Selasa, 15 Oktober 2013

KORBAN 1434

SELAMAT Hari Raya Korban 1434 Hijrah. Seperti lazimnya, hari ini menjadi hari istimewa atau khusus memperingati peristiwa besar dalam sirah Islam iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam terhadap anakandanya Nabi Ismail Alaihissalam. Peristiwa yang mengajar manusia untuk memahami erti mengorbankan sesuatu yang amat kita cintai demi tuntutan Ilahi. Pada lensa dunia, erti kosa kata 'pengorbanan' itu sendiri seolah-olah melakukan sesuatu yang merugikan diri sendiri, yang menjauhkan diri daripada kebahagiaan. Akan tetapi, dengan lensa agama yang lebih jelas barulah kita dapat memahami erti pengorbanan seperti yang diajarkan agama. Pengorbanan yang tujuannya adalah untuk mencapai mardhatillah kerana hidup ini bukan hanya di dunia kini, tetapi juga ada alam akhirat yang bakal dilalui semua manusia.

Selain membaca dan mengingati semula sirah itu, hari ini juga mengingatkan saya kepada telatah emak menjelang Hari Raya Korban. Emak tidak pernah makan daging iaitu ayam, lembu, kambing dan segala macam haiwan yang perlu disembelih. Emak sedih dan kasihan mengenangkan mereka yang perlu disembelih. Oleh itu, beberapa hari sebelum hari ini maka emak tidak benarkan televisyen dibuka pada waktu berita ditayangkan kerana emak tidak mahu lihat wajah lembu atau kerbau yang akan disiarkan menerusi berita tentang ibadah korban. Pada hari raya, semua tingkap akan ditutup. Emak tidak mahu mendengar rintih suara lembu. Apabila hujan turun, emak akan kata "Ini air mata haiwan-haiwan yang kena korban." Begitu dalam empati emak. Bukan emak tidak faham. Sudah saya jelaskan bahawa binatang-binatang itu bahagia kerana menjadi haiwan terpilih. Akan tetapi, itulah keistimewaan emak saya. Telatah dan empati emak itu akan menjadi antara lambakan kenangan yang indah untuk saya tentang emak.

---

Hari ini, tahun ini ialah kali kedua raya tanpa arwah emak. Paling tepat, hari raya korban tanpa emak. Pernah beberapa bulan lalu seseorang bertanya kepada saya, bagaimana saya lalui hari raya tanpa emak. Soalan yang saya juga tertanya-tanya sebelum aidilfitri menjelang tiba. Akan tetapi, apabila hari raya atau malam raya tiba; dan saya tidak menangis atau bersedih, saya semakin faham bahawa rindu dan sayang saya kepada arwah bukan untuk dijadikan alat untuk bertangis-tangisan mendayu-dayu semata-mata kerana emak tiada pada aidilfitri. Aidilfitri atau lebih tepat 1 Syawal ialah hari istimewa untuk meraikan sebulan mujahadah di bulan Ramadan sedangkan rindu dan cinta untuk emak diraikan saban hari. 

Jati ketakutan dibawa ke luar rumah

Saya mulakan pagi ini seperti biasa yang dilalui pada hari istimewa ini. Cuma, memandangkan Jati meraikan Hari Raya Korbannya yang pertama maka pagi-pagi lagi saya mendakap dan membisikkan ke telinga Jati, "Hari ini Hari Raya Korban untuk Jati buat kali pertama. Selamat hari raya, sayang." Lucu atau mungkin orang yang tidak memahami hubungan antara haiwan peliharaan dengan tuannya nampak janggal perbuatan saya ini, akan tetapi bagi yang faham dan terlibat dalam konteks hubungan istimewa ini, ini memang kebiasaan kami. Jati memandang saya terkebil-kebil kemudian menggigit tangan saya minta dilepaskan. Itulah pengorbanan kecil saya untuk Jati, bersedia dilukai untuk terus mengasihi dan bertanggungjawab menjaga budak nakal itu dengan baik.

Saya lalui saat-saat ini dengan rasa syahdu, terharu dan sayu yang bergelora dalam jiwa sejak beberapa hari lalu. Rasa yang tidak sungguh-sungguh singgah dalam diri saya untuk dua aidilfitri sebelum ini. Setelah satu tahun lima bulan emak pergi, hari raya korban saya yang kedua tanpa emak hari ini, penuh syahdu, sayu dan sebak yang menggunung. Rasa yang amat dalam. Rasa itu amat menusuk ketika saya melalui Perkuburan Sungai Tua menuju Masjid Jamek Kampung Nakhoda. Saya memilih masjid yang jaraknya lima minit perjalanan beroda dari rumah kerana itulah tempat emak dimandikan, dikapankan dan disolatkan pada petang Sabtu 19 Mei 2012. Masjid yang letaknya di desa kelahiran saya 26 tahun lalu. Ada nilai sentimental yang tinggi pada masjid itu dalam hati saya. Pada mulanya saya berkira-kira untuk ke masjid. Rasa segan dan agak malu untuk sendiri ke sana, tidak seperti emak masih ada. Akan tetapi, kata saya di dalam hati, "Kalau malu, memang tak boleh pergi," sedangkan hati saya amat rindu pada suasana jemaah ini.

Berfokus kepada pengorbanan, saya mengenang aneka pengorbanan emak dengan statusnya yang pelbagai untuk dirinya sebagai wanita. Pengorbanan seorang emak mengandung, melahirkan dan membesarkan lima anak lelaki dan seorang anak perempuan. 

Saya teringat hujah guru saya tentang kisah batu belah batu bertangkup. Semua orang tahu kisah ini. Saya sendiri sangat ingat dialog watak ibu itu, "Batu belah batu bertangkup/Makanlah aku telanlah aku/Aku kempunan telur tembakul". Saya tidak fikir apa-apa tentang dialog ini ketika menonton filem itu semasa kecil. Pernah juga seorang kenalan akademik saya mentafsirkan batu belah batu bertangkup sebagai manifestasi tuntutan seksual seorang wanita yang lama berpisah dengan suaminya. Kenalan ini bercerita dari konteks psikologi. Menurutnya, batu belah yang menelan Ibu Pekan ditafsirkan sebagai alat sulit wanita. Saya agak ragu-ragu untuk menerima tafsiran ini.

Walau bagaimanapun, saya cenderung menerima tafsiran guru saya yang saya sebutkan awal tadi. Menurut guru, rata-rata golongan ibu yang digauli menyatakan penentangan dan tidak setuju terhadap tindakan Ibu Pekan? Mengapa, kerana adalah kurang wajar untuk seorang ibu memarahi atau merajuk dengan anaknya semata-mata telur tembakulnya dimakan anaknya sendiri tanpa pengetahuannya. Itu bukan fitrah seorang ibu. Hal ini kerana kebiasaannya seorang ibu sentiasa mengutamakan anak-anak dalam segala hal. Seorang ibu sanggup berlapar demi anak-anak. Itulah sifat ibu yang sebenar. Berkorban demi anak-anak, tinggal lagi sama ada anak-anak faham atau mampu membaca 'bahasa korban' ibu masing-masing. Pengamatan saya sebagai penjaga kucing juga, ibu kucing sendiri sanggup tidak makan untuk anaknya dan selalu beralah untuk anak-anaknya. Inilah yang saya lihat pada Mama Kancil terhadap Jati dan Mimi yang pernah bawa balik seplastik pisang goreng lalu diletakkan di depan anak-anaknya (berlaku pada tahun 2008 dan masih misteri, pisang goreng siapa yang Mimi bawa balik kerana ketika itu kucing-kucing saya tidak dikurung).

Semasa guru bercerita tentang tafsiran dan pandangan golongan ibu yang ini, saya teringat akan emak saya. Memang benar, seorang ibu tidak sanggup membiarkan anak-anaknya lapar. Semasa emak ada, saya selalu membelikan sesuatu setiap kali pulang ke rumah, pulang dari belajar atau mengajar. Selalunya saya akan membeli makanan kegemaran emak seperti mihun goreng seafood (kerana emak tidak makan daging), laksa atau kuih-muih kegemaran emak seperti lepat pisang, pau kacang dan tepung bungkus. Selalunya saya beli cukup untuk emak sahaja. Akan tetapi, emak tidak akan senang dan nampak serba-salah jika saya enggan sama makan. Selalunya, apabila saya bawa pulang makanan-makanan seperti itu, emak akan berkata "Adik makan dulu. Baru mak makan." Saya akan menolak, berlagak seolah-olah sudah kenyang atau memang tidak terliur. Saya beli untuk emak. Bukan untuk saya jadi saya tidak mahu mengambil bahagian emak itu. Apabila emak tetap juga memaksa saya untuk makan , saya akan menjamahnya sedikit. Emak akan suruh saya makan lagi, dan saya berlagak tidak mahu. Kadang-kadang saya terlalu tegas menolak agar emak tidak terus memujuk untuk berkongsi makanan itu, dan niat saya agar emak dapat makan tanpa rasa apa-apa, kecuali menikmatinya dengan senang hati.

Saya rasa saya telah kecilkan hati emak dengan tindakan itu. Sekarang baru saya sedar dan dapat membaca makna tindakan emak itu, selepas emak sudah tiada. Amat indah jika saya dapat membaca dan memahami makna tindakan, manifestasi pengorbanan emak itu semasa emak masih ada. Penghargaan dan pemahaman saya ketika itu tentu amat bermakna buat emak. 

Itulah ibu, tanggungjawab yang dipikulnya dan ditentukan sendiri untuk dirinya adalah untuk berkorban demi anak-anaknya. Pengorbanan yang menyeluruh merangkumi perasaan dan perbuatan. Berapa banyak perbuatan kita sebagai anak-anak yang telah memperlihatkan betapa cuainya kita untuk menghargai dan memahami makna dan manifestasi pengorbanan para ibu kepada kita? Bagi anda yang masih punya ibu, koreksilah diri dan tingkah terhadap ibu. Jadilah lebih bijak dan cerdik untuk membaca dan memahami ibu anda seluruhnya. Fahami mereka semasa mereka ada, bukan sebaliknya. Saya sudah tidak ada kesempatan untuk menterjemahkan pemahaman saya terhadap 'bahasa kasih' emak. Memahami emak selepas emak tiada bukanlah indah untuk dilalui. 

Pelajari dan contohilah makna pengorbanan ibu iaitu memberikan yang terbaik untuk insan yang dikasihi. Juga, melepaskan sesuatu yang amat dicintai demi kebahagiaan insan yang dikasihi.

---  


Selepas solat, saya terus mengunjungi rumah sahabat baik emak tidak jauh dari masjid. Sayalah tetamu sulungnya untuk hari ini. Mak Cik Halimah memang sahabat baik emak. Dialah yang banyak membantu saya menguruskan jenazah emak. Segalanya jadi begitu mudah. Allah SWT bantu saya dengan memudahkan Mak Cik Halimah untuk membantu urusan saya. Terlalu lama saya tidak menziarahi Mak Cik Halimah. Kata Mak Cik Halimah ketika menjamu saya makan tadi, "Mak adik dah tak ada acik sunyi. Kalau ada tu, dialah kawan bergaduh kawan bergurau. Dialah yang sibuk suruh buat lempeng. Dia mesti panggil acik, Mahhh (panjang dan manja)." Saya tunjukkan foto emak yang ada di dalam telefon saya. Saya lihat kelopak mata Mak Cik Halimah bergenang. Alhamdulillah, emak meninggalkan yang indah-indah untuk kami yang masih ada untuk mengenangnya.



Rakaman ini istimewa bagi saya kerana kata Mak Cik Halimah sambil cucunya yang bernama Salsabila merakamnya, "Emak dulu selalu cakap, dia tak risaukan adik sangat. Dia tahu adik kuat  ..."



Pulang dari ziarah Mak Cik Halimah, saya ke pusara emak. Pokok yang ditanam pada Disember lalu ketika kepok emak dibuat semakin meninggi. Saya katakan kepada emak yang hari ini hari raya korban (walaupun saya yakin emak tahu). Juga saya katakan kepada emak  yang saya sudah ziarah Mak Cik Halimah.

Tanah Perkuburan Sungai Tua

Saya sudahi kenangan hari raya ini untuk saya, dengan puisi Dato' Awang Sariyan yang saya petik dengan izinnya. Hayatilah perbicaraan beliau tentang ketetapan ...

Al Fatihah untuk emak, Rambelah binti Maryam (27 Jun 1951 - 19 Mei 2012)

Mengintai Rahmat

Seandainya telah ditakdirkan
oleh yang maha menetapkan
yang azali, qadim lagi abadi
daku yakin
yang tertulis di Loh Mahfuz itu
akan zahir menjadi kenyataan
hasrat akan kesampaian
cita akan di puncak kenikmatan
Kita makhluk ciptaan-Nya
tiada lebih sebagai pemain peran
yang telah ditetapkan-Nya
Namun perlu mengisi ruang ikhtiar
berlandaskan akal kurniaan-Nya
atas keyakinan utuh teguh
kerana rahmat-Nya
tiada terjangkau oleh deria dan rasa kita
tiada tercapai oleh firasat dan ramalan kita
Ayuh kita teruskan munajat
Kita teruskan upaya dan kudrat
memohon berkat
Mengintai rahmat
Allahumma ya amin.

Kembara Bahasa
14 Oktober 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan