Isnin, 30 September 2013

SEPTEMBER

SEPTEMBER bulan yang istimewa buat saya. Setahun yang lalu, pada September juga saya memulakan takah baru pengajian. Setelah tamat pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Penulisan dengan pengkhususan dalam Penulisan Kreatif  daripada ASWARA pada Disember 2010, saya merancang akan menyambung pengajian peringkat seterusnya sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun selepas 2010. Jika mengikut perkiraan itu, pada tahun inilah saya mendaftarkan diri sebagai pelajar pascasiswazah. Hal ini sering saya maklumkan kepada emak sejak tamat Disember 2010 lagi.

Keinginan yang mendalam untuk menyambung pengajian membuatkan fikir saya selalu terarah kepada perancangan itu. Pada Mac 2012, saya katakan lagi kepada emak akan hasrat saya itu. Respons emak yang saya tidak akan lupa berhubung hasrat saya itu ialah, "Belajarlah. Ilmu itu kan harta." Itulah jawapan emak saya yang tidak belajar tinggi tetapi cukup memahami. Dengan galakan daripada En. Zakaria Ariffin, saya mula meninjau silibus kursus beberapa universiti pada sekitar bulan Mei-Jun 2012, sebelum keputusan menyambung pengajian pada tahun itu dilakukan juga. Ada tiga universiti yang saya tinjau dan tentulah saya cenderung pada pusat pengajian yang lebih hampir dengan perumahan, yang tidak memerlukan saya perlu meninggalkan emak saya lama, atau menjemput kerisauannya setiap kali saya berjalan jauh. Akhirnya, Allah takdirkan emak pergi terlebih dahulu, empat bulan sebelum saya menyambung pengajian. Namun, kata-kata emak tadi terus saya pegang, yang menjadi penguat semangat apabila sesekali diterjah rasa lemah sepanjang jalan pengajian. Biasalah, manusia itu ada emosinya yang bersifat tidak tetap. Adakala tinggi, rendah, tidak pernah statik.

Setelah membuat perbandingan dan tawaran mod yang diberikan, saya tidak dapat tidak  terpaksa memilih Universiti Putra Malaysia. Terpaksa, maksudnya bukan rela kerana faktor jarak. Namun, apabila kita tidak menginginkannya tetapi semua jalan mengarah kepada tuju itu,  kita akan sedar bahawa itulah takdir. Bukan tempat itu yang salah, tetapi cara kita memandang takdir itu yang salah apabila bertumpu hanya kepada rasa, bukan akal yang wajar diikat pada kepercayaan terhadap qada' dan qadar. Setelah memilih pusat pengajian, konflik seterusnya adalah untuk menentukan mod pengajian. Saya tidak yakin untuk menulis tesis dan pada ketika itu saya tidak mempunyai pembimbing untuk saya rujuk perbezaan, kelebihan mahupun kekurangan antara dua mod dalam konteks yang lebih khusus. Saya memilih mod tesis memandangkan yuran pengajian bagi mod kursus agak tinggi bagi saya yang membiayai sendiri pengajian. Apakah itu semua kebetulan? Saya tidak pernah percaya pada kebetulan. Bagi saya, setiap yang berlaku hatta sehelai daun yang gugur, telah ditentukan dan berada dalam pengetahuan Allah SWT.

Itulah yang berlaku pada September 2012. Saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk sampai ke fakulti dalam keadaan saya tidak biasa dengan jalan di sana dan ke sana. Beberapa kali melalui jalan yang salah sehingga menjadikan saya begitu letih. Masih segar di ingatan saya pengalaman dan rasa letih menghadiri kuliah pertama Khamis, 24 September 2012 yang bermula pada jam 5:00 petang hingga 8:00 malam. Seperti biasa, saya bertolak dua jam lebih awal. Akan tetapi, disebabkan saya tersalah jalan dan sesat sampai ke Putrajaya, saya tiba di fakulti lima minit sebelum kuliah bermula. Saya tidak lupa bahang panas dan penatnya saya pada ketika itu, bertanya kepada lebih daripada empat orang, ditambah dengan kerisauan melalui lebuh raya yang tiada pusingan U untuk saya kembali ke pangkal mula tersalah arah. Akan tetapi, saya puas kerana kuliah yang saya hadiri itu menjawab banyak persoalan saya khususnya berhubung kritikan.

Kebanyakan rakan atau jiran akan mengatakan jarak di antara Serdang dan Selayang itu sangat jauh dan saya terlalu berani memilih jalan sejauh itu untuk dilalui saban hari. Pada mulanya, memang saya terasa jauh, akan tetapi alah bisa tegal biasa ialah kata-kata kiasan yang tepat untuk menterjemahkan situasi saya. Jauh atau tidak tetap perlu dilalui kerana itulah tuntutan yang perlu saya penuhi sejajar dengan keputusan atau 'keterpaksaan' saya sebelum ini. Jarak perjalanan pergi dan balik ialah 80 kilometer bersamaan 80 minit. Jika saya menunggang dengan lebih laju, saya boleh sampai dalam tempoh 30 atau 35 minit bagi setiap perjalanan. Perjalanannya mudah, tidak banyak simpang-siur tetapi kejauhan itulah yang membuatkan saya berasa sangat letih sebaik-baik tiba di rumah. Itulah hidup, itulah cabaran. Berani terima atau pinggirkan saja, kita yang tentukan.

Kuliah itu juga membangkitkan semangat saya untuk mencabar diri agar dapat menyiapkan tesis saya pada sekian masa tertentu, walaupun akhirnya saya terpaksa akui bahawa saya kalah pada cabaran yang saya sendiri tentukan itu. Perbezaan bagi tahap pengajian ini dengan yang sebelumnya pada saya amat ketara. Pada peringkat sarjana muda, saya tidak mengalami apa-apa masalah berhubung pelajaran, mental saya bersedia dan berasa mudah menghadapi semua tugasan. Cabaran saya ketika itu hanya berlegar pada tahap material. Akan tetapi, pada tahap ijazah lanjutan ini barulah saya menikmati kesukaran dan tekanan yang lebih bermakna, dan besarnya cabaran yang perlu dilalui mental (proses penulisan) dan fizikal (proses penyelidikan). Antara dua cabaran ini, tentulah yang pertama lebih mencabar. Kadangkala berasa tergugat juga akan tetapi, saya cepat dan akan sedar bahawa memang itulah lumrah yang perlu dilalui. Pada saya tidak salah untuk berasa susah atau sesekali lemah selagi kita mampu sedar dan bangkitkan semula semangat yang sedia ada. Saya sentiasa bersyukur Allah SWT begitu banyak dan sentiasa banyak memberi kemudahan kepada saya sepanjang perjalanan. Hal ini menjadikan saya sentiasa gembira sepanjang kerja-kerja penyelidikan berlangsung. Seperti perasaan penulis kreatif yang berasa gembira dan 'larut' dalam proses kreatifnya, penulisan tesis (ilmiah) juga memberikan perasaan yang sama, yang hanya diketahui dan difahami oleh pelakunya. Kepuasan yang begitu indah.

Perkongsian pintar daripada teman yang diterima daripada satu kuliah Subuh yang ingin saya panjangkan di sini berhubung ilmu, "Pertanyaan keempat oleh baginda Nabi Musa a.s kepada Allah adalah, siapa yang paling alim antara makhluk-Nya. Allah menjawab, iaitulah orang yang terus menerus mencari ilmu dan tidak pernah putus asa. Terima kasih Ya Nabi kerana bertanyakan soalan itu dan mendapat jawapannya yang tepat daripada Sumber Ilmu sendiri."

Catatan ini ialah catatan saya dalam konteks diri saya sebagai pelajar, yang mengingatkan saya selalu pada pesan guru, "Dengan keazaman itu [mencari ilmu], anda mendapat restu dari seluruh makhluk dan alam semesta yang sentiasa mendoakan kejayaan penuntut imu yang benar; malah semua doa para ulama dan para wali yang mendoakan penuntut ilmu yang sudah mati dan masih hidup pun, Insha Allah akan jatuh kepada anda juga. Dengan izin Allah.  Rugilah sesiapa yang tidak mengambil kesempatan yang begitu luas terbuka" 

Insya-Allah

Perjalanan ini juga, mempertemukan saya dengan takdir lebih istimewa yang amat saya hargai. Inilah terusan yang pada awalnya  tidak saya sukai. Insya-Allah, Dia selalu memberi yang terbaik dan Dia sentiasa tahu tentang yang terbaik.

Sabtu, 28 September 2013

PENCINTA YANG PELINDUNG

HARI INI (maksud saya semalam), sempat berbual dengan kenalan tentang ibu. Secara ringkas dan tidak disengajakan pun, tetapi menarik perhatian saya untuk berfikir lanjut tentangnya. Seorang ibu ialah pencinta paling setia dan pelindung paling dedikasi. Cinta seorang ibu tidak ada tolok bandingnya. Dengan cinta itu, golongan ibu secara tidak dipaksa-paksa sentiasa mahu menjadi pelindung kepada anak-anaknya, sama ada anak-anaknya yang masih kecil hatta yang masih di dalam rahimnya, sehinggalah kepada anak-anaknya yang sudah membesar di hadapan hidupnya. Sifat pencinta dan pelindung seorang ibu tidak pernah/akan berkurang.

Hakikatnya jelas apabila kebanyakan ibu berusaha menjaga diri sejak awal kehamilan. Pada ketika itu, para ibu bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan makanan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing, bukanlah untuk diri sendiri sahaja tetapi lebih utama untuk janin dan bayi yang dikandung penuh amanah. Bermula daripada itulah dedikasi dan sifat pelindung seorang ibu terhadap anak-anaknya bermula, yang seterusnya akan dipertahankan selagi nyawa ibu masih ada.

Perbincangan tidak sengaja itu memperkukuh ingatan saya kepada arwah emak, yang sudah 1 tahun 4 bulan meninggalkan saya buat selama-lamanya. Tiada lagi gelak, suara, wajah dan sentuhannya yang dapat dinikmati. Yang tinggal ialah kenangan-kenangan yang tidak akan hilang. Cukuplah kenangan itu sebagai rezeki bagi anak-anak yang ditinggalkan, untuk menggamit selalu rindu melimpah kepada ibunya.

Namun hakikatnya juga saya berasakan semuanya masih baru. 'Kebaruan' ini membuatkan saya masih terasa dan ternampak-nampak bayangan emak, perlakuannya dan segalanya tentang dia. Kadang-kadang, terngiang-ngiang emak memanggil saya dengan suaranya yang merdu. Matanya yang coklat dan bibirnya yang mudah tersenyum. Rambutnya yang halus dan baunya yang menyenangkan. Masih jelas semuanya.

Saya teringat beberapa peristiwa yang melibatkan usaha emak mempertahankan dan melindungi saya. Barangkali ketika itu saya tidak sedar bahawa tindakan emak itu ialah usaha gigihnya untuk memberi yang terbaik dan memastikan saya sentiasa berada dalam kebaikan. Hanya ketika ini, pengamatan saya terhadap tindakan-tindakan itu semakin jelas, sejak saya kecil, sehingga saya berusia 26 tahun. Jangka waktu yang tidak panjang, tetapi bukanlah terlalu pendek untuk saya mudah membiarkan saja kenangan dan pengalaman menjadi anak emak, seperti debu-debu yang dihembus angin.

Seorang ibu, ialah pencinta dan pelindung paling setia, juga dedikasi. Cinta pemberiannya tidak pernah terhakis walaupun masa terus berlalu. Cinta yang tidak pernah habis, itulah cinta seorang ibu. Allah SWT memberikan keistimewaan kepada para ibu lantaran tahunya Allah SWT akan kehebatan ibu dengan dua sifat itu. Beruntung dan kayalah seorang anak yang masih memiliki ibu, dan muflisnya seseorang yang sudah kehilangan ibu. 

Lewat petang ini, saya singgah di pusara emak. Hujan membasahi tanah merah dan titisnya bersisa helai daun (saya tidak tahu nama pokok ini). Di dalam pusara itu, ada jasad emak. Wanita yang telah berani dan melindungi saya sejak di dalam rahim sehingga akhir hidupnya. Semoga Allah SWT merahmati roh emak yang sentiasa sabar dan reda sehingga akhir nafasnya. Sungguh, cinta dan rindu ini tidak pernah habis, seperti lautan tidak pernah kering. Makin diluah makin melimpah, jadilah rindu terpendam, makin mendalam.

Ahad, 22 September 2013

---

sebatang pohon
di dahannya tergantung

sarang tebuan 

ingin dicapai buah nan ranum
takut tersinggung 

sarang tebuan

antara buah dan 
sarang tebuan

ada kemanisan
ada kepedihan

kedua-duanya,
bersebelahan

Jumaat, 20 September 2013

ERTI BAHAGIA PADA MEMBERI

HAMPIR tujuh tahun saya ulang-alik ke Hospital Selayang membawa emak memenuhi janji temu di beberapa klinik pakar. Daripada berjalan kaki ke perhentian bas untuk menaiki bas, sehinggalah berpeluang menaiki kenderaan sendiri. Emak berjalan perlahan maka saya perlu sabar, kadang-kadang tangannya dipimpin. Ada ketika dibiarkan bebas berjalan sendiri. Sampai di lobi, emak akan minta dibelikan kacang kuda rebus kesukaannya. Hari ini, tiada emak. Penjual kacang rebus pun tiada. Kali terakhir saya bawa emak ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan setiap tiga bulan adalah pada Mac 2012. Saya masih ingat, emak memakai baju kurung saya pada hari itu. Pelik, perkara yang tidak pernah emak buat. Tiba di rumah usai kuliah, emak sudah bersiap untuk ke hospital. Itulah sikap emak yang saya warisi, sangat berpegang pada ketepatan masa. Pada Mei 2012, terlaksana ketetapan Ilahi, roh emak diambil di Wad CCU, Hospital Selayang. Perginya sendiri. Begitu, manusia belajar betapa hidup akhirnya sendiri walaupun tidak sedikit yang menemani atau mahu menemani.

Hari ini, ialah kali pertama sejak emak tiada saya ke Hospital Selayang untuk diri sendiri. Rasa sangat janggal kerana tiada emak,atau lebih tepat tidak bersama-sama emak. Terasa janggal hadir ke rumah sakit bukan sebagai penjaga. Setiap jalan, lorong yang saya lalui, kelihatan seolah-olah emak turut berada di situ. Wajahnya yang sentiasa sabar. Pergerakannya yang perlahan. |Sesekali berhenti kerana penat, mengah berjalan jauh. Langkahnya kecil berbanding langkah saya yang selalu lebih panjang dan laju. Apabila sedar, saya berusaha memperlahankan langkah. 

Beberapa jam di sini, hari ini - saya melihat gelagat manusia yang pelbagai. Yang menjadi pesakit, menjadi teman atau perawat. Akan tetapi, pandangan saya lebih terikat kepada ibu-ibu dan anak-anak yang menemani mereka. Sungguh saya cemburu melihat mereka. Cemburu yang sangat menyakitkan apabila hakikatnya saya tidak lagi mampu menemani emak seperti yang dapat mereka lakukan. 

Ketika menunggu giliran, saya duduk di depan seorang ibu muda yang memangku anaknya. Saya kira anak itu dalam usia satu bulan. Saya fikir anak kecil itu lelaki, kerana wajah dan warna baju yang dipakainya. Ralit sungguh dia tidur. Bertentangan dengan tempat itu, saya lihat pula seorang ibu menyusukan anak yang baring di pangkuannya dengan susu botol. Mereka mengingatkan saya pada seorang ibu muda semalam di sebuah Klinik Kesihatan. Dia enggan pulang walaupun urusannya sudah selesai. Apabila ditanya kenapa, jawabnya kerana dia perlu menunggu bas dalam keadaan yang panas dan pulang berjalan kaki untuk masuk ke kawasan perumahan. Itu membuatkan ibu muda tidak mahu mengejutkan anaknya yang berusia tiga tahun yang sedang tidur. Anaknya itu demam. Dia mahu anaknya cukup tidur agar mereka dapat sama-sama jalan kaki pulang ke rumah. Biarlah dia menunggu anaknya itu bangun dengan sendirinya terlebih dahulu. Jangan diganggu tidur anak itu.

Itulah cinta sebenar. Sanggup berkorban dan bersedia memberi kebahagiaan. Bukan menuntut kebahagiaan. Itulah yang emak saya lakukan selama menjadi seorang ibu dan semua status yang pernah dipegangnya. Kepadanyalah rindu saya melimpah-ruah dan semakin kuat mencengkam jiwa. Apabila rindu seperti ini disertai rindu yang lain, akuilah betapa kuatnya manusia menanggung rindu yang menggunung di dalam sekeping hati.

Al Fatihah, Rambelah binti Maryam
27 Jun 1951 - 19 Mei 2012

Selasa, 10 September 2013

PSIKOLOGI MENURUT IMAM AL-GHAZALI

PETIKAN daripada buku ini yang baik untuk direnungkan :
"Dari sudut Islam selagi psikologi moden tidak mengakui dan mengiktiraf bahawa manusia adalah [ialah] ciptaan Allah SWT dan masalah jiwa pada dasarnya dari ketidakupayaan hati (al-qalb) mempunyai hubungan dengan Penciptanya, selagi itulah psikologi akan gagal memberi penyelesaian yang memuaskan terhadap krisis jiwa manusia moden (2013:10)"

Bezanya teori psikologi Barat seperti Behaviourisme (Skinner), Psikoanalisis (Freud) dengan Islam ialah pokok persoalan yang tidak dihubungkan dengan aspek ketuhanan. Dalam konteks pembentukan personaliti Islam, kebahagiaan dan ketinggian peribadi manusia hanya berlaku apabila wujudnya hubungan yang baik antara manusia dengan Pencipta, yang sekali gus memungkinkan hadirnya akhlak terpuji. Imam Al-Ghazali menghadirkan empat konsep berhubung pembentukan personaliti manusia iaitu al-qalb (hati), al-ruh (roh), al-nafs (jiwa) dan al-'aql (akal).


Sehubungan itu, kita punya pilihan atau sebagai orang Islam lebih tepat lagi keperluan untuk memanfaatkan pandangan Al-Ghazali dan beberapa pandangan ulama' Islam berhubung aspek kejiwaan [Rujuk juga buku Psikologi dalam Kreativiti Menurut Islam suntingan Mohd. Zaidi Ismail terbitan IKIM] atau sebaliknya, dalam mengkaji dan meneliti persoalan berhubung kejiwaan manusia.

Nota : Buku ini sekadar untuk bacaan mudah. Terdapat beberapa kesalahan teknikal yang wajar dielakkan dalam penerbitan ilmiah. Dibeli pada Jumaat tengah hari 12 Julai 2013 di UKM. Selesai baca pada Jumaat pagi 6 September 2013 di UPM.

Khamis, 5 September 2013

HATI YANG INGAT

Allah SWT menciptakan hati untuk mengingat
dan, ada hati yang kuat mengingat
daripada hati yang lain 
dan, hati inilah yang masih mengingat

walau jauh terasa dekat
walau tidak terjangkau mata
namun, tetap berimbau rasa

walau hati lain akan melupai
tetapi hati ini tidak akan lupa
terasa bagai semalam,
segalanya bermula 
-hijjaz-

cinta antara dua hati
ialah,
naratif penuh misteri

Selasa, 3 September 2013

KAPITALIS KECIL

PULANG dari kuliah malam tadi pada sekitar jam 11:00 malam, saya ke Petronas dan; betapa banyaknya kereta menunggu giliran untuk mengisi minyak sebelum detik 12:00 pagi; sebelum harga petrol RON95 naik 20 sen secara rasmi. Kenapa ya, rakyat Malaysia sanggup beratur panjang mengisi minyak walaupun hakikatnya mereka tetap membayar kadar harga yang baharu pada keesokannya?

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada cerpen "Kapitalis Kecil" karangan Mohd. Affandi Hassan yang terbit dalam Fikiran Rakyat kendalian Ahmad Boestamam pada Januari 1957. Cerpen ini pada hemat saya sesuai sekali untuk diamati dengan mood hari merdeka yang masih terasa. Cerpen ini ditransliterasikan secara langsung daripada tulisan jawi kepada tulisan rumi bagi meluaskan daerah pembacaan. Cerpen dalam tulisan asal turut boleh dibaca dalam buku Gagasan Persuratan Baru:Satu Pengenalan, 2008, Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyesuaian yang minimum dilakukan pada mana-mana bahagian yang difikirkan perlu dan sesuai.
_________________________________________________________________

"KAPITALIS KECIL"
 oleh MABHAS*

SEJAK dia tahu berfikir- tahukan harga wang- cita-citanya hanya satu sahaja, iaitu hendak menjadi seorang kaya. Kalau saya kaya, tentu hidup saya senang, fikirnya.

Menurut pendapatnya, tiap-tiap orang yang kaya itu pastilah senang hidupnya dan pendapat ini telah menjadi darah daging kepadanya sehingga dia lupa bahawa ada orang, kerana terlalu kaya tidak biasa hidup tenteram.

Berbagai-bagai jenis pekerjaaan telah dicubanya- menarik beca, menjadi nelayan dan banyak lagi. Semuanya itu dikerjakannya dengan tujuan dan dorongan yang sama, tugasnya mencari kekayaan.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dia berkedai menjual barang-barang runcit atau barang-barang keperluan dapur di kampungnya itu. Ayahnya telah meninggal dunia, begitulah juga ibunya. Kerana dia anak tunggal, maka sebidang tanah peninggalan kedua orang tuanya itu terserahlah kepadanya sebagai tanah pusaka. Dan di atas tanah inilah, dia mendirikan sebuah kedai kecil untuk tempat dia menjalankan perniagaan tadi itu.

Bintangnya mulai terang dengan penghidupan baru ini. Maklumlah di kampung itu hanya itulah sahaja satu-satunya kedai yang ada. Jadi ke manakah lagi orang ramai hendak berbelanja kalau tidak ke sana? Samalah seperti menahan lukah di pergentingan, setiap ikan yang lalu pastilah akan masuk ke dalamnya.

Baru-baru ini tersebar berita mengatakan cukai-cukai telah dinaikkan oleh kerajaan. Pak Mat, orang yang bercita-cita hendak kaya ini, mendengar pula cukai naik harga, barang-barang pun turut sama naik. Jadi dia tidak bertangguh-tangguh lagi, dinaikkanlah harga barang-barang jualannya. Mancis api naik harga. Ikan kering naik harga. Gula naik harga, pendek kata tidak adalah yang tidak naik harga.

Orang-orang sekampungnya itu meluap-luap marah. Walau bagaimanapun bukanlah Pak Mat yang dimarahi mereka itu kerana mereka sedar dalam perkara itu, Pak Mat tidak boleh diletakkan sebagai bertanggungjawab.

Mereka cukup faham naiknya harga barang-barang itu ialah kerana naiknya cukai-cukai. Dan yang menaikkan cukai-cukai itu bukanlah Pak Mat melainkan segolongan orang-orang yang dulu memujuk-mujuk mereka dengan janji akan membela nasib mereka. Sungguhpun mereka tidak bersekolah tinggi tetapi mereka dapat juga mengira-ngira kalau cukai naik, kerajaan tentu banyak dapat wang. Ini mereka mengerti cuma yang mereka itu tidak mengerti ialah bagaimanakah kenaikan cukai itu boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang mereka selalu dengar orang mendakwakannya.

Kesempitan hidup kerana naiknya harga barang-barang. Ini bukanlah hanya terasa oleh orang-orang di kampung Pak Mat itu sahaja bahkan di mana-mana juga. Tetapi yang terasa itu bukanlah golongan kaum modal dan orang-orang yang seperti Pak Mat ini melainkan orang-orang kampung yang miskin dan yang hidupnya miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan mereka itulah yang menyumpah-nyumpah kerana naiknya harga barang itu.

Mak Timah, seorang tua yang miskin dan tinggal berhampiran dengan rumah Pak Mat itu, misalnya semenjak naiknya harga barang itu terpaksa memberhentikan anaknya dari bersekolah.

"Aku tak berupaya lagi hendak membelanjai engkau bersekolah, katanya kepada anaknya itu. Kalau ayahmu masih hidup, dapatlah ia mengikhtiarkan perbelanjaanmu. Tetapi bagiku bagaimanakah hendak mencarikannya? Dan sekarang harga barang-barang sudah naik pula, bererti belanja hidup kita akan bertambah. Lebih baik sahaja engkau bekerja untuk menambah pendapatan kita."

"Baiklah ibu," Yusuf menjawab mengiyakan. Dan dia pun berhentilah dari bersekolah.

Dengan bertopengkan kenaikan cukai itu, Pak Mat menindas dan menghisap darah orang-orang sekampungnya. Hidup di dunia tidak ada belas kasihan, demikian dia pada suatu hari berkata kepada isterinya. Kita jangan peduli cakap-cakap orang. Ada peluang kita tidak boleh lepaskan. Ada can menaikkan harga barang-barang kita naikkan. Sekali ini tentu kita boleh jadi kaya.

Cakap-cakap Pak Mat ini diterima baik oleh isterinya itu dan oleh semua anak-anaknya, kecuali anak gadisnya yang bernama Rosnah. Mereka berfikir tak lama lagi akan menjadi kaya tetapi Rosnah tidak berfikiran begitu. Dia tidak mengharapkan kekayaan yang didapat dengan menindas dan memeras orang lain – orang-orang sekampungnya sendiri. Sebaliknya dia berfikir dalam keadaan yang demikian itu, orang-orang yang seperti ayahnya itu, yang agak berada sedikit, haruslah menolong jiran-jiran tetangganya itu.

Tetapi Rosnah hanya dapat menyatakan kasihannya sahaja atau setinggi-tingginya menyatakan tidak setuju dengan pendapat ayahnya itu. Untuk mencegahnya dia tentulah tak berkuasa kerana dia bukan menteri, hidupnya pun bergantung kepada ayahnya. Dia hanya seorang gadis dan tak lebih dari itu.

Sejak kecil, Rosnah telah dididik oleh ayahya dan ibunya supaya mengasihi harta tetapi didikannya itu tidaklah memberi bekas kepadanya. Dia tidak mengejar kebendaan dan kerana itu dia tidak mengasihi harta atau orang yang berharta. Dan ini dibuktikannya dengan mencintai Hamid, seorang pemuda tani yang miskin dan bergelumang lumpur.

Yang diutamakan Rosnah ialah kejujuran hati dan kesucian jiwa. Dan ini pernah dinyatakan sendiri kepada kekasihnya, Hamid itu.

"Aku tidak mencintai rupa parasmu, demikian dia berkata – kerana walau bagaimana cantik rupa paras seseorang itu akan luntur juga sudahnya. Bunga tidak selamanya kembang. Ia pasti layu dan kemudian gugur ke bumi. Aku juga tidak mencintai harta kerana bagaimanapun kaya seseorang itu, tidaklah ia akan melebihi kaya Tuhannya."

"Biarlah orang mengejek aku kerana mencintaimu, Mid, katanya lagi. Tetapi bagiku kesucian dan kejujuran hatimu yang kuutamakan."

Tiba-tiba, Rosnah hendak dikahwinkan dengan seorang kaya tua bernama Kasim. Rosnah cuba menolak tetapi si ayah marah kepadanya. Anak tak sedar diri, berkata si ayah itu. Kita hendaklah lihat dia hidup mewah, dia tolaknya pula. Apakah engkau tidak mahu hidup bahagia, Rosnah? Siapa yang hendak engkau tunggu lagi? Dewakah?

Ibu dan adik-beradiknya menyokong si ayah. Dia diam tak berkata-kata. Hatinya di dalam remuk redam laksana kaca terhempas ke batu. Putus harapnya hendak hidup bersama-sama kekasihnya, Hamid.

Bila si ayah mengugut akan menghalaunya keluar dari rumah itu kalau dia berkeras juga tidak mahu dikahwinkan dengan orang kaya Kasim tadi, Rosnah terpaksa menganggukkan kepalanya- menerima.

Demikianlah Rosnah menjadi isteri yang nombor tiga kepada wartawan Kasim. Senang hati Pak Mat. Tercapailah sudah cita-citanya bermenantukan orang kaya. Dan Rosnah terpaksa menyerahkan tubuhnya kepada seorang yang layak dipanggil bapa dengan perasaan yang jengkel.

"Tidak berapa lama kemudian daripada itu, Pak Mat memaksa abang Rosnah, Salih supaya keluar dari kampung itu untuk berniaga atau mencari kerja. Tidak ada gunanya engkau duduk di sini dengan tidak ada bekerja Salih, demikian Pak Mat berkata kepada anaknya yang tua itu. Lebih baik engkau mencari kerja ataupun pergi ke lain tempat berniaga. Tentang modal aku boleh beri dan kalau tak cukup, aku boleh minta pada adik iparmu, Kasim itu, bersetujukah engkau?"

Apakah yang boleh dibuatnya selain mengiyakan saja? Dan pergilah Salih meninggalkan kampungnya itu walaupun hatinya begitu berat hendak meninggalkannya.

Kini, tinggallah Pak Mat, isterinya dan dua orang anaknya yang masih kecil lagi – yang masih menunggu akan besar untuk dikorbankannya pula seterusnya.

Demikianlah Pak Mat menjalankan muslihatnya untuk mengejar kekayaan – mengejar kekayaan dengan kerendahan budinya.

*MABHAS ialah nama pena Mohd. Affandi Hassan pada peringkat awal kepengarangannya. Beliau dilahirkan pada 9 Disember 1943 di Kampung Seberang Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan. Mohd. Affandi memperoleh ijazah sarjana muda (kepujian) Pengajian Melayu dalam pengkhususan Kesusasteraan Melayu daripada Universiti Malaya pada tahun 1966. Pada tahun 1972, beliau menerima Diploma Pentadbiran Awam juga daripada Universiti Malaya, kemudiannya menerima ijazah sarjana  Sains Politik daripada University of Essex, London pada tahun 1977. Pada tahun 1981, beliau menerima Diploma Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara karya beliau ialah Aligupit, Pujangga Melayu dan beberapa kumpulan cerpen iaitu Le Masque (1974), (1974), Mimpi Rakyat (1985), Pura Pujangga (1990), Tenggelam di Laut China (1994), Bukan Ahli UMNO: Bukan Salah SSB (1998) dan Biarlah Orang Tahu (2005).  Dalam bidang penulisan ilmiah, Mohd. Affandi menghasilkan buku BLQ Pengurusan dengan Syura dalam Pelaksanaan Perkhidmatan Awam: Satu Huraian Definitif Tentang Falsafah dan Pelaksanaan Etika Perkhidmatan Awam dalam Pentadbiran Awam Malaysia seperti Yang Terkandung dalam Buku Perkhidmatan Cemerlang (1980) yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri. Tulisan-tulisan ilmiah Mohd. Affandi dalam bentuk eceran yang terbit dalam majalah antaranya Islamika, Jurnal Penyelidikan dan Pengurusan INTAN dan Dewan Masyarakat berhubung pentadbiran dan pengurusan daripada pendekatan tauhid, dibukukan dengan judul Kembali Menjadi Manusia: Pengurusan dan Pentadbiran Dari Pendetakan Tauhid (1987). Selain itu, buku Pendekatan Tawhid dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam: Konsep, Prinsip dan Model Alternatif (1989) diterbitkan oleh INTAN. Buku ini turut diterbitkan dalam edisi Bahasa Inggeris dengan judul Tawhidic Approach in Management and Public Adminstration: Concepts, Principles and An Alternative Model juga oleh INTAN (1992). Idea-idea Mohd. Affandi berkaitan kesusasteraan Melayu khususnya gagasan Persuratan Baru yang dijana beliau boleh diteliti menerusi buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP: 1992,2005), Gagasan Persuratan Baru: Satu Pengenalan (UKM:2008) dan Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM:2010) di samping laman sesawang rasmi beliau iaitu Gagasan Persuratan Baru