Jumaat, 15 Mac 2013

ILMU, REZEKI TERINDAH

"KALAU KITA dapat apa-apa pelajaran yang baik daripada sesiapa pun, kita mesti bersyukur. Itu pun sejenis rezeki. Rezeki rohani yang penting dalam membentuk peribadi kita." Itu antara kata hikmah yang saya sematkan sungguh-sungguh dalam hati, yang saya petik daripada sebuah karya idea yang sedang saya tekuni. Mengingati kata-kata itu membuatkan saya semakin meneliti setiap perkara baik dalam setiap hari yang saya lalui, sebagai rezeki daripada Allah yang tidak lagi disempitkan hanya kepada 'tiga ta' semata-mata. Ya, rezeki bukan sahaja muncul sebagai wang, harta dan takhta. Sebaliknya, jiran yang baik, perjalanan yang baik, ilmu yang baik, hati yang damai dengan ilmu yang baik, yang dapat menjadikan kita lebih ingat Allah dan tahu akan peranan diri sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya, juga ialah rezeki yang besar kepada kita. Rezeki terindah. Rezeki yang jika dikongsikan bersama-sama mereka yang mahu, akan menambahkan lagi kebahagiaan di sanubari.
Hari ini, saya ke Kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka, usai kuliah di ASWARA. Tujuan utama saya ke sana hanya untuk membeli sebuah buku. Akan tetapi, saya teringat akan seorang kenalan yang bertugas di DBP, dan sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Saya segera menghubungi kenalan tersebut, meminta izin untuk mengunjungi beliau jika ada kelapangan ketika itu.
Saya bersyukur, setiap kali saya bertemu dengan beliau - saya akan mendapat banyak pesanan dan hikmah dalam perbualan kami. Kali ini, saya diperkenalkan dengan 'idea' Profesor Muhaya. Beliau yang saya maksudkan, Rozninah Abd. Azib sedang dalam proses menulis biografi mengenai Profesor Muhaya. Pada saya, nama Profesor Muhaya bukanlah asing kerana tokoh itu sering saya lihat wajahnya di televisyen. Akan tetapi, saya tidak pernah menonton rancangan motivasi yang dikendalikan Profesor Muhaya, mahupun membaca buku-buku motivasi Islami tulisan Profesor Muhaya. Pendek kata, saya hanya kenal nama tetapi tidak kenal idea dan sumbangan Profesor Muhaya kepada masyarakat kita. Di satu pihak, tidak dinafikan kehadiran Profesor Muhaya mendapat sambutan yang baik. Beliau sering disebut sebagai teladan yang baik kepada setiap individu yang berusaha menjadi manusia positif terhadap kehidupan yang Allah beri.


Tidak terlepas daripada itu, saya juga pernah mendengar bicara yang kurang muluk mengenai Profesor Muhaya. Menurut golongan tersebut, Profesor Muhaya kelihatan terlalu idealis, yang bagi mereka adalah mustahil untuk diikuti. Saya hanya mendengar, tidak berani untuk saya memberi sebarang maklum balas kerana pengetahuan saya terhadap Profesor Muhaya begitu terhad, maka adalah tidak adil untuk saya berkata apa-apa tentang seseorang yang tidak berapa saya kenal. Pada hemat saya, dalam kehidupan, memang tidak wajar untuk kita berkata tentang sesuatu yang tidak kita tahu dan kenal sepenuhnya. Perbicaraan tanpa ilmu hanya mengundang fitnah dan lontaran kata yang berat sebelah siftanya.
Akan tetapi, saya mendapat gambaran yang agak jelas mengenai Profesor Muhaya apabila membaca beberapa bab manuskrip biografi yang ditulis kenalan saya itu. Menurut Kak Ena (panggilan saya kepada Puan Rozninah), bahan tulisan itu diperoleh menerusi temu ramah dengan individu-individu berkaitan, secara persendirian. Hal ini bagi memastikan tiada kekangan pengalaman dan kisah mengenai Profesor Muhaya berlaku. Saya mendapati, Profesor Muhaya juga seperti kebanyakan insan, kehidupan bermula dengan kepayahan, tidaklah semudah yang dipertikaikan golongan yang saya sebutkan sebelum ini.
 
Pandangan hidup Profesor Muhaya dicorak banyak oleh pandangan bapanya yang dipanggil sebagai 'bak'. Perjalanan hidup bersama 'bak' membina Profesor Muhaya untuk sentiasa bersikap postitif terhadap segala ujian yang dialami. Amat indah kata-kata ini bagi saya, "Kita tidak boleh mengubah perkara yang telah berlaku, akan tetapi kita boleh ubah respons kita terhadap perkara yang berlaku" [olahan daripada saya berdasarkan maksud asal]. Perkara ini antara elemen yang ditekankan dalam idea Reset Minda yang membawa diri kembali kepada akar Islam, secara tidak langsung telah ada dalam diri Profesor Muhaya sejak kehidupan gadisnya.

Perbincangan mengenai idea dan kehidupan Profesor Muhaya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai idealis memancing ingatan saya kepada bicara guru Prof. Dr. Wan Mohd. Nor dalam satu kuliah yang saya ikuti. Prof. Dr. Wan Mohd. Nor melanjutkan pesan gurunya iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib Al Attas bahawa manusia selalu mengeluh bahawa manusia tidak boleh melakukan sesuatu dengan sempurna kerana kelemahan yang ada. Akan tetapi, manusia lupa bahawa manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika manusia berusaha ke arah itu. Pokoknya, ialah bersifat positif dengan Islam yang dianuti dan selalu mengutamakan kehendak dan pandangan Allah daripada kehendak dan pandangan diri serta manusia.

Dugaan dan ujian akan selalu mendatangi manusia, mengikut kemampuan manusia itu sendiri. Allah juga Maha Mengetahui kemampuan setiap hamba-Nya. Oleh itu, kesedaran akan tahap akal dan kemampuan manusia untuk berhadapan dengan segala ujian perlu selalu dipasakkan kepada asas tauhid. Selagi kita berpegang pada tauhid, selagi itu hidup akan terpimpin sekali gus membolehkan manusia tenang dalam reda-Nya. Hal ini jelas sekali dengan pemikiran kejiwaan Barat yang memperuntukkan jangkaan-jangkaan negatif dalam kehidupan seperti yang ada dijelaskan dalam bab mengenai pertentangan pemikiran Barat dengan reset minda.
Terima kasih Kak Ena, atas perkongsian ilmu hari ini. Semoga manuskrip itu akan siap dengan berjaya sebelum Pesta Buku Antarabangsa 2013, dan dapat menambah ilmu kepada mereka yang membaca.

Reset Minda, kembali kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan