Jumaat, 19 Julai 2013

BERPISAH TIADA

SESEORANG bertanya kepada saya semalam, bagaimana rasanya ketiadaan emak? Bagaimana rasanya? Apabila seseorang itu terpisah daripada insan yang dikasihi, yang terpisah itu hanya jasad sedangkan doa penghubung segala. Saya dan emak tidak lagi bersama dalam dunia yang sama. Dunia kami telah berbeza tetapi doa juga yang menghubungkan saya dengan emak. Saya fikir saya agak tenang ketika menerima pemergian emak, setahun yang lalu itu. Saya masih ingat, tiada setitis air mata mengalir ketika doktor memaklumkan saya yang emak sudah tiada. Saya masih ingat wajah doktor bersungguh-sungguh mencari ayat terbaik untuk memberi khabar itu kepada saya. Tiada juga air mata mengalir sepanjang saya menguruskan jenazah emak pada Sabtu 19 Mei 2012 itu. Ketika memandikan jenazah emak, wanita yang mengetuai urusan itu berkata "Adik nampak sabar." Saya begitu tenang ketika itu. Bagi saya, masa, tempat dan keadaan begitulah yang Allah SWT tetapkan untuk kematian emak, yang tidak cepat atau lambat walaupun sesaat. Itulah takdir emak. Perginya dalam tidur, seperti yang emak doakan. Saya yakin, Allah SWT memberi yang terbaik untuk emak.

Saya menangis, setelah semua urusan emak selesai. Tangisan itu bukan kerana rasa tidak reda  terhadap pemergian emak. Akan tetapi kerana kesedaran saya betapa hidup saya sudah tidak lengkap tanpa emak. Saya mengambil yang agak lama untuk membiasakan diri tanpa emak setelah 25 tahun kami hidup bersama. Kemudian, menerima hakikat bahawa yang terpisah hanya jasad. Sedangkan emak sentiasa ada di dalam jiwa. Sentiasa hidup dalam ingatan dan doa. Pada pandangan yang lebih jauh, kami tidak terpisah. Rindu saya tidak akan surut untuk emak. Tidak terluah, semakin melimpah. Rindu paling indah.

rindu yang selalu
mekar doa kudus
kiriman untuk ibu

Hargai dan cintai ibu sesungguhnya, walaupun usaha anda itu tidak pernah cukup untuk membalas cinta dan pengorbanan ibu. Pemeliharaan ibu kepada anaknya semata-mata untuk anaknya hidup; sementara pemeliharaan anak terhadap ibunya sehingga ibunya mati. Kasih ibu itu menjaga anaknya supaya hidup; kasih anak itu sekadar menjaga ibunya menunggu hari mati. Antara dua cinta ini. yang satu ibarat mendaki puncak gunung. Yang satu lagi menuruni bukit. (Pujangga Melayu, 1997, 46). Mana yang lebih mudah?

Always love your mother because you will never get another ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan