Isnin, 8 April 2013

JUMPA LAGI, WIRA

AJAL itu termasuk dalam rahsia Allah. Tidak ada manusia yang tahu masa dan lokasi ajalnya tiba. Walau bagaimanapun, rahsia itu tidak menjadikan manusia sebagai makhluk yang berputus asa lantaran adanya Al-Quran dan Hadis sebagai panduan. Manusia yang beragama akan berusaha mencapai kematian yang baik (husnul khatimah) rentetan daripada keyakinannya terhadap ayat-ayat Allah. Ajal itu rahsia Allah. Kita tidak pernah tahu bila dan di mana roh kita akan diambil langsung meninggal dunia yang sementara ini. Akan tetapi, rahsia itu menjadikan manusia beragama berusaha dalam erti kata tawakal kepada Allah dalam mendepani setiap perkara yang bakal dihadapi, termasuklah menunggu kedatangan ajal. Menjaga kesihatan juga salah satu cara menunggu ketibaan ajal. Kenapa dikatakan menjaga kesihatan itu salah satu persediaan menunggu ajal? Kerana, dengan kesihatan yang baik manusia beriman mampu menjalani kehidupan berdasarkan hukum-hukum-Nya dengan lebih sempurna. Dengan kesihatan yang baik, manusia akan mudah beribadah dengan lebih khusyuk dan tertib. Dengan kesihatan yang baik, segala-galanya menjadi mudah dengan izin daripada Allah.

Ajal itu rahsia Allah dan tawakal manusia menyusul untuk mencari kematian yang baik. Ada sebab mengapa saya menulis entri tentang ajal ini. Pengajaran yang baik mengenai ajal yang saya renung daripada kehidupan makhluk Allah yang amat kecil. Entri sebelum ini, saya mengisahkan perjuangan anak kucing bernama Wira yang lahir secara tidak dijangka oleh doktor bedah pada Isnin 1 April 2013, jam 8:20 malam. Hajat saya membawa ibu kucing jalanan ke Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya semata-mata untuk membantu menyelamatkan ibu kucing itu yang mengalami komplikasi untuk melahirkan janin yang dikandung. Dr. Prem, pakar yang menangani kes itu meminta saya membuat pilihan sama ada mahu menyelamatkan anak atau ibu kucing itu. Saya memulangkan persoalan itu kepada kepakaran dan pengalaman Dr. Prem dan beliau berpendapat adalah lebih baik berusaha menyelamatkan ibu kucing itu.

Akan tetapi, kuasa Allah yang Maha Besar mengatasi segala tadbir manusia. Ketika rahim ibu kucing itu sudah dipisahkan daripada tubuhnya dan diletakkan di dalam bekas, saya melihat ada pergerakan kecil di dalam rahim itu. Subhanallah, janin di dalam rahim yang sudah terputus daripada tubuh ibu kucing itu masih hidup. Pembantu Dr. Prem segera membuka kantung rahim dan mengeluarkan anak kucing itu yang begitu kecil dan penuh lendir. Pembantu tersebut mengepam cecair daripada mulut kecil anak kucing itu. Setelah selesai pembedahan, Dr. Prem yang sama-sama terkejut melihat bayi itu masih hidup kerana sesuatu yang sangat jarang berlaku membenarkan dia saya bawa pulang. Walau bagaimanapun, Dr. Prem menjangka bayi itu hanya dapat hidup selama beberapa jam memandangkan keadaan ibunya yang tidak mampu menyusukannya lagi dan faktor kesihatan ibunya. Selama 20 minit, Dr. Prem meminta anak kucing itu ditepuk dan disedarkan daripada tidurnya sehingga dia menjerit kuat. Sama seperti yang dilakukan jururawat sebaik-baik bayi dilahirkan, iaitu menepuk punggung bayi sehingga bayi menjerit bagi memastikan bayi sihat.

Allah Maha Besar, anak kucing yang lahir secara pembedahan, yang saya lihat sepenuhnya proses mengeluarkan dia daripada rahim ibu kucing jalanan itu hidup lebih lama daripada jangkaan Dr. Prem dan saya sendiri. Dia saya namakan sebagai Wira kerana bagi saya, Wira telah berjuang sejak dari dalam rahim ibunya untuk hidup di dunia, walaupun sekadar sementara saja tempohnya. Selama lima hari, Wira memperlihatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan sihat. Wira diberi susu formula Petalac sebagai pengganti protein. Kancil, kucing terbiar di Fakulti Seni Halus ASWARA yang menginap sementara di rumah saya sehingga tempoh berpantangnya selesai, menjadi ibu tumpang kepada Wira. Maka, Wira mendapat haba daripada Kancil dan mendapat susu daripada susu formula yang dittis ke dalam mulutnya setiap dua jam.

Saya berasa amat gembira dengan kelahiran Wira dan begitu bersyukur kerana berkesempatan memelihara Wira. Rasa sayang dan hormat saya kepada Wira begitu mendalam, apatah lagi melihat Wira yang masih di dalam rahim, di luar rahim dan akhirnya, dikebumikan di dalam tanah yang gelita pada jam 8:20 malam tadi. Wira memperlihatkan keadaan yang kurang sihat sejak tengah hari semalam akibat jangkitan selesema. Saya membawa Wira ke Hospital Gasing semalam, dengan meletakkan Wira ke dalam beg silang kecil sambil menunggang dari Selayang ke Petaling Jaya. Sepanjang perjalanan itu, saya tidak berhenti berdoa agar Wira sihat dan perjalanan saya itu selamat. Saya agak tergesa-gesa ketika ke hospital, akan tetapi apabila Dr. Melisa yang merawat Wira mengatakan Wira sihat dan cergas, saya berasa lega dan pulangnya saya ketika itu dalam keadaan yang lebih tenang.

Dr. Melisa berpesan agar memastikan Wira cukup mendapat bekalan haba dan cukup makan. Pesan itu saya pegang sungguh-sungguh. Memandangkan Kancil juga tidak berapa sihat, maka saya terpaksa memisahkan Kancil dengan Wira. Anak kecil itu saya masukkan ke dalam kotak kasut yang dikelilingi beberapa botol kaca berisi air panas agar Wira sentiasa dalam keadaan suhu yang baik untuk dirinya. Namun, selesema Wira semakin menjadi-jadi sehingga menyukarkan Wira bernafas, seperti ketika saya diserang selesema dan alahan yang teruk. Saya faham keadaan Wira. Dr. Sarimah dan Dr. Prem saya hubungi, bertanya sama ada adakah ubat selesema untuk anak kucing berusia lapan hari. Mereka mengatakan bahawa anak kucing sebesar itu tidak diberi ubat mahupun suntikan sebaliknya bergantung penuh kepada antibodinya. Namun, mereka menasihatkan saya memasukkan titis ubat mata ke dalam susu agar antibiotik dalam ubat mata itu dapat membantunya. 

Ubat mata, Nicol Eye yang saya beli saya titiskan dalam susu dan ke dalam mulut kecil Wira. 20 minit kemudian, iaitu pada jam 7:20 malam tadi, saya melihat 'paw' Wira sudah pucat. Saya tahu, itu satu petanda. Wira saya bawa masuk ke dalam kamar yang lebih sunyi. Anak kecil itu saya letakkan di atas telapak tangan saya. Surah Al Fatihah, Ayat Qursi dan kalimah syahadah saya bisikkan ke telinga kecil Wira. Anak kecil itu sedikit menjerit, ketika itu azan Maghrib berkumandang. Saya berbisik lagi, "Wira, kakak sangat sayangkan Wira dan Wira ingat ya ... kakak sangat hargai kewujudan Wira." Saya mengucup beberapa kali dan, sebelum azan Maghrib sampai ke penghujungnya, Wira sudah pergi. Ketika itu juga, saya mendengar Kancil di luar kamar menjerit dengan kuat seolah-olah memanggil-manggil Wira, anak angkatnya yang telah tiada.

Saya reda, itulah jawapan Allah apabila saya berdoa kepada-Nya supaya memberi yang terbaik untuk Wira dan saya. Jika kehidupan itu baik untuk Wira, maka berikanlah kehidupan yang terbaik untuk Wira. Sekiranya kematian itu yang terbaik untuk Wira, berilah kematian yang terbaik dan mudah kepada Wira. Ambillah Wira dalam keadaan yang paling mudah. Dan, Wira pun pergi dengan mudah di atas telapak tangan saya. Air mata saya mengalir tidak berhenti. Emosi saya menjadi hiba, dalam sujud Maghrib - saya berdoa agar saya dapat bertemu Wira lagi dan semoga Wira bersama kucing-kucing saya yang telah mendahului Wira. Saya menyambut kelahiran Wira, saya meraikan dan menikmati kewujudan Wira dan, saya sudah kembalikan Wira ke dalam tanah juga.

Pemergian Wira ialah pemergian yang sungguh saya tangisi. Tidak seperti pemergian Abi pada 1 Mac 2013 disebabkan komplikasi jantung, dan Boboi pada 18 Februari 2013 pada usia 16 tahun kerana sakit tua. Bukan kerana saya tidak menyayangi mereka, namun kerana persediaan saya untuk menghadapi kematian mereka dengan keadaan kesihatan mereka. Akan tetapi, Wira pergi dalam keadaan saya berjuang untuk melihat dia membesar dengan sihat. Berjuang untuk membantu dia terus hidup dan menikmati indahnya kasih. Juga, keadaan dan kewujudan Wira sendiri yang amat saya hargai, kasihi dan saya hormati. Namun, upaya saya sebagai manusia tidak mampu melawan kuasa dan kehendak Yang Maha Esa. Saya percaya memang itulah yang terbaik untuk saya dan Wira seperti yang saya minta daripada-Nya. Wira lahir pada 1 April 2013 (Isnin), pada jam sekitar 8:30 - ketika azan Isyak saya dengar sayup-sayup dari hospital dan, Wira kembali kepada Allah pada 8 April 2013 (Isnin), sekitar jam 7:20 ketika azan Maghrib berkumandang. Wira  pergi pada hari yang sama dia menghirup udara Allah SWT.

Kepada seorang kenalan yang berhajat sungguh untuk membantu Wira dan mamanya sehingga sanggup memberi sumbangan kewangan kepada Wira walaupun kami tidak pernah bersua muka, Allah juga yang membalas niat dan jasa baik saudara . Sungguh, lahir ke dunia disambut azan. Pulang ke rahmatullah diiringi iqamat. Antara azan dan iqamat, betapa singkatnya kehidupan yang fana ini.

Wira mengajar saya, bahawa ajal itu rahsia Allah tetapi tawakal itu usaha tanpa lelah, dengan doa hanya kepada-Nya. Wira akan sentiasa dalam hati dan doa saya. Saya yakin, Wira sudah temui kebahagiaan hakikinya dan damai di sisi-Nya.

Sungguh, saya ternanti-nanti melihat wajah Wira dengan mata yang terbuka. Akan tetapi, saya tidak dapat mengecapinya. Semoga saya dapat bertemu Wira lagi dan semoga Wira tahu bahawa kewujudannya amat dihargai. Perjalanan hidup Wira yang singkat ini mengingatkan saya pada kata-kata ulama : "Tawakal seorang bayi sangat tinggi melangit, dibandingkan tawakal kita kepada ALLAH AZZA WA JALLA. Bayi tidak mampu berbuat apa-apa dan menyerahkan takdir sepenuhnya untuk diperlakukan apa-apapun. Untuk dibuang, digugurkan, dibunuh dan sebagainya. Tapi ALLAH AZZA WA JALLA Maha Pelindung, sekiranya berkehendakkan sebaliknya, maka dikirimlah malaikat penjaganya."

Apabila anda melihat haiwan seperti kucing dan anjing jalanan, walau sekurap manapun tubuh mereka - janganlah kalian memandang hina kepada mereka kerana hakikatnya mereka lebih mulia daripada manusia yang lebih selalu melanggar perintah-Nya. Apabila anda melihat haiwan yang bunting, yang perutnya besar dengan pengetahuan anda bahawa di dalam perut itu ada janin - maka berikanlah apa-apa yang anda ada bagi mengenyangkan ibu dan janin yang ada di dalam perut ibu itu. Sungguh, anda tidak akan pernah rugi memberi makan ibu dan janin yang di dalam kandungan itu. Apabila anda melihat haiwan berada dalam kesusahan, maka bantulah mereka dengan rasa bertanggungjawab agar anda tidak disoal di akhirat kelak oleh Allah akan sebab-sebab anda menolak untuk membantu haiwan yang lemah itu. Bersedialah anda. Apabila anda melihat haiwan walau sekotor dan sebusuk manapun, janganlah mereka anda sakiti kerana benci anda kepada mereka. Sebaliknya, bersantunlah kepada mereka kerana mereka juga melalui kelahiran dan kematian yang sama seperti manusia, malah yang membezakan kita dengan mereka ialah sifat mereka yang sentiasa bertasbih kepada Allah SWT. Hargailah nyawa mereka, seperti anda menghargai nyawa anda sendiri kerana sakarat maut itu, sama saja antara kita dengan mereka.

Kepada semua kenalan yang meraikan dan mendoakan Wira, Allah juga yang Maha Membalas kebaikan kalian.

Wallahua'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan