Isnin, 8 Julai 2013

MAMA JIE JIE

AHAD yang lalu saya membawa Mama Jie Jie ke Gasing Veterinary Hospital untuk divaksinkan. Akan tetapi, Dr. Tan yang memeriksa Mama Jie Jie mengesan ketidaknormalan pada kesihatannya. Dr. Tan mengesyaki Mama Jie Jie, kucing jalanan yang hampir lapan tahun tinggal di belakang rumah saya ini menghidap diabetes atau kegagalan buah pinggang berfungsi. Ujian darah dilakukan. 

Saya berasa agak risau, susah hati jika Mama Jie Jie sah menghidap penyakit kronik itu. Pertama kerana penjagaan rapi yang diperlukan Mam Jie Jie dan kedua kos menjaga kucing berpenyakit seperti itu juga tidak kecil. Saya berdoa agar Mama Jie Jie bebas daripada penyakit tersebut. Alhamdulillah, keputusan darah Mama Jie Jie mengesahkan bahawa Mama Jie Jie bebas daripada dua penyakit tersebut. Itu sudah cukup baik dan buat saya lega. Akan tetapi, bacaan keseluruhan darah Mama Jie Jie memperlihatkan keganjilan yang lain. Antibodi Mama Jie Jie sangat tinggi dan tidak normal. Apatah lagi dengan keadaan perut Mama Jie Jie yang luar biasa besar maka Dr mengesyaki kebarangkalian adanya tumor atau sel kanser. Saya maklumkan Dr. Tan yang tumor telah dibuang dari rahim Mama Jie Jie ketika melahirkan Wira pada 1 April yang lalu.

Dr. Tan mencadangkan saya agar melakukan imbasan pada perut Mama Jie Jie. Jika benar ada sel kanser dan sekiranya sel itu sudah merebak maka pembedahan tidak akan dilakukan. Lebih baik dibiarkan saja. Tetapi jika belum serius maka pembedahan amat digalakkan. Saya menghitung kos-kos tersebut. Setelah dicongak saya berusaha mendapatkan veterinar yang dapat menawarkan kos perubatan dan pembedahan yang lebih rendah sesuai dengan kemampuan saya. Pening juga kepala saya memikirkannya. Tidak sampai hati saya membiarkan Mama Jie Jie sakit. Hospital Veterinar UPM menawarkan kos yang agak baik akan tetapi jaraknya yang terlalu jauh memberi kesulitan kepada saya. 

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk tetap melakukan imbasan kepada perut Mama Jie Jie pada Jumaat yang lepas. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang tidak normal atau ketumbuhan dalam perut Mama Jie Jie cuma buah pinggangnya saja memperlihatkan simptom awal untuk bermasalah. Oleh itu, saya perlu memberikan makanan yang kurang tinggi kandungan proteinnya agar buah pinggang Mama Jie Jie tidak perlu bekerja terlalu keras. Saiz perut Mama Jie Jie yang besar itu pula berlaku akibat hati Mama Jie Jie yang membesar. Dalam istilah manusia, bengkak hati. Untuk haiwan, masih belum ada teknologi untuk berhadapan dengan penyakit seperti ini.


Tubuh Mama Jie Jie yang mengering juga boleh jadi disebabkan masalah awal pada buah pinggangnya. Satu lagi ialah FIV iaitu sejenis penyakit kelamin bagi kucing yang sama dengan AIDS bagi manusia. Cuma FIV tidak menjangkiti manusia tetapi boleh merebak kepada kucing lain menerusi rembesan saliva. Oleh sebab Mama Jie Jie memang saya asingkan daripada kucing-kucing lain maka masalah itu dapat dikawal cuba kesihatan Mama Jie Jie perlu diberi perhatian selalu.
Saya berasa sangat lega setelah imbasan dibuat. Sekurang-kurangnya saya tahu Mama Jie Jie bebas kanser dan tumor. Seterusnya, saya berserah kepada Allah SWT agar beri yang terbaik untuk Mama Jie Jie. Saya hanya mahu Mama Jie Jie dapat menikmati bahagia di akhir usianya setelah lebih lapan tahun hidup tidak bertuan dan tanpa penjagaan.


Kucing yang hitam legam ini pula menjenguk saya di pagar rumah pada pagi semalam. Apabila saya melihat dia dan memanggilnya, dia pantas berlari masuk. Kaki belakangnya tidak kuat. Seperti patah atau cacat. Dia berjalan dengan menyeret kaki belakangnya. Dia dibawa ke SPCA di Jalan Setapak pada petang semalam. Dr kata agak sukar untuk dia bergerak, melompat jika dibiarkan hidup di luar. Maknanya .... bertambah lagi keluarga meow saya ... cuma saya belum ada nama untuk dia lagi.

Meow meow

Tiada ulasan:

Catat Ulasan