Jumaat, 8 Mac 2013

IKHLAS UNTUK DIUJI

SEORANG GURU selalu berpesan, bahawa keikhlasan manusia dalam perjuangan, datang bersama-samanya ujian dan dugaan. Pakej berkembar itu diturunkan Allah bagi menguji takah keikhlasan sebenar, yang diungkapkan manusia 'pejuang'. Apakah pejuang akan tunduk pada dugaan atau terus tekal mengharungi rintangan, seperti yang diuar-uarkan pada awal perjalanan di medan juang. Kalah atau menang pejuang dengan ujian tersebut menentukan tahap keikhlasan sebenar individu.

Syeikh Qadir Jailani dalam kitab Fath Al Rabbani, Menjadi Kekasih Allah - Wasiat dan Nasihat Kerohanian, dalam siri kuliah beliau pada 3 Syawal 545 Hijrah, menegaskan begitu banyak manusia yang berdusta atas nama cinta pada Allah ketika memperoleh nikmat. Sebaliknya, manusia sering lari daripada Allah apabila didatangkan kepadanya cubaan demi cubaan yang bertujuan menguji dan menentusahkan takah ikhlas manusia dalam perjuangan. 

Apabila seorang manusia didatangi ujian dan dugaan, namun dia tetap bersabar dan meneruskan ikhlasnya berjuang atas nama Allah, maka manusia itu ialah insan yang mencintai Allah dengan sebenarnya. Cinta tanpa syarat, bukan retorik semata-mata. Walau bagaimanapun, jika manusia mengubah hala tujunya ketika ujian diberikan kepadanya, maka jelaslah manusia itu telah melakukan pembohongan yang nyata terhadap keikhlasan yang dicanang sebelumnya. Cita-cita dan matlamat asal perjuangan mula dianggap sebagai utopia yang tidak memungkinkan dirinya berjaya hatta dengan satu langkah. Lebih teruk, apabila pejuang mula dibumbui rasa khuatir akan masa depan dan kestabilan hidupnya yang pada dasarnya ialah urusan Allah.

Syeikh Qadir dalam membicarakan hal ini, menurunkan kisah seorang lelaki yang mendatangi Rasulullah SAW. Lelaki itu berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai engkau." Baginda bersabda, "Sediakanlah jilbab (perisai, penutup) untuk kefakiran."

Perkara yang sama diulang Nabi Muhammad SAW kepada seorang lelaki lain yang menyatakan cintanya kepada Allah SWT.

Hal ini menjelaskan bahawa apabila individu itu muktamad menyatakan cinta kepada perjuangan atas jalan Allah, maka yang diperolehnya ialah ujian, yang jarang membuatkan manusia senang dan mewah hidupnya. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan keikhlasannya berjuang, perlu bersedia untuk diuji dan diduga, seperti kisah pesan guru pada awal tulisan ini. 

Akhir sekali, menarik untuk saya petik kata-kata Syeikh Qadir Jailani mengenai kecintaan kepada kebenaran (Allah dan Rasul), yang datang bersamanya kefakiran dan ujian. Namun, perlu difahami bahawa pada hakikatnya, pejuang yang sabar dan tekal di atas perjuangannya tidak pernah akan fakir kerana adanya Allah yang memberi 'kemewahan' tidak terhingga kepadanya.

Setiap orang yang menjadi kekasih-Nya selalu diberi-Nya cubaan. Agar tiada seorang juapun yang dapat mengaku sebagai wali (kekasih) Allah. Jika tidak demikian, maka setiap orang akan mengaku bahawa dia mencintai Allah. Maka tetapkanlah pembuktian cinta itu dengan kefakiran dan cubaan [kesediaan untuk diuji dan menerima hasil ujian itu nanti dengan reda]

Sebagai penutup, adalah baik saya turunkan lagi pesan guru berbunyi "Apabila anda menyatakan keikhlasan untuk berjuang, ingat, keikhlasan anda akan diuji. Bersedialah untuk diuji".
Jika niat tidak salah, pejuang tidak pernah kalah.

Cita-cita, tidak bersekutu dengan cinta.

Waalahua'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan