Jumaat, 9 Ogos 2013

BELAJAR MEMBERI DAN MENGERTI

MINGGU kedua Syawal pada tahun 2008, saya dan rakan-rakan berkesempatan menemu ramah Dato' Aziz Satar dan Kasim Masdor atas tuntutan tugasan. Saya akan teringat mereka. Amat mudah berurusan dengan mereka yang profesional, sanggup datang ke ASWARA dan begitu menepati masa. Hampir tiga jam sesi itu, banyak manfaat yang kami dapat. Pelbagai nasihat dan kenangan daripada Allahyarham P. Ramlee disampaikan oleh Dato' Aziz Satar dan Kasim Masdor. 

Saya kira amat ketara kedua-dua tokoh ini begitu menyayangi dan menghormati arwah. Dato' Aziz Satar mengatakan betapa arwah seorang yang amat bertimbang rasa dan begitu menghargai rakan. Bagi arwah juga kepentingan orang lain lebih utama daripada kepentingan dirinya sendiri. Hal yang sama saya dan rakan-rakan temui ketika menemu ramah Dato' Mustapha Maarof di pejabatnya, tidak lama selepas itu.

Arwah juga pencinta bahasa. Beliau enggan menggunakan bahasa Inggeris dalam skrip-skripnya. Seperti yang kita tahu, skrip-skrip televisyen dan filem kini banyak menggunakan istilah teknikal seperti dissolve to, (P. Ramlee guna 'serap), zoom in dan sebagainya. Istilah-istilah itu tidak wujud dalam skrip-skrip arwah. Beliau juga dikatakan orang yang pertama mencipta perkataan pawagam iaitu singkatan daripada panggung wayang gambar. Kecintaan P. Ramlee terhadap bahasa Melayu amat tinggi, dan ini dapat saya sendiri lihat dalam kajian bandingan yang saya lakukan terhadap filem Antara Dua Darjat karya P. Ramlee dengan filem Cinta karya Mira Mustafa dan Kabir Batia (terbit dalam Dewan Bahasa 2011). Jika dibandingkan dengan skrip kini dengan zaman P. Ramlee, bahasa Melayu semakin hilang fungsi dan maruahnya!

Antara kisah menarik yang disampaikan Dato' Aziz Satar ialah kisah arwah dengan seorang yang tidak dikenali, yang keputusan wang. Kisah ini hadir semula dalam ingatan saya selepas perbincangan mengenai aspek kesyukuran berlaku beberapa hari lalu.

Menurut Dato' Aziz Satar, ketika dia, Sudin dan P. Ramlee sedang bersiap untuk ke sebuah kelab malam, datang dua orang dari Kedah yang mengadu keputusan wang. Mereka meminta sedikit wang daripada P. Ramlee. Tanpa berfikir panjang, arwah terus mengambil wang dua puluh ringgit dari poket bajunya lalu diberikan kepada orang itu. Wang dua puluh ringgit itu pada asalnya mahu digunakan mereka bertiga untuk ke kelab malam. Akan tetapi, rancangan mereka terbatal disebabkan perbuatan P. Ramlee itu.  Apabila ditanya oleh dua sahabat akan tindakannya itu, P. Ramlee berkata, Wang itu bukan aku punya, hanya disimpan sementara di dalam poketku. Wang itu memang kepunyaan dua orang yang meminta bantuan itu. Itu sebab aku terus saja berikan kepada mereka. 

Pedoman daripada teman, orang bersyukur tidak pernah rugi, memberi atau menerima, kerana dia tahu dalam tangannya bukan miliknya. Memberi dengan jujur dan menerimanya dengan ikhlas ialah dua perbuatan yang satu maknanya. Syukur.

Al Fatihah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh
22 Mac 1929 - 29 Mei 1973

Tiada ulasan:

Catat Ulasan