Sabtu, 29 Jun 2013

JATI SAYANG

PAGI semalam, semasa saya meninggalkan rumah, saya sempat membelai Jati. Jati ceria dan aktif seperti biasa. Akan tetapi, pada petangnya saya dapati Jati menjadi sangat pendiam, tidak mahu makan, tubuhnya begitu panas dan kakinya agak capek. Sebagai kucing yang sangat aktif dan riang, sedikit perubahan padanya saja sudah memberitahu saya dengan jelas tahap kesihatan. Tubuhnya makin kurus. Kucing kalau seharian sakit dan tidak makan, memang tidak perlu masa panjang untuk menjadi kurus dan cengkung. Puas saya memujuk Jati agar menjamah makanan kegemarannya, tetapi Jati memilih untuk berdegil. Saya sangka, kaki Jati digigit Mama Kancil atau terkehel maka kaki kanannya itu saya sapu dengan minyak gamat dan balut dengan kain.

Pagi ini, bahang tubuh Jati masih kuat. Jati dibawa ke Hospital Veterinar Gasing di Petaling Jaya. Mama Jie Jie juga dibawa untuk diberi suntikan vaksin. Sepanjang perjalanan, Jati memilih diam di pangkuan. Dr. Tan yang melihat Jati dalam dakapan saya menyangka Jati pengsan seperti beberapa minggu lalu. Pemeriksaan yang dilakukan kepada Jati, dengan beberapa maklumat daripada saya mengesahkan jati dijangkiti virus selesema. Dalam pos sebelum ini ada saya maklumkan bahawa virus selesema yang menjangkiti kucing tidak seperti manusia. Pada kucing, virus selesema boleh menyerang sama ada bahagian mata, hidung atau kaki. Dalam kes Jati, jelas virus menyerang kaki Jati, membuatkan keradangan pada sendi sekali gus menyukarkan pergerakan Lanang Jati. Saya tepuk dahi! Saya sendiri menulis maklumat itu di sini, tetapi saya sendiri lupa. Jati tinggal di dalam sangkar yang sama dengan Mama Kancil, yang diserang selesema tetapi pada bahagian mata. 

Bagi meredakan sakit Jati, Dr. Tan memberi suntikan antibiotik dan tahan sakit. Jati diberi bekalan ubat demam dan selesema yang perlu dihabiskan selama seminggu. Ketika sampai di rumah, Jati terus makan biskut Mama Kancil yang berbaki. Lapar sungguh dia. Jalannya juga semakin stabil cuma panas badan masih bersisa. Yang saya sedar, Jati mahu berada di atas tempat yang beralas. Ketika saya solat, Jati datang lalu duduk di atas sejadah. Semoga buah hati saya ini akan sihat dan sembuh segera. Sakit Jati, sakit juga saya rasa.

Beralih kepada kisah Mama Jie Jie. Seperti yang saya katakan, Mama Jie Jie saya bawa untuk diberi suntikan vaksin. Akan tetapi Dr. Tan enggan melakukannya memandangkan kesihatan Mama Jie Jie yang berdasarkan pemeriksaannya tidak stabil. Ketika Dr. Tan membuka mulutnya, kelihatan ulser yang banyak pada lidah Mama Jie Jie. Dr. Tan juga menunjukkan saya lubang yang terdapat pada mata Mama Jie Jie. Saya maklumkan kepada Dr. Tan, Mama Jie Jie itu kucing jalanan yang sudah tiga bulan saya jaga kerana saya simpati untuk biarkan dia yang semakin uzur hidup di jalanan. Jadi saya sekadar beri makan, minum dan beri kediaman yang bersih untuknya. Dr. Tan juga menyentuh tentang selesema Mama Jie Jie. Saya maklumkan Dr.Tan bahawa sebelum saya ambil Mama Jie Jie lagi, dia memang begitu. Ada beberapa kali saya beri ubat selesema tetapi keadaanya masih sama. Kemudian. Dr. Tan memeriksa tubuh Mama Jie Jie lalu mengesahkan keadaan badan Mama Jie Jie yang kering. Bagaimana mahu tahu kucing anda kekurangan air dalam badan? Caranya dengan menarik kulit belakang tubuh. Jika lambat dia turun semula, maka itu menandakan kucing kekurangan air dalam badan. Begitu juga sebaliknya.

Dengan usia Mama Jie Jie yang pada perkiraan saya berusia lapan tahun dan simptom-simptom tadi, Dr. Tan menyarankan agar pemeriksaan darah dibuat untuk memastikan penyakit Mama Jie Jie. Saya maklumkan Dr. Tan yang Mama Jie Jie sangat kuat minum air, air kencingnya sangat banyak dan berbau aneh. Dengan itu, doktor mengesyaki sama ada Mama Jie Jie menghidap diabetes atau masalah buah pinggang. Darah Mama Jie Jie diambil untuk diuji kaji. Esok, Dr. Tan akan memberikan keputusannya. Saya percaya, Mama Jie Jie ada masalah buah pingang. Sama dengan Boboy saya yang mati pada usia 16 tahun, Februari tahun ini. Dengan jawapan esok, saya akan menjaga Mama Jie Jie semampunya, dan memastikan dia akan ditanam dengan penuh hormat apabila masanya sudah tiba.
Kegembiraan bagi penjaga kucing apabila melihat kucingnya makan dengan berselera selepas sakit. Kegemaran bagi penjaga kucing apabila melihat kucing-kucingnya berebut untuk makan. Kesedihan bagi penjaga kucing apabila melihat kesakitan yang ditanggung kucingnya.

Meow meow

Jumaat, 28 Jun 2013

YANG JELAS

PETANG semalam, saya menerima panggilan daripada En. Roslan Madun. Kali terakhir kami berhubung pada Julai 2011 ketika saya menjadi fasilitator untuk Bengkel Deklamasi Puisi di Kuantan. Kali pertama ketika saya mengikuti bengkel yang sama pada Februari 2009. 

Tujuan En. Roslan menghubungi saya adalah untuk menyatakan keterujaan beliau membaca buku Yang Indah, Berfaedah dan Kamal tulisan Vladimir Braginsky. Dalam perbicaraan itu, saya lebih bertindak sebagai pendengar kepada pandangan En. Roslan. Antaranya, En. Roslan menyentuh perihal dunia sastera yang boleh saya rumuskan dengan perkataan antiilmu. Yang dimaksudkan beliau juga ialah usaha sesetengah pihak menutup pintu ilmu yang tidak serasi dengan pendirian konvensional. Tidak ketinggalan, En. Roslan meluahkan kebimbangannya terhadap tradisi kritikan yang turut menolak percambahan ilmu. Ada beberapa lagi pandangan beliau menarik perhatian saya. Pandangan yang jarang kita dengar berlegar dalam dunia arus perdana tetapi tersirat kebenarannya.

Dapat dikatakan, membaca buku tersebut memberikan sudut pandangan yang lebih jernih dan adil untuk difikirkan tentang Persuratan Melayu, dalam konteks tradisi Persuratan Melayu itu sendiri walaupun ditulis oleh sarjana Rusia, berbeza dengan tulisan kebanyakan sarjana Barat dan tempatan yang cenderung meminggirkan perbicaraan berhubung tradisi Persuratan Melayu yang tidak kecil peranannya ini.

Membaca sesuatu yang bermanfaat memberi kenikmatan yang sukar diungkap seperti ilmu yang mampu memecah buntu dan keliru, sekali gus memberi kejelasan yang tuntas.

Kepada En. Roslan Madun, terima kasih atas sembang petang yang bermanfaat. Selamat terus membaca. "Apa-apa pun ilmu yang ada, kita kena ingat kedudukan kita sebagai orang Islam. Teruslah menyemai benih di ladang sastera, suatu hari anda akan memetik dari pokok yang tak henti-henti berbuah ..." atas nasihat ini, terima kasih daripada saya.



Rabu, 26 Jun 2013

27 JUN

27 JUN tarikh yang selalu saya ingat. Tarikh  lahir emak. 27 Jun 1951. Emak meninggal pada tahun lalu, pada usia 60 tahun 11 bulan. Jika emak masih ada, esok usia emak  62 tahun. Jika ulang tahun kelahiran seorang anak mengingatkan anak terhadap susah-payah ibu melahirkannya - tarikh lahir seorang ibu pula ialah tarikh berharga bagi seorang anak kerana pada tarikh itulah ibunya dilahirkan untuk melahirkannya pada masa yang sudah ditentukan. 

Saya bersyukur Allah SWT tentukan emak saya sebagai emak saya, wanita tabah dan mulia hatinya. Allah juga yang akan membalas jasa emak mengandungkan, melahirkan dan membesarkan saya dengan susah-payah. Semoga Allah SWT kasihi emak sebagaimana emak mengasihi semua anaknya tanpa syarat.


---

Saya teringat peristiwa yang berlaku pada tarikh yang sama dua tahun lalu. Pagi itu saya mahu ke pasar. Cuaca sangat mendung tetapi saya tekad meneruskan rancangan. Sebelum ke pasar, saya singgah ke Petronas. Ketika itu, saya terlihat seekor anak kucing dalam usia tiga bulan meleseh-leseh kaki seorang jurupam. Pada masa itu juga, hujan turun dengan lebat. Bagai cinta pandang pertama, anak kucing itu terus saya ambil dan bawa pulang. Dalam perjalanan pulang, hujan turun semakin lebat, tayar kenderaan saya pancit. Maka, tidaklah dapat saya meneruskan hajat ke pasar. Pagi itu hanya ditakdirkan saya untuk mengambil anak kucing itu. Saya katakan kepada emak, ini hadiah hari lahir emak daripada Allah. Anak kucing itu saya namakan Teja tetapi emak memanggilnya sebagai Shabby.

Teja kucing yang sangat baik, santun tetapi agak sensitif. Dia benar-benar menjadi teman emak siang dan malam. Malah, tidur juga di atas lengan emak. Malam sebelum emak dimasukkan ke wad pun, emak tidur bersama-sama Teja. Emak amat menyayangi Teja dan rapat dengan Teja.  Kini, sudah dua tahun Teja dalam jagaan saya walaupun Teja hanya sempat bersama emak selama 11 bulan. Teja kucing yang tidak menyusahkan. Selalu dengar kata. Saya amat menyayanginya. Semoga Teja akan sihat.


Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam
27 Jun 1951 - 19 Mei 2012

Jumaat, 21 Jun 2013

INSAN JANGAN KALAH

SETIAP kali berasa sukar dalam menghadapi sesuatu perkara, saya akan ingat dua kenyataan. Pertamanya seperti yang sedia diketahui, Surah Al Insyirah mengulang sebut tentang setiap kesusahan akan hadir bersama-samanya kemudahan. Allah SWT mahu kita bersabar. Sesungguhnya Allah SWT bersama-sama mereka yang sabar. Juga sesungguhnya kejayaan milik orang yang sabar.

Kedua, saya akan ingat petikan ayat ini : "All things excellent are difficult as 'they are rare'." Allah SWT akan memberi jalan kepada setiap kerja hamba-Nya yang berusaha. Setiap kesusahan yang disambut dengan ikhlas dan usaha akan membuahkan hasil. Saya berhadapan dengan kesulitan untuk berdepan dengan satu penulisan. Kesulitan yang belum pernah saya lalui ini berusaha mencuit rasa saya agar lelah dan berputus asa, mengajak saya untuk lupa bahawa sesuatu yang berharga tidak pernah terdedah dan dapat dicapai dengan mudah. Akan tetapi, renungan saya membawa pada kesedaran bahawa kesulitan itu tidak lain hadir sebagai ujian kepada saya daripada Allah SWT. Sama ada saya mahu tunduk pada kesulitan atau sebaliknya, terpulang kepada tahap kesedaran saya sebagai seorang insan yang mempunyai panduan.


Pernah pada satu masa ketika saya masih kecil, emak menyuruh saya menghuraikan simpulan tali yang berserabut. Suruhan itu bukanlah sesuatu yang saya suka kerana pada fikir saya terbayang sukarnya untuk menghuraikan tali yang bersimpul. Akan tetapi, emak dengan tegas mengatakan "Kita yang buat benda itu jadi mudah atau susah." Ya, segalanya berbalik pada perspektif kita terhadap sesuatu ujian/cabaran. Jika ujian disambut dengan baik maka akan ada aneka jalan untuk ujian itu ditangani. Sekiranya sambutan terhadap sesuatu cabaran itu bersifat dingin, tidak mustahil seribu alasan kita ada untuk kalah kepadanya. 

Ketika kita sudah muktamad memilih satu jalan yang indah, tiba-tiba di pertengahan jalan ada duri yang menghalang, maka bukankah lebih baik sekiranya duri itu diusahakan untuk dialihkan terlebih dahulu, daripada terus berpatah arah gara-gara enggan terluka walau sedikit? Bukankah satu kerugian sekiranya dengan pilihan berpatah arah membuatkan kita terlepas sesuatu yang lebih damai dan mententeramkan jiwa? Percaya, setiap perjalanan - menanti di hujunganya kemanisan yang tidak terungkap. Ingat, pelangi nan indah itu jarang sekali muncul. Hadirnya yang sesekali itu juga atas gabungan sinar matahari dan hujan yang turun. Tanpa matahari dan hujan, pelangi tidak kelihatan.


Yang indah tidak mudah. Insan jangan kalah.
Menyerah itu pasrah. Tawakal itu usaha.

Selasa, 18 Jun 2013

JADILAH MANUSIA


AKHBAR The Star semalam melaporkan seekor anak anjing yang dipukul dengan batang PVC kerana memecahkan mangkuk milik tuannya, penjual Bak Kut Teh. Anak anjing itu juga diikat dengan rantai yang pendek secara ketat di dalam kedai. Anak anjing itu diselamatkan setelah badan NGO menerima aduan tentang penderitaan yang dialaminya oleh beberapa insan.  Ketika ditanya pihak NGO sebab pemilik anjing itu memukul anak anjing tidak berakal itu, katanya sebagai pengajaran kepada anak anjing itu agar lebih berkelakuan baik. Sekiranya kes ini berlaku di Amerika Syarikat, sudah tentu pemilik kedai itu akan didakwa oleh Police Animal, diberi hukuman yang setimpal. 

Wakil NGO membalas kenyataan pemilik itu dengan "Would you train a child by beating he or she continuously simply because he or she answered nature's will."

Kata-kata wakil NGO itu mengingatkan saya pada kisah yang disampaikan Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai penutup Kuliah Malam Sabtu beliau yang terakhir untuk semester ini di Dewan Utama, Menara Razak UTM, Jalan Semarak. Profesor menyampaikan kisah seorang sufi dengan seekor kucing yang didakwa oleh pemiliknya sebagai 'kucing yang terdidik". Pemilik kucing itu berbangga bahawa kucing yang dimilikinya itu tidak seperti kucing lain. Keistimewaan dan kehebatan kucing itu terletak pada kemampuannya berkelakuan sopan ketika berada di meja makan. Kebanyakan tetamu yang dijemput  untuk memperlihatkan kesantunan kucingnya ketika berada di meja, memang memperakui dan mengagumi kesantunan kucing terdidik itu. Kisah kucing terdidik itu sampai kepada pengetahuan seorang sufi. 

Sufi tersebut enggan mempercayai dakwaan pemilik itu bahawa kucingnya ialah kucing yang terdidik malah, mampu dididik. Bagi membuktikan dakwaan itu pada mata sufi, pemilik kucing menjemput sufi dan beberapa tetamu lain untuk makan malam bersama kucing itu. Pada mulanya, kucing itu memperlihatkan peri laku kebiasaannya yang memang sangat bersantun ketika makan. Bagi menguji kebenaran dakwaan pemilik bahawa kucing mampu dididik, sufi mengeluarkan seekor tikus. Dengan melihat saja tikus itu, kucing lantas memperlihatkan sikapnya yang sebenar dengan menghuru-harakan keadaan di meja makan gara-gara ingin menangkap tikus sufi. Eksperimen yang dijalankan sufi membuktikan hakikat naluri semula jadi atau fitrah kucing itu adalah perkara yang mustahil untuk diubah (dididk) kerana memang begitulah tabiat alam kucing yang sebenarnya. Haiwan ialah makhluk tidak berakal. Berbeza dengan manusia yang dengan kehadiran dan kemampuan akal maka manusia boleh dididik dan sedia terpandu untuk menentukan antara yang benar dengan salah. Apatah lagi dengan fitrah manusia yang pada hakikatnya cenderung kepada kebaikan.

Kepada manusia, jadilah manusia yang berakal dan berlakukah seperti yang sepatutnya. Jika tidak, haiwan yang tidak berakal itu jauh lebih baik daripada manusia yang berakal tetapi berlaku seperti tidak berakal.

Ahad, 9 Jun 2013

MARTABAT INSAN DENGAN ILMU

SESUATU yang baik itu, amat baik untuk dikongsikan. Saya temui petikan ini dalam sebuah novel berjudul Jejak Warisan, di halaman 61, untuk renungan bersama.

Berkata Mu'az bin Jabal mengenai mengajar dan belajar; pada pendapatku ini adalah sebuah hadis marfu': Pelajarilah ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah itu ialah takwa. Menuntut ilmu itu ibadah, mengulang-ulangnya itu tasbih, membahaskannya itu jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak tahu itu sedekah, memberikannya kepada ahlinya mendekatkan diri kepada Tuhan. Ilmu itu teman waktu sendirian dan kawan waktu kesepian, penunjuk jalan kepada agama, pemberi nasihat supaya bersabar waktu suka dan duka. Ilmu itu ibarat seorang menteri di tengah-tengah teman sejawat, seorang keluarga di tengah-tengah orang asing dan sinar jalan ke syurga. Dengan ilmu, diangkat oleh Allah beberapa kaum, lalu dijadikan-Nya mereka pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kepada kebajikan, diambil orang menjadi ikutan dan penunjuk jalan kepada kebajikan. Jejak mereka diikuti, perbuatan mereka diperhatikan. Malaikat suka kepada tingkah laku mereka, disapunya mereka dengan sayapnya. Seluruh yang basah dan yang kering meminta ampun akan dosa mereka, hatta ikan dan binatang laut, binatang buas dan binatang jinak di darat, langit dan bintang-bintangnya. Ilmu itu imam dan amal itu pengikutnya. Diilhamkan ilmu kepada orang-orang yang berbahagia dan diharamkan kepada orang-orang yang celaka. - Imam Al Ghazali, Kitab al-'Ilm

Jati bertanya selamba, bagaimana 'rupa' ilmu yang anda / kita cari?

Isnin, 3 Jun 2013

TENTANG MEREKA II

BARU-BARU ini ada rakan beri saya rantai kunci patung koala. Saya gantungkan pada beg komputer riba. Sejak itu, saya kenal pasti ada siri cubaan yang mahu merampas koala itu daripada beg unta saya (Bayangkan beruang koala di atas bonggol unta. Comel!). Setakat ini, siri cubaan  itu berjaya saya halang. Wajah para pencuri amat lucu setiap kali ditangkap kerana jenayah itu. Ada yang terkejut, ada yang berpura-pura selamba, ada yang wajahnya berkata "tak salah, tak salah".

---

Apa khabar Lanang Jati? Hari ini hari kesepuluh Jati dalam jagaan saya. Sehingga petang semalam, Jati sangat sihat, cergas, aktif dan nakal. Tahu sajalah anak kucing berusia dua bulan, memang sangat lincah. Sesuai sekali dengan namanya. Saya sendiri ralit memerhatikan pembesaran dan melayan gelagatnya. Saiz tubuh Jati kini sudah dua kali ganda besar berbanding ketika saya mengambilnya pada petang Sabtu minggu lepas. Ketika itu, tubuh Jati sangat kurus. Setiap kali saya mengusap tubuhnya, sungguh terasa tulang-tulang kecil tubuhnya.

Akan tetapi, sekitar jam 8 malam tadi - Jati memperlihatkan simptom yang sama dilalui Qaseh. Jati pengsan buat kali pertama dalam jagaan saya. Pada mulanya, saya sangka paru-paru Jati dipenuhi air kerana pergerakan pada hidungnya. Namun, apabila tubuh Jati yang longlai, pandangan Jati yang tidak memberi respons dan keadaan tubuh yang sering tersentak apabila disentuh membuatkan saya teringat akan keadaan yang pernah menimpa Qaseh. Apatah lagi, Jati ini saudara Qaseh. Cuma saya menemui mereka pada pada masa yang berbeza.

Jati pengsan kira-kira lima jam. Pada jam 1:30 pagi, Jati sedar daripada pengsannya. Sungguh, saya dan Jati sudah semakin akrab. Sakit yang Jati rasa, risau berganda yang saya rasa. Jam 10 nanti, saya akan bawa Jati ke Hospital Gasing. Saya harap akan ada penyelesaian pada sakit Jati. Lebih daripada itu, saya berdoa agar Jati sihat dan dapat membesar dengan baik. 



Seterusnya, apa khabar Panglima Awang? Petang Jumaat yang lalu, Awang dibawa ke Hospital Gasing gara-gara kesukaran untuk membuang air seni. Masalah ini amat serius khususnya bagi kucing jantan kerana salur pundi kencingnya yang lebih halus berbanding kucing betina. Sekiranya kucing anda tidak membuang air seni dalam tempoh 24 jam, kematian boleh dijangka. Hal ini kerana, air seni yang tidak dapat dikeluarkan itu akan masuk ke dalam salur darah dan menjadikan kandungan darah beracun. Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan. Awang menunjukkan simptom yang pernah dilalui Omi dua tahun lalu. Sejenis penyakit dipanggil Struvite. Penyelesaiannya, Omi perlu menukar makannnya daripada Science Plan biasa kepada Urinary S/O yang berfungsi menggurangkan pembentukan kristal dalam pundi kencing yang boleh menyebabkan sekatan untuk proses penyahtinjaan berlaku. Simptomnya ialah kucing anda akan berkali-kali berusaha untuk membuang air kecil tetapi gagal. Tiada apa-apa yang keluar. Atau, lebih bahaya jika di dalam air seninya itu kelihatan tompokan seperti garam, plus adanya darah di dalamnya. Ini yang dilalui Omi.

Dr. Goh yang merawat Awang membekalkan dua jenis ubat iaitu antibiotik untuk mengurangkan radang di pundi kencing dan satu jenis ubat pil yang lain. Setelah memeriksa pundi kencing Awang, Dr. Goh menjelaskan bahawa saiz pundi kencing Awang masih normal. Pembentukan kristal di dalam pundi kencing menyebabkan Awang terasa seperti hendak membuang air seni. Kristal yang tajam itu menghantar maklumat yang salah kepada otak Awang iaitu rasa hendak buang air. Itulah yang menyebabkan Awang beberapa kali berusaha membuang air kecil tetapi tidak setitis pun keluar. 


Masalah yang besar antara saya dengan Awang ialah sikap Awang yang mempunyai konflik psikologi. Masalah ini dihidapi kerana sejarah hidup Awang yang tidak dibesarkan oleh ibunya sendiri kerana dia diambil ketika berusia satu bulan di sebuah longkang. Ketika itu, saya tidak mempunyai kucing kecil untuk menemani Awang maka dia mendapat penjagaan sepenuhnya daripada manusia. Oleh sebab itu, Awang 'bertindak' seperti manusia dan sangat tidak mesra alam dengan kucing lain. Awang menjadi sangat agresif, tidak pandai bermanja dan tidak mahu dimanjakan. Hidupnya amat menyendiri. Dengan sejarah itu, memang amat sukar untuk memberi Awang makan ubat. Oleh itu, yang menjadi kerisauan saya adalah keadaan Awang yang tidak mahu makan makanan dan amat sukar untuk diberi makan ubat. Dr. Goh sendiri mengakui sikap Awang itu setelah dia sendiri perlu berusaha keras untuk memasukkan makanan ke dalam mulut Awang.

Tidak seperti di rumah, Awang lebih terkawal sikap barannya ketika dirawat Dr. Goh. Hal ini kerana kucing sememangnya secara semula jadi berasa takut dengan orang yang tidak dikenali, apatah lagi dengan kawasan berbau ubat. Kata Dr. Goh, sikap Awang itulah yang membuatkan Awang "cute and special". Dr. Goh tidak menahan Awang di wad pada hari itu . Akan tetapi, jika keadaan Awang yang sama berlarutan, maka Awang akan ditahan untuk dua hari bagi ujian seterusnya. Saya sungguh terpikat dengan gaya Dr. Goh mengendalikan Awang yang 'psiko' ini. Dr. Goh sangat sabar dan lemah lembut. Begitulah hampir semua doktor di Hospital Gasing yang jarang saya temui di klinik-klinik haiwan lain. Hormat dan kasih mereka pada 'pesakit' mereka amat ketara. Usaha yang diberikan juga pada saya luar biasa bagus. Terima kasih Dr. Goh, Dr. Tan, Dr. Melisa dan Dr. Prem.

---

Oh, Jumaat yang lalu juga, genap 1 tahun 2 bulan usia Sofi. Kucing yang saya jumpa di sebuah sekolah dua minggu selepas emak meninggal dunia. Saya masih ingat perasaan gembira saya ketika memelihara Sofi yang berusia dua bulan ketika itu. Antara peristiwa manis menjaga Sofi semasa kecil adalah perstiwa Sofi tidak boleh buang air besar. Saya membeli enema iaitu sejenis pelincir yang digunakan untuk bayi yang mengalami kesukaran untuk membuang air besar. Untuk membolehkan Sofi yang begitu lemah kerana tidak boleh membuang air besar, enema itu saya masukkan ke dalam salur dubur Sofi. Tidak sampai satu minit, najis Sofi bersembur keluar hingga kena pada baju saya. Selepas itu, Sofi menjadi sangat riang dan cergas semula.


Selamat ulang tahun kelahiran Sofi. Semoga Awang akan sembuh sepenuhnya. Semoga, perjalanan saya dengan Jati pada pagi ini ke Hospital Gasing akan lancar. Lebih utama, semoga Lanang Jati kuat, tabah dan sihat.