Ahad, 28 Julai 2013

KESAYANGAN SAYA

BEBERAPA hari lalu, saya mengunjungi keluarga Manis. Masih ingat anak-anak kecil dahulu yang pada awalnya ingin saya ambil? Kini, mereka sudah berusia tiga bulan. Saya tidak jadi mengambil mereka memandangkan pemilik mereka sudah selesa menjaga mereka. Dahulu, saya berhajat untuk mengambil mereka kerana tidak sanggup membiarkan anak-anak kecil itu diberikan kepada keluarga angkat yang tidak pasti mampu menjaga mereka dengan baik. 

Anak-anak Manis semakin comel. Nama mereka juga sudah berubah. Ada yang diberi nama Yori, Yoki, Momod dan Yoka. Saya tidak berapa gemar dengan nama-nama seperti itu. Tiada semangat padanya. Akan tetapi, itulah pilihan pemilik mereka.

Sungguh, saya sangat gembira melihat mereka setelah agak lama tidak mengunjungi mereka. Saya akan ingat kegembiraan saya ketika melihat wajah-wajah itu. Empat beradik itu juga sudah divaksin. Barulah senang hati untuk membiarkan mereka bermain-main dengan saudara-saudara angkatnya yang lain. Anak-anak ini juga punya ibu angkat. Namanya Cantik. Ketika ditemui tiga bulan lalu di Selayang Baru, Cantik tidak secantik kini. Tubuhnya kurus dan bulunya lusuh. Kini, Cantik sudah gebu, menawan dan sihat setelah dikembiri dan diberi makanan yang terbaik. Yang istimewa tentang Cantik, dia ibu kucing yang amat baik, prihatin dan penyayang. Menurut veterinar yang saya kenal, kucing tiga warna seperti Cantik dan Mama Kancil memang ibu kucing yang penyayang.

Saya sayang mereka. Satu perkara yang saya kesan, kucing-kucing yang dikutip kebiasaannya tidak menyusahkan tuannya. Kucing-kucing ini berkelakuan baik seolah-olah begitu menghargai kita yang mengambil mereka. Hal ini dapat saya lihat pada perwatakan Cantik, Mama Kancil, Teja dan Mama Jie Jie. Kelakuan mereka sangat terkawal, melainkan jika mereka diambil ketika masih kecil seperti Jati, Tam Tam, Jie Jie dan Oyen. Disebabkan masih kanak-kanak, kenakalan mereka satu lumrah.

Lanang Jati semakin membesar. Tubuhnya semakin mantap. Nakalnya juga menjadi-jadi. Memandangkan Jati tinggal dengan Mama Kancil, maka Jati tidak biasa bermain dengan budak-budak lain. Jati sering dibuli khususnya oleh Oyen jika saya letakkan Jati ke dalam rumah Oyen. Dalam hal ini, Jati kalah dengan budak-budak lain. Akan tetapi, dengan saya - Jati sentiasa mahu menang. Jati mempunyai kegilaan untuk menggigit. Pada Jati, gigit-menggigit itu tanda kemesraannya sedangkan yang menderita digigit runcing giginya ialah saya. Dalam konteks ini, hanya Jati yang mendapat kepuasan itu, bukan saya. Saya tidak pasti sebab Jati boleh menjadi senakal dan seagresif itu. Apakah kerana namanya yang terlalu kuat untuk dirinya, menjadikan Jati sebegitu jati. Sungguh, sepanjang hayat saya memelihara kucing, Jati ialah kucing pertama yang berperwatakan demikian. Jati kucing pertama yang berusaha menggigit monitor komputer riba saya, membuat lakaran air seni di atas nota saya dan mengheret buku saya ke serata ruang tamu. Jati! Untuk itu, Jati istimewa dengan caranya yang tersendiri.

Ahad minggu lalu, Oyen dan Profesor Tam dibawa ke SPCA, Jalan Setapak untuk dikembiri. Tindakan itu sangat tepat memandangkan Tam sudah mula memperlihatkan tanda-tanda mahu mengawan. Kasihan saya pada Sofi yang asyik diganggu Tam dalam beberapa hari itu. Malam sebelum pembedahan, Tam dan Oyen perlu berpuasa daripada makan dan minum dari jam 10 malam hingga tiba waktu pembedahan. Sepanjang waktu itu, suara garau mereka memang mencabar kesabaran saya yang berjaga hingga dinihari, menahan telinga mendengar koir mereka. Agak lucu apabila Tam Tam mengambil masa yang sangat lama untuk sedar sepenuhnya daripada pembedahan. Ketika itu, Tam Tam seperti kucing mabuk. Keadaannya amat lemah sedangkan kebiasaannya dia sangat gagah. Jika dibandingkan dengan Oyen yang jauh lebih muda, Tam Tam sangat lemah.

Saya memelihara kucing sejak kecil. Emak seorang pencinta haiwan yang amat saya kagumi. Daripada emak, saya mewarisi kasih sayang ini. Pernah saya berasa amat cemburu dengan emak kerana tidak seperti saya, emak langsung tidak alah kepada bulu kucing dan kucing. Saya pula sejak kecil hingga di peringkat sekolah menengah perlu melawan alahan terhadap bulu kucing. Apabila bermain atau membelai kucing walaupun seketika, alahan yang saya terima sukar untuk diungkapkan dengan kata. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana alahan itu akhirnya beransur hilang. Alah bisa tegal biasa. Saya fikir sistem imunisasi saya sudah boleh menerima hakikat kecintaan saya ini.

Kesemua mereka kecuali Omi ialah kucing yang saya jumpa dan saya ambil pada pandangan pertama. Ketika ditemui, ada yang badannya dipenuhi kurap, kurus dan tidak sihat. Kini, mereka menjadi kucing-kucing yang sangat cantik persis tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai kucing terbiar. Semoga mereka sihat sentiasa. 

Selasa, 23 Julai 2013

CINTA SAMPAI SYURGA

SAYA tidak berapa faham beberapa ayat dalam dedikasi Achdiat K. Mihardja dalam Manifesto Khalifatullah ini, khususnya yang berbunyi ala dialek Minangkabau. Yang saya faham, beliau tentunya sangat menghargai isterinya yang menjadi teman hidupnya dalam jangka masa yang amat panjang. Saya juga pasti, bukan masa panjang berisi susah senang bersama itu sahaja yang membuatkan dia menghargai isterinya. Akan tetapi atas pengorbanan isterinya melahirkan anak-anaknya. Bagi saya, itu ialah kemuncak penghargaan seorang suami kepada isteri, apabila dia sentiasa sedar akan keikhlasan dan kasih sayang isteri menerusi pengorbanan-pengorbanan yang tidak terungkapkan. Cinta begini ialah cinta yang tahan uji. Semoga cinta dan kasih mereka mekar hingga ke syurga.

Tidak akan sama cinta seorang isteri kepada suami, dengan cinta seorang wanita kepada lelaki. Begitu, tidak pernah sama cinta seorang suami kepada isteri, dengan cinta seorang lelaki kepada wanita. Yang satu menempah syurga, sedang yang satu mengundang nestapa.

Isnin, 22 Julai 2013

'PAKAIAN' KITA

MANUSIA dijadikan Allah SWT di bumi dengan dua tujuan iaitu untuk beribadah kepada-Nya sebagai hamba dan mentadbir alam dengan sebaik-baik pentadbiran sebagai khalifah-Nya. Dengan tujuan itu, setiap perkara yang dilakukan manusia tidak pernah terlepas daripada perhatian dan penilaian Allah SWT waima sebesar zarah cuba disembunyikan, termasuklah dalam etika berpakaian seorang Islam. Nampak remeh, hakikatnya tetap penting.

Islam telah menggariskan kaedah berpakaian yang sesuai dengan manusia itu sendiri. Pakaian bukan sahaja melindungi manusia daripada suhu yang pelbagai tetapi juga melindungi maruah pemakai. Betapa pentingnya pakaian sehingga perkataan 'pakaian' dalam al-Quran diertikan juga sebagai takwa. Dengan berpakaian, manusia tidak menjadi individu yang janggal untuk menjalani kehidupan harian.

Persoalannya, bagaimanakah pemakaian yang kita amalkan selama ini? Apabila kita membeli pakaian, apakah niat kita dengan tindakan itu? Niat ialah perkara penting yang akan menentukan tindakan kita seterusnya dalam setiap aspek kehidupan. Apabila kita pasakkan niat membeli pakaian untuk menutup aurat, maka pemilihan kita dibatasi dengan peraturan-peraturan yang kembali memberi kebaikan kepada kita. Apabila niat membeli pakaian untuk menutup aurat, maka kita akan menentukan spesifikasi pakaian yang akan kita beli untuk disarung ke tubuh sendiri secara lebih jelas. Bukan dalam urusan membeli rumah, kenderaan sahaja kita perlu peka kepada spesifikasi tertentu, tetapi semua perkara dalam hidup perlu diukur menurut penilaian yang ditentukan agama. Bukan berdasarkan penilaian kita sebagai manusia yang kadang-kadang hanyut dengan nafsu serakah. Dalam soal berpakaian, apabila kita jelas dengan ukuran yang ditentukan Islam maka pemilihan kita tentulah kepada yang longgar, tidak menampakkan warna kulit dan menutup aurat. Dalam kerangka mazhab Imam Syafie, aurat yang dibenarkan terzahir hanya wajah dan telapak tangan.

Dengan niat dan kepatuhan manusia terhadap peraturan berpakaian daripada penilaian yang ditentukan Allah SWT, kita tidak perlu keliru dengan aneka jenama dan fesyen yang menggunakan kata 'muslimah' di belakangnya, walhal yang ketara diksi tersebut hanya menjadi tempelan bagi menarik perhatian dan perasaan mereka yang sama keliru tentangnya. Semoga kita berpakaian kerana tuntutan syariat, bukan nafsu. Biar pada penilaian manusia moden pakaian kita nampak kolot tetapi kita yakin dan faham akan kebenaran yang kita lakukan dan perjuangkan. Semoga setiap ringgit yang kita salurkan bagi memenuhi keperluan asas ini tidak menjadi sia-sia tetapi diukur sebagai ibadah.

Etika berpakaian bagi muslimah bukan memerlukan kita berjubah sentiasa [kerana rekaan jubah kini pun sudah tidak menepati spesifikiasi yang seharusnya] tetapi cukup kita tahu apa itu aurat yang perlu kita jaga dengan penuh mujahadah.

Dengan bismillah kita menyarung pakaian, semoga terhindar daripada keburukan berpakaian.

Audit diri, antara penilaian manusia dan penilaian Allah SWT, yang mana utama di hati kita?

Ahad, 21 Julai 2013

HACHIKO

KUCING ialah haiwan yang sangat comel, pada pandangan saya. Betapapun keadaan zahirnya comot, mereka tetap comel dan menenangkan saya. Jika saya marah atau sedih, sekuntum senyum tetap terukir apabila saya melihat wajah mereka. Saya teringat pengalaman pada satu pagi ketika mengikuti pengajian ijazah pertama dahulu. Ketika menaiki bas, seekor kucing yang dari mana datangnya ikut sama menaiki bas. Pemandu bas tidak menyedari hal itu. Saya masih terkesima melihat kucing itu. Apabila saya sedar, segeralah saya menekan loceng. Jarak dari asal ke kawasan bas berhenti itu ialah 10 minit berjalan kaki. Saya turunkan kucing itu di situ. Saya tidak pasti, bagaimana keadaan dia yang tiba-tiba diturunkan di kawasan perumahan itu. Itu saja yang mampu saya buat. Lebih teruk saya fikir jika dia terus berada di dalam bas, dan keluar di tengah Kuala Lumpur. 

Ingatan saya tentang kegembiraan setiap kali melihat wajah kucing ini datang ketika saya mengunjungi guru yang kehilangan kucingnya selama 16 hari. Guru saya ini cukup pilu sepanjang 16 hari itu. Emosinya terganggu. Apatah lagi mengenangkan kucingnya itu yang mempunyai sakit jantung dan perlu memakan ubat sebanyak tiga kali sehari. Nama kucing itu Hachiko. Saya yang beri nama itu ketika Hachiko baru lahir, hampir dua tahun lalu. Ketika itu, saya baru berkenalan dengan kisah Hachiko, anjing setia yang kisahnya diabadikan di sebuah kawasan di Jepun. Rupa-rupanya, Hachiko kucing guru saya ini juga tidak kurang setianya. Setelah 16 hari hilang, Hachiko pulang pada jam 1 pagi Sabtu minggu lalu. 

Kami mengesyaki Hachiko diambil orang. Kenapa? Kerana tubuh Hachiko sangat bersih. Bulunya sangat lembut memberitahu kami yang Hachiko sudah dimandikan. Kami sangat bersyukur dengan kepulangan Hachiko. Surutlah rindu dan risau kami mengenangkan keadaan Hachiko yang berpenyakit. Akan tetapi, saya menyedari perubahan pada Hachiko. Sebelum ini Hachiko bukan kucing yang suka 'bercakap'. Hachiko lebih banyak berdiam dan tidak begitu manja. Kini, Hachiko sangat suka mengiau, jelas suaranya yang 'garau', juga sangat manja. Barangkali Hachiko asyik menjerit dan mengiau sewaktu dikurung oleh sesiapa yang mengambilnya. Entah bagaimana hidup Hachiko selama 16 hari itu, sehingga Hachiko berusaha untuk kembali semula ke rumah tuannya.

Saya belajar satu perkara daripada kasih sayang guru saya ini kepada Hachiko. Harapannya yang tidak pernah padam bahawa Hachiko akan pulang. Saban hari, dia tawakal membuka tingkap kamarnya dengan harapan Hachiko akan masuk ke dalam kamar seperti biasa menerusi tingkap itu. Pada jam 1 pagi itu, guru saya terasa ada kucing di sebelahnya. Apabila dia membuka mata, memang jelas Hachiko yang berada dan terus meleseh di kaki guru. Guru saya mencubit tangannya, memastikan bahawa dia bukan bermimpi tentang kepulangan Hachiko. Begitu cerita guru kepada saya.

Sebelum Hachiko pulang, guru saya telah meminta foto-foto Hachiko daripada saya. Berbanding dia, memang saya sangat suka mengambil foto kucing. Dalam simpanan komputer saya sudah ada beribu foto kucing. Dengan foto Hachiko itu, guru saya membuat poster tentang kehilangan Hachiko, itulah tindakannya yang memancarkan usaha dan harapannya yang tidak padam untuk kembali bertemu Hachiko. Jelas, dia percaya untuk tidak berputus harap. Sama seperti yang dikatakan seorang guru saya, orang Islam yang faham Islam tidak akan berputus harap kerana Islam sentiasa memberi harapan kepada manusia.

Hari ini, saya gembira. Saya tersenyum melihat dan membelai Hachiko. Saya tidak akan lupa gelagat haiwan comel ini yang sentiasa berjaya menambat senyum saya. Wajah yang selalu berjaya menggantikan duka menjadi tawa, wajah kesayangan saya.

Jumaat, 19 Julai 2013

BERPISAH TIADA

SESEORANG bertanya kepada saya semalam, bagaimana rasanya ketiadaan emak? Bagaimana rasanya? Apabila seseorang itu terpisah daripada insan yang dikasihi, yang terpisah itu hanya jasad sedangkan doa penghubung segala. Saya dan emak tidak lagi bersama dalam dunia yang sama. Dunia kami telah berbeza tetapi doa juga yang menghubungkan saya dengan emak. Saya fikir saya agak tenang ketika menerima pemergian emak, setahun yang lalu itu. Saya masih ingat, tiada setitis air mata mengalir ketika doktor memaklumkan saya yang emak sudah tiada. Saya masih ingat wajah doktor bersungguh-sungguh mencari ayat terbaik untuk memberi khabar itu kepada saya. Tiada juga air mata mengalir sepanjang saya menguruskan jenazah emak pada Sabtu 19 Mei 2012 itu. Ketika memandikan jenazah emak, wanita yang mengetuai urusan itu berkata "Adik nampak sabar." Saya begitu tenang ketika itu. Bagi saya, masa, tempat dan keadaan begitulah yang Allah SWT tetapkan untuk kematian emak, yang tidak cepat atau lambat walaupun sesaat. Itulah takdir emak. Perginya dalam tidur, seperti yang emak doakan. Saya yakin, Allah SWT memberi yang terbaik untuk emak.

Saya menangis, setelah semua urusan emak selesai. Tangisan itu bukan kerana rasa tidak reda  terhadap pemergian emak. Akan tetapi kerana kesedaran saya betapa hidup saya sudah tidak lengkap tanpa emak. Saya mengambil yang agak lama untuk membiasakan diri tanpa emak setelah 25 tahun kami hidup bersama. Kemudian, menerima hakikat bahawa yang terpisah hanya jasad. Sedangkan emak sentiasa ada di dalam jiwa. Sentiasa hidup dalam ingatan dan doa. Pada pandangan yang lebih jauh, kami tidak terpisah. Rindu saya tidak akan surut untuk emak. Tidak terluah, semakin melimpah. Rindu paling indah.

rindu yang selalu
mekar doa kudus
kiriman untuk ibu

Hargai dan cintai ibu sesungguhnya, walaupun usaha anda itu tidak pernah cukup untuk membalas cinta dan pengorbanan ibu. Pemeliharaan ibu kepada anaknya semata-mata untuk anaknya hidup; sementara pemeliharaan anak terhadap ibunya sehingga ibunya mati. Kasih ibu itu menjaga anaknya supaya hidup; kasih anak itu sekadar menjaga ibunya menunggu hari mati. Antara dua cinta ini. yang satu ibarat mendaki puncak gunung. Yang satu lagi menuruni bukit. (Pujangga Melayu, 1997, 46). Mana yang lebih mudah?

Always love your mother because you will never get another ...

Rabu, 17 Julai 2013

OPS FATAH

JAM DUA PETANG, saya dapat panggilan mengatakan Fatah dibuang oleh budak nakal. Hati jadi rawan. Fatah ialah kucing kelainan upaya (KKU) yang hadir di depan pagar rumah saya kira-kira seminggu yang lalu, pada waktu pagi. Saya mendengar suara kucing mengiau. Ketika menjengah keluar, saya melihat kucing hitam berdiri di depan pagar. Dia memandang saya dan terus mengiau. Persis peminta sedekah yang datang dari rumah ke rumah, memberi salam, hanya akan masuk ke kawasan rumah jika tuan rumah memberi izin. Begitulah Fatah. Dia terus mengiau. Apabila saya menegurnya, barulah Fatah tergesa-gesa masuk ke kawasan rumah. Amat menyedihkan saya melihat keadaan Fatah ketika itu. Dia masih kanak-kanak. Saya jangka usianya sekitar enam bulan. Sepasang kaki belakangnya tidak sempurna, lemah, membuatkan pergerakan Fatah terbatas. Barangkali patah kerana dipukul atau cacat semula jadi. Imbasan sinar x diperlukan untuk mengesahkannya.

Selain sukar bergerak, Fatah juga mengalami masalah untuk membuang najis. Hal ini kerana dua kaki belakangnya tidak kuat untuk membolehkan dia meneran dengan sempurna. Oleh itu, najis Fatah keluar sedikit demi sedikit dengan cara Fatah meneran perlahan-lahan dalam jangka masa yang panjang. Walaupun begitu, keistimewaan Fatah ialah dengan dua kaki depannya, Fatah boleh melompat agak laju dan itulah cara dia bergerak. Cuma, jika dia terjatuh di dalam longkang atau dikejar anjing, memang susah untuk dia menghadapi situasi itu.

Hal inilah yang membuatkan saya begitu tergesa-gesa pulang petang tadi apabila saya dimaklumkan ada budak-budak nakal yang membuang Fatah di kawasan lain. Saya tidak tahu apa sakit hati mereka kepada Fatah. Anak kucing itu tidak ke mana-mana melainkan di kawasan rumah berpagar. Dia tahu di situ ada kotak untuk dia tidur. Di situ ada makanan dan tempat dia membuang najis. Itu yang membuat saya terharu. Fatah tidak ke mana-mana seolah-olah dia menerima dengan baik bahawa di situlah rumah, tempat Fatah menumpang teduh.

Saya mengelilingi kawasan yang dimaksudkan sebanyak lima kali dalam tempoh 20 minit. Akan tetapi, bayang Fatah yang legam itu langsung tidak kelihatan. Saya amat risau akan keadaan Fatah. Saya berdoa agar Fatah selamat daripada dianiaya, dizalimi atau disakiti sesiapa. Saya berasa agak terganggu dengan kegagalan saya mencari Fatah. Usaha mencari Fatah diteruskan lagi jam 10:15 malam tadi. Pada pusingan kedua, sekitar jam 10:20 malam, saya bertanya kepada seorang peniaga kedai makan tentang seekor kucing berwarna hitam. Kata lelaki itu, "Kucing cedera hitam tu? Tadi ada di sini. Ada bagi dia makan. Cuba tengok dekat-dekat sini. Ada tadi baru." Kata saya, "Dia bukan cedera. Dia cacat." Saya seolah-olah boleh melihat betapa besarnya mata saya ketika itu, penuh harapan.

Saya memanggil Fatah. Saya yakin Fatah tahu namanya. Tidak lama memanggilnya, saya dengar suara kucing mengiau. Saya tahu itu suara Fatah. Ketika mendekati sebatang longkang, suara itu memang semakin jelas milik Fatah. Ada najis di kakinya, menandakan dia sedang berusaha meneran. Saya meminta plastik untuk membungkus dan membawa Fatah pulang. Satu pengalaman yang amat manis untuk saya. Perasaan gembira apabila sesuatu yang kita cari, yang kita tuju, berjaya kita temui, capai. 

Semoga Fatah sihat.
Selamatlah jiwa yang sempurna!

Selasa, 16 Julai 2013

DI PINGGIR ITU


di pinggir kali,
ada perahu
terlajaknya bisa diundur


di pinggir hati,
ada rindu
terlajaknya menusuk kalbu
 


di pinggir bibir,
kata terukir
terlajaknya jadi mungkir


di pinggir akal,
ada sedar
hadir damai 

Khamis, 11 Julai 2013

MEREKA TANPA NAMA

ADA dua situasi yang amat menyedihkan saya hari ini. Setelah hampir seminggu tidak hadir ke fakulti di Serdang, saya gagahkan diri melewati gerimis pagi ini untuk menunaikan janji temu dengan penyelia. Sebaik-baik tiba di fakulti, saya terdengar suara kucing mengiau kegelisahan. Saya mencari sumber suara itu yang saya yakini muncul berdekatan sebatang longkang. Hal ini mengingatkan saya pada pertemuan saya dengan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam longkang yang sama beberapa bulan lalu. Hati saya sudah resah. Dengan hujan yang masih belum berhenti, saya amat susah hati jika ada kucing terperangkap lagi di dalam longkang itu.

Setelah saya mengamati kawasan itu, jelas tiada seekor kucing pun di dalam longkang. Akan tetapi, hati saya masih gelisah kerana sayup-sayup suara kucing itu masih saya dengar tetapi tidak saya jumpa pemiliknya. Ketika saya mahu meninggalkan kawasan itu dengan hati yang resah, seekor ibu kucing berlari-lari ke arah saya. Itu ialah ibu kucing yang sama sering saya jumpa. Sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Tidak jauh daripada ibu kucing dan saya, kelihatan dua ekor anak kucing seusia Lanang Jati, mengikut perkiraan saya. Anak-anak kucing itu mengiau memanggil ibunya yang sedang meleseh-leseh di kaki saya. Sungguh saya berasa sangat marah kepada diri sendiri dan berasa amat bersalah. Ibu kucing itu kenal saya kerana saya selalu memberinya makan Smart Heart yang kebiasaannya saya bawa ke mana-mana. Kadang-kadang, saya sendiri mencari ibu kucing itu, khususnya ketika dia sedang bunting. Pagi ini, dia mendekati saya, meleseh di kaki saya sambil dua anak menunggu dirinya. Apa yang dimahukan oleh ibu itu kecuali makanan buat menambah susu badannya? Saya benar kesal kerana melengah-lengah membeli bekalan Smart Heart untuk kucing-kucing tidak bertuan sepertinya.

Saya meninggalkan ibu kucing itu setelah meminta maaf kepadanya kerana tidak dapat memberi apa-apa yang dapat mengenyangkan dirinya. Rasa bersalah saya bertambah mengenangkan kafeteria fakulti yang ditutup sepanjang Ramadan. Pada petangnya pula, ketika saya singgah ke Pasar Tani untuk membeli barang basah, saya bertemu dengan seekor anak kucing berusia dalam enam bulan sedang menggigit hati ayam. Rasa bersalah saya hinggap lagi di hati. Kalau saya ada Smart Heart, dapatlah saya beri kepadanya. Saya meminta penjual ayam memotong sedikit bahagian ayam yang saya beli untuk saya berikan kepada anak kecil itu. Wanita pemilik gerai ayam itu mengatakan anak kucing itu baru sahaja diberi makan. Saya masih tidak puas hati. Keadaan anak kecil itu tampak tidak sihat. Ada luka di telinganya. Saya tinggalkan anak kucing itu  juga dengan perasaan penuh  bersalah kerana tidak dapat memberinya makan, juga tidak dapat membawanya pulang.

Dua situasi ini atau setiap kali saya berdepan dengan situasi ini, saya akan teringat pada watak Tok Ayah dalam novel Pujangga Melayu karangan Mohd. Affandi Hassan. Ketika Tok Ayah berhasrat untuk menyembelih rusa yang berjaya diburu, seekor ibu kucing hutan melintasinya sambil menggongong anaknya yang sudah mati. Tok Ayah berasa sangat pilu melihat kesedihan ibu kucing itu yang kematian anaknya. [Kisah ini juga mengingatkan saya pada seekor kucing buta sebelah mata yang datang ke pintu dapur saya sambil menggongong anaknya yang sudah mati. Dengan mata sebelah dia memandang saya seolah-olah minta dikebumikan anaknya itu. Kejadian ini berlaku pada tahun 2005 ketika saya berusia 18 tahun]. Tok Ayah langsung tidak jadi menyembelih rusa tersebut malah rusa tersebut dilepaskan. Tindakan itu dilakukan gara-gara simpati dan empati Tok Ayah yang mendalam terhadap perasaan ibu kucing, sifat manusiawi Tok Ayah yang tampak kecil tetapi tersirat makna. Menerusi peristiwa itu, Tok Ayah berkata "Tidak rugi kita berkorban sedikit. Rezeki Allah Taala tidak terhisab. Kita mesti bersyukur dan mesti ada perasaan belas kasihan ketika melihat ada makhluk Allah Taala dalam kesusahan. Walaupun hanya seekor kucing hutan" (1997:22). Kata-kata Tok Ayah ini mengingatkan saya selalu dengan perwatakan emak saya yang amat menyayangi haiwan khususnya kucing. Bagi emak, biarlah dia tidak makan asalkan kucing-kucingnya cukup makan. Sebagai manusia, kita boleh dengan sendirinya mencari makanan yang baik tetapi tidak kepada haiwan. Jika mampu, bantulah mereka mengisi perut mereka. Jika kita memberi makan kepada kucing yang bunting, makanan itu bukan hanya untuk ibunya tetapi juga untuk anak yang ada di dalam rahimnya.

Semoga rasa bersalah hari ini mengajar saya untuk lebih prihatin kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Anjing betina ini melalui saya ketika saya berada di sebuah bengkel semalam. Di lehernya ada kolar maknanya dia pernah bertuan. Kasihan saya kepada dia dengan lidah terjelir pada waktu hari yang panas, dia menyelongkar tong sampah berhampiran tempat saya berdiri tetapi tiada apa-apa yang dapat menggembirakannya.

Setiap kali bertemu dengan haiwan-haiwan terbiar ini, mereka akan berada di dalam ingatan saya sentiasa. Ada yang menerbitkan rasa bersalah kerana tidak mampu membantu mereka, pilu mengenangkan perjuangan mereka untuk hidup dan gembira melihat kecomelan mereka. Bagi saya, semua haiwan secara fitrahnya memang comel.

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam - Ummu Hurairah yang saya kenal.

Rabu, 10 Julai 2013

MUHAMMAD AL-FATIH

MUHAMMAD AL FATIH ialah watak penting dalam sirah Islam. Kepentingan mujahid ini tercermin pada kesungguhannya merealisasikan hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud "Sungguh Konstantinopel akan ditaklukkan. Sebaik-baik pemimpin ialah penakluknya dan sebaik-baik pasukan ialah pasukannya." Sejak terlafaznya hadis tersebut, terdapat banyak usaha daripada kalangan sahabat dan para mujahidin sesudah kewafatan Nabi Muhammad SAW yang berusaha untuk menjadi 'penakluk' dan 'pasukan' seperti yang tersebut dalam hadis berkenaan. Usaha murni itu memakan masa dan jalur perjuangan yang panjang sehinggalah tiba pada zaman kegemilangan Daulah Uthmaniyah khususnya pada zaman pemerintahan Muhammad Al Fatih yang lahir pada 30 Mac 1432 Masihi. Pada usia 14 tahun, Sultan Murad II memberikan takthanya kepada Sultan Muhammad Al Fatih. . Nama sebenar kepada anakanda Sultan Murad II ini ialah Sultan Muhammad II. Namun demikian, beliau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad Al Fatih (Muhammad Sang Penakluk) dan "Helang Besar". Dua gelaran yang diberikan tersebut memperlihatkan keunggulan Sultan Muhammad Al Fatih sebagai penakluk dan penyebar panji Islam kepada 17 buah negara. Antaranya ialah Selatan Yunani, Utara Romania dan Bosnia.

Bertepatan dengan gelaran yang diberikan kepada pewaris Daulah Uthmaniyah ini, keperibadian Sultan Muhammad Al Fatih sebagai penakluk yang bertakwa diberi perhatian oleh ayahandanya sejak kecil. Dalam usaha membina keperibadian Sultan Muhammad Al Fatih sebagai pemerintah unggul yang menjadikan Allah SWT sebagai matlamat utama, Sultan Murad II melantik sekian banyak guru dalam pelbagai bidang untuk membimbing Al Fatih. Antara guru Sultan Muhammad Al Fatih ialah Abdul Qadir Afandi Qainaly, Jalaby Zadah Al Isbarthaly, Muhammad Affandi Muhyiddin, Mulla Khairuddin dan Mushtafa Shalih Afandi. Daripada Hamiduddin Mulla Afdhal, Sultan Muhammad Al Fatih mempelajari sastera. Dalam bidang muzik, Sultan Muhammad Al Fatih mendapat bimbingan daripada Syukrullah Jalaby dan Waliyuddin Afandi. Di samping itu, Sultan Muhammad Al Fatih turut mempelajari ilmu perang dan kejuruteraan jentera sehingga membolehkan beliau mereka cipta meriam raksasa yang pertama bagi meruntuhkan benteng-benteng Konstantinopel yang ingin ditakluk.

Membaca sirah Sultan Muhammad Al Fatih, khalayak pasti terkesan dengan kecintaan Sultan Murad II terhadap para ulama' yang kemudiannya diwarisi oleh Sultan Muhammad Al Fatih. Hal ini jelas apabila nasihat dan pandangan para ulama' sering diutamakan dalam setiap urusan pemerintahan negara. Tidak terlepas daripada pengamatan, keperibadian Muhammad Al Fatih sebagai pemimpin unggul yang berhasrat merealisasikan hadis Nabi Muhammad SAW seperti yang disebutkan sebelum ini juga bertolak daripada usaha berterusan gurunya yang menanam keyakinan dalam diri Sultan Muhammad Al Fatih bahawa dirinya ialah 'penakluk' yang dimaksudkan hadis tersebut. Guru yang dimaksudkan ialah Asy-Syarif Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi yang diberi gelaran "Aq Syamsudin".

Sebagai pembaca, saya begitu terkesan dengan peranan Aq Syamsudin dalam kehidupan dan pembentukan peribadi Sultan Muhammad Al Fatih. Aq Syamsudin turut digelar sebagai "Sang Penyingkap Rahsia". Gelaran ini diberi lantaran khabar gembira yang disampaikan Aq Syamsuddin berkenaan Konstantinopel yang akan ditakluk oleh Sultan Muhammad Al Fatih. Syeikh Ramzi Al Munyawi yang menulis sirah mujahid ini melihat peranan Aq Syamsudin kepada Sultan Muhammad Al Fatih sebagai "Seorang guru memang harus memberikan gambaran yang jelas dan visi yang terang kepada muridnya; sebuah gambaran yang selanjutnya ia akan hidup bersamanya dan untuk mewujudkannya." Penghormatan dan rasa cinta yang tinggi Sultan Muhammad Al Fatih terhadap Aq Syamsudin mengatasi hormat dan cintanya kepada yang lain. Hal ini kerana dalam keadaan pembesar lain berasa gerun tatkala berhadapan dengannya, perasaan yang sama dirasai Sultan Muhammad Al Fatih kepada Aq Syamsudin. Guru itu mengajarnya untuk terus menjadi pemimpin yang bertakwa dan berfokus kepada matlamat untuk berjihad semata-mata untuk Allah SWT. 

Sebagai pemimpin, Sultan Muhammad Al Fatih sentiasa berusaha menjadi pemimpin yang menjadikan syariat Allah SWT sebagai panduan. Antara kisah yang mahsyur tentang Sultan Muhammad Al Fatih sebagai pemimpin ialah kesediaan beliau untuk menerima hukuman qisas oleh seorang hakim. Dalam kes ini, Sultan Muhammad Al Fatih berasa marah apabila arkitek yang ditugaskan untuk membina empat menara di Masjid Aya Sofia telah mengurangkan ketinggian menara seperti yang diingini Sultan. Dalam keadaan marah, Sultan Muhammad Al Fatih mengeluarkan hukuman potong tangan kepada arkitek tersebut. Apabila tindakan Sultan Muhammad Al Fatih itu diadukan kepada seorang qadi yang adil, maka hukuman qisas yang memerlukan tangan Sultan Muhammad Al Fatih dipotong dikeluarkan. Atas kesedarannya terhadap kezaliman yang dilakukan, Sultan Muhammad Al Fatih menerima hukuman tersebut dengan reda. Walau bagaimanapun, hukuman itu diminta oleh arkitek berkenaan agar ditarik semula memandangkan hukuman qisas tidak menguntungkan dirinya kerana yang diharapkan daripada Sultan Muhammad Al Fatih ialah imbuhan kewangan. Atas kesyukuran Sultan Muhammad Al Fatih, arkitek itu diberikan 20 keping emas setiap hari. Daripada kes ini, dapat dilihat ketundukan Sultan Muhammad Al Fatih yang amat digeruni para musuh tetapi tetap tunduk dan patuh mengakui kesalahannya sekali gus untuk menerima hukuman berdasarkan syariat Allah SWT. Apabila berjaya menakluk negara-negara Kristian, Sultan Muhammad Al Fatih tetap berlaku adil kepada masyarakat Kristian. Gologan Kristian dianggap sebagai minoriti tetapi masih bebas melakukan aktiviti keagamaan selagi patuh kepada peraturan pemerintah. Sultan Muhammad Al Fatih meninggal dunia pada usia 49 tahun setelah diracun oleh doktor peribadinya, seorang Kristian yang mengidamkan ganjaran besar daripada gereja berjumlah 17 juta sebagai ganjaran membunuh Sultan Muhammad Al Fatih.




Masjid Aya Sofia yang pada asalnya merupakan gereja besar Konstantinopel. Sultan Muhammad Al Fatih menukar kedudukan gereja ini menjadi sebuah masjid. Apabila Kamal Attaruk membawa idea sekularisme ke Turki sekitar dekad 1930-an, masjid ini dijadikan sebagai muzim. Empat menara di sekeliling masjid ini dibina mengikut kehendak Sultan Muhammad Al Fatih. Aq Syamsudin merupakan imam pertama untuk solat Jumaat di masjid bersejarah ini. Sila klik Majid Aya Sofia untuk mengetahui seni bina masjid ini. Insya-Allah, saya akan sampai ke masjid ini, menyerap semangat Al Fatih, Aq Syamsudin dan penakluk serta pasukannya yang dimaksudkan hadis Nabi Muhammad SAW. Klik untuk bacaan tambahan tentang Sultan Muhammad Al Fatih Sang Penakluk.

Penaklukan Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al Fatih pada usianya 24 tahun.

Sesungguhnya kejayaan Sultan Muhammad Al Fatih menakluk Konstantinopel dan sebahagian besar Eropah sekali gus menegakkan panji Islam merupakan sejarah penting yang harus sentiasa dikenang dan diketahui umat Islam. Sirah perjuangan Sultan Muhammad Al Fatih yang berjaya merealisasikan hadis Nabi Muhammad SAW pada usianya 24 tahun tentunya amat layak untuk dijadikan teladan kepada para remaja dan belia dalam mendepani kehidupan sebagai seorang Muslim yang hakikat hidupnya tertumpu pada dua tanggungjawab hakiki iaitu sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya di bumi. Kematangan yang diperoleh Sultan Muhammad Al Fatih pada usia yang muda bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dimiliki golongan muda kini sekiranya ilmu dan didikan yang benar diberikan dengan sempurna. Seorang sarjana mengatakan bahawa sejarah sudah mati. Akan tetapi, sirah kegemilangan Islam sentiasa 'hidup' dan perlu 'dihidupkan' semula bersesuaian dengan konsep intifadah. 

Tidak lama lagi aku akan mati. Tetapi aku tidak pernah menyesal kerana telah meninggalkan calon penerus sepertimu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebarkan agama Islam. Hal ini ialah kewajipan semua raja di atas muka bumi. Dahulukan perhatianmu kepada agama atas urusan apa-apa pun. Jangan berhenti untuk terus menunaikan tanggungjawab itu. Jangan memilih orang yang tidak mempedulikan urusan agama, tidak menjauhi dosa-dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jangan mengambil harta seorang pun daripada rakyat kecuali dengan aturan Islam. Berikan jaminan makanan bagi orang-orang lemah. Muliakanlah sebaik-baiknya orang-orang yang berhak. Ketahuilah bahawa para ulama itu seperti kekuatan yang tersebar dalam tubuh negaramu. Maka muliakan kehormatan mereka ... Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita, dan dengan itulah kita akan menang. - Wasiat terakhir Sultan Muhammad Al Fatih kepada anakandanya.

Al Fatihah kepada Sultan Muhammad Al Fatih dan gurunya Aq Syamsuddin

Isnin, 8 Julai 2013

MAMA JIE JIE

AHAD yang lalu saya membawa Mama Jie Jie ke Gasing Veterinary Hospital untuk divaksinkan. Akan tetapi, Dr. Tan yang memeriksa Mama Jie Jie mengesan ketidaknormalan pada kesihatannya. Dr. Tan mengesyaki Mama Jie Jie, kucing jalanan yang hampir lapan tahun tinggal di belakang rumah saya ini menghidap diabetes atau kegagalan buah pinggang berfungsi. Ujian darah dilakukan. 

Saya berasa agak risau, susah hati jika Mama Jie Jie sah menghidap penyakit kronik itu. Pertama kerana penjagaan rapi yang diperlukan Mam Jie Jie dan kedua kos menjaga kucing berpenyakit seperti itu juga tidak kecil. Saya berdoa agar Mama Jie Jie bebas daripada penyakit tersebut. Alhamdulillah, keputusan darah Mama Jie Jie mengesahkan bahawa Mama Jie Jie bebas daripada dua penyakit tersebut. Itu sudah cukup baik dan buat saya lega. Akan tetapi, bacaan keseluruhan darah Mama Jie Jie memperlihatkan keganjilan yang lain. Antibodi Mama Jie Jie sangat tinggi dan tidak normal. Apatah lagi dengan keadaan perut Mama Jie Jie yang luar biasa besar maka Dr mengesyaki kebarangkalian adanya tumor atau sel kanser. Saya maklumkan Dr. Tan yang tumor telah dibuang dari rahim Mama Jie Jie ketika melahirkan Wira pada 1 April yang lalu.

Dr. Tan mencadangkan saya agar melakukan imbasan pada perut Mama Jie Jie. Jika benar ada sel kanser dan sekiranya sel itu sudah merebak maka pembedahan tidak akan dilakukan. Lebih baik dibiarkan saja. Tetapi jika belum serius maka pembedahan amat digalakkan. Saya menghitung kos-kos tersebut. Setelah dicongak saya berusaha mendapatkan veterinar yang dapat menawarkan kos perubatan dan pembedahan yang lebih rendah sesuai dengan kemampuan saya. Pening juga kepala saya memikirkannya. Tidak sampai hati saya membiarkan Mama Jie Jie sakit. Hospital Veterinar UPM menawarkan kos yang agak baik akan tetapi jaraknya yang terlalu jauh memberi kesulitan kepada saya. 

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk tetap melakukan imbasan kepada perut Mama Jie Jie pada Jumaat yang lepas. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang tidak normal atau ketumbuhan dalam perut Mama Jie Jie cuma buah pinggangnya saja memperlihatkan simptom awal untuk bermasalah. Oleh itu, saya perlu memberikan makanan yang kurang tinggi kandungan proteinnya agar buah pinggang Mama Jie Jie tidak perlu bekerja terlalu keras. Saiz perut Mama Jie Jie yang besar itu pula berlaku akibat hati Mama Jie Jie yang membesar. Dalam istilah manusia, bengkak hati. Untuk haiwan, masih belum ada teknologi untuk berhadapan dengan penyakit seperti ini.


Tubuh Mama Jie Jie yang mengering juga boleh jadi disebabkan masalah awal pada buah pinggangnya. Satu lagi ialah FIV iaitu sejenis penyakit kelamin bagi kucing yang sama dengan AIDS bagi manusia. Cuma FIV tidak menjangkiti manusia tetapi boleh merebak kepada kucing lain menerusi rembesan saliva. Oleh sebab Mama Jie Jie memang saya asingkan daripada kucing-kucing lain maka masalah itu dapat dikawal cuba kesihatan Mama Jie Jie perlu diberi perhatian selalu.
Saya berasa sangat lega setelah imbasan dibuat. Sekurang-kurangnya saya tahu Mama Jie Jie bebas kanser dan tumor. Seterusnya, saya berserah kepada Allah SWT agar beri yang terbaik untuk Mama Jie Jie. Saya hanya mahu Mama Jie Jie dapat menikmati bahagia di akhir usianya setelah lebih lapan tahun hidup tidak bertuan dan tanpa penjagaan.


Kucing yang hitam legam ini pula menjenguk saya di pagar rumah pada pagi semalam. Apabila saya melihat dia dan memanggilnya, dia pantas berlari masuk. Kaki belakangnya tidak kuat. Seperti patah atau cacat. Dia berjalan dengan menyeret kaki belakangnya. Dia dibawa ke SPCA di Jalan Setapak pada petang semalam. Dr kata agak sukar untuk dia bergerak, melompat jika dibiarkan hidup di luar. Maknanya .... bertambah lagi keluarga meow saya ... cuma saya belum ada nama untuk dia lagi.

Meow meow

Ahad, 7 Julai 2013

KEMBALI MENCATAT

BEBERAPA hari lalu ketika menyelak sebuah kajian, saya sampai kepada petua ketujuh yang mencatatkan "Gunakan pembacaanmu untuk mendidik perasaan hatimu" iaitu sepotong ayat daripada pengarang bernama Muhammad Salehuddin yang menjadi teladan kepada seorang pujangga. Saya sungguh terkesan dengan ayat tersebut. Bagaimana pembacaan kita selama ini? Adakah memberi kesan yang baik kepada diri dan jiwa? Adakah menjadikan jiwa semakin kuat atau sebaliknya? Adakah pembacaan kita menjadikan kita lebih kenal tentang diri sendiri?  Dalam kajian itu juga tercatat minat pujangga untuk mencatat sekian petikan yang baginya bermanfaat. Minat pujangga itu lantas mengingatkan saya kepada hobi saya mengumpul mutiara kata sejak berusia 15 tahun. Walau bagaimanapun, hobi itu saya abaikan sejak tahun 2008. Petang ini, saya berusaha keras mencari dua buah buku yang menghimpunkan catatan tersebut. Bermula hari ini, saya akan kembali mencatat petikan-petikan yang bermanfaat seperti yang saya lakukan dulu.

Buku berwarna biru mengandungi himpunan mutiara kata yang saya kumpul dari usia 15 tahun hingga 17 tahun. Manakala buku berwarna coklat menghimpunkan ayat-ayat terpilih dari tahun 2006 - 2008. Buku coklat itu masih ada banyak kekosongan yang akan mula saya kembali, kini.
 
Saya juga berjumpa semula dua buku catatan mengandungi isi kuliah-kuliah agama yang saya ikuti sekitar usia saya 15-17 tahun dan beberapa lagi buku lain.


Isnin, 1 Julai 2013

YANG COMEL

ANAK anjing ini saya temui lewat petang beberapa minggu lalu. Setiap kali saya melalui jalan yang sama ini, saya akan teringat kepadanya dan berharap dapat bertemu dengannya lagi. Saya anggarkan usianya dalam tiga bulan. Dia nampak takut-takut. Saya percaya dia baru berpisah daripadanya ibunya. Sifat takut-takut anak anjing ini membuatkan saya tidak takut-takut kepada dia. Saya beri dia sebungkus roti gardenia perasa kelapa. Langsung dia tak jamah, setakat hidu bau saja. Saya tidak puas hati, maka saya beri dia biskut Smart Heart, dia makan pula. Saya amat kasihan melihat dia yang berasa cemas dan takut sendirian. Entah bagaimana dia sekarang.


Semoga dia dilindungi Allah selalu. Amin Ya Rahim.