan diperhitungkan Allah SWT dan berguna membantu manusia di alam seterusnya.

'Bercinta'lah dengan tesis anda agar dengan itu akan hadir rasa bahagia dan gembira yang memayungi kembara ilmiah anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan