Sabtu, 31 Ogos 2013

SATU HARI MERDEKA

TAMAT kuliah pada jam 1:00 tengah hari, saya menuju ke Jalan Masjid India menuju Wisma Yakin bagi mendapatkan buku yang disarankan Dr. Mohd. Zaidi Ismail dalam kuliah pagi ini. Buku yang dimaksudkan ialah Ta'līm al-Muta'allim-Ṭarīq at-Ta'-allum karangan Burhan al-Din al-Zarnuji. Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Instruction of the Student: The Method of Learning. Dalam bahasa Melayu, terdapat dua terjemahan telah dilakukan terhadap buku ini, antaranya ialah Pelita Penuntut. Walau bagaimanapun, versi Pelita Penuntut menggunakan gaya bahasa Melayu lama yang agak sukar untuk dibaca, berbanding buku Panduan Belajar Menurut Kaedah Islam yang diterjemahkan oleh Abdul Ghani Jabar Maraqy dari Kota Bharu.


Pada dasarnya, buku ini membincangkan kaedah dan adab bagi penuntut ilmu. Antara yang dibincangkan ialah :
1. Hakikat ilmu dan kefahaman
2. Niat belajar
3. Pemilihan guru, ilmu dan teman
4. Pemuliaan ilmu dan ahli
5. Kesungguhan, ketekunan dan semangat yang membara
6. Waktu memulakan pembelajaran serta kadar dan susun-tertib pembelajaran
7. Tawakal
8. Tempoh waktu untuk menuntut ilmu
9. Belas kasihan dan mudah memberi
10. Kewarakan pembelajaran
11. Ingatan dan sifat pelupa
12. Rezeki yang mencukupi dan umur yang panjang.

Menuntut ilmu ialah proses yang bermula daripada sesuatu yang terang, yang jelas iaitu pengetahuan terhadap matlamat dan keperluan berkenaan ilmu yang ingin kita terokai. Pada dasarnya, penuntut hanya mencari ilmu yang dapat memberi manfaat/kebaikan kepada diri. Oleh itu, ilmu yang tidak memberi manfaat ibarat pelita tidak bernyala. Ibarat pohon tidak berbuah.

Berhubung ilmu, menarik juga kita mengamati pengertian ilmu seperti yang disebutkan Hujjatul Islam, Imam Al Ghazali yang bermaksud :

Erti ilmu yang sesungguhnya itu ialah tersingkapnya sesuatu dengan jelas  sehingga tidak ada lagi ruangan untuk ragu-ragu, tak mungkin salah atau keliru; tidak ada di hati tempat untuk itu. Keamanan dari bahaya salah atau keliru harus diperkuat dengan keyakinan demikian rupa sehingga andai kata disangkal oleh seseorang yang sakti, yang misalnya dapat mengubah batu menjadi emas atau mengubah tongkat menjadi ular, namun demikian itu tidak akan menimbulkan ragu-ragu sedikitpun juga terhadap keyakinan  tadi. Apa pun yang diketahui, bila tidak seperti atas, dan apa pun yang aku yakini, bila tidak seyakin itu, maka demikian bukanlah 'ilmu' yang patut menjadi pegangan dan tak ada rasa aman di dalamnya. Dan setiap ilmu yang tidak memberi rasa aman demikian, bukanlah ilmu yang yakin (daripada kitab Al Imam Ghazali berjudul Pembebas dari Kesesatan, dipetik daripada makalah Mohd. Affandi Hassan berjudul "Kaedah dan Tujuan Kritik Sastera", Widya. Ogos 1982. Halaman 30-34).

Pencarian ilmu adalah antara tuntutan yang perlu dipenuhi insan; kerana hanya dengan ilmu khususnya ilmu yang benar yang membolehkan manusia melakukan amalan dengan kaedah dan niat yang jelas dan juga benar. Saya terkesima, mendengar kata-kata Dr. Mohd. Zaidi Ismail betapa ilmu yang perlu dituntut terlalu banyak sedangkan umur yang kita ada begitu terhad.

Pencarian ilmu seperti yang disebutkan Dr. Mohd. Zaidi Ismail  menuntut penglibatan mata hati yang dengannya perlu kita perhatikan setiap perkara dengan betul dan berhati-hati. Semoga kembara ilmu ini sentiasa dalam keredaan Ilahi. Semoga, Allah SWT menyingkap hijab dan membersihkan keladak dalam hati agar kita dapat menerima cahaya ilmu-Nya yang melimpah-ruah.

---
Hari ini Hari Kebangsaan. 56 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sebagai Generasi Y, saya bersyukur kerana tidak perlu berhadapan dengan segala kesusahan yang dialami para ulama' dan pejuang kemerdekaan yang sebenar puluhan tahun lalu. Saya menikmati kemerdekaan fizikal itu. Akan tetapi, kita tetap perlu juga meneliti dan menilai kembali erti merdeka; bagi diri secara khusus mahupun dalam konteks yang lebih besar seperti masyarakat, bangsa dan negara pada amnya. Penjajahan kini bukan lagi dalam bentuk fizikal, kita bebas ke mana-mana mahu bergerak (dunia tanpa sempadan), tetapi bebaskah kita sepenuhnya daripada penjajahan minda? Satu persoalan yang klise tetapi perlu direnungkan. Lihat saja pada pengisian siaran televisyen, paparan iklan dan konsert-konsert ambang Merdeka, budaya siapa yang tercitra?

Ketika di sebuah pasar raya malam semalam, saya berdiri di depan sebuah kedai menjual pelbagai DVD sementara menunggu seorang rakan. Saya terlihat DVD filem Mencari Cinta [Cinta perlu dicari?]. Dari jauh, saya menyangka tentulah itu filem Barat. Pandangan dari jauh itu juga mengingatkan saya kepada filem Body Heat yang menjadi subjek kajian dalam kuliah Apresiasi Filem kendalian Hishamuddin Rais pada tahun 2008. Sesiapa yang pernah menonton filem itu tentu tahu betapa 'panas'nya filem itu; perwatakan Matty Walker sebagai femme fatale yang kerjanya 'memanfaatkan' kelicikan dan kewanitaannya untuk mendapatkan kekayaan. Apabila saya melihat dengan lebih dekat DVD yang mengingatkan saya kepada filem Inggeris dekad 1980-1990-an itu, ternyata itu ialah filem tempatan dengan dua wajah pelakon popular di Malaysia.

Ketika berbincang dengan kawan mengenainya, saya menegaskan penolakan saya kepada imej-imej seperti itu. Katanya sebagai balas, "Awak terlalu konservatif. Ini semua kehendak pasaran. Kalau difikirkan nilai semata-mata, macam mana nak maju?"

Jawapannya mengingatkan saya kepada penelitian Pitirim A. Sorokin dalam The Crisis of Our Age yang mendefinisikan kecenderungan masyarakat terhadap hedonisme sebagai budaya hawa nafsu (the sensate culture). Budaya hawa nafsu menjadikan penilaian manusia sebagai kayu ukur sekali gus mengenepikan penilaian Tuhan dalam membuat ukuran. Dengan budaya ini, pasaran khususnya kesenian menjadikan kehendak dan keinginan nafsu rendah manusia sebagai matlamat yang perlu dipenuhi. Kecenderungan ini menimbulkan slogan art for arts sake yang menjelaskan peminggiran terhadap agama dan budaya dalam pembentukannya. Kata-kata Sorokin ini wajar direnungkan bagi melihat pada takah mana kehidupan dan budaya kita mengarah, "If the culture predominantly sensate art [based on sensate culture], sensate also will be its dominant fine arts" (1957:30-52).

Apabila rakan saya bertanya "Macam mana nak maju?" Saya bertanya kepadanya semula, "Apa maksud maju?" Jawabnya sambil tersenyum sinis, "Ke depan. Pembaharuan. Awak tak tahu?" Maju, ke depan dan pembaharuan ialah pengertian 'maju' yang difahamkan kepada kita, sesuai dengan maksud 'maju' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dengan takrifan pertamanya sebagai "bergerak ke muka, mara, melangkah ke depan", maksud kedua sebagai "tinggi tamadunnya". Berdasarkan takrifan ini jelas bahawa "maju" berhampiran sekali maknanya dengan "modern" yang ditakrifkan Oxford Dictionary sebagai "latest, up to date, new". 

Pada hakikatnya, kemajuan bagi peradaban Melayu yang berteraskan Islam mempunyai takrif yang berbeza. Dalam konteks ini, kata yang lebih tepat digunakan bagi mencerminkan "kemajuan" ialah kata "islah" yang bermaksud "usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai [dengan kepercayaan yang kita anuti iaitu Islam]. Hal ini menjelaskan bahawa "islah" tidak terikat pada sesuatu yang "baru" yang "diadakan daripada tiada" semata-mata. Sebaliknya, sesuatu yang telah berlalu, yang kini dianggap tradisi dengan konotasi yang negatif disebabkan peredaran masa, pada hakikatnya tetap "moden" dan "maju" dengan konsep "islah" yang disebutkan sebelum ini. Tidak semua yang lama itu lapuk dan tidak berguna; malah dalam sesetengah keadaan yang lama itu begitu berharga dan tiada tolok bandingnya. Semua ini perlu dinilai dengan kayu ukur yang berasaskan ilmu, bukannya hawa nafsu yang sentiasa cenderung meraikan kebebasan liar jika tidak diikat pada dasar tauhid yang kukuh. 

Maka, apakah erti merdeka dengan dentuman bunga api yang membakar jutaan wang, perarakan besar-besaran dan konsert-konsert yang dihadiri ribuan atau mungkin jutaan rakyat pada malam kemerdekaan semata-mata; dalam masa yang sama kekaburan dan kekeliruan terhadap erti merdeka masib belum selesai?

Semua ini menjadi dialog-dialog yang mengiringi perjalanan pergi dan pulang saya hari ini.

---
Setelah hampir dua jam di Fajar Ilmu Baru, Wisma Yakin saya tinggalkan dalam keadaan hujan mula mencurah lebat. Setiap kali berdepan dengan hujan ketika melewati masa pulang, setiap kali itu saya teringat bidalan ini "Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai", juga yang saya reka sendiri hasil pengalaman sebagai penjaga kucing, "Jika takut terluka digigit, jangan sesekali memelihara kucing". Semuanya akan mudah jika kita belajar menerimanya. Sakit pada mulanya akan menjadi kenangan terindah yang membahagiakan ...


lelaki di tengah kota, 
pada hari merdeka-
menyelongkar tong sampah

tin kosong- dikutip
dipijak,
disimpan

kulihat
bertanya,
salah siapa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan