Rabu, 17 Julai 2013

OPS FATAH

JAM DUA PETANG, saya dapat panggilan mengatakan Fatah dibuang oleh budak nakal. Hati jadi rawan. Fatah ialah kucing kelainan upaya (KKU) yang hadir di depan pagar rumah saya kira-kira seminggu yang lalu, pada waktu pagi. Saya mendengar suara kucing mengiau. Ketika menjengah keluar, saya melihat kucing hitam berdiri di depan pagar. Dia memandang saya dan terus mengiau. Persis peminta sedekah yang datang dari rumah ke rumah, memberi salam, hanya akan masuk ke kawasan rumah jika tuan rumah memberi izin. Begitulah Fatah. Dia terus mengiau. Apabila saya menegurnya, barulah Fatah tergesa-gesa masuk ke kawasan rumah. Amat menyedihkan saya melihat keadaan Fatah ketika itu. Dia masih kanak-kanak. Saya jangka usianya sekitar enam bulan. Sepasang kaki belakangnya tidak sempurna, lemah, membuatkan pergerakan Fatah terbatas. Barangkali patah kerana dipukul atau cacat semula jadi. Imbasan sinar x diperlukan untuk mengesahkannya.

Selain sukar bergerak, Fatah juga mengalami masalah untuk membuang najis. Hal ini kerana dua kaki belakangnya tidak kuat untuk membolehkan dia meneran dengan sempurna. Oleh itu, najis Fatah keluar sedikit demi sedikit dengan cara Fatah meneran perlahan-lahan dalam jangka masa yang panjang. Walaupun begitu, keistimewaan Fatah ialah dengan dua kaki depannya, Fatah boleh melompat agak laju dan itulah cara dia bergerak. Cuma, jika dia terjatuh di dalam longkang atau dikejar anjing, memang susah untuk dia menghadapi situasi itu.

Hal inilah yang membuatkan saya begitu tergesa-gesa pulang petang tadi apabila saya dimaklumkan ada budak-budak nakal yang membuang Fatah di kawasan lain. Saya tidak tahu apa sakit hati mereka kepada Fatah. Anak kucing itu tidak ke mana-mana melainkan di kawasan rumah berpagar. Dia tahu di situ ada kotak untuk dia tidur. Di situ ada makanan dan tempat dia membuang najis. Itu yang membuat saya terharu. Fatah tidak ke mana-mana seolah-olah dia menerima dengan baik bahawa di situlah rumah, tempat Fatah menumpang teduh.

Saya mengelilingi kawasan yang dimaksudkan sebanyak lima kali dalam tempoh 20 minit. Akan tetapi, bayang Fatah yang legam itu langsung tidak kelihatan. Saya amat risau akan keadaan Fatah. Saya berdoa agar Fatah selamat daripada dianiaya, dizalimi atau disakiti sesiapa. Saya berasa agak terganggu dengan kegagalan saya mencari Fatah. Usaha mencari Fatah diteruskan lagi jam 10:15 malam tadi. Pada pusingan kedua, sekitar jam 10:20 malam, saya bertanya kepada seorang peniaga kedai makan tentang seekor kucing berwarna hitam. Kata lelaki itu, "Kucing cedera hitam tu? Tadi ada di sini. Ada bagi dia makan. Cuba tengok dekat-dekat sini. Ada tadi baru." Kata saya, "Dia bukan cedera. Dia cacat." Saya seolah-olah boleh melihat betapa besarnya mata saya ketika itu, penuh harapan.

Saya memanggil Fatah. Saya yakin Fatah tahu namanya. Tidak lama memanggilnya, saya dengar suara kucing mengiau. Saya tahu itu suara Fatah. Ketika mendekati sebatang longkang, suara itu memang semakin jelas milik Fatah. Ada najis di kakinya, menandakan dia sedang berusaha meneran. Saya meminta plastik untuk membungkus dan membawa Fatah pulang. Satu pengalaman yang amat manis untuk saya. Perasaan gembira apabila sesuatu yang kita cari, yang kita tuju, berjaya kita temui, capai. 

Semoga Fatah sihat.
Selamatlah jiwa yang sempurna!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan