Khamis, 10 Oktober 2013

BELAJAR UNTUK KENAL

SEMESTER ini, saya mengikuti kuliah bagi kursus Teori dan Falsafah Kesusasteraan BBK 6201 yang dikendalikan Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani. Minggu ini ialah minggu keempat kuliah berlangsung dengan menjadikan buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu iaitu syarahan pengukuhan Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dibentangkan pada tahun 1972 di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai bahan utama perbincangan. Syarahan ini ialah syarahan pengukuhan (sekarang disebut syarahan perdana) yang pertama di UKM.

Kuliah ini mengupas inti-inti pemikiran yang dijana dan dicetuskan oleh Profesor Al-Attas. Secara peribadi kuliah ini penting bagi saya dalam usaha memahami falsafah dan gagasan pemikiran Profesor Al-Attas. Daripada pergaulan saya dengan rakan-rakan, rata-rata bersetuju bahawa buku dengan khat bentuk ayam jantan hasil kreatif Profesor Al-Attas itu sendiri, tidak dapat difahami dengan sekali baca, apatah lagi jika tidak dibaca dengan tekun, mendalam dan betul. Saya sendiri sudah beberapa kali membaca buku itu. Pada bacaan pertama, saya tidak tahu apa-apa yang saya baca, apatah lagi dengan penggunaan bahasa Melayu tinggi gaya persuratan Profesor Al-Attas yang amat janggal pada saya. Saya belum pernah membaca tulisan seperti yang diguna pakai dalam buku ini. Dalam hal ini, belum pernah bukan kerana perkara itu sesuatu yang baharu tetapi kerana saya sendiri yang terlepas pandang dan tidak mesra dengannya sebelum ini.

Kali kedua dan ketiga, saya mendapat sedikit pemahaman. Baru tahu, belum lagi kenal sepenuhnya. Namun, keinginan untuk kenal sepenuhnya itu sentiasa membara walaupun tidak mudah. Dalam hal ini, saya selalu ingat pesan guru: Gunakan status sebagai pelajar untuk buat salah dan sedia untuk ditegur, untuk terus belajar. Sehubungan itu, saya mengambil manfaat daripada kuliah ini yang tidak dapat dinafikan memberi saya ruang untuk lebih memahami atau membetulkan salah bacaan saya, atau bacaan yang tidak sempurna terhadap buku itu. Kuliah ini juga bukan sahaja berusaha mendidik pelajar untuk membaca secara betul (merangkumi pemilihan bahan baca yang baik iaitu berkualiti dari segi isi dan ilmunya, dan cara baca yang lebih analatikal dengan bersandarkan pada kerangka yang dapat diyakini dan dipegang bersesuaian dengan 'kedirian' pembaca itu sendiri), tetapi juga berusaha mendidik pelajar untuk bijak berdiskusi walapun sering kali hambar. Soal pengutaraan pandangan yang berbeza bukanlah masalah selagi setiap pandangan  dipersiapkan dengan hujah yang kukuh. Lebih penting, apakah dasar hujah itu sesuai dengan konteks kebenaran pada kepercayaan penghujah, atau sebaliknya. Hal ini mengingatkan saya kepada kenyataan bahawa yang perlu dipertahankan ialah 'kebenaran', bukan pandangan.

Antara idea asli Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam syarahan pengukuhan yang dibukukan ini adalah :
  • Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu-Indonesia mempengaruhi pembentukan peradaban Melayu, yang sekali gus meragui teori bikinan orientalis yang mendakwa pembentukan tamadun Melayu tidak lain didasarkan kepada pengaruh Hindu.
  • Islamisasi terhadap kebudayaan Melayu merangkumi bahasa, adat dan pandangan alam orang Melayu yang sebelumnya mewarisi kebudayaan animisme dan hinduisme.
  • Kehadiran Islam (dengan konsep tauhid) ke Kepulauan Melayu-Indonesia yang memungkinkan orang Melayu mengenal kemampuan akal untuk berfikir secara logik dan saintifik, sekali gus meminggirkan pengaruh tahayul, khurafat yang mendominasi pemikiran orang Melayu sebelum kedatangan Islam.
  • Kemajuan Bahasa Melayu ditandai oleh Hamzah Fansuri yang mula menggunakan bahasa Melayu  bagi membicarakan hal-hal yang lebih kompleks seperti metafizik. 
  • Membandingkan sejarah pembentukan tamadun Melayu dengan Eropah.
Adalah menarik apabila pembaca dapat merasai kaedah Profesor Al-Attas mengutarakan setiap idea beliau. Bagi melancarkan pemahaman dan memberi persediaan kepada pembaca, buku ini dimulakan dengan menghuraikan terlebih dahulu maksud sejarah dalam konteks yang lebih luas, bersesuaian dengan judul buku ini sendiri yang membayangkan intinya akan berlegar pada soal sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Jika faham sejarah sebelum ini seperti yang dipelajari di sekolah sebagai rakaman masa lalu, maka syarahan ini memberi ruang untuk pembaca memahami makna "sejarah" dalam konteks yang lebih luas sekali gus membolehkan renungan terhadap makna dan konsep "sejarah" dapat dilakukan. Apakah sejarah itu merakamkan segala yang berlaku dan apakah 'segala yang berlaku' itu benar-benar boleh dianggap sejarah, atau sekadar tempelan hiasan yang merimbunkan sebatang pohon krismas sehingga membuatkan tubuh pohon yang sebenar terlindung sepenuhnya, dari atas hingga ke bawah atau apa?

Setakat ini, kuliah ini juga membincangkan secara serius perihal keadilan yang berhubung erat dengan soal keutamaan dan tuntutan Islam kepada umatnya untuk meletakkan sesuatu benar pada tempatnya, tepat pada hieraki yang sepatutnya. Keadilan yang hanya dapat ditegakkan dengan ilmu sementara lawannya ialah kezaliman yang tercetus daripada kejahilan.

Coretan ringkas saya sebagai pelajar ini disudahi dengan kesimpulan daripada kuliah Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pada minggu lalu : Adil bermaksud meletakkan sesuatu benar pada tempatnya. Tahu nilai dan meletakkanya pada takah yang sepatutnya. Seperti manikam yang tidak akan diletakkan pada tempat akik, begitu juga sebaliknya. Mutiara tidak akan sama dengan manik. Intan tidak akan sama dengan kaca. Walaupun bentuknya sama tetapi tidak pada sinarnya. Orang Melayu amat faham perihal peletakkan sesuatu benar pada tempatnya ini yang memungkinkan terhasilnya peribahasa (kiasan) hanya jauhar mengenal manikam, tanpa pula menafikan fungsi kaca, akik dan manik. Persoalannya, hanya jauhar mengenal manikam dan bagaimana untuk menjadi jauhar.

Tanya Jati, "Kalau mahu tahu tapi tak mahu kenal boleh tak, Kakak?"
Jawab Kakak, "Boleh, nanti kalau Oyen suruh Jati terjun ke dalam kolam najis pun Jati ikut sajalah sebab Jati hanya tahu bentuk kolam tapi tidak kenal jenis, fungsi dan segalanya tentang kolam. Jati jangan marahkan Oyen pula."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan