Sabtu, 28 September 2013

PENCINTA YANG PELINDUNG

HARI INI (maksud saya semalam), sempat berbual dengan kenalan tentang ibu. Secara ringkas dan tidak disengajakan pun, tetapi menarik perhatian saya untuk berfikir lanjut tentangnya. Seorang ibu ialah pencinta paling setia dan pelindung paling dedikasi. Cinta seorang ibu tidak ada tolok bandingnya. Dengan cinta itu, golongan ibu secara tidak dipaksa-paksa sentiasa mahu menjadi pelindung kepada anak-anaknya, sama ada anak-anaknya yang masih kecil hatta yang masih di dalam rahimnya, sehinggalah kepada anak-anaknya yang sudah membesar di hadapan hidupnya. Sifat pencinta dan pelindung seorang ibu tidak pernah/akan berkurang.

Hakikatnya jelas apabila kebanyakan ibu berusaha menjaga diri sejak awal kehamilan. Pada ketika itu, para ibu bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan makanan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing, bukanlah untuk diri sendiri sahaja tetapi lebih utama untuk janin dan bayi yang dikandung penuh amanah. Bermula daripada itulah dedikasi dan sifat pelindung seorang ibu terhadap anak-anaknya bermula, yang seterusnya akan dipertahankan selagi nyawa ibu masih ada.

Perbincangan tidak sengaja itu memperkukuh ingatan saya kepada arwah emak, yang sudah 1 tahun 4 bulan meninggalkan saya buat selama-lamanya. Tiada lagi gelak, suara, wajah dan sentuhannya yang dapat dinikmati. Yang tinggal ialah kenangan-kenangan yang tidak akan hilang. Cukuplah kenangan itu sebagai rezeki bagi anak-anak yang ditinggalkan, untuk menggamit selalu rindu melimpah kepada ibunya.

Namun hakikatnya juga saya berasakan semuanya masih baru. 'Kebaruan' ini membuatkan saya masih terasa dan ternampak-nampak bayangan emak, perlakuannya dan segalanya tentang dia. Kadang-kadang, terngiang-ngiang emak memanggil saya dengan suaranya yang merdu. Matanya yang coklat dan bibirnya yang mudah tersenyum. Rambutnya yang halus dan baunya yang menyenangkan. Masih jelas semuanya.

Saya teringat beberapa peristiwa yang melibatkan usaha emak mempertahankan dan melindungi saya. Barangkali ketika itu saya tidak sedar bahawa tindakan emak itu ialah usaha gigihnya untuk memberi yang terbaik dan memastikan saya sentiasa berada dalam kebaikan. Hanya ketika ini, pengamatan saya terhadap tindakan-tindakan itu semakin jelas, sejak saya kecil, sehingga saya berusia 26 tahun. Jangka waktu yang tidak panjang, tetapi bukanlah terlalu pendek untuk saya mudah membiarkan saja kenangan dan pengalaman menjadi anak emak, seperti debu-debu yang dihembus angin.

Seorang ibu, ialah pencinta dan pelindung paling setia, juga dedikasi. Cinta pemberiannya tidak pernah terhakis walaupun masa terus berlalu. Cinta yang tidak pernah habis, itulah cinta seorang ibu. Allah SWT memberikan keistimewaan kepada para ibu lantaran tahunya Allah SWT akan kehebatan ibu dengan dua sifat itu. Beruntung dan kayalah seorang anak yang masih memiliki ibu, dan muflisnya seseorang yang sudah kehilangan ibu. 

Lewat petang ini, saya singgah di pusara emak. Hujan membasahi tanah merah dan titisnya bersisa helai daun (saya tidak tahu nama pokok ini). Di dalam pusara itu, ada jasad emak. Wanita yang telah berani dan melindungi saya sejak di dalam rahim sehingga akhir hidupnya. Semoga Allah SWT merahmati roh emak yang sentiasa sabar dan reda sehingga akhir nafasnya. Sungguh, cinta dan rindu ini tidak pernah habis, seperti lautan tidak pernah kering. Makin diluah makin melimpah, jadilah rindu terpendam, makin mendalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan