Isnin, 29 April 2013

HIKMAH

SUDAH dua Khamis Qaseh dalam jagaan saya. Dalam entri terdahulu mengenai Qaseh, saya ada menyatakan bahawa Qaseh agak lemah pada hari kedua. Tubuhnya terkulai, matanya berkaca dan dia seolah-olah tidak sedarkan diri. Itu kali pertama saya lihat keadaan Qaseh begitu.

Lima hari selepas kejadian itu, keadaan yang sama berulang lagi. Kali ini, saya melihat sendiri Qaseh yang sedang bermain, tiba-tiba berubah menjadi lemah sebelum rebah. Qaseh berada dalam keadaan lemah bukan seketika, tetapi dalam tempoh lebih dua jam. Sepanjang tempoh itu, tubuhnya tidak boleh disentuh. Hal ini kerana sepanjang perhatian saya, setiap kali saya mengusap tubuhnya yang dalam keadaan begitu, Qaseh akan merengek dan tubuhnya semakin tegang.

Saya tidak tahu masalah yang Qaseh hadapi. Perkara yang sama berulang lebih kerap sejak dua hari lepas. Malah, setiap kali keadaan itu berulang, tempoh masanya semakin panjang. Hati saya amat sedih melihat keadaan Qaseh yang begitu. Semalam, ketika dalam keadaan lemah - Qaseh muntahkan semua susu yang diberi kepadanya.

Ketika keadaan itu berlaku, lidah Qaseh akan sedikit terkeluar. Air liur akan meleleh dan degupan jantungnya amat kencang. Apabila saya menghubungi doktor veterinar dan menceritakan perihal Qaseh, berdasarkan simptom yang saya ajukan kepadanya, doktor mengatakan ada beberapa kemungkinan Qaseh diserang sawan seperti itu. Pertama, berkemungkinan otak Qaseh tidak berkembang dengan baik disebabkan komplikasi yang berlaku ketika Qaseh masih dalam kandungan. Kedua, kemungkinan Qaseh dijangkiti 'power virus'. Ketiga, Qaseh mungkin menghidap anemia disebabkan cacing yang merosakkan sel darah. Kemungkinan ini juga berpunca daripada faktor kesihatan ibunya ketika mengandungkan Qaseh. Sekiranya kemungkinan kedua ini yang berlaku, tiada penawar untuknya. Lebih menyedihkan, dengan usia Qaseh yang baru enam minggu, tiada rawatan dapat diberikan buat masa ini. Kucing sekecil itu tidak sesuai untuk menjalani rawatan sehinggalah dia berusia dua bulan.

Malam tadi, selepas hampir empat jam diserang sawan, Qaseh bangun dengan begitu lemah. Setelah hampir sejam, barulah Qaseh mahu bermain dan minum. Saya riang melihat Qaseh bermain dengan ibu angkatnya, seolah-olah Qaseh tidak sakit. Sedangkan, sakit yang dia rasa tidak tertanggung pada penglihatan saya. Betapa kuatnya Qaseh, hikmah itu yang Allah perlihatkan kepada saya.

Melihat keadaan Qaseh cukup memilukan saya, apatah lagi dalam keadaan saya tidak mampu membantu Qaseh meringakan sakit yang dihidapinya. Yang mampu saya lakukan hanya berdoa agar Allah berikan segala yang terbaik buat Qaseh. Setakat ini, Qaseh hanya bergantung kepada antibodinya sendiri. Saya amat berharap agar Qaseh akan sihat dan membesar dengan baik.

Sesungguhnya, cabaran paling besar untuk saya dalam hal ini - apabila saya perlu meninggalkan Qaseh dalam keadaan Qaseh sedang didatangi sakitnya, seperti pagi ini. Namun, situasi  ini sedikit-sebanyak mengajar saya erti tawakal. Saya yakin, Allah yang Maha Pengasih akan menjaga dan memberikan yang terbaik buat Qaseh.

...

Selasa, 23 April 2013

HARTA PALING BERHARGA

PAGI ini, ketika bersiap-siap untuk keluar bekerja, saya sempat mendengar rancangan Muqaddimah di TV9, yang dikelolakan seorang ustazah. Saya tidak ingat nama ustazah itu. Segmen itu pada pagi ini memberi pesan kepada khalayak berkenaan kewajipan dan tuntutan Islam agar anak-anak menjaga ibu sebaik mungkin, sebagai harta yang tiada gantinya. 

Seorang ibu ialah wanita yang di dalam rahimnya pernah setiap anaknya hidup dan menumpang di dalamnya. Seorang ibu ialah wanita yang berusaha selama sembilan bulan bersabar melayani sakit dan segala rasa tidak senang ketika kita berada di dalamnya. Seorang ibu itu juga ialah wanita yang Allah muliakan darjatnya lantaran kesediaannya menyusukan kita dan membesarkan kita, memberi perlindungan dan keselamatan untuk kita, yang satu masa dulu ada di dalam rahimnya.

Ketika ibu masih ada, peliharalah mereka dengan sebaik-baiknya. Sediakan segala keperluan mereka secukup dan sebaik yang boleh kita berikan. Berikan juga rawatan yang terbaik buat mereka kerana satu ketika dahulu, mereka juga yang telah bersusah dan berusaha memberikan perlindungan, rawatan dan segala yang terbaik untuk kita. Apabila ibu sudah Allah ambil, hubungan anak dengan ibu tidak pernah terputus. Doa seorang anak menjadi harta yang mengiringi ibu di alam barzakh. Namun perlu diingat bahawa hanya doa anak yang soleh Allah perkenankan. Maka, berusahalah menjadi anak yang soleh agar doa kita untuk ibu dimakbulkan Allah. Agar ibu tidak menjadi fakir yang tertunggu-tunggu atau mengutip-ngutip doa para muslimin untuk muslimin.

Apa-apa yang ustazah itu katakan menambah syahdu di hati saya yang bermula petang semalam. Ketika berurusan dengan seorang pegawai di pejabatnya, saya terlihat seorang wanita tua berbaring di atas sofa. Sekilas saja saya melihat wanita itu, hingga kini saya tidak lupa senyuman wanita itu. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya. Begitu emak saya selalu berbaring ketika dia tidak sihat. Wanita itu juga tidak sihat menurut pegawai tersebut. Wanita itu ialah ibunya yang dibawa ke pejabat kerana tidak sihat untuk ditinggalkan di rumah.

Ketika meninggalkan pejabat itu, ingatan saya terhadap wajah dan keadaan wanita itu amat kuat. Sebak saya begitu dalam, dan air mata mengalir sendirinya. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada emak yang selalu saya bawa ke mana-mana dan, selalu ada di sisi saya. Perbuatan pegawai itu mengingatkan saya betapa saya sudah menjadi seorang yang rugi kerana tiada lagi mempunyai harta paling berharga itu. Pegawai itu beruntung kerana dapat hidup lebih lama dengan ibunya sedangkan saya hanya dapat hidup selama 24 tahun 11 bulan bersama arwah emak. Tidak sampai separuh usia emak. 

Pegawai itu beruntung kerana diberi Allah anugerah seorang ibu dan usia yang panjang untuk berbakti kepada ibunya dalam keadaan dia mampu. Sedangkan saya belum sempat memberi segala yang terbaik buat emak saya. Terlalu banyak impian saya untuk emak akan tetapi banyak juga yang tidak sempat untuk saya laksanakan. Hati saya benar luruh melihat wanita itu, benar seperti saya melihat emak saya.

Saya sudah melalui pengalaman ini. Pengalaman kehilangan harta yang tidak dapat saya cari lain untuk menggantikannya. Maka, kalian yang masih punya harta itu - dengarlah nasihat daripada saya. Jagalah ibu anda seperti dia menjaga anda sejak anda masih di dalam kandungannya. Penuhi segala keperluan mereka dengan kemampuan anda yang terbaik, seperti anda mahu keperluan anda dipenuhi. Berikan masa yang terbaik ketika anda bersama mereka. Selalulah berhubung dengan mereka dan menggembirakan hati mereka. Jangan sesekali membuatkan mereka berasa tersinggung mahupun kecil hati dengan kesibukan anda menjalani tuntutan kehidupan dunia, kerana mereka yang selalu perlu diutamakan. Bijaksanalah melayani keadaan mereka yang semakin meniti usia hujung dengan perasaan mereka yang semakin halus. Penjagaan kita, sebagai anak kepada mereka hanya setelah kita mampu hidup sendiri dan berdikari sedangkan penjagaan mereka terhadap kita bermula sejak kita belum mampu hidup sendiri sehinggalah kita mampu berdikari dan selesa melewati kehidupan. Seperti saya, jika dihitung - emak menjaga dan memenuhi keperluan saya sehingga saya berusia 19  tahun 9 bulan. Akan tetapi penjagaan saya kepada emak hanya selama lima tahun. Betapa pendeknya waktu saya menjaga emak dan itupun dengan terlalu banyak kekurangan.

Bahagiakan ibu anda seperti anda mahu bahagia. Kasihi ibu anda seperti anda mahu dikasihi. Hormati ibu anda seperti anda mahu dihormati. Tatapi wajah mereka dengan sayang, berikan sentuhan mesra penuh hormat, usapi ubun-ubun mereka penuh cinta, kucupi dahi mereka penuh syukur. Apabila mereka sudah tiada, semua itu tidak lagi mampu anda lakukan. Ketika itu, rindu akan mencengkam jiwa, kepada mereka yang di dalam rahimnya pernah anda menumpang hidup. Seperti saya, merindui suara emak, merindui wajah emak, merindui sms daripada emak, merindui panggilan daripada emak, merindui segala kehidupan dengan emak. Merindui setiap detik, susah dan senang bersama emak ...

Percayalah, dalam hidup anda di dunia, hanya ada seorang insan saja yang sanggup hidup dan mati kerana, iaitu ibu anda. Dia telah membuktikan kesanggupan itu dengan kerelaan untuk melahirkan anda yang di sisi Islam dianggap sebagai jihad yang bukan kecil. Ibu anda ialah insan yang Allah takdirkan untuk anda sebagai 'jalan' menuju bahagia hakiki. Hargailah harta dan amanah Allah itu kepada anda, kerana nanti - kita sama-sama akan ditanya mengenainya.

Semoga saya dapat bertemu emak saya semua. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Semoga Allah rahmati roh emak saya, sentiasa. Amin Ya Rahim. Amin Ya Latif.

----
Saya berdoa semoga wanita yang sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya itu kembali sihat, kuat, tenang dan bahagia dalam kasih-Nya.

Khamis, 18 April 2013

SATU MALAM

satu malam
berita menayangkan
wajah
ceria-gembira-bangga
calon-calon pilihan raya
dengan memegang sekeping kertas
dengan ucap keramat syukur berganda
kepada pimpinan yang memberi percaya
manifesto yang dibina, biar semua jelata terima -angguk, setuju, tidak membantah-
kelak mudah urusan mereka

satu malam
berita menayangkan
wajah
penyokong bersorak-sorai
seorang berkata "Tahniah, tahniah"
kedua berkata "Bagus, bagus"
ketiga tidak berkata, sekadar senyum penuh makna
dan calon, menyambut setiap kata dengan faham begitu dalam
bahagian untuk pertama, kedua dan ketiga, tidak akan dilupa;
jika setia selalu kepadanya

malam itu calon yang bangga
pulang ke rumah dengan Perdana V6nya
menemui isteri dan berkata, "Bersiaplah"
isteri langsung mengenyit sebelah mata
"Bersiaplah untuk menjadi  utama," calon berkata penuh megah

malam itu calon yang bangga
tidur lena bermimpi bunga
bunga-bunga kertas pelbagai warna
di dalam mimpi calon berdoa,
biarlah esok seluruh rumahnya, dipenuhi bunga pelbagai warna
tentang jelata, kemudian saja bertingkah
berikan gula-gula, semuanya akan gembira

---

di sebuah rumah tua
seorang jelata mengasah senjata
di hamparan sejadah dia berdoa
biar dia hidup biasa, asalkan hati tidak ternoda
dengan harum bunga pelbagai warna
yang harumnya menjadi gilaan manusia
yang bisanya meracun jiwa manusia
yang selalun menjadi dambaan
pada yang cinta takhta dan harta

seorang jelata yang merdeka jiwa
tidak lagi menunggu calon di gapura rumah
kerana ketahui dia adat pilihan raya;
bising hanya seketika
bertindak cuma sekali sekala

Selasa, 16 April 2013

MEOW MEOW

JAM 7:30 pagi tadi, berdekatan kafe FBMK, UPM - ada bunyi kucing mengiau kuat. Rupa-rupanya anak kucing itu di dalam longkang yang tinggi. Saya dapat angkat besi penghadang saja tapi tidak dapat capai anak kucing comel berwarna oren itu. Ketika itu, seorang lelaki melalui saya dan tersengih-sengih melihat saya tertunduk-tunduk muka menghadap longkang itu. Saya panggil dia dan minta dia tolong ambil anak kucing itu kerana susah saya hendak masuk ke dalam longkang itu dengan berbaju kurung. Pada mulanya dia berkata "Macam mana nak masuk, longkang ni kecik. Macam tak muat je." Saya memandang saja dia dengan pandangan penuh harap (dengan membayangkan wajah Pussy dalam filem Shrek). Dia dengan malu-malu kucing meniarap di atas lantai simen dan berusaha memasukkan tangannya yang agak panjang ke dalam longkang itu, alhamdulillah anak kucing comel ini selamat. Dia terlalu kecil untuk melompat atau memanjat longkang yang tinggi itu. Saya pesan kepada kucing ini, "Jangan main dekat dengan longkang lagi tau!" Terima kasih kepada lelaki itu yang saya pun tidak tahu namanya, kerana membantu kucing comel ini. Dalam foto ini, anak kucing itu menjilat mulutnya selepas diberi makan Smart Heart. 

Kemudian, dia berlari lincah dan melompat seperti kancil. Terdetik di hati saya untuk bawa dia pulang ke ASWARA atau ke rumah saya akan tetapi saya terpaksa membatalkan niat itu memandangkan keadaan yang tidak memungkinkannya berlaku. Saya harap dia selamat dan Allah pertemukan dia dengan seseorang yang akan menjaga dia. Amin Ya Rahim.


Jumaat, 12 April 2013

KUCARI PANTAI ITU

kucari pantai itu
yang padanya bergema,
zikir rindu selalu untukMu

kucari pantai itu
yang padanya berdesir damai,
lafaz syukur pada rahimMu

kucari pantai itu
yang tenangnya menuntun
kalbu,
kenal dan tunduk
pada agungMu 
membuang jauh ragu dan buntu

kucari pantai itu
yang padanya Kau cipta kiasan;
jika dihimpunkan seluruh segara sebagai tinta, 
belum cukup menukilkan segala ilmu Kau ada

kucari pantai itu
yang ombaknya menghantarku padaMu
yang tenangnya menghapus lumpur amarahku
yang dengannya, aku bebas segala keliru 
yang dengannya, aku jelas akhir tuju

kucari pantai itu
pantai yang kuberi nama Ilmu,
yang memberiku lebih makna tahu
antara benar dan salah, nyata selalu 
-tentang diriku, dan diriMu-  
 
Padang Merbuk, Kuala Lumpur

Isnin, 8 April 2013

JUMPA LAGI, WIRA

AJAL itu termasuk dalam rahsia Allah. Tidak ada manusia yang tahu masa dan lokasi ajalnya tiba. Walau bagaimanapun, rahsia itu tidak menjadikan manusia sebagai makhluk yang berputus asa lantaran adanya Al-Quran dan Hadis sebagai panduan. Manusia yang beragama akan berusaha mencapai kematian yang baik (husnul khatimah) rentetan daripada keyakinannya terhadap ayat-ayat Allah. Ajal itu rahsia Allah. Kita tidak pernah tahu bila dan di mana roh kita akan diambil langsung meninggal dunia yang sementara ini. Akan tetapi, rahsia itu menjadikan manusia beragama berusaha dalam erti kata tawakal kepada Allah dalam mendepani setiap perkara yang bakal dihadapi, termasuklah menunggu kedatangan ajal. Menjaga kesihatan juga salah satu cara menunggu ketibaan ajal. Kenapa dikatakan menjaga kesihatan itu salah satu persediaan menunggu ajal? Kerana, dengan kesihatan yang baik manusia beriman mampu menjalani kehidupan berdasarkan hukum-hukum-Nya dengan lebih sempurna. Dengan kesihatan yang baik, manusia akan mudah beribadah dengan lebih khusyuk dan tertib. Dengan kesihatan yang baik, segala-galanya menjadi mudah dengan izin daripada Allah.

Ajal itu rahsia Allah dan tawakal manusia menyusul untuk mencari kematian yang baik. Ada sebab mengapa saya menulis entri tentang ajal ini. Pengajaran yang baik mengenai ajal yang saya renung daripada kehidupan makhluk Allah yang amat kecil. Entri sebelum ini, saya mengisahkan perjuangan anak kucing bernama Wira yang lahir secara tidak dijangka oleh doktor bedah pada Isnin 1 April 2013, jam 8:20 malam. Hajat saya membawa ibu kucing jalanan ke Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya semata-mata untuk membantu menyelamatkan ibu kucing itu yang mengalami komplikasi untuk melahirkan janin yang dikandung. Dr. Prem, pakar yang menangani kes itu meminta saya membuat pilihan sama ada mahu menyelamatkan anak atau ibu kucing itu. Saya memulangkan persoalan itu kepada kepakaran dan pengalaman Dr. Prem dan beliau berpendapat adalah lebih baik berusaha menyelamatkan ibu kucing itu.

Akan tetapi, kuasa Allah yang Maha Besar mengatasi segala tadbir manusia. Ketika rahim ibu kucing itu sudah dipisahkan daripada tubuhnya dan diletakkan di dalam bekas, saya melihat ada pergerakan kecil di dalam rahim itu. Subhanallah, janin di dalam rahim yang sudah terputus daripada tubuh ibu kucing itu masih hidup. Pembantu Dr. Prem segera membuka kantung rahim dan mengeluarkan anak kucing itu yang begitu kecil dan penuh lendir. Pembantu tersebut mengepam cecair daripada mulut kecil anak kucing itu. Setelah selesai pembedahan, Dr. Prem yang sama-sama terkejut melihat bayi itu masih hidup kerana sesuatu yang sangat jarang berlaku membenarkan dia saya bawa pulang. Walau bagaimanapun, Dr. Prem menjangka bayi itu hanya dapat hidup selama beberapa jam memandangkan keadaan ibunya yang tidak mampu menyusukannya lagi dan faktor kesihatan ibunya. Selama 20 minit, Dr. Prem meminta anak kucing itu ditepuk dan disedarkan daripada tidurnya sehingga dia menjerit kuat. Sama seperti yang dilakukan jururawat sebaik-baik bayi dilahirkan, iaitu menepuk punggung bayi sehingga bayi menjerit bagi memastikan bayi sihat.

Allah Maha Besar, anak kucing yang lahir secara pembedahan, yang saya lihat sepenuhnya proses mengeluarkan dia daripada rahim ibu kucing jalanan itu hidup lebih lama daripada jangkaan Dr. Prem dan saya sendiri. Dia saya namakan sebagai Wira kerana bagi saya, Wira telah berjuang sejak dari dalam rahim ibunya untuk hidup di dunia, walaupun sekadar sementara saja tempohnya. Selama lima hari, Wira memperlihatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan sihat. Wira diberi susu formula Petalac sebagai pengganti protein. Kancil, kucing terbiar di Fakulti Seni Halus ASWARA yang menginap sementara di rumah saya sehingga tempoh berpantangnya selesai, menjadi ibu tumpang kepada Wira. Maka, Wira mendapat haba daripada Kancil dan mendapat susu daripada susu formula yang dittis ke dalam mulutnya setiap dua jam.

Saya berasa amat gembira dengan kelahiran Wira dan begitu bersyukur kerana berkesempatan memelihara Wira. Rasa sayang dan hormat saya kepada Wira begitu mendalam, apatah lagi melihat Wira yang masih di dalam rahim, di luar rahim dan akhirnya, dikebumikan di dalam tanah yang gelita pada jam 8:20 malam tadi. Wira memperlihatkan keadaan yang kurang sihat sejak tengah hari semalam akibat jangkitan selesema. Saya membawa Wira ke Hospital Gasing semalam, dengan meletakkan Wira ke dalam beg silang kecil sambil menunggang dari Selayang ke Petaling Jaya. Sepanjang perjalanan itu, saya tidak berhenti berdoa agar Wira sihat dan perjalanan saya itu selamat. Saya agak tergesa-gesa ketika ke hospital, akan tetapi apabila Dr. Melisa yang merawat Wira mengatakan Wira sihat dan cergas, saya berasa lega dan pulangnya saya ketika itu dalam keadaan yang lebih tenang.

Dr. Melisa berpesan agar memastikan Wira cukup mendapat bekalan haba dan cukup makan. Pesan itu saya pegang sungguh-sungguh. Memandangkan Kancil juga tidak berapa sihat, maka saya terpaksa memisahkan Kancil dengan Wira. Anak kecil itu saya masukkan ke dalam kotak kasut yang dikelilingi beberapa botol kaca berisi air panas agar Wira sentiasa dalam keadaan suhu yang baik untuk dirinya. Namun, selesema Wira semakin menjadi-jadi sehingga menyukarkan Wira bernafas, seperti ketika saya diserang selesema dan alahan yang teruk. Saya faham keadaan Wira. Dr. Sarimah dan Dr. Prem saya hubungi, bertanya sama ada adakah ubat selesema untuk anak kucing berusia lapan hari. Mereka mengatakan bahawa anak kucing sebesar itu tidak diberi ubat mahupun suntikan sebaliknya bergantung penuh kepada antibodinya. Namun, mereka menasihatkan saya memasukkan titis ubat mata ke dalam susu agar antibiotik dalam ubat mata itu dapat membantunya. 

Ubat mata, Nicol Eye yang saya beli saya titiskan dalam susu dan ke dalam mulut kecil Wira. 20 minit kemudian, iaitu pada jam 7:20 malam tadi, saya melihat 'paw' Wira sudah pucat. Saya tahu, itu satu petanda. Wira saya bawa masuk ke dalam kamar yang lebih sunyi. Anak kecil itu saya letakkan di atas telapak tangan saya. Surah Al Fatihah, Ayat Qursi dan kalimah syahadah saya bisikkan ke telinga kecil Wira. Anak kecil itu sedikit menjerit, ketika itu azan Maghrib berkumandang. Saya berbisik lagi, "Wira, kakak sangat sayangkan Wira dan Wira ingat ya ... kakak sangat hargai kewujudan Wira." Saya mengucup beberapa kali dan, sebelum azan Maghrib sampai ke penghujungnya, Wira sudah pergi. Ketika itu juga, saya mendengar Kancil di luar kamar menjerit dengan kuat seolah-olah memanggil-manggil Wira, anak angkatnya yang telah tiada.

Saya reda, itulah jawapan Allah apabila saya berdoa kepada-Nya supaya memberi yang terbaik untuk Wira dan saya. Jika kehidupan itu baik untuk Wira, maka berikanlah kehidupan yang terbaik untuk Wira. Sekiranya kematian itu yang terbaik untuk Wira, berilah kematian yang terbaik dan mudah kepada Wira. Ambillah Wira dalam keadaan yang paling mudah. Dan, Wira pun pergi dengan mudah di atas telapak tangan saya. Air mata saya mengalir tidak berhenti. Emosi saya menjadi hiba, dalam sujud Maghrib - saya berdoa agar saya dapat bertemu Wira lagi dan semoga Wira bersama kucing-kucing saya yang telah mendahului Wira. Saya menyambut kelahiran Wira, saya meraikan dan menikmati kewujudan Wira dan, saya sudah kembalikan Wira ke dalam tanah juga.

Pemergian Wira ialah pemergian yang sungguh saya tangisi. Tidak seperti pemergian Abi pada 1 Mac 2013 disebabkan komplikasi jantung, dan Boboi pada 18 Februari 2013 pada usia 16 tahun kerana sakit tua. Bukan kerana saya tidak menyayangi mereka, namun kerana persediaan saya untuk menghadapi kematian mereka dengan keadaan kesihatan mereka. Akan tetapi, Wira pergi dalam keadaan saya berjuang untuk melihat dia membesar dengan sihat. Berjuang untuk membantu dia terus hidup dan menikmati indahnya kasih. Juga, keadaan dan kewujudan Wira sendiri yang amat saya hargai, kasihi dan saya hormati. Namun, upaya saya sebagai manusia tidak mampu melawan kuasa dan kehendak Yang Maha Esa. Saya percaya memang itulah yang terbaik untuk saya dan Wira seperti yang saya minta daripada-Nya. Wira lahir pada 1 April 2013 (Isnin), pada jam sekitar 8:30 - ketika azan Isyak saya dengar sayup-sayup dari hospital dan, Wira kembali kepada Allah pada 8 April 2013 (Isnin), sekitar jam 7:20 ketika azan Maghrib berkumandang. Wira  pergi pada hari yang sama dia menghirup udara Allah SWT.

Kepada seorang kenalan yang berhajat sungguh untuk membantu Wira dan mamanya sehingga sanggup memberi sumbangan kewangan kepada Wira walaupun kami tidak pernah bersua muka, Allah juga yang membalas niat dan jasa baik saudara . Sungguh, lahir ke dunia disambut azan. Pulang ke rahmatullah diiringi iqamat. Antara azan dan iqamat, betapa singkatnya kehidupan yang fana ini.

Wira mengajar saya, bahawa ajal itu rahsia Allah tetapi tawakal itu usaha tanpa lelah, dengan doa hanya kepada-Nya. Wira akan sentiasa dalam hati dan doa saya. Saya yakin, Wira sudah temui kebahagiaan hakikinya dan damai di sisi-Nya.

Sungguh, saya ternanti-nanti melihat wajah Wira dengan mata yang terbuka. Akan tetapi, saya tidak dapat mengecapinya. Semoga saya dapat bertemu Wira lagi dan semoga Wira tahu bahawa kewujudannya amat dihargai. Perjalanan hidup Wira yang singkat ini mengingatkan saya pada kata-kata ulama : "Tawakal seorang bayi sangat tinggi melangit, dibandingkan tawakal kita kepada ALLAH AZZA WA JALLA. Bayi tidak mampu berbuat apa-apa dan menyerahkan takdir sepenuhnya untuk diperlakukan apa-apapun. Untuk dibuang, digugurkan, dibunuh dan sebagainya. Tapi ALLAH AZZA WA JALLA Maha Pelindung, sekiranya berkehendakkan sebaliknya, maka dikirimlah malaikat penjaganya."

Apabila anda melihat haiwan seperti kucing dan anjing jalanan, walau sekurap manapun tubuh mereka - janganlah kalian memandang hina kepada mereka kerana hakikatnya mereka lebih mulia daripada manusia yang lebih selalu melanggar perintah-Nya. Apabila anda melihat haiwan yang bunting, yang perutnya besar dengan pengetahuan anda bahawa di dalam perut itu ada janin - maka berikanlah apa-apa yang anda ada bagi mengenyangkan ibu dan janin yang ada di dalam perut ibu itu. Sungguh, anda tidak akan pernah rugi memberi makan ibu dan janin yang di dalam kandungan itu. Apabila anda melihat haiwan berada dalam kesusahan, maka bantulah mereka dengan rasa bertanggungjawab agar anda tidak disoal di akhirat kelak oleh Allah akan sebab-sebab anda menolak untuk membantu haiwan yang lemah itu. Bersedialah anda. Apabila anda melihat haiwan walau sekotor dan sebusuk manapun, janganlah mereka anda sakiti kerana benci anda kepada mereka. Sebaliknya, bersantunlah kepada mereka kerana mereka juga melalui kelahiran dan kematian yang sama seperti manusia, malah yang membezakan kita dengan mereka ialah sifat mereka yang sentiasa bertasbih kepada Allah SWT. Hargailah nyawa mereka, seperti anda menghargai nyawa anda sendiri kerana sakarat maut itu, sama saja antara kita dengan mereka.

Kepada semua kenalan yang meraikan dan mendoakan Wira, Allah juga yang Maha Membalas kebaikan kalian.

Wallahua'alam.

Khamis, 4 April 2013

PAGI DI PUSARA BONDA

PAGI INI, saya ke pusara arwah emak. Apabila saya melihat semula foto yang saya ambil di pusara emak, ketika Maghrib tadi, ada baris ayat yang tersusun di fikir saya. Walaupun hampir setahun emak pergi, saya terasa semuanya masih terlalu baru. Masih terasa betapa dekatnya emak dengan saya. Al Fatihah buat emak, yang telah mengandungkan saya, melahirkan saya, memberikan nama kepada saya dan mengorbankan perasaan dan segalanya demi nyawa yang pernah ada dalam rahimnya.


pagi di pusara bonda
ada titis embun bersisa
sedang, kasihku pada bonda
tiada penghujung yang nyata.

pagi di pusara bonda
ada angin menyapa 
membawa damai di jiwa
langsung, kalbuku memohon doa
agar, bonda selalu dalam kasih-Nya.

agar, pada satu masa
aku dan bonda,
bersatu semula

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam (27.6.1951 - 19.5.2012)