Isnin, 18 Mac 2013

PAGI INI DINIHARI INI

PAGI INI, genap 11 bulan 1 hari emak pergi. Isnin yang penuh makna, kerana pada dinihari Isnin juga emak ditidurkan oleh doktor sebaik-baik emak dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang. Dinihari yang sama, doktor mengatakan emak dalam keadaan kritikal dan tidak boleh dibiarkan dalam keadaan sedar. Dinihari dan pada masa saya menulis catatan ini, 11 bulan 1 hari, Isnin yang sama, saya sedang menunggu di kawasan Zon Kritikal. Berulang kali saya menjenguk emak di katilnya, yang badannya ketika itu dipenuhi wayar. Dinihari ini. Isnin ini.
11 bulan 1 hari, Isnin yang sama - bagi saya terlalu baru berlaku. Tidak ada apa-apa yang mengubah keutamaan ingatan saya kepada emak. Dan, hati saya begitu luruh dinihari ini, apabila terkenang dinihari dan hari yang sama ini, emak tiba-tiba tiada lagi seperti biasa.
Dinihari dan hari yang sama ini, 11 bulan 1 hari yang lalu, saya kehilangan emak. Pengalaman pertama yang perlu saya lalui buat selama-lamanya. Semoga Allah, tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa akan emak. Semoga Allah sentiasa suburkan rindu dan cinta saya pada emak, walaupun sakitnya rindu dan cinta seperti itu.
Semoga roh emak bahagia dan dalam kasih-Nya sentiasa.
Dinihari ini, hari ini, 11 bulan 1 hari yang lalu, mengajar dan menyedarkan saya betapa emak manusia yang paling penting dan saya cinta di dunia. Bahawa emak, sahabat dan teman paling setia. Emak, wanita yang dicintai Allah SWT. Semoga Allah pertemukan saya dan emak, kembali. Dalam keadaan yang paling indah.
Al Fatihah Rambelah binti Maryam
27.6.1951-19.5.2012

2 ulasan:

  1. Jadilah anak soleh kerana anak soleh yg dapat bagi manfaat kepada kedua ibu bapanya yg telah meninggal.. bnyakkan buat sdaqah jariah, niat atas nama emak.. contohnnya wakaf tanah utk sek agama ke, guna nama emak.. InsyaAllah pahala mengalir berterusan buat emak.. Selain tu, doa anak soleh penting gak.. :)

    Al-Fatihah..

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas pesan dan peringatan.

    BalasPadam