Khamis, 11 Julai 2013

MEREKA TANPA NAMA

ADA dua situasi yang amat menyedihkan saya hari ini. Setelah hampir seminggu tidak hadir ke fakulti di Serdang, saya gagahkan diri melewati gerimis pagi ini untuk menunaikan janji temu dengan penyelia. Sebaik-baik tiba di fakulti, saya terdengar suara kucing mengiau kegelisahan. Saya mencari sumber suara itu yang saya yakini muncul berdekatan sebatang longkang. Hal ini mengingatkan saya pada pertemuan saya dengan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam longkang yang sama beberapa bulan lalu. Hati saya sudah resah. Dengan hujan yang masih belum berhenti, saya amat susah hati jika ada kucing terperangkap lagi di dalam longkang itu.

Setelah saya mengamati kawasan itu, jelas tiada seekor kucing pun di dalam longkang. Akan tetapi, hati saya masih gelisah kerana sayup-sayup suara kucing itu masih saya dengar tetapi tidak saya jumpa pemiliknya. Ketika saya mahu meninggalkan kawasan itu dengan hati yang resah, seekor ibu kucing berlari-lari ke arah saya. Itu ialah ibu kucing yang sama sering saya jumpa. Sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Tidak jauh daripada ibu kucing dan saya, kelihatan dua ekor anak kucing seusia Lanang Jati, mengikut perkiraan saya. Anak-anak kucing itu mengiau memanggil ibunya yang sedang meleseh-leseh di kaki saya. Sungguh saya berasa sangat marah kepada diri sendiri dan berasa amat bersalah. Ibu kucing itu kenal saya kerana saya selalu memberinya makan Smart Heart yang kebiasaannya saya bawa ke mana-mana. Kadang-kadang, saya sendiri mencari ibu kucing itu, khususnya ketika dia sedang bunting. Pagi ini, dia mendekati saya, meleseh di kaki saya sambil dua anak menunggu dirinya. Apa yang dimahukan oleh ibu itu kecuali makanan buat menambah susu badannya? Saya benar kesal kerana melengah-lengah membeli bekalan Smart Heart untuk kucing-kucing tidak bertuan sepertinya.

Saya meninggalkan ibu kucing itu setelah meminta maaf kepadanya kerana tidak dapat memberi apa-apa yang dapat mengenyangkan dirinya. Rasa bersalah saya bertambah mengenangkan kafeteria fakulti yang ditutup sepanjang Ramadan. Pada petangnya pula, ketika saya singgah ke Pasar Tani untuk membeli barang basah, saya bertemu dengan seekor anak kucing berusia dalam enam bulan sedang menggigit hati ayam. Rasa bersalah saya hinggap lagi di hati. Kalau saya ada Smart Heart, dapatlah saya beri kepadanya. Saya meminta penjual ayam memotong sedikit bahagian ayam yang saya beli untuk saya berikan kepada anak kecil itu. Wanita pemilik gerai ayam itu mengatakan anak kucing itu baru sahaja diberi makan. Saya masih tidak puas hati. Keadaan anak kecil itu tampak tidak sihat. Ada luka di telinganya. Saya tinggalkan anak kucing itu  juga dengan perasaan penuh  bersalah kerana tidak dapat memberinya makan, juga tidak dapat membawanya pulang.

Dua situasi ini atau setiap kali saya berdepan dengan situasi ini, saya akan teringat pada watak Tok Ayah dalam novel Pujangga Melayu karangan Mohd. Affandi Hassan. Ketika Tok Ayah berhasrat untuk menyembelih rusa yang berjaya diburu, seekor ibu kucing hutan melintasinya sambil menggongong anaknya yang sudah mati. Tok Ayah berasa sangat pilu melihat kesedihan ibu kucing itu yang kematian anaknya. [Kisah ini juga mengingatkan saya pada seekor kucing buta sebelah mata yang datang ke pintu dapur saya sambil menggongong anaknya yang sudah mati. Dengan mata sebelah dia memandang saya seolah-olah minta dikebumikan anaknya itu. Kejadian ini berlaku pada tahun 2005 ketika saya berusia 18 tahun]. Tok Ayah langsung tidak jadi menyembelih rusa tersebut malah rusa tersebut dilepaskan. Tindakan itu dilakukan gara-gara simpati dan empati Tok Ayah yang mendalam terhadap perasaan ibu kucing, sifat manusiawi Tok Ayah yang tampak kecil tetapi tersirat makna. Menerusi peristiwa itu, Tok Ayah berkata "Tidak rugi kita berkorban sedikit. Rezeki Allah Taala tidak terhisab. Kita mesti bersyukur dan mesti ada perasaan belas kasihan ketika melihat ada makhluk Allah Taala dalam kesusahan. Walaupun hanya seekor kucing hutan" (1997:22). Kata-kata Tok Ayah ini mengingatkan saya selalu dengan perwatakan emak saya yang amat menyayangi haiwan khususnya kucing. Bagi emak, biarlah dia tidak makan asalkan kucing-kucingnya cukup makan. Sebagai manusia, kita boleh dengan sendirinya mencari makanan yang baik tetapi tidak kepada haiwan. Jika mampu, bantulah mereka mengisi perut mereka. Jika kita memberi makan kepada kucing yang bunting, makanan itu bukan hanya untuk ibunya tetapi juga untuk anak yang ada di dalam rahimnya.

Semoga rasa bersalah hari ini mengajar saya untuk lebih prihatin kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Anjing betina ini melalui saya ketika saya berada di sebuah bengkel semalam. Di lehernya ada kolar maknanya dia pernah bertuan. Kasihan saya kepada dia dengan lidah terjelir pada waktu hari yang panas, dia menyelongkar tong sampah berhampiran tempat saya berdiri tetapi tiada apa-apa yang dapat menggembirakannya.

Setiap kali bertemu dengan haiwan-haiwan terbiar ini, mereka akan berada di dalam ingatan saya sentiasa. Ada yang menerbitkan rasa bersalah kerana tidak mampu membantu mereka, pilu mengenangkan perjuangan mereka untuk hidup dan gembira melihat kecomelan mereka. Bagi saya, semua haiwan secara fitrahnya memang comel.

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam - Ummu Hurairah yang saya kenal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan