Isnin, 30 September 2013

SEPTEMBER

SEPTEMBER bulan yang istimewa buat saya. Setahun yang lalu, pada September juga saya memulakan takah baru pengajian. Setelah tamat pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Penulisan dengan pengkhususan dalam Penulisan Kreatif  daripada ASWARA pada Disember 2010, saya merancang akan menyambung pengajian peringkat seterusnya sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun selepas 2010. Jika mengikut perkiraan itu, pada tahun inilah saya mendaftarkan diri sebagai pelajar pascasiswazah. Hal ini sering saya maklumkan kepada emak sejak tamat Disember 2010 lagi.

Keinginan yang mendalam untuk menyambung pengajian membuatkan fikir saya selalu terarah kepada perancangan itu. Pada Mac 2012, saya katakan lagi kepada emak akan hasrat saya itu. Respons emak yang saya tidak akan lupa berhubung hasrat saya itu ialah, "Belajarlah. Ilmu itu kan harta." Itulah jawapan emak saya yang tidak belajar tinggi tetapi cukup memahami. Dengan galakan daripada En. Zakaria Ariffin, saya mula meninjau silibus kursus beberapa universiti pada sekitar bulan Mei-Jun 2012, sebelum keputusan menyambung pengajian pada tahun itu dilakukan juga. Ada tiga universiti yang saya tinjau dan tentulah saya cenderung pada pusat pengajian yang lebih hampir dengan perumahan, yang tidak memerlukan saya perlu meninggalkan emak saya lama, atau menjemput kerisauannya setiap kali saya berjalan jauh. Akhirnya, Allah takdirkan emak pergi terlebih dahulu, empat bulan sebelum saya menyambung pengajian. Namun, kata-kata emak tadi terus saya pegang, yang menjadi penguat semangat apabila sesekali diterjah rasa lemah sepanjang jalan pengajian. Biasalah, manusia itu ada emosinya yang bersifat tidak tetap. Adakala tinggi, rendah, tidak pernah statik.

Setelah membuat perbandingan dan tawaran mod yang diberikan, saya tidak dapat tidak  terpaksa memilih Universiti Putra Malaysia. Terpaksa, maksudnya bukan rela kerana faktor jarak. Namun, apabila kita tidak menginginkannya tetapi semua jalan mengarah kepada tuju itu,  kita akan sedar bahawa itulah takdir. Bukan tempat itu yang salah, tetapi cara kita memandang takdir itu yang salah apabila bertumpu hanya kepada rasa, bukan akal yang wajar diikat pada kepercayaan terhadap qada' dan qadar. Setelah memilih pusat pengajian, konflik seterusnya adalah untuk menentukan mod pengajian. Saya tidak yakin untuk menulis tesis dan pada ketika itu saya tidak mempunyai pembimbing untuk saya rujuk perbezaan, kelebihan mahupun kekurangan antara dua mod dalam konteks yang lebih khusus. Saya memilih mod tesis memandangkan yuran pengajian bagi mod kursus agak tinggi bagi saya yang membiayai sendiri pengajian. Apakah itu semua kebetulan? Saya tidak pernah percaya pada kebetulan. Bagi saya, setiap yang berlaku hatta sehelai daun yang gugur, telah ditentukan dan berada dalam pengetahuan Allah SWT.

Itulah yang berlaku pada September 2012. Saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk sampai ke fakulti dalam keadaan saya tidak biasa dengan jalan di sana dan ke sana. Beberapa kali melalui jalan yang salah sehingga menjadikan saya begitu letih. Masih segar di ingatan saya pengalaman dan rasa letih menghadiri kuliah pertama Khamis, 24 September 2012 yang bermula pada jam 5:00 petang hingga 8:00 malam. Seperti biasa, saya bertolak dua jam lebih awal. Akan tetapi, disebabkan saya tersalah jalan dan sesat sampai ke Putrajaya, saya tiba di fakulti lima minit sebelum kuliah bermula. Saya tidak lupa bahang panas dan penatnya saya pada ketika itu, bertanya kepada lebih daripada empat orang, ditambah dengan kerisauan melalui lebuh raya yang tiada pusingan U untuk saya kembali ke pangkal mula tersalah arah. Akan tetapi, saya puas kerana kuliah yang saya hadiri itu menjawab banyak persoalan saya khususnya berhubung kritikan.

Kebanyakan rakan atau jiran akan mengatakan jarak di antara Serdang dan Selayang itu sangat jauh dan saya terlalu berani memilih jalan sejauh itu untuk dilalui saban hari. Pada mulanya, memang saya terasa jauh, akan tetapi alah bisa tegal biasa ialah kata-kata kiasan yang tepat untuk menterjemahkan situasi saya. Jauh atau tidak tetap perlu dilalui kerana itulah tuntutan yang perlu saya penuhi sejajar dengan keputusan atau 'keterpaksaan' saya sebelum ini. Jarak perjalanan pergi dan balik ialah 80 kilometer bersamaan 80 minit. Jika saya menunggang dengan lebih laju, saya boleh sampai dalam tempoh 30 atau 35 minit bagi setiap perjalanan. Perjalanannya mudah, tidak banyak simpang-siur tetapi kejauhan itulah yang membuatkan saya berasa sangat letih sebaik-baik tiba di rumah. Itulah hidup, itulah cabaran. Berani terima atau pinggirkan saja, kita yang tentukan.

Kuliah itu juga membangkitkan semangat saya untuk mencabar diri agar dapat menyiapkan tesis saya pada sekian masa tertentu, walaupun akhirnya saya terpaksa akui bahawa saya kalah pada cabaran yang saya sendiri tentukan itu. Perbezaan bagi tahap pengajian ini dengan yang sebelumnya pada saya amat ketara. Pada peringkat sarjana muda, saya tidak mengalami apa-apa masalah berhubung pelajaran, mental saya bersedia dan berasa mudah menghadapi semua tugasan. Cabaran saya ketika itu hanya berlegar pada tahap material. Akan tetapi, pada tahap ijazah lanjutan ini barulah saya menikmati kesukaran dan tekanan yang lebih bermakna, dan besarnya cabaran yang perlu dilalui mental (proses penulisan) dan fizikal (proses penyelidikan). Antara dua cabaran ini, tentulah yang pertama lebih mencabar. Kadangkala berasa tergugat juga akan tetapi, saya cepat dan akan sedar bahawa memang itulah lumrah yang perlu dilalui. Pada saya tidak salah untuk berasa susah atau sesekali lemah selagi kita mampu sedar dan bangkitkan semula semangat yang sedia ada. Saya sentiasa bersyukur Allah SWT begitu banyak dan sentiasa banyak memberi kemudahan kepada saya sepanjang perjalanan. Hal ini menjadikan saya sentiasa gembira sepanjang kerja-kerja penyelidikan berlangsung. Seperti perasaan penulis kreatif yang berasa gembira dan 'larut' dalam proses kreatifnya, penulisan tesis (ilmiah) juga memberikan perasaan yang sama, yang hanya diketahui dan difahami oleh pelakunya. Kepuasan yang begitu indah.

Perkongsian pintar daripada teman yang diterima daripada satu kuliah Subuh yang ingin saya panjangkan di sini berhubung ilmu, "Pertanyaan keempat oleh baginda Nabi Musa a.s kepada Allah adalah, siapa yang paling alim antara makhluk-Nya. Allah menjawab, iaitulah orang yang terus menerus mencari ilmu dan tidak pernah putus asa. Terima kasih Ya Nabi kerana bertanyakan soalan itu dan mendapat jawapannya yang tepat daripada Sumber Ilmu sendiri."

Catatan ini ialah catatan saya dalam konteks diri saya sebagai pelajar, yang mengingatkan saya selalu pada pesan guru, "Dengan keazaman itu [mencari ilmu], anda mendapat restu dari seluruh makhluk dan alam semesta yang sentiasa mendoakan kejayaan penuntut imu yang benar; malah semua doa para ulama dan para wali yang mendoakan penuntut ilmu yang sudah mati dan masih hidup pun, Insha Allah akan jatuh kepada anda juga. Dengan izin Allah.  Rugilah sesiapa yang tidak mengambil kesempatan yang begitu luas terbuka" 

Insya-Allah

Perjalanan ini juga, mempertemukan saya dengan takdir lebih istimewa yang amat saya hargai. Inilah terusan yang pada awalnya  tidak saya sukai. Insya-Allah, Dia selalu memberi yang terbaik dan Dia sentiasa tahu tentang yang terbaik.

1 ulasan:

  1. Sabar itu buahnya manis. Dan siapa yang cuba membuat sabar kita itu pahit, akan menelan pahit itu sendiri akhirnya.

    BalasPadam