Selasa, 23 April 2013

HARTA PALING BERHARGA

PAGI ini, ketika bersiap-siap untuk keluar bekerja, saya sempat mendengar rancangan Muqaddimah di TV9, yang dikelolakan seorang ustazah. Saya tidak ingat nama ustazah itu. Segmen itu pada pagi ini memberi pesan kepada khalayak berkenaan kewajipan dan tuntutan Islam agar anak-anak menjaga ibu sebaik mungkin, sebagai harta yang tiada gantinya. 

Seorang ibu ialah wanita yang di dalam rahimnya pernah setiap anaknya hidup dan menumpang di dalamnya. Seorang ibu ialah wanita yang berusaha selama sembilan bulan bersabar melayani sakit dan segala rasa tidak senang ketika kita berada di dalamnya. Seorang ibu itu juga ialah wanita yang Allah muliakan darjatnya lantaran kesediaannya menyusukan kita dan membesarkan kita, memberi perlindungan dan keselamatan untuk kita, yang satu masa dulu ada di dalam rahimnya.

Ketika ibu masih ada, peliharalah mereka dengan sebaik-baiknya. Sediakan segala keperluan mereka secukup dan sebaik yang boleh kita berikan. Berikan juga rawatan yang terbaik buat mereka kerana satu ketika dahulu, mereka juga yang telah bersusah dan berusaha memberikan perlindungan, rawatan dan segala yang terbaik untuk kita. Apabila ibu sudah Allah ambil, hubungan anak dengan ibu tidak pernah terputus. Doa seorang anak menjadi harta yang mengiringi ibu di alam barzakh. Namun perlu diingat bahawa hanya doa anak yang soleh Allah perkenankan. Maka, berusahalah menjadi anak yang soleh agar doa kita untuk ibu dimakbulkan Allah. Agar ibu tidak menjadi fakir yang tertunggu-tunggu atau mengutip-ngutip doa para muslimin untuk muslimin.

Apa-apa yang ustazah itu katakan menambah syahdu di hati saya yang bermula petang semalam. Ketika berurusan dengan seorang pegawai di pejabatnya, saya terlihat seorang wanita tua berbaring di atas sofa. Sekilas saja saya melihat wanita itu, hingga kini saya tidak lupa senyuman wanita itu. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya. Begitu emak saya selalu berbaring ketika dia tidak sihat. Wanita itu juga tidak sihat menurut pegawai tersebut. Wanita itu ialah ibunya yang dibawa ke pejabat kerana tidak sihat untuk ditinggalkan di rumah.

Ketika meninggalkan pejabat itu, ingatan saya terhadap wajah dan keadaan wanita itu amat kuat. Sebak saya begitu dalam, dan air mata mengalir sendirinya. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada emak yang selalu saya bawa ke mana-mana dan, selalu ada di sisi saya. Perbuatan pegawai itu mengingatkan saya betapa saya sudah menjadi seorang yang rugi kerana tiada lagi mempunyai harta paling berharga itu. Pegawai itu beruntung kerana dapat hidup lebih lama dengan ibunya sedangkan saya hanya dapat hidup selama 24 tahun 11 bulan bersama arwah emak. Tidak sampai separuh usia emak. 

Pegawai itu beruntung kerana diberi Allah anugerah seorang ibu dan usia yang panjang untuk berbakti kepada ibunya dalam keadaan dia mampu. Sedangkan saya belum sempat memberi segala yang terbaik buat emak saya. Terlalu banyak impian saya untuk emak akan tetapi banyak juga yang tidak sempat untuk saya laksanakan. Hati saya benar luruh melihat wanita itu, benar seperti saya melihat emak saya.

Saya sudah melalui pengalaman ini. Pengalaman kehilangan harta yang tidak dapat saya cari lain untuk menggantikannya. Maka, kalian yang masih punya harta itu - dengarlah nasihat daripada saya. Jagalah ibu anda seperti dia menjaga anda sejak anda masih di dalam kandungannya. Penuhi segala keperluan mereka dengan kemampuan anda yang terbaik, seperti anda mahu keperluan anda dipenuhi. Berikan masa yang terbaik ketika anda bersama mereka. Selalulah berhubung dengan mereka dan menggembirakan hati mereka. Jangan sesekali membuatkan mereka berasa tersinggung mahupun kecil hati dengan kesibukan anda menjalani tuntutan kehidupan dunia, kerana mereka yang selalu perlu diutamakan. Bijaksanalah melayani keadaan mereka yang semakin meniti usia hujung dengan perasaan mereka yang semakin halus. Penjagaan kita, sebagai anak kepada mereka hanya setelah kita mampu hidup sendiri dan berdikari sedangkan penjagaan mereka terhadap kita bermula sejak kita belum mampu hidup sendiri sehinggalah kita mampu berdikari dan selesa melewati kehidupan. Seperti saya, jika dihitung - emak menjaga dan memenuhi keperluan saya sehingga saya berusia 19  tahun 9 bulan. Akan tetapi penjagaan saya kepada emak hanya selama lima tahun. Betapa pendeknya waktu saya menjaga emak dan itupun dengan terlalu banyak kekurangan.

Bahagiakan ibu anda seperti anda mahu bahagia. Kasihi ibu anda seperti anda mahu dikasihi. Hormati ibu anda seperti anda mahu dihormati. Tatapi wajah mereka dengan sayang, berikan sentuhan mesra penuh hormat, usapi ubun-ubun mereka penuh cinta, kucupi dahi mereka penuh syukur. Apabila mereka sudah tiada, semua itu tidak lagi mampu anda lakukan. Ketika itu, rindu akan mencengkam jiwa, kepada mereka yang di dalam rahimnya pernah anda menumpang hidup. Seperti saya, merindui suara emak, merindui wajah emak, merindui sms daripada emak, merindui panggilan daripada emak, merindui segala kehidupan dengan emak. Merindui setiap detik, susah dan senang bersama emak ...

Percayalah, dalam hidup anda di dunia, hanya ada seorang insan saja yang sanggup hidup dan mati kerana, iaitu ibu anda. Dia telah membuktikan kesanggupan itu dengan kerelaan untuk melahirkan anda yang di sisi Islam dianggap sebagai jihad yang bukan kecil. Ibu anda ialah insan yang Allah takdirkan untuk anda sebagai 'jalan' menuju bahagia hakiki. Hargailah harta dan amanah Allah itu kepada anda, kerana nanti - kita sama-sama akan ditanya mengenainya.

Semoga saya dapat bertemu emak saya semua. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Semoga Allah rahmati roh emak saya, sentiasa. Amin Ya Rahim. Amin Ya Latif.

----
Saya berdoa semoga wanita yang sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya itu kembali sihat, kuat, tenang dan bahagia dalam kasih-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan