Ahad, 12 Mei 2013

PADA TAKAH INI

SELALUNYA, saya rasa saya mampu bekerja keras tanpa mengira masa. Akal memperakui keupayaan untuk terus bekerja. Akan tetapi, kadang-kadang saya lupa bahawa tubuh juga punya hak untuk menikmati rehat daripada segala lelah bekerja. Sejak Khamis lalu, saya berasa agak penat kesan daripada berulang-alik dari Selayang ke Serdang dan Serdang ke Selayang. Sebagai penunggang, 80 minit berada di atas lebuh raya tanpa lampu isyarat begitu meletihkan sepasang kaki yang saya ada. Tambah lagi, sebaik-baik tiba di rumah dari Serdang pada petang Khamis lalu, saya terus membawa Qaseh ke Kepong yang mengambil masa 40 minit pergi dan balik. Maknanya, saya menunggang selama 120 minit pada Khamis lalu dalam keadaan demam yang bersisa. Hal ini menjadikan tubuh saya agak lesu pada hari seterusnya yang bergerak ke Serdang seawal 6:50 pagi, dengan ingatan yang masih kuat terhadap Qaseh.

Kelesuan itu memberi ruang kepada saya untuk berasa malas bagi menghadiri kuliah pertama semester kedua yang bermula semalam. Walhal, sepanjang saya bergelar pelajar hanya ada tiga sebab untuk saya 'tuang kuliah' iaitu ketika emak sakit, membawa emak untuk janji temu bulanan dengan doktor pakar dan kucing saya sakit. Akan tetapi, pagi semalam - rasanya lebih enak jika berehat di saja rumah sambil meneruskan penulisan yang terjadual. Namun saya pergi juga ke kuliah itu. Semasa memulakan perjalanan seawal jam 7:40 pagi, saya berkata di dalam hati "Semoga perjalanan ini akan memberi manfaat kepada saya. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami sesuatu yang bermanfaat untuk saya."

Saya sangat bersyukur dan terharu sepanjang mengikuti kuliah pagi semalam yang dikendalikan Dr. Mohd Zaidi Ismail. Topik yang dibincangkan ialah faham ilmu, keutamaan ilmu, peranan ilmu dan cabang ilmu yang berlegar dalam pandangan sarwa Islam. Saya terharu kerana Allah SWT menentukan saya untuk tetap hadir pada kuliah itu yang pada awalnya enggan saya hadiri dengan alasan 'penat'. Saya bersyukur kerana kuliah yang diberikan Dr. Mohd Zaidi menambahkan lagi keyakinan saya terhadap ilmu yang sedang saya terokai. Dengan kedudukan paling hadapan, saya puas dapat bertentang mata dengan guru yang dibibirnya memberikan sesuatu yang saya tidak pernah tahu, menjadi tahu. Daripada sesuatu yang tidak saya kenal, menjadikan saya semakin kenal. Juga, daripada sesuatu yang saya sedia tahu untuk lebih yakin dengan pengetahuan itu.

Saya faham, perjalanan dan kembara ilmu yang membuatkan manusia lebih kenal diri dan Pencipta itu tidak mudah. Bahkan, perjalanan itu merupakan satu perjuangan (jihad). Perjuangan menjadikan diri lebih faham tentang diri, agama dan Pencipta kita yang seterusnya wajar dimanifestasikan dalam cabang hidup yang dilalui. Dalam perjuangan ini, syaitan akan hadir dengan bisikan manjanya agar pencari ilmu lalai dan berputus asa untuk mendalaminya. Kenapa tidak? Kerana setiap yang bernama ilmu bukanlah boleh difahami dengan hanya sekali lalu, sekali baca, sekali lihat dan sekali usaha. Malah, memerlukan pengulangan, renungan yang mendalam dan pengertian yang baik daripada guru yang baik, ikhlas dan menyampaikan ilmu yang menjadi tanggungjawab kepadanya untuk disebarkan.

Dr. Mohd Zaidi memulakan kuliah pagi ini dengan kenyataan bahawa pentingnya pencari ilmu memahami tradisi pemikiran dalam Islam. Kepentingan ilmu dalam Islam jelas apabila perkataan ilmu menjadi kata yang kedua paling kerap diulang di dalam Al Quran. Malah, perihal kejadian manusia pertama di bumi iaitu Nabi Adam A.S juga tidak dapat tidak berkait dengan ilmu (Rujuk Surah Al Baqarah;30-35). Seterusnya, ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW (Rujuk Surah Al Alaq: 1-5) juga memberi keistimewaan pada soal ilmu.

Bagi manusia awam, ilmu diperoleh dengan usaha . Allah SWT akan memberi kefahaman kepada manusia terhadap ilmu berdasarkan kejujuran dan keikhlasan pencari ilmu terhadap ilmu yang diterokai. Subhanallah. Apakah kita jujur dengan ilmu yang kita depani? Apakah kita ikhlas dengan ilmu yang kita terokai? Dan, untuk apa kita mencari ilmu yang sedang kita cari? Ilmu bagaimana yang perlu kita cari? Saya lebih terkesan dengan tulisan Dr. Mohd Zaidi berjudul "Faham Ilmu dalam Islam: Satu Rencana Asas" yang diedarkan iaitu "Sekiranya kita meyakini hal yang diterangkan itu - iaitu; ilmu sangat utama dan penting dalam Islam, bahkan mendasari Akidah Islam - maka sebagai susulannya, hendaklah kita berusaha dengan ikhlas dan tekun untuk memperolehnya. Bagaimanapun, sebelum kita bergerak mendapatkannya, perlulah kita terlebih dahulu betul-betul mengenalinya agar kita tidak tersilap atau terkeliru sehingga menyangka apa yang BUKAN ILMU sebagai ilmu, atau mengambil LAWAN ILMU sebagai teman pemandu hidup kita. Ringkasnya, perlunya kita TAHU PERIHAL TAHU atau BERILMU TENTANG ILMU." Dengan pemahaman ini, penuntut wajar mempunyai penyaringan di dalam diri terhadap ilmu yang dicari supaya tahu meletakkan kedudukan ilmu yang diperoleh pada tempatnya yang benar, bertepatan dengan akidah yang dipegang.

Seperti yang ditekankan Syeikh Qadir Jailani dalam Wasiat Kerohanian, saya mendapat peringatan yang sama dalam kuliah pagi ini akan kepentingan insan untuk mencari ilmu dan mengajar ilmu yang dimiliki. Dengan peringatan itu juga, mengingatkan saya pada satu kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdapat dalam buku Mauizhah, yang dengan tegas mengatakan setiap pelajar dituntut untuk mengajar. Kaitannya di sini ialah ilmu dan amal. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menggerakkan insan untuk beramal dengan ilmu yang dimiliki. Sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang kita ada?

Selesai kuliah, kata-kata emak tiga bulan sebelum saya menyambung pengajian pada tahun lalu bergema lagi. Kata-kata emak yang hanya belajar sampai tingkatan tiga tetapi berpesan kepada saya tidak lama sebelum emak pergi buat selama-lamanya, "Carilah ilmu, dik. Ilmu tu kan harta." Selain kata-kata emak, ada dua ayat daripada dua pujangga yang sering saya ingat hampir setiap hari, yang berkaitan ilmu. Pujangga pertama dalam satu tulisannya berkata, "Jika kita dapat ilmu yang baik, itu juga satu rezeki. Rezeki rohani untuk menjadi lebih tahu." Pujangga kedua berkata, "Ilmu ialah sesuatu yang dengannya kita dapat membezakan dengan jelas antara yang benar dengan yang salah. Yang membuatkan kita tidak lagi keliru atau buntu ketika berhadapan dengan sesuatu." Subhanallah.

Pengisian yang saya dapat daripada kuliah hari ini begitu memberi kesan kepada saya. Apatah lagi ketika saya tiba di rumah, membuka saluran 106, Prof Muhaya dalam segmen Reset Minda turut membicarakan hal yang sama. Ketentuan ini membuatkan saya menjadi begitu terharu dan penuh harap agar Allah menyingkap tabir-tabir dalam diri agar dapat saya memahami setiap ilmu dalam ruang reda-Nya. Semoga ilmu ini memberi manfaat kepada saya untuk diamalkan, bukan untuk sekadar dipendamkan.

Jika ditanya pada takah mana kehidupan yang pada saya amat bermakna, maka pada takah menjadi anak, hidup bersama emak dan yang sedang saya lalui dalam usia kinilah jawapannya. Takah hidup yang memberikan saya jelas akan matlamat dan sesuatu yang perlu saya lakukan atas dasar tanggungjawab.

Sekadar renungan :Ilmu ialah cahaya yang menerangi kegelapan. Bunyinya klise, tetapi dalam maknanya jika dibaca dengan renungan.

Catatan ini saya siap tulis pada 3:19 pagi setelah saya menoktahkan kerja penulisan saya pada halaman 136. Akan tetapi, catatan ini tidak dapat terbit mengikut masa disebabkan masalah talian jalur lebar yang tidak pernah selesai, walaupun menggunakan Usain Bolt sebagai model iklan terbaharunya.

Selamat menyambut kehadiran bulan Rejab, persediaan menjelang Ramadan.

1 ulasan:

  1. Salam, baca pos ini ...buat sy sayang pada anda.

    BalasPadam