Selasa, 28 Mei 2013

ONE HAPPY FAMILY AT HOME

SABTU lalu, sekitar jam 6:50 petang, ketika memberi makan kucing lorong, saya menyedari ada sepasang mata yang memandang saya secara curi. Dengan ekor mata, saya melihat dia dalam keadaan pura-pura seolah-olah dia selamat daripada pandangan saya. Barangkali, nalurinya menyedari bahawa saya sudah mula terasa akan kehadirannya di situ. Saya terus melihat lagi dengan ekor mata. Tubuhnya yang kecil berusaha disembunyikan di celah-celah rumput sederhana panjang. Saya melangkah perlahan-lahan agar dia tidak sedar akan niat saya terhadapnya.

Apabila saya dan dia semakin dekat, tangan kanan saya segera memegang leher kecilnya. Anak kucing berusia dua bulan itu berjaya saya tangkap. Seketika dia meronta. Menggigit tangan saya dengan gigi-gigi kecilnya yang runcing dan tajam. Wajahnya sangat persis dengan Qaseh. Tahulah saya bahawa dia ialah saudara kandung kepada Qaseh yang pergi tiga minggu lalu. Apatah lagi, dia juga saya temui di tempat yang tidak jauh saya temui Qaseh dahulu. Bezanya, Qaseh saya temui pada malam Jumaat sedangkan anak kecil ini saya temui pada petang Sabtu. Saya juga mula tahu dan pasti akan ibu kepada Qaseh dan anak kecil ini. Saya memanggil ibunya sebagai Melur. Kucing jalanan berusia satu tahun yang terlalu muda untuk bunting dan melahirkan.

Dia, saya namakan sebagai Lanang Jati. Nama pendeknya, Jati. Dengan nama itu, saya berharap Jati akan kuat dan tabah menghadapi segala dugaan yang akan menimpa dirinya selaku makhluk ciptaan Allah SWT, yang tanpa akal tetapi ada naluri. Saya mengambil Jati atas rasa simpati. Dalam keadaan cuaca yang tidak tentu, saya khuatir Jati akan jatuh ke dalam longkang ketika Melur meninggalkan Jati untuk mencari makan.

Pada hari pertama di rumah, Jati nampak sihat. Cuma, agak menyedihkan apabila melihat 'paw' Jati yang mengelupas. Barangkali kerana memijak simen yang panas, yang memang mudah melecurkan tapak halus anak kucing. Jati, seperti Qaseh, Jati 1, Wira dan Wira 2 (ditemui seminggu selepas Qaseh tetapi mati pada hari ketiga ditemui kerana cacing yang terlalu banyak di dalam perut) ditempatkan bersama-sama Mama Kancil. 

Lanang Jati
Pada hari kedua, Jati nampak agak lemah. Tubuhnya lesu. Nampak sungguh tidak berdaya. Melihat perutnya yang kembung seperti belon, saya menjangkakan kelesuan Jati disebabkan masalah cacing. Masalah yang biasa bagi anak kucing jalanan, terjadi kesan pemakanan tidak tentu bersih yang diterima daripada air susu ibunya yang juga kucing jalanan. Saya memberi ubat cacing Qaseh yang masih tersimpan.

Jati menjadi semakin lemah. Tidak mahu makan dan minum. Saya biarkan dia berehat, tidur selama dua jam. Sepanjang itu, perut Jati sangat laju bergerak. Keadaan Jati yang lemah seolah-olah Jati akan pergi seperti yang lain. Akan tetapi, setelah dua jam - Jati mengeluarkan najisnya yang dipenuhi cacing. Sesetengahnya tidak keluar penuh, maka perlu saya tarik daripada duburnya. Untuk beberapa kali, Jati muntah dan asyik membuang air besar. Setiap kali itu, cacing panjang berwarna putih dan sangat halus akan keluar. 

Cacing yang keluar menerusi najis Jati
Alhamdulillah, petang semalam Jati tidak lagi muntah dan najisnya juga sudah bebas cacing. Saya amat gembira. Seperti anak manusia, tahap kesihatan anak kucing juga boleh dikesan antaranya melalui warna dan bentuk najis yang dikeluarkan. Jati nampak riang dan menunjukkan perubahan yang positif. Jati mula berminat untuk makan. 

Jati mempunyai rangka yang besar. Akan tetapi, tubuhnya sangat kurus. Yang memperlihatkan Jati seolah-olah anak kucing yang besar ialah bulunya yang lebat. Tidak seperti Qaseh, Jati bebas daripada penyakit sawan. Saya berdoa agar Lanang Jati akan sihat dan membesar dengan baik.

Oh, berkenaan budak-budak debab berempat, mereka juga sihat. Semuanya sudah terbuka mata. Fizikal mereka menyamai malah lebih besar daripada Jati sedangkan mereka baru berusia sebulan. Nampaknya, saya perlu berusaha untuk membeli sangkar (kondominum) yang besar untuk mereka, sesuai dengan fizikal mereka yang akan membesar dua kali ganda berbanding kucing tempatan biasa. Saya juga sudah memberi mereka nama. Yang berwarna hitam di hidung itu diberi nama Wira. Kak Long pula diberi nama Qaseh. Manakala dua lagi masing-masing dipanggil Putra dan Waja.

Bukan nama kereta nasional yang memberi inspirasi kepada saya untuk beri mereka nama-nama itu. Akan tetapi, semangat nama-nama itulah yang menjadi asbab nama itu saya beri kepada mereka. Semoga mereka kuat seperti Qaseh dan Wira menerima ujian hidup.

Lanang Jati. Agak serabai bulunya

Sekarang, saya ada 13 ekor kucing belum termasuk budak debab dan Manis. Daripada 13 ekor itu, hanya seekor sahaja kucing yang memang lahir daripada induk yang saya jaga. Semoga mereka sihat selalu. Amin Ya Rahim

Qaseh, saudara Jati yang telah 'pergi'. Wajah mereka amat persis.

Budak-budak debab. Kini, semuanya sudah buka mata

Ini Putra
Ini Wira. Yang nampak punggung saja itu Waja.
Yang hitam itulah ibu mereka. Namanya Manis. A happy family at home.

Selasa, 21 Mei 2013

BUDAK-BUDAK DEBAB

PADA waktu saya menulis entri ini (Isnin, 7:00 pagi), kebiasaannya saya sudah berada di atas jalan menuju ke kampus di Serdang. Akan tetapi, kuda besi saya pagi ini tidak mahu bergerak. Merajuk akan apa, saya tidak tahu. Saya perlu menunggu sehingga jam sembilan nanti untuk membawa kuda manja itu mendapat rawatan. Sementara itu, ingin saya kongsikan wajah-wajah comel yang saya mesrai semalam.

Manis ialah kucing jalanan yang diambil oleh guru saya di Pasar Selayang. Setakat ini, saya tidak pernah ambil foto Manis. Cuma boleh saya perikan dengan jelas bahawa Manis ialah kucing berbulu hitam seluruhnya. Tiada langsung warna selain hitam di tubuhnya, sama seperti Salem yang menjadi kucing kesayangan Sabrina The Witch.

Ketika Manis diambil, kami tidak tahu yang Manis bunting. Barangkali ketika itu usia kehamilan Manis masih awal. Sebulan kemudian, baru kami sedar yang perut Manis semakin besar. 17 hari yang lalu, Manis selamat melahirkan empat ekor anak. Saya ingin bercerita mengenai empat ekor anak Manis itu. Saya berkesempatan mengunjungi mereka pagi semalam.

Daripada empat ekor itu, hanya satu sahaja betina. Yang satu inilah yang terlebih dahulu membuka mata. Maka, saya jangkakan dia ialah anak sulung kepada Manis. Oleh itu, saya memanggil dia sebagai Kak Long hanya buat masa ini kerana mereka belum lagi diberi nama. 

Sepanjang pengalaman saya sejak kecil (5 tahun) menjaga kucing, saya tidak pernah melihat anak kucing sebesar ini. Memandangkan Manis hanya kucing biasa, tahulah saya bahawa anak-anak Manis itu pastinya mewarisi baka daripada ayahnya yang tidak dapat dikesan itu. Hal ini kerana, anak kucing biasa (domestic short hair) tidak lahir dengan fizikal seperti itu. Sebaliknya, budak-budak debab berempat ini kelihatan seperti berusia enam minggu sedangkan mereka baru berusia 16 hari. Melihat dari segi corak dan bulu serta fizikal mereka (besar dan panjang), saya fikir mereka ini baka Ragdoll. Selain anak kucing baka Ragdoll dan Maine Coon - anak kucing Bengal saja yang lahir dengan saiz yang besar dan cepat membesar.

Mereka sangat comel. Manis pula ibu yang sangat komited. Guru saya itu pula sangat menjaga kebajikan keluarga kecil itu. Jauh di sudut hati, ingin sekali saya mengambil salah satu daripada mereka. Saya boleh rasakan betapa gembiranya dapat menjaga anak-anak kecil itu. Tentunya saya akan ralit dengan mereka. Rasanya, selain Kak Long, yang lain akan terbuka matanya pada hari ini atau minggu ini. Ketika saya melihat mereka semalam, sudah nampak jalur mata mereka. 

Mereka sangat sihat. Semoga budak-budak debab ini akan membesar terus dengan sihat. Saya suka melihat mereka yang masih merah jambu terutamnya pada hidung, perut, jari dan kaki (maknanya, keseluruhan tubuh mereka). Warna dan corak yang sebenar belum terbentuk. Satu lagi yang saya kira comel pada mereka, selain badan yang mantap, debab, besar dan panjang - jari-jari mereka yang gemuk-gemuk juga begitu menonjol. Subhanallah, comel sungguh haiwan yang Allah jadikan secara fitrah ini untuk mendampingi dan didampingi manusia.

Tak cukup tangan saya

Lihat jari-jari Kak Long yang gemuk. Lihat juga yang di belakang


Budak-budak debab
 
Saya bukan cekik dia ya. Budak ini yang marah-marah sendiri sebab kena kacau

Ahad, 19 Mei 2013

GARIS PUTIH

DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH dalam akhbar Sinar Harian, 16 Mei 2013 menyarankan UMNO agar bertaubat nasuha. Anjuran itu disebut Dato' Saifuddin itu diluahkan dalam Wacana Sinar siri ke-20 berjudul "Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu" di Auditorium Karangkraf. Menurut Dato' Saifuddin, UMNO perlu terima kritikan rakyat dengan hati terbuka. Hal ini menjurus pada kritikan rakyat yang semakin jelas menolak segala unsur korupsi dan penyelewengan kepimpinan UMNO. 

Dalam wacana yang sama, Dato' Saifuddin juga menganjurkan Barisan Nasional agar mewujudkan satu garis  seperti yang pernah dilakukan di Hong Kong. Bagi Dato' Saifuddin, "Pertamanya, apa yang perlu dilakukan adalah dengan memohon maaf atas kesilapan lalu. Itu sangat penting. Kedua, menyatakan dengan tegas bahawa perkara lama [kesilapan] itu tidak akan diulangi dan ketiga bermula ke hadapan mengurus tadbir yang bru dengan mengamalkan politik baru, mengangkat diskusi politik ke paras yang tinggi."

Pada saya, agak jelas bahawa PRU 13 memperlihatkan wujudnya dua kelompok pengundi. Pertama, pengundi yang masih menagih pembangunan seperti pembinaan jalan raya. Kedua, ialah kalangan pengundi yang menuntut kepimpinan yang lebih 'bersih', yang mahukan demokrasi dan cengkaman daripada rasuah. Hal ini juga disentuh Dato' Saifuddin dan mencetuskan idea beliau agar BN mengadakan garis putih.

Tidak terlepas daripada pengamatan, Dato' Saifuddin turut memperakui bahawa rasuah sememangnya wujud dalam kalangan tertentu dalam pelaksanaan transformasi yang diuar-uarkan. Menurut Dato' Saifuddin, "Apabila kerangka program transformasi dirangka, kita utamakan rasuah, kita akui masalah itu berlaku. Setiap tender kerajaan sekarang dikenakan satu indeks akauntabiliti yang telah dilaksanakan sebanyak 82 peratus tapi sepatutnya ia dilaksanakan 100 peratus. Ini dikatakan tidak mencukupi. Kita sepatutnya perlu tingkatkan komitmen dan menunjukkan keseriusan itu. Kita terima teguran rakyat terutamanya pada PRU 13 dan 2008, kami ditegur 2013; taubat nasuha."

Cadangan dan pengakuan Dato' Saifuddin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang amat diminati golongan belia ini perlu direnung UMNO dengan akal yang waras. Ambil pengajaran bahawa rakyat kita semakin jelas dan menolak segala penyelewengan dalam pentadbiran. Sebagai pemimpin, tidak semua yang dilakukan adalah benar. Ambil teguran rakyat, dan berubahlah sebagai tindakan. Teladan kepimpinan yang harus dipraktikkan sudah lama ditunjukkan oleh sirah nabawiyah, tinggal lagi mahu dijadikan teladan atau hanya dikesampingkan. Yang lama, tidak semestinya tidak berguna dan yang baharu, bukanlah sesuatu yang baik sekiranya tidak menyumbang kepada pembangunan insan, sebaliknya hanya bertumpu pada pembangunan material.

Kepada Dato' Saifuddin Abdullah, semoga istiqamah dalam menyatakan kebenaran, walaupun pahit dan tergugat kedudukan.

Ahad, 12 Mei 2013

PADA TAKAH INI

SELALUNYA, saya rasa saya mampu bekerja keras tanpa mengira masa. Akal memperakui keupayaan untuk terus bekerja. Akan tetapi, kadang-kadang saya lupa bahawa tubuh juga punya hak untuk menikmati rehat daripada segala lelah bekerja. Sejak Khamis lalu, saya berasa agak penat kesan daripada berulang-alik dari Selayang ke Serdang dan Serdang ke Selayang. Sebagai penunggang, 80 minit berada di atas lebuh raya tanpa lampu isyarat begitu meletihkan sepasang kaki yang saya ada. Tambah lagi, sebaik-baik tiba di rumah dari Serdang pada petang Khamis lalu, saya terus membawa Qaseh ke Kepong yang mengambil masa 40 minit pergi dan balik. Maknanya, saya menunggang selama 120 minit pada Khamis lalu dalam keadaan demam yang bersisa. Hal ini menjadikan tubuh saya agak lesu pada hari seterusnya yang bergerak ke Serdang seawal 6:50 pagi, dengan ingatan yang masih kuat terhadap Qaseh.

Kelesuan itu memberi ruang kepada saya untuk berasa malas bagi menghadiri kuliah pertama semester kedua yang bermula semalam. Walhal, sepanjang saya bergelar pelajar hanya ada tiga sebab untuk saya 'tuang kuliah' iaitu ketika emak sakit, membawa emak untuk janji temu bulanan dengan doktor pakar dan kucing saya sakit. Akan tetapi, pagi semalam - rasanya lebih enak jika berehat di saja rumah sambil meneruskan penulisan yang terjadual. Namun saya pergi juga ke kuliah itu. Semasa memulakan perjalanan seawal jam 7:40 pagi, saya berkata di dalam hati "Semoga perjalanan ini akan memberi manfaat kepada saya. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami sesuatu yang bermanfaat untuk saya."

Saya sangat bersyukur dan terharu sepanjang mengikuti kuliah pagi semalam yang dikendalikan Dr. Mohd Zaidi Ismail. Topik yang dibincangkan ialah faham ilmu, keutamaan ilmu, peranan ilmu dan cabang ilmu yang berlegar dalam pandangan sarwa Islam. Saya terharu kerana Allah SWT menentukan saya untuk tetap hadir pada kuliah itu yang pada awalnya enggan saya hadiri dengan alasan 'penat'. Saya bersyukur kerana kuliah yang diberikan Dr. Mohd Zaidi menambahkan lagi keyakinan saya terhadap ilmu yang sedang saya terokai. Dengan kedudukan paling hadapan, saya puas dapat bertentang mata dengan guru yang dibibirnya memberikan sesuatu yang saya tidak pernah tahu, menjadi tahu. Daripada sesuatu yang tidak saya kenal, menjadikan saya semakin kenal. Juga, daripada sesuatu yang saya sedia tahu untuk lebih yakin dengan pengetahuan itu.

Saya faham, perjalanan dan kembara ilmu yang membuatkan manusia lebih kenal diri dan Pencipta itu tidak mudah. Bahkan, perjalanan itu merupakan satu perjuangan (jihad). Perjuangan menjadikan diri lebih faham tentang diri, agama dan Pencipta kita yang seterusnya wajar dimanifestasikan dalam cabang hidup yang dilalui. Dalam perjuangan ini, syaitan akan hadir dengan bisikan manjanya agar pencari ilmu lalai dan berputus asa untuk mendalaminya. Kenapa tidak? Kerana setiap yang bernama ilmu bukanlah boleh difahami dengan hanya sekali lalu, sekali baca, sekali lihat dan sekali usaha. Malah, memerlukan pengulangan, renungan yang mendalam dan pengertian yang baik daripada guru yang baik, ikhlas dan menyampaikan ilmu yang menjadi tanggungjawab kepadanya untuk disebarkan.

Dr. Mohd Zaidi memulakan kuliah pagi ini dengan kenyataan bahawa pentingnya pencari ilmu memahami tradisi pemikiran dalam Islam. Kepentingan ilmu dalam Islam jelas apabila perkataan ilmu menjadi kata yang kedua paling kerap diulang di dalam Al Quran. Malah, perihal kejadian manusia pertama di bumi iaitu Nabi Adam A.S juga tidak dapat tidak berkait dengan ilmu (Rujuk Surah Al Baqarah;30-35). Seterusnya, ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW (Rujuk Surah Al Alaq: 1-5) juga memberi keistimewaan pada soal ilmu.

Bagi manusia awam, ilmu diperoleh dengan usaha . Allah SWT akan memberi kefahaman kepada manusia terhadap ilmu berdasarkan kejujuran dan keikhlasan pencari ilmu terhadap ilmu yang diterokai. Subhanallah. Apakah kita jujur dengan ilmu yang kita depani? Apakah kita ikhlas dengan ilmu yang kita terokai? Dan, untuk apa kita mencari ilmu yang sedang kita cari? Ilmu bagaimana yang perlu kita cari? Saya lebih terkesan dengan tulisan Dr. Mohd Zaidi berjudul "Faham Ilmu dalam Islam: Satu Rencana Asas" yang diedarkan iaitu "Sekiranya kita meyakini hal yang diterangkan itu - iaitu; ilmu sangat utama dan penting dalam Islam, bahkan mendasari Akidah Islam - maka sebagai susulannya, hendaklah kita berusaha dengan ikhlas dan tekun untuk memperolehnya. Bagaimanapun, sebelum kita bergerak mendapatkannya, perlulah kita terlebih dahulu betul-betul mengenalinya agar kita tidak tersilap atau terkeliru sehingga menyangka apa yang BUKAN ILMU sebagai ilmu, atau mengambil LAWAN ILMU sebagai teman pemandu hidup kita. Ringkasnya, perlunya kita TAHU PERIHAL TAHU atau BERILMU TENTANG ILMU." Dengan pemahaman ini, penuntut wajar mempunyai penyaringan di dalam diri terhadap ilmu yang dicari supaya tahu meletakkan kedudukan ilmu yang diperoleh pada tempatnya yang benar, bertepatan dengan akidah yang dipegang.

Seperti yang ditekankan Syeikh Qadir Jailani dalam Wasiat Kerohanian, saya mendapat peringatan yang sama dalam kuliah pagi ini akan kepentingan insan untuk mencari ilmu dan mengajar ilmu yang dimiliki. Dengan peringatan itu juga, mengingatkan saya pada satu kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdapat dalam buku Mauizhah, yang dengan tegas mengatakan setiap pelajar dituntut untuk mengajar. Kaitannya di sini ialah ilmu dan amal. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menggerakkan insan untuk beramal dengan ilmu yang dimiliki. Sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang kita ada?

Selesai kuliah, kata-kata emak tiga bulan sebelum saya menyambung pengajian pada tahun lalu bergema lagi. Kata-kata emak yang hanya belajar sampai tingkatan tiga tetapi berpesan kepada saya tidak lama sebelum emak pergi buat selama-lamanya, "Carilah ilmu, dik. Ilmu tu kan harta." Selain kata-kata emak, ada dua ayat daripada dua pujangga yang sering saya ingat hampir setiap hari, yang berkaitan ilmu. Pujangga pertama dalam satu tulisannya berkata, "Jika kita dapat ilmu yang baik, itu juga satu rezeki. Rezeki rohani untuk menjadi lebih tahu." Pujangga kedua berkata, "Ilmu ialah sesuatu yang dengannya kita dapat membezakan dengan jelas antara yang benar dengan yang salah. Yang membuatkan kita tidak lagi keliru atau buntu ketika berhadapan dengan sesuatu." Subhanallah.

Pengisian yang saya dapat daripada kuliah hari ini begitu memberi kesan kepada saya. Apatah lagi ketika saya tiba di rumah, membuka saluran 106, Prof Muhaya dalam segmen Reset Minda turut membicarakan hal yang sama. Ketentuan ini membuatkan saya menjadi begitu terharu dan penuh harap agar Allah menyingkap tabir-tabir dalam diri agar dapat saya memahami setiap ilmu dalam ruang reda-Nya. Semoga ilmu ini memberi manfaat kepada saya untuk diamalkan, bukan untuk sekadar dipendamkan.

Jika ditanya pada takah mana kehidupan yang pada saya amat bermakna, maka pada takah menjadi anak, hidup bersama emak dan yang sedang saya lalui dalam usia kinilah jawapannya. Takah hidup yang memberikan saya jelas akan matlamat dan sesuatu yang perlu saya lakukan atas dasar tanggungjawab.

Sekadar renungan :Ilmu ialah cahaya yang menerangi kegelapan. Bunyinya klise, tetapi dalam maknanya jika dibaca dengan renungan.

Catatan ini saya siap tulis pada 3:19 pagi setelah saya menoktahkan kerja penulisan saya pada halaman 136. Akan tetapi, catatan ini tidak dapat terbit mengikut masa disebabkan masalah talian jalur lebar yang tidak pernah selesai, walaupun menggunakan Usain Bolt sebagai model iklan terbaharunya.

Selamat menyambut kehadiran bulan Rejab, persediaan menjelang Ramadan.

Jumaat, 10 Mei 2013

PERGILAH QASEH

ANTARA yang sukar dalam kehidupan adalah untuk membiasakan diri menjalani kehidupan selepas kematian seseorang yang kita sayang.

Qaseh, 'pergi' jua pada jam 12:05 pagi tadi. Qaseh, mengukuhkan lagi pemahaman tawakal kepada saya iaitu berusaha selagi belum tahu keputusan di hujungnya. Berusaha dan terus berdoa kepada Yang Maha Menentukan segalanya. 

Qaseh berpenyakit sawan. Ini saya kenal pasti pada hari kedua Qaseh saya jaga. Beberapa hari lalu, Qaseh dijangkiti batuk dan selesema. Semalam petang, pada jam 6:05 minit saya bawa Qaseh ke Klinik Pet First di Kepong menaiki skuter saya. Qaseh duduk diam di dalam beg silang sambil memandang ke arah saya dengan mulut terbuka (bernafas guna mulut). Pandangannya seolah-olah memberitahu saya bahawa dia sakit dan mahu dibantu. Pandangan yang sungguh memilukan. Pandangan berisi kesakitan.

Qaseh dibawa ke sana untuk diberi bekalan oksigen memandangkan keadaan Qaseh yang sukar bernafas. Malah, sehari sebelum itu, ketika keadaan Qaseh tidak terlalu teruk, Qaseh juga saya bawa ke klinik yang sama untuk rawatan selesemanya.  Namun, saya sungguh tidak berpuas hati dengan usaha doktor di sana, petang semalam. Saya bercadang untuk membawa Qaseh ke Hospital Veterinar Gasing di Petaling Jaya pagi ini, tetapi ajalnya datang terlebih dahulu awal pagi tadi. Terasa, kemampuan saya terbatas hanya pada takah itu, usaha saya tidak boleh mengatasi tadbir Maha Esa. 

Masih segar di pandangan saya, melihat wajah Qaseh riang berlari, bermain dan bermanja. Masih jelas juga di pandangan saya, wajah Qaseh ketika pertama kali saya mengambilnya, pada malam Jumaat beberapa minggu lalu. Ketika itu Qaseh masih belum 'terangkat' telinganya, pandangannya juga masih belum jelas dengan usia empat minggu ketika itu. Qaseh menjerit berhampiran sebatang longkang.
Yang paling terasa kehilangannya, tentulah mama angkatnya, Kancil yang kehilangan anak angkatnya, buat kali kedua. Sebelum Qaseh saya kebumikan, saya tunjukkan Mama Kancil kepada Qaseh. Mama Kancil sempat menjilat tubuh Qaseh dan duduk di depan raga yang ditempati Qaseh beberapa ketika.

Hampir tiga minggu berkongsi hidup dengan Qaseh ialah detik-detik yang membahagiakan dalam meraikan satu nyawa yang berjuang untuk
hidup. Ketika melihat keadaan Qaseh semakin tenat, saya berdoa kepada Allah, sekiranya kehidupan itu baik untuk Qaseh, maka sembuhkanlah Qaseh dan berilah kehidupan yang terbaik buat Qaseh. Saya terima Qaseh sebagai amanah dan akan menjaga Qaseh dengan sebaik-baiknya. Sekiranya kematian itu yang baik buat Qaseh, berikanlah kematian yang terbaik buat Qaseh, dan permudahkanlah urusan itu.
Qaseh selamat dikebumikan bersebelahan pusara Wira pada jam 12:15 pagi. Semoga Qaseh tahu kewujudannya amat dihargai. Terima kasih, kerana hadir dalam hidup saya walaupun sementara - tetapi sayang dan hormat saya pada Qaseh akan kekal dalam ingatan dan pengalaman.

Al Fatihah

Rabu, 1 Mei 2013

TENTANG MEREKA

BAGI saya, kucing ialah haiwan comel yang selalu membuatkan saya tersenyum waima dalam gundah dan gembira. Seperti sekarang, selesai melakukan penulisan sejak enam jam yang lalu, saya menoleh ke arah kucing-kucing saya. Ada yang sudah lena, ada juga masih enggan tidur. Barangkali kerana lampu yang belum dimatikan, itulah gelagat Kancil yang saya tahu.

Saya kurang bercerita tentang Oyen. Anak kucing ini saya ambil lebih sebulan yang lalu. Ketika itu usianya tiga bulan. Oyen ada dua saudara yang lain. Kedua-dua saya beri kepada keluarga angkat. Yang saya tidak berkenan dengan Oyen ialah sikapnya yang terlalu nakal dan suka menganggu, apatah lagi ketika saya membuat kerja-kerja penulisan saya. Sikap Oyen yang ini sama seperti Omi.

Apabila saya melihat ke kondominum yang diduduki Profesor Tam, Sofi, Aduka, Jebat dan Oyen - senyum saya akan lebar. Mereka berlima itu semuanya kucing terbiar yang saya ambil ketika usia mereka rata-rata dua bulan. Semuanya sudah dikembirikan dan divaksinkan kecuali Tam Tam dan Oyen. Apabila melihat mereka berlima juga, saya akan teringat pada satu peristiwa. Satu pagi saya ke pasar borong dan menunggang di belakang sebuah lori ayam. Bau kuat ayam itu mengingatkan saya kepada mereka berlima. Hampir sama saja baunya. Saya pun tidak pasti mengapa. Sejak itu, saya memanggil mereka sebagai 'ayam. Namun yang menarik bagi saya, mereka ditemui di kawasan yang berasingan pada usia yang juga berbeza akan tetapi kini bersatu di dalam rumah dengan penuh harmoni. Saling memerlukan dan menyayangi. Apakah tiada sesuatu untuk dipelajari daripada itu?

Omi, malam ini tidak langsung saya layan kehendaknya untuk bermain. Saya tidak mahu diganggu Omi yang suka menggigit kertaskhususnya bahan kerja saya. 

Qaseh pula, alhamdulillah hari ini langsung tidak diserang sawan. Paling menggembirakan, malam ini juga Qaseh buat pertama kali membuang 'hajat'nya secara sendiri. Pelik saya dengan Qaseh ini. Pada usia lima minggu, dia sudah pandai minum air sendiri di dalam bekas air. Dia terlalu kecil untuk itu, sepanjang pengalaman saya menjaga kucing.

Kucing ialah haiwan comel yang disayangi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat khususnya Abu Hurairah. Kucing ialah haiwan yang comel yang dengan melihat wajahnya saja saya berasa tenang. Semoga mereka sihat selalu.

Mimi selepas melahirkan Omi, Abi, Owi, Opi dan Beri enam tahun lalu
Panglima Awang
Teja, kesayangan arwah emak
Omi ketika berusia setahun, semasa dia demam
Qaseh
Jie Jie saya
Jebat dan Tam Tam
Omi dinihari ini
'Ayam-ayam', Oyen, Tam Tam dan Sofi