Khamis, 31 Oktober 2013

THE ROSES

"The roses speaks silently
in a language known only
to the heart,"
said Rumi


Ahad, 27 Oktober 2013

HUJAN

HUJAN lebat petang ini mengundang ingatan saya kepada beberapa kenangan. Kenangan maksudnya sesuatu yang telah berlalu. Boleh jadi berulang kembali, atau sebaliknya. 

Pertama, hujan petang ini mengingatkan saya kepada Sabtu 19 Mei 2012. Pada hari itu, hujan turun selepas Zohor dan lebatnya seperti hujan tadi sedangkan sebelum itu cuaca amat panas. Itulah kata orang Melayu, panas yang diharapkan sampai ke petang; hujan turun di tengah hari. Hujan hanya reda pada sekitar jam enam petang. Begitupun, rintik hujan belum surut. Saya agak khuatir kalau liang lahad untuk emak dipenuhi air. Walau bagaimanapun, segalanya terjadi dengan izin Allah SWT. Urusan pengebumian jenazah emak berjalan dengan sangat lancar. Liang lahad tidak ditenggelami air dan urusan selesai sebelum azan Maghrib berkumandang. Hujan lebat itu hanya beri masa lebih untuk saya melihat wajah emak sebelum ditutup sepenuhnya dengan kain kafan, untuk saya kucup dahi dan telapak kakinya berkali-kali untuk waktu yang terakhir. Yang tidak akan dapat saya lakukan lagi kepadanya, melainkan jika saya dapat kembali bersamanya di satu masa indah dengan izin-Nya nanti. Ketika itu, bukan kerana 'melihat syurga' maka saya mengucup telapak kaki emak, perbuatan yang tidak pernah saya lakukan. Akan tetapi kerana mulianya emak pada saya sedangkan saya penuh dengan segala kekurangan sebagai anaknya. Kucupan itu tanda tinggi dan mulianya emak atas kesabaran dan keredaannya mengharungi segala ujian Allah, kekuatannya yang belum dapat saya warisi sepenuhnya.

Dengan ingatan yang kuat itu, saya terlihat kain mandi jenazah emak ketika melipat kain. Pada mulanya, kain mandi jenazah emak ini tidak saya cuci. Saya hanya jemur sehingga kering, ada bau emak padanya setiap kali saya mengucupnya. Bagi saya ada nilai sentimental pada kain itu untuk saya jaga baik-baik kenangan bersamanya. Akan tetapi, beberapa orang tua yang bertanya tentang kain jenazah dan apabila saya maklumkan perbuatan saya itu, mereka melarang keras saya meneruskannya tanpa menjelaskan sebabnya. Saya tidak tahu kenapa saya tidak boleh biarkan kain itu tanpa dicuci. Mereka sungguh-sungguh menasihati saya agar membasuh kain itu kalau mahu terus disimpan. Setelah didesak dan ditanya sama ada saya sudah melakukannya seperti yang mereka suruh, akhirnya saya turutkan saja. 

Hujan ini membangkitkan ingatan saya yang sentiasa basah untuk 19 Mei 2012. Saya capai kotak berisi barang-barang emak. Cermin matanya, kad janji temu rawatan di Hospital Selayang, dompet dan Al Quran lama kesayangan emak yang emak guna sepanjang hayat emak, hinggalah beberapa jam sebelum emak ditidurkan pada 14 Mei 2012. Semuanya masih tersimpan. Sepasang pakaian terakhir yang emak pakai juga tidak saya cuci. Masih ada bau emak padanya, dan akan saya kucup dan hidu bau pakaian itu setiap kali saya merinduinya.

Saya juga teringat tentang doa saya kepada Allah agar disembuhkan dan disedarkan emak yang ditidurkan itu. Saya berdoa agar emak sembuh agar saya mendapat peluang kedua untuk memperbaiki diri sebagai anak, lebih memahami dirinya dan menunaikan segala hajat emak. Pada hari keempat, saya terfikir apakah doa itu baik untuk emak? Apakah keinginan saya terhadap peluang kedua itu baik untuk emak, atau hanya untuk saya? Tahulah saya betapa tamaknya saya sedangkan saya tidak tahu mana yang terbaik untuk emak. Atas kesedaran itu saya mengubah arah doa. Bermohon agar Allah akan beri yang terbaik untuk emak. Jika kehidupan itu baik untuk emak, berilah kehidupan yang baik untuk emak. Jika kematian itu baik untuk emak, berilah kematian yang baik untuk emak. Takdir Allah sentiasa mengatasi tadbir manusia.  Yang terbaik untuk kita, belum tentu terbaik untuk yang kita sayang.

Pengalaman ini membuatkan saya sedar betapa tidak mudah melupakan insan yang begitu ikhlas istimewa di hati kita. Pedih dan sakitnya hanya kita yang tahu. Hanya masa yang dapat memberi sedikit penawar, untuk membiasakan diri tanpa mereka.

Yang ditinggalkan atau yang meninggalkan. Yang dilepaskan atau yang melepaskan; hakikat pedih yang perlu dilalui boleh jadi sama. Hanya yang berjiwa besar saja dapat melaluinya tanpa rebah.

Hujan ini juga menguatkan ingatan saya pada seorang teman yang pernah saya kenal, yang begitu menghargai suara hujan. Jika dia menghargai melodi rintik hujan, saya pula menyukai bau hujan dan rumput yang basah dengan hujan rahmat Allah SWT

Tidak ada sesuatu yang tidak ada makna; cuma kecil atau besar makna itu, bergantung pada keistimewaannya kepada hati yang kita miliki.

Sabtu, 19 Oktober 2013

TESIS

DALAM penulisan tesis, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah soal bahan. Setiap bahan yang diperlukan (bukan yang dimahukan) mestilah mencukupi setelah melalui prosedur pemilihan dan penyaringan. Hal ini bertujuan terlepas daripada berbangga (syok sendiri) tidak tentu fasal dengan lambakan maklumat atau penemuan; dengan tujuan menebalkan tesis semata-mata, kerana ketebalan bukanlah penentu tinggi /rendah kualiti tulisan atau penghujahan.

Setelah semua maklumat yang perlu diperoleh, prosedur seterusnya ialah penulisan yang akan disusuli dengan pemadatan. Prosedur ini melibatkan proses pengguguran, penambahan atau penyaringan tanpa menghilangkan pokok perbincangan. Hal ini dilakukan bagi memastikan maklumat dan data yang dipilih benar-benar sesuai dan tepat dengan konteks perbincangan sekali gus memastikan kelancaran hujah tidak terganggu.

Proses mendapatkan bahan dan maklumat itu satu cabaran, manakala proses setelah mendapatkan maklumat itu pula ialah cabaran yang tidak kecil sukarnya. Hal ini kerana tahap yang ini menuntut penelitian tajam dan sikap berlapang dada terhadap sebahagian perkara yang perlu dipinggirkan. Jika dilihat dalam konteks penulisan kreatif, peminggiran atau penghapusan bahan yang sedia ada setelah dicari ini umpama membunuh watak yang sedia dibina cantik. Kadangkala penulis menggemari watak tertentu yang dibikin. Akan tetapi tidak semestinya watak yang disukai itu bakal menjadikan karya yang ditulis bertambah baik, malah boleh jadi sebaliknya. Pada tahap inilah pemilihan yang wajar perlu dilakukan dan berlapang dada melepaskan sesuatu yang kita cintai tetapi tidak jelas manfaatnya.

Jalan ilmiah ini tidak mudah kerana menuntut kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Namun, nikmat dan keindahan terasa apabila tercapainya matlamat dan makna penulisan yang diusahakan dengan nawaitu, ilmu dan kefahaman yang jelas; bukan ikut-ikutan dengan tujuan menggenggam segulung ijazah semata-mata. Hakikat 'kesarjanaan' bukan pada pengiktirafan tetapi pada fahamnya diri terhadap ilmu untuk diamalkan dan disebarkan sebagai melunasi hakikat tanggungjawab diri selaku khalifah Allah SWT di bumi.

Ijazah membolehkan seseorang itu layak diberi aneka gelar ikhtisas mengikut ukuran dunia, tetapi belum tentu adil untuk digelar 'sarjana' dalam erti yang hakiki. Ijazah juga bukan penamat kembara ilmu manusia tetapi penerus kepada kelangsungan kembara pencarian dan pengamalan ilmu sehingga masuknya tubuh ke dalam liang lahad; dengan kesedaran diri bahawa segala ilmu yang dicari dan dimanfaatkan akan diperhitungkan Allah SWT dan berguna membantu manusia di alam seterusnya.

'Bercinta'lah dengan tesis anda agar dengan itu akan hadir rasa bahagia dan gembira yang memayungi kembara ilmiah anda.

Khamis, 17 Oktober 2013

KUNTUM DALAM TAMAN

kutemui diriku saat kau hadir dalam hidupku
kukenal erti rindu bila kukenal dirimu

kupujuk rayu kalbu
rela pada tentumu
bila nanti-
kau pilih berlalu

dan aku, 
diam dalam pilu
tenggelam dalam terharu

tetap
aku kuntum itu
mekar di taman kenangan
sebelum rebah 
menyambut fitrah alam 




Selasa, 15 Oktober 2013

KORBAN 1434

SELAMAT Hari Raya Korban 1434 Hijrah. Seperti lazimnya, hari ini menjadi hari istimewa atau khusus memperingati peristiwa besar dalam sirah Islam iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam terhadap anakandanya Nabi Ismail Alaihissalam. Peristiwa yang mengajar manusia untuk memahami erti mengorbankan sesuatu yang amat kita cintai demi tuntutan Ilahi. Pada lensa dunia, erti kosa kata 'pengorbanan' itu sendiri seolah-olah melakukan sesuatu yang merugikan diri sendiri, yang menjauhkan diri daripada kebahagiaan. Akan tetapi, dengan lensa agama yang lebih jelas barulah kita dapat memahami erti pengorbanan seperti yang diajarkan agama. Pengorbanan yang tujuannya adalah untuk mencapai mardhatillah kerana hidup ini bukan hanya di dunia kini, tetapi juga ada alam akhirat yang bakal dilalui semua manusia.

Selain membaca dan mengingati semula sirah itu, hari ini juga mengingatkan saya kepada telatah emak menjelang Hari Raya Korban. Emak tidak pernah makan daging iaitu ayam, lembu, kambing dan segala macam haiwan yang perlu disembelih. Emak sedih dan kasihan mengenangkan mereka yang perlu disembelih. Oleh itu, beberapa hari sebelum hari ini maka emak tidak benarkan televisyen dibuka pada waktu berita ditayangkan kerana emak tidak mahu lihat wajah lembu atau kerbau yang akan disiarkan menerusi berita tentang ibadah korban. Pada hari raya, semua tingkap akan ditutup. Emak tidak mahu mendengar rintih suara lembu. Apabila hujan turun, emak akan kata "Ini air mata haiwan-haiwan yang kena korban." Begitu dalam empati emak. Bukan emak tidak faham. Sudah saya jelaskan bahawa binatang-binatang itu bahagia kerana menjadi haiwan terpilih. Akan tetapi, itulah keistimewaan emak saya. Telatah dan empati emak itu akan menjadi antara lambakan kenangan yang indah untuk saya tentang emak.

---

Hari ini, tahun ini ialah kali kedua raya tanpa arwah emak. Paling tepat, hari raya korban tanpa emak. Pernah beberapa bulan lalu seseorang bertanya kepada saya, bagaimana saya lalui hari raya tanpa emak. Soalan yang saya juga tertanya-tanya sebelum aidilfitri menjelang tiba. Akan tetapi, apabila hari raya atau malam raya tiba; dan saya tidak menangis atau bersedih, saya semakin faham bahawa rindu dan sayang saya kepada arwah bukan untuk dijadikan alat untuk bertangis-tangisan mendayu-dayu semata-mata kerana emak tiada pada aidilfitri. Aidilfitri atau lebih tepat 1 Syawal ialah hari istimewa untuk meraikan sebulan mujahadah di bulan Ramadan sedangkan rindu dan cinta untuk emak diraikan saban hari. 

Jati ketakutan dibawa ke luar rumah

Saya mulakan pagi ini seperti biasa yang dilalui pada hari istimewa ini. Cuma, memandangkan Jati meraikan Hari Raya Korbannya yang pertama maka pagi-pagi lagi saya mendakap dan membisikkan ke telinga Jati, "Hari ini Hari Raya Korban untuk Jati buat kali pertama. Selamat hari raya, sayang." Lucu atau mungkin orang yang tidak memahami hubungan antara haiwan peliharaan dengan tuannya nampak janggal perbuatan saya ini, akan tetapi bagi yang faham dan terlibat dalam konteks hubungan istimewa ini, ini memang kebiasaan kami. Jati memandang saya terkebil-kebil kemudian menggigit tangan saya minta dilepaskan. Itulah pengorbanan kecil saya untuk Jati, bersedia dilukai untuk terus mengasihi dan bertanggungjawab menjaga budak nakal itu dengan baik.

Saya lalui saat-saat ini dengan rasa syahdu, terharu dan sayu yang bergelora dalam jiwa sejak beberapa hari lalu. Rasa yang tidak sungguh-sungguh singgah dalam diri saya untuk dua aidilfitri sebelum ini. Setelah satu tahun lima bulan emak pergi, hari raya korban saya yang kedua tanpa emak hari ini, penuh syahdu, sayu dan sebak yang menggunung. Rasa yang amat dalam. Rasa itu amat menusuk ketika saya melalui Perkuburan Sungai Tua menuju Masjid Jamek Kampung Nakhoda. Saya memilih masjid yang jaraknya lima minit perjalanan beroda dari rumah kerana itulah tempat emak dimandikan, dikapankan dan disolatkan pada petang Sabtu 19 Mei 2012. Masjid yang letaknya di desa kelahiran saya 26 tahun lalu. Ada nilai sentimental yang tinggi pada masjid itu dalam hati saya. Pada mulanya saya berkira-kira untuk ke masjid. Rasa segan dan agak malu untuk sendiri ke sana, tidak seperti emak masih ada. Akan tetapi, kata saya di dalam hati, "Kalau malu, memang tak boleh pergi," sedangkan hati saya amat rindu pada suasana jemaah ini.

Berfokus kepada pengorbanan, saya mengenang aneka pengorbanan emak dengan statusnya yang pelbagai untuk dirinya sebagai wanita. Pengorbanan seorang emak mengandung, melahirkan dan membesarkan lima anak lelaki dan seorang anak perempuan. 

Saya teringat hujah guru saya tentang kisah batu belah batu bertangkup. Semua orang tahu kisah ini. Saya sendiri sangat ingat dialog watak ibu itu, "Batu belah batu bertangkup/Makanlah aku telanlah aku/Aku kempunan telur tembakul". Saya tidak fikir apa-apa tentang dialog ini ketika menonton filem itu semasa kecil. Pernah juga seorang kenalan akademik saya mentafsirkan batu belah batu bertangkup sebagai manifestasi tuntutan seksual seorang wanita yang lama berpisah dengan suaminya. Kenalan ini bercerita dari konteks psikologi. Menurutnya, batu belah yang menelan Ibu Pekan ditafsirkan sebagai alat sulit wanita. Saya agak ragu-ragu untuk menerima tafsiran ini.

Walau bagaimanapun, saya cenderung menerima tafsiran guru saya yang saya sebutkan awal tadi. Menurut guru, rata-rata golongan ibu yang digauli menyatakan penentangan dan tidak setuju terhadap tindakan Ibu Pekan? Mengapa, kerana adalah kurang wajar untuk seorang ibu memarahi atau merajuk dengan anaknya semata-mata telur tembakulnya dimakan anaknya sendiri tanpa pengetahuannya. Itu bukan fitrah seorang ibu. Hal ini kerana kebiasaannya seorang ibu sentiasa mengutamakan anak-anak dalam segala hal. Seorang ibu sanggup berlapar demi anak-anak. Itulah sifat ibu yang sebenar. Berkorban demi anak-anak, tinggal lagi sama ada anak-anak faham atau mampu membaca 'bahasa korban' ibu masing-masing. Pengamatan saya sebagai penjaga kucing juga, ibu kucing sendiri sanggup tidak makan untuk anaknya dan selalu beralah untuk anak-anaknya. Inilah yang saya lihat pada Mama Kancil terhadap Jati dan Mimi yang pernah bawa balik seplastik pisang goreng lalu diletakkan di depan anak-anaknya (berlaku pada tahun 2008 dan masih misteri, pisang goreng siapa yang Mimi bawa balik kerana ketika itu kucing-kucing saya tidak dikurung).

Semasa guru bercerita tentang tafsiran dan pandangan golongan ibu yang ini, saya teringat akan emak saya. Memang benar, seorang ibu tidak sanggup membiarkan anak-anaknya lapar. Semasa emak ada, saya selalu membelikan sesuatu setiap kali pulang ke rumah, pulang dari belajar atau mengajar. Selalunya saya akan membeli makanan kegemaran emak seperti mihun goreng seafood (kerana emak tidak makan daging), laksa atau kuih-muih kegemaran emak seperti lepat pisang, pau kacang dan tepung bungkus. Selalunya saya beli cukup untuk emak sahaja. Akan tetapi, emak tidak akan senang dan nampak serba-salah jika saya enggan sama makan. Selalunya, apabila saya bawa pulang makanan-makanan seperti itu, emak akan berkata "Adik makan dulu. Baru mak makan." Saya akan menolak, berlagak seolah-olah sudah kenyang atau memang tidak terliur. Saya beli untuk emak. Bukan untuk saya jadi saya tidak mahu mengambil bahagian emak itu. Apabila emak tetap juga memaksa saya untuk makan , saya akan menjamahnya sedikit. Emak akan suruh saya makan lagi, dan saya berlagak tidak mahu. Kadang-kadang saya terlalu tegas menolak agar emak tidak terus memujuk untuk berkongsi makanan itu, dan niat saya agar emak dapat makan tanpa rasa apa-apa, kecuali menikmatinya dengan senang hati.

Saya rasa saya telah kecilkan hati emak dengan tindakan itu. Sekarang baru saya sedar dan dapat membaca makna tindakan emak itu, selepas emak sudah tiada. Amat indah jika saya dapat membaca dan memahami makna tindakan, manifestasi pengorbanan emak itu semasa emak masih ada. Penghargaan dan pemahaman saya ketika itu tentu amat bermakna buat emak. 

Itulah ibu, tanggungjawab yang dipikulnya dan ditentukan sendiri untuk dirinya adalah untuk berkorban demi anak-anaknya. Pengorbanan yang menyeluruh merangkumi perasaan dan perbuatan. Berapa banyak perbuatan kita sebagai anak-anak yang telah memperlihatkan betapa cuainya kita untuk menghargai dan memahami makna dan manifestasi pengorbanan para ibu kepada kita? Bagi anda yang masih punya ibu, koreksilah diri dan tingkah terhadap ibu. Jadilah lebih bijak dan cerdik untuk membaca dan memahami ibu anda seluruhnya. Fahami mereka semasa mereka ada, bukan sebaliknya. Saya sudah tidak ada kesempatan untuk menterjemahkan pemahaman saya terhadap 'bahasa kasih' emak. Memahami emak selepas emak tiada bukanlah indah untuk dilalui. 

Pelajari dan contohilah makna pengorbanan ibu iaitu memberikan yang terbaik untuk insan yang dikasihi. Juga, melepaskan sesuatu yang amat dicintai demi kebahagiaan insan yang dikasihi.

---  


Selepas solat, saya terus mengunjungi rumah sahabat baik emak tidak jauh dari masjid. Sayalah tetamu sulungnya untuk hari ini. Mak Cik Halimah memang sahabat baik emak. Dialah yang banyak membantu saya menguruskan jenazah emak. Segalanya jadi begitu mudah. Allah SWT bantu saya dengan memudahkan Mak Cik Halimah untuk membantu urusan saya. Terlalu lama saya tidak menziarahi Mak Cik Halimah. Kata Mak Cik Halimah ketika menjamu saya makan tadi, "Mak adik dah tak ada acik sunyi. Kalau ada tu, dialah kawan bergaduh kawan bergurau. Dialah yang sibuk suruh buat lempeng. Dia mesti panggil acik, Mahhh (panjang dan manja)." Saya tunjukkan foto emak yang ada di dalam telefon saya. Saya lihat kelopak mata Mak Cik Halimah bergenang. Alhamdulillah, emak meninggalkan yang indah-indah untuk kami yang masih ada untuk mengenangnya.



Rakaman ini istimewa bagi saya kerana kata Mak Cik Halimah sambil cucunya yang bernama Salsabila merakamnya, "Emak dulu selalu cakap, dia tak risaukan adik sangat. Dia tahu adik kuat  ..."



Pulang dari ziarah Mak Cik Halimah, saya ke pusara emak. Pokok yang ditanam pada Disember lalu ketika kepok emak dibuat semakin meninggi. Saya katakan kepada emak yang hari ini hari raya korban (walaupun saya yakin emak tahu). Juga saya katakan kepada emak  yang saya sudah ziarah Mak Cik Halimah.

Tanah Perkuburan Sungai Tua

Saya sudahi kenangan hari raya ini untuk saya, dengan puisi Dato' Awang Sariyan yang saya petik dengan izinnya. Hayatilah perbicaraan beliau tentang ketetapan ...

Al Fatihah untuk emak, Rambelah binti Maryam (27 Jun 1951 - 19 Mei 2012)

Mengintai Rahmat

Seandainya telah ditakdirkan
oleh yang maha menetapkan
yang azali, qadim lagi abadi
daku yakin
yang tertulis di Loh Mahfuz itu
akan zahir menjadi kenyataan
hasrat akan kesampaian
cita akan di puncak kenikmatan
Kita makhluk ciptaan-Nya
tiada lebih sebagai pemain peran
yang telah ditetapkan-Nya
Namun perlu mengisi ruang ikhtiar
berlandaskan akal kurniaan-Nya
atas keyakinan utuh teguh
kerana rahmat-Nya
tiada terjangkau oleh deria dan rasa kita
tiada tercapai oleh firasat dan ramalan kita
Ayuh kita teruskan munajat
Kita teruskan upaya dan kudrat
memohon berkat
Mengintai rahmat
Allahumma ya amin.

Kembara Bahasa
14 Oktober 2013

Jumaat, 11 Oktober 2013

---

Sayangku bersamamu,
di mana kau berada, 

di situ aku menunggu
hanya engkau yang tidak tahu.

Kau melihat dalam dirimu
Aku melihat dalam Cintaku. 

Bagaimana kita akan bertemu?
jalan kita berbeza; arah kita tidak sama


Kau sampai di tempat kau tuju
Aku sampai di Taman Cintaku.
 

---

Sayangku bersamamu,
betapapun kau ragu
tercatat dalam 'buku'
sebelum wujud dan kenal -
Kau dan Aku

Jalan kita beza
tapi tetap arah yang sama.

Taman Cinta itu
harum dengan rindu
segar dengan restu
menunggu;
kita bersatu

Khamis, 10 Oktober 2013

BELAJAR UNTUK KENAL

SEMESTER ini, saya mengikuti kuliah bagi kursus Teori dan Falsafah Kesusasteraan BBK 6201 yang dikendalikan Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani. Minggu ini ialah minggu keempat kuliah berlangsung dengan menjadikan buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu iaitu syarahan pengukuhan Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dibentangkan pada tahun 1972 di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai bahan utama perbincangan. Syarahan ini ialah syarahan pengukuhan (sekarang disebut syarahan perdana) yang pertama di UKM.

Kuliah ini mengupas inti-inti pemikiran yang dijana dan dicetuskan oleh Profesor Al-Attas. Secara peribadi kuliah ini penting bagi saya dalam usaha memahami falsafah dan gagasan pemikiran Profesor Al-Attas. Daripada pergaulan saya dengan rakan-rakan, rata-rata bersetuju bahawa buku dengan khat bentuk ayam jantan hasil kreatif Profesor Al-Attas itu sendiri, tidak dapat difahami dengan sekali baca, apatah lagi jika tidak dibaca dengan tekun, mendalam dan betul. Saya sendiri sudah beberapa kali membaca buku itu. Pada bacaan pertama, saya tidak tahu apa-apa yang saya baca, apatah lagi dengan penggunaan bahasa Melayu tinggi gaya persuratan Profesor Al-Attas yang amat janggal pada saya. Saya belum pernah membaca tulisan seperti yang diguna pakai dalam buku ini. Dalam hal ini, belum pernah bukan kerana perkara itu sesuatu yang baharu tetapi kerana saya sendiri yang terlepas pandang dan tidak mesra dengannya sebelum ini.

Kali kedua dan ketiga, saya mendapat sedikit pemahaman. Baru tahu, belum lagi kenal sepenuhnya. Namun, keinginan untuk kenal sepenuhnya itu sentiasa membara walaupun tidak mudah. Dalam hal ini, saya selalu ingat pesan guru: Gunakan status sebagai pelajar untuk buat salah dan sedia untuk ditegur, untuk terus belajar. Sehubungan itu, saya mengambil manfaat daripada kuliah ini yang tidak dapat dinafikan memberi saya ruang untuk lebih memahami atau membetulkan salah bacaan saya, atau bacaan yang tidak sempurna terhadap buku itu. Kuliah ini juga bukan sahaja berusaha mendidik pelajar untuk membaca secara betul (merangkumi pemilihan bahan baca yang baik iaitu berkualiti dari segi isi dan ilmunya, dan cara baca yang lebih analatikal dengan bersandarkan pada kerangka yang dapat diyakini dan dipegang bersesuaian dengan 'kedirian' pembaca itu sendiri), tetapi juga berusaha mendidik pelajar untuk bijak berdiskusi walapun sering kali hambar. Soal pengutaraan pandangan yang berbeza bukanlah masalah selagi setiap pandangan  dipersiapkan dengan hujah yang kukuh. Lebih penting, apakah dasar hujah itu sesuai dengan konteks kebenaran pada kepercayaan penghujah, atau sebaliknya. Hal ini mengingatkan saya kepada kenyataan bahawa yang perlu dipertahankan ialah 'kebenaran', bukan pandangan.

Antara idea asli Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam syarahan pengukuhan yang dibukukan ini adalah :
  • Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu-Indonesia mempengaruhi pembentukan peradaban Melayu, yang sekali gus meragui teori bikinan orientalis yang mendakwa pembentukan tamadun Melayu tidak lain didasarkan kepada pengaruh Hindu.
  • Islamisasi terhadap kebudayaan Melayu merangkumi bahasa, adat dan pandangan alam orang Melayu yang sebelumnya mewarisi kebudayaan animisme dan hinduisme.
  • Kehadiran Islam (dengan konsep tauhid) ke Kepulauan Melayu-Indonesia yang memungkinkan orang Melayu mengenal kemampuan akal untuk berfikir secara logik dan saintifik, sekali gus meminggirkan pengaruh tahayul, khurafat yang mendominasi pemikiran orang Melayu sebelum kedatangan Islam.
  • Kemajuan Bahasa Melayu ditandai oleh Hamzah Fansuri yang mula menggunakan bahasa Melayu  bagi membicarakan hal-hal yang lebih kompleks seperti metafizik. 
  • Membandingkan sejarah pembentukan tamadun Melayu dengan Eropah.
Adalah menarik apabila pembaca dapat merasai kaedah Profesor Al-Attas mengutarakan setiap idea beliau. Bagi melancarkan pemahaman dan memberi persediaan kepada pembaca, buku ini dimulakan dengan menghuraikan terlebih dahulu maksud sejarah dalam konteks yang lebih luas, bersesuaian dengan judul buku ini sendiri yang membayangkan intinya akan berlegar pada soal sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Jika faham sejarah sebelum ini seperti yang dipelajari di sekolah sebagai rakaman masa lalu, maka syarahan ini memberi ruang untuk pembaca memahami makna "sejarah" dalam konteks yang lebih luas sekali gus membolehkan renungan terhadap makna dan konsep "sejarah" dapat dilakukan. Apakah sejarah itu merakamkan segala yang berlaku dan apakah 'segala yang berlaku' itu benar-benar boleh dianggap sejarah, atau sekadar tempelan hiasan yang merimbunkan sebatang pohon krismas sehingga membuatkan tubuh pohon yang sebenar terlindung sepenuhnya, dari atas hingga ke bawah atau apa?

Setakat ini, kuliah ini juga membincangkan secara serius perihal keadilan yang berhubung erat dengan soal keutamaan dan tuntutan Islam kepada umatnya untuk meletakkan sesuatu benar pada tempatnya, tepat pada hieraki yang sepatutnya. Keadilan yang hanya dapat ditegakkan dengan ilmu sementara lawannya ialah kezaliman yang tercetus daripada kejahilan.

Coretan ringkas saya sebagai pelajar ini disudahi dengan kesimpulan daripada kuliah Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pada minggu lalu : Adil bermaksud meletakkan sesuatu benar pada tempatnya. Tahu nilai dan meletakkanya pada takah yang sepatutnya. Seperti manikam yang tidak akan diletakkan pada tempat akik, begitu juga sebaliknya. Mutiara tidak akan sama dengan manik. Intan tidak akan sama dengan kaca. Walaupun bentuknya sama tetapi tidak pada sinarnya. Orang Melayu amat faham perihal peletakkan sesuatu benar pada tempatnya ini yang memungkinkan terhasilnya peribahasa (kiasan) hanya jauhar mengenal manikam, tanpa pula menafikan fungsi kaca, akik dan manik. Persoalannya, hanya jauhar mengenal manikam dan bagaimana untuk menjadi jauhar.

Tanya Jati, "Kalau mahu tahu tapi tak mahu kenal boleh tak, Kakak?"
Jawab Kakak, "Boleh, nanti kalau Oyen suruh Jati terjun ke dalam kolam najis pun Jati ikut sajalah sebab Jati hanya tahu bentuk kolam tapi tidak kenal jenis, fungsi dan segalanya tentang kolam. Jati jangan marahkan Oyen pula."

Sabtu, 5 Oktober 2013

REALITI DAN MIMPI

ANTARA realiti dan mimpi, ada kemungkinankah kita tersepit di antaranya? Jika tidak selalu, kadang-kadang hadir juga. Itulah yang agak selalu berlaku kepada saya khususnya tentang emak.

Saya bermimpikan emak dan apabila tersedar daripada lena itu, akan segeralah saya tercari-cari akan wanita itu, sebelum saya sedar bahawa itu hanyalah mimpi. Perkara yang sama berlaku lagi. Kali ini saya tidak mencari dirinya tetapi segera mengambil telefon. Ketika memegang telefon itu, barulah saya sedar yang saya tadi hanya bermimpi. Mana mungkin saya boleh menghubungi emak di alam baqa'. Itulah realiti yang terganggu oleh mimpi.

Ada ketikanya, tergelincir juga lidah ketika berdoa. Bagaimana? Saya kembali membaca doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT ketika emak masih ada, mendoakan kesihatannya, panjangnya usianya dalam ketaatan dan ketenangan, diberikan kesabaran dan rasa reda atas segala dugaan dan memakbulkan segala doa yang emak panjatkan. Apabila saya sedar daripada tersasul doa itu, saya terdiam seketika. Ambil mood lalu mengatur semula doa yang padan dengan realiti kehidupan dan kematian. Berdoa agar Allah SWT menjadikan kubur emak sebagai salah satu daripada taman-taman syurga, bukannya sebagai lubang-lubang daripada neraka. Berdoa agar roh emak diterima sebagai roh yang tenang dan bersama roh-roh yang dikasihi-Nya. Berdoa agar Allah SWT menggembirakan roh emak sebagai ganti kesedihan dan kepayahan yang dilalui di dunia. Berdoa agar Allah SWT membangkitkan emak di Padang Mahsyar dengan penuh kemuliaan. Apa lagi? Kalau dahulu emak mendoakan saya ketika emak ada bersama-sama saya, kini saya mendoakan emak tanpa emak bersama-sama saya.

Apakah ini manifestasi tidak reda saya terhadap pemergian emak? Tidak sama sekali melainkan inilah terjemahan rindu yang akan dirasai setiap insan yang punya perasaan. Yang tahu makna rindu, sayang dan terharu.

antara realiti dan mimpi
rindu,
penghubung dua hati-
terpisah jasad zahiri
bersatu jiwa batini

Sungguh, rindu itu penghubung dua hati yang saling menikmati cinta yang sama. Pedihnya seperti tusukan duri mawar. Walaupun lukanya sirna namun kesannya tetap ada.

Al Fatihah Rambelah binti Maryam
27.6.1951 - 19.5.2012

"Engkau misalnya melihat bayang-bayang nampaknya diam, tidak bergerak, padahal setelah lewat sesaat nyatalah ia itu bergerak sedikit demi sedikit, tidak tinggal diam saja. Dan engkau melihat bintang nampaknya kecil tetapi bukti berdasarkan ilmu ukur menunjukkan bintang itu lebih besar daripada bumi kita ini. Ini contoh-contoh lainnya dari pendapat pancaindera, menunjukkan bahawa hukum pancaindera itu dapat dibatalkan oleh hakim akal dengan bukti yang tidak dapat disangkal" (Imam Al Ghazali, Pembebas Daripada Kesesatan, terjemahan Abdullah Nuh, 1966:8)