Sabtu, 5 Oktober 2013

REALITI DAN MIMPI

ANTARA realiti dan mimpi, ada kemungkinankah kita tersepit di antaranya? Jika tidak selalu, kadang-kadang hadir juga. Itulah yang agak selalu berlaku kepada saya khususnya tentang emak.

Saya bermimpikan emak dan apabila tersedar daripada lena itu, akan segeralah saya tercari-cari akan wanita itu, sebelum saya sedar bahawa itu hanyalah mimpi. Perkara yang sama berlaku lagi. Kali ini saya tidak mencari dirinya tetapi segera mengambil telefon. Ketika memegang telefon itu, barulah saya sedar yang saya tadi hanya bermimpi. Mana mungkin saya boleh menghubungi emak di alam baqa'. Itulah realiti yang terganggu oleh mimpi.

Ada ketikanya, tergelincir juga lidah ketika berdoa. Bagaimana? Saya kembali membaca doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT ketika emak masih ada, mendoakan kesihatannya, panjangnya usianya dalam ketaatan dan ketenangan, diberikan kesabaran dan rasa reda atas segala dugaan dan memakbulkan segala doa yang emak panjatkan. Apabila saya sedar daripada tersasul doa itu, saya terdiam seketika. Ambil mood lalu mengatur semula doa yang padan dengan realiti kehidupan dan kematian. Berdoa agar Allah SWT menjadikan kubur emak sebagai salah satu daripada taman-taman syurga, bukannya sebagai lubang-lubang daripada neraka. Berdoa agar roh emak diterima sebagai roh yang tenang dan bersama roh-roh yang dikasihi-Nya. Berdoa agar Allah SWT menggembirakan roh emak sebagai ganti kesedihan dan kepayahan yang dilalui di dunia. Berdoa agar Allah SWT membangkitkan emak di Padang Mahsyar dengan penuh kemuliaan. Apa lagi? Kalau dahulu emak mendoakan saya ketika emak ada bersama-sama saya, kini saya mendoakan emak tanpa emak bersama-sama saya.

Apakah ini manifestasi tidak reda saya terhadap pemergian emak? Tidak sama sekali melainkan inilah terjemahan rindu yang akan dirasai setiap insan yang punya perasaan. Yang tahu makna rindu, sayang dan terharu.

antara realiti dan mimpi
rindu,
penghubung dua hati-
terpisah jasad zahiri
bersatu jiwa batini

Sungguh, rindu itu penghubung dua hati yang saling menikmati cinta yang sama. Pedihnya seperti tusukan duri mawar. Walaupun lukanya sirna namun kesannya tetap ada.

Al Fatihah Rambelah binti Maryam
27.6.1951 - 19.5.2012

"Engkau misalnya melihat bayang-bayang nampaknya diam, tidak bergerak, padahal setelah lewat sesaat nyatalah ia itu bergerak sedikit demi sedikit, tidak tinggal diam saja. Dan engkau melihat bintang nampaknya kecil tetapi bukti berdasarkan ilmu ukur menunjukkan bintang itu lebih besar daripada bumi kita ini. Ini contoh-contoh lainnya dari pendapat pancaindera, menunjukkan bahawa hukum pancaindera itu dapat dibatalkan oleh hakim akal dengan bukti yang tidak dapat disangkal" (Imam Al Ghazali, Pembebas Daripada Kesesatan, terjemahan Abdullah Nuh, 1966:8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan