Ahad, 28 Julai 2013

KESAYANGAN SAYA

BEBERAPA hari lalu, saya mengunjungi keluarga Manis. Masih ingat anak-anak kecil dahulu yang pada awalnya ingin saya ambil? Kini, mereka sudah berusia tiga bulan. Saya tidak jadi mengambil mereka memandangkan pemilik mereka sudah selesa menjaga mereka. Dahulu, saya berhajat untuk mengambil mereka kerana tidak sanggup membiarkan anak-anak kecil itu diberikan kepada keluarga angkat yang tidak pasti mampu menjaga mereka dengan baik. 

Anak-anak Manis semakin comel. Nama mereka juga sudah berubah. Ada yang diberi nama Yori, Yoki, Momod dan Yoka. Saya tidak berapa gemar dengan nama-nama seperti itu. Tiada semangat padanya. Akan tetapi, itulah pilihan pemilik mereka.

Sungguh, saya sangat gembira melihat mereka setelah agak lama tidak mengunjungi mereka. Saya akan ingat kegembiraan saya ketika melihat wajah-wajah itu. Empat beradik itu juga sudah divaksin. Barulah senang hati untuk membiarkan mereka bermain-main dengan saudara-saudara angkatnya yang lain. Anak-anak ini juga punya ibu angkat. Namanya Cantik. Ketika ditemui tiga bulan lalu di Selayang Baru, Cantik tidak secantik kini. Tubuhnya kurus dan bulunya lusuh. Kini, Cantik sudah gebu, menawan dan sihat setelah dikembiri dan diberi makanan yang terbaik. Yang istimewa tentang Cantik, dia ibu kucing yang amat baik, prihatin dan penyayang. Menurut veterinar yang saya kenal, kucing tiga warna seperti Cantik dan Mama Kancil memang ibu kucing yang penyayang.

Saya sayang mereka. Satu perkara yang saya kesan, kucing-kucing yang dikutip kebiasaannya tidak menyusahkan tuannya. Kucing-kucing ini berkelakuan baik seolah-olah begitu menghargai kita yang mengambil mereka. Hal ini dapat saya lihat pada perwatakan Cantik, Mama Kancil, Teja dan Mama Jie Jie. Kelakuan mereka sangat terkawal, melainkan jika mereka diambil ketika masih kecil seperti Jati, Tam Tam, Jie Jie dan Oyen. Disebabkan masih kanak-kanak, kenakalan mereka satu lumrah.

Lanang Jati semakin membesar. Tubuhnya semakin mantap. Nakalnya juga menjadi-jadi. Memandangkan Jati tinggal dengan Mama Kancil, maka Jati tidak biasa bermain dengan budak-budak lain. Jati sering dibuli khususnya oleh Oyen jika saya letakkan Jati ke dalam rumah Oyen. Dalam hal ini, Jati kalah dengan budak-budak lain. Akan tetapi, dengan saya - Jati sentiasa mahu menang. Jati mempunyai kegilaan untuk menggigit. Pada Jati, gigit-menggigit itu tanda kemesraannya sedangkan yang menderita digigit runcing giginya ialah saya. Dalam konteks ini, hanya Jati yang mendapat kepuasan itu, bukan saya. Saya tidak pasti sebab Jati boleh menjadi senakal dan seagresif itu. Apakah kerana namanya yang terlalu kuat untuk dirinya, menjadikan Jati sebegitu jati. Sungguh, sepanjang hayat saya memelihara kucing, Jati ialah kucing pertama yang berperwatakan demikian. Jati kucing pertama yang berusaha menggigit monitor komputer riba saya, membuat lakaran air seni di atas nota saya dan mengheret buku saya ke serata ruang tamu. Jati! Untuk itu, Jati istimewa dengan caranya yang tersendiri.

Ahad minggu lalu, Oyen dan Profesor Tam dibawa ke SPCA, Jalan Setapak untuk dikembiri. Tindakan itu sangat tepat memandangkan Tam sudah mula memperlihatkan tanda-tanda mahu mengawan. Kasihan saya pada Sofi yang asyik diganggu Tam dalam beberapa hari itu. Malam sebelum pembedahan, Tam dan Oyen perlu berpuasa daripada makan dan minum dari jam 10 malam hingga tiba waktu pembedahan. Sepanjang waktu itu, suara garau mereka memang mencabar kesabaran saya yang berjaga hingga dinihari, menahan telinga mendengar koir mereka. Agak lucu apabila Tam Tam mengambil masa yang sangat lama untuk sedar sepenuhnya daripada pembedahan. Ketika itu, Tam Tam seperti kucing mabuk. Keadaannya amat lemah sedangkan kebiasaannya dia sangat gagah. Jika dibandingkan dengan Oyen yang jauh lebih muda, Tam Tam sangat lemah.

Saya memelihara kucing sejak kecil. Emak seorang pencinta haiwan yang amat saya kagumi. Daripada emak, saya mewarisi kasih sayang ini. Pernah saya berasa amat cemburu dengan emak kerana tidak seperti saya, emak langsung tidak alah kepada bulu kucing dan kucing. Saya pula sejak kecil hingga di peringkat sekolah menengah perlu melawan alahan terhadap bulu kucing. Apabila bermain atau membelai kucing walaupun seketika, alahan yang saya terima sukar untuk diungkapkan dengan kata. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana alahan itu akhirnya beransur hilang. Alah bisa tegal biasa. Saya fikir sistem imunisasi saya sudah boleh menerima hakikat kecintaan saya ini.

Kesemua mereka kecuali Omi ialah kucing yang saya jumpa dan saya ambil pada pandangan pertama. Ketika ditemui, ada yang badannya dipenuhi kurap, kurus dan tidak sihat. Kini, mereka menjadi kucing-kucing yang sangat cantik persis tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai kucing terbiar. Semoga mereka sihat sentiasa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan