Selasa, 19 Mac 2013

DILEMA KRITIKAN TEMPATAN

BEBERAPA hari ini, media sosial penulis-penulis tempatan giat membicarakan isu Shahnon Ahmad yang mengkritik penobatan Baharuddin Zainal atau Baha Zain sebagai Sasterawan Negara ke-12. Isu ini bermula apabila Dr. Mohd. Faizal Musa menyampaikan hasrat gurunya, iaitu Shahnon Ahmad agar disebarkan enam sebab Shahnon mempertikaikan Baha Zain sebagai penerima anugerah sastera yang perdana sifatnya dalam jalur kesusasteraan Melayu moden di Malaysia. 

Berdasarkan keterangan Dr. Mohd Faizal Musa yang disiarkan secara terbuka di laman Facebooknya, Uthaya Sankar dihubungi bagi menyebarkan pandangan dan kritikan Shahnon tersebut menerusi Klik sini untuk baca. Implikasi daripada kenyataan terbuka Shahnon tersebut menyebabkan berlakunya polemik dalam kalangan penulis dan peminat kegiatan kreatif di Malaysia menerusi akaun masing-masing. Setiap daripada mereka memberi pandangan yang pelbagai mengenai kritikan Shahnon dan penobatan Baha Zain sebagai SN ke-12. Meninjau pula reaksi pembaca-pembaca artikel tulisan Uthaya Sankar mengenai kritikan tersebut di laman sesawang Malaysiakini, yang rata-rata bukan daripada penggiat kreatif dan peminat kegiatan kreatif Malaysia juga pelbagai sifatnya. Ada yang mengecam, ada yang positif dan tidak kurang yang bagai lalang ditiup angin.

Ada yang menganggap satu nama yang terlibat di atas sebagai Si Kitul, yang terlalu durjana kerana mengharapkan perhatian. Ada juga yang menyatakan begitulah kesan berbaik-baik dengan golongan yang oportunis sifatnya. Akan tetapi, pada hemat saya, yang ditimbang tara secara adil dalam polemik ini bukanlah kenyataan dan kritikan-kritikan (enam poin) yang diujarkan Shahnon. Sebaliknya, yang dipolemikkan ialah peranan penyebar dan medium kritikan Shahnon itu tersiar. Secara peribadi saya fikir hal ini kurang adil kerana seperti yang dijelaskan sebelum ini, Shahnon sendiri yang meminta pandangan bernas beliau itu disebarkan. Berikut enam sebab Shahnon menolah Baha Zain sebagai SN ke-12 (berdasarkan sumber daripada laman FB Mohd Faizal Musa :

"Pertamanya, karya-karya Baha Zain adalah 'berselerak' dan 'tidak fokus'. Keduanya, Cikgu Shahnon berpandangan karya puisi Baha adalah kontot (pendek), sangat bersahaja justeru kurang menyerlah mesej dan gagasan yang ingin dibawa. Ketiganya, Cikgu Shahnon juga melihat Baha Zain tidak berupaya dari segi kritikan sastera dan tulisan-tulisan yang dihasilkannya 'tidak begitu ketara' dari segi sumbangan. Seterusnya, yang keempat Cikgu Shahnon menyatakan penglibatan Baha Zain dalam gerakan sastera kurang menonjol. Era beliau memimpin PENA misalnya memperlihatkan keperlahanan suara golongan sasterawan berdepan dengan isu semasa yang memerlukan suara tegas golongan seniman ini. Kelima, Cikgu Shahnon berpandangan Baha Zain agak sunyi dari berjujur dalam isu-isu semasa. Yang keenam, Cikgu Shahnon menyatakan antologi puisi Baha Zain yang dibacanya membuatkan beliau berasa karyanya 'tidak bermakna dan tidak seberapa'. Sasterawan Negara, Dato Shahnon Ahmad bagaimanapun terbuka kepada apa jua respon ekoran pandangan beliau ini."

Tidak ketinggalan ada juga yang mempertikaikan kewibawaan Shahnon dalam menyatakan kritikan tersebut. Maka, di satu pihak Shahnon dikritik kerana dengan berani mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaan Anugerah Sastera Negara yang disifatkan khalayak sastera sebagai tinggi prestijnya. 

Pada saya, tradisi kritikan yang bermanfaat ialah kritikan yang paksinya ditegakkan pada ilmu, bukan retorik semata-mata. Maka, sesiapa yang ingin menyampaikan sesuatu hujah perlulah bersedia untuk mempertahankan hujahnya dengan ilmu, bukan emosi. Walau bagaimanapun, tradisi kritikan dalam kesusasteraan kreatif tempatan kelihatan tidak memberi ruang yang wajar dan sepatutnya untuk kritikan berasaskan ilmu dan permasalahan yang kukuh tampil dan diterima baik dalam gelanggang kritikan sastera. Saya menghormati pandangan yang diberikan Shahnon Ahmad, akan tetapi saya berasa adalah wajar untuk Shahnon menghuraikan enam faktor penolak kepada beliau menerima kewibawaan Baha Zain sebagai SN dengan hujah yang lebih mantap bersandarkan pada satu-satu teras. Bukan sekadar memberi lontaran kata kunci tanpa menjelaskan peranan kunci-kunci tersebut untuk pintu-pintu yang mana.

Pertikaian terhadap pemilihan Sasterawan Negara telah sering dibicarakan, jauh sebelum Shahnon Ahmad tampil dengan buah fikirnya yang terkini, yang pada pandangan kebanyakan khalayak sastera terlalu cabul untuk diucapkan kepada tokoh yang diiktiraf oleh negara. Akan tetapi, saya melihat kemunculan kritikan Shahnon dengan enam poin tersebut sebagai sesuatu yang positif dan perlu disambut dengan baik dan berilmu dalam menanganinya. Usah bersikap prejudis kepada niat Shahnon mahupun Si Kitul yang didakwa itu. Masyarakat sastera seharusnya menjadi lebih bijaksana dengan mengambil peluang polemik terbuka ini untuk berhujah secara ilmiah dan bukan lagi mengkedepankan emosi dalam mempertahankan sesuatu perkara. Sebagai pengamat sastera, tentulah saya berasa sedih melihat sebilangan penulis mapan sampai sanggup menggunakan kata 'cilakak si kitul' dan seumpamanya semata-mata tersinggung dengan perbuatan penyebaran kritikan seorang penulis mapan itu. Biarlah rasa tersinggung dalam diri kita hadir kerana tercabarnya ilmu yang hakiki, bukan dek kerana tercalarnya emosi yang kurang matang sifatnya

Saya sebagai generasi muda dalam industri kreatif ini mengharapkan satu tradisi kritikan dan tradisi ilmu yang berpaksikan kebenaran, yang matlamatnya adalah mencari kejernihan sebenar. Saya percaya, bukan saya sahaja yang mengharapkan perkara ini. Hasil perbualan saya dengan beberapa penulis lain pada awal minggu ini dan pengalaman mengikuti seminar dengan judul besar "Seminar Enam Sasterawan Negara", mendedahkan saya bahawa, memang bukan saya saja yang semakin runsing dan bingung dengan kritikan ala 'sinopsis' yang tidak menyumbang apa-apa kepada pemikiran dan ilmu peserta yang terlibat dalam 'ruang wacana' seperti itu yang seharusnya sungguh dimanfaatkan dengan wacana dan ilmu, bukan cerita-cerita biasa.

Sungguh, pembaharuan itu perlu - tanpa bermakna terus ke depan sehingga meninggalkan kebenaran yang sedia ada di belakang.

Akhir kalam, renungkan sejenak bicara Maulana Iqbal ini :

Orang berwatak kuat yang menguasai diri sendiri
Akan menikmati setiap nasib datang kepadanya
Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya
Dia akan berusaha menggempur langit angkasa
Wallahu'alam.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Membaca entri saudari ini telah mendatangkan pencerahan pada diri saya tentang polemik Shahnon VS Baha. Pada pendapat saya, tidak slaah menyatakan pertentangan idea kerana kebebsan bersuara dijamin haknya di negara ini. Namun cara yang digunakan oleh Shahnon semacam ada yang tidak kena.

    Bagi saya, Baha Zain memang layak mendapat gelaran Sasterawan Negara. Sepatutnya, sejak dari dulu lagi beliau dinobatkan. Isunya sekarang, sesetengah pihak ingin menaikkan 'orang lain' yang dirasakan lebih layak, dan apabila 'orang lain' itu tidak terpilih, maka penyokong-penyokongnya mula menyalak.

    Dari segi kepengarangan, Baha Zain menunjukkan kepengarangan yang tinggi. Sajak-sajaknya membawa pembaharuan dari aspek gaya dan pemikiran; setara dengan Muhammad Haji Salleh dan Latiff Mohidin (seorang lagi tokoh yang layak diangkat sebagai sasterawan negara).

    Oh, paling tidak Baha Zain tidak menulis karya lucah dan mencarut dalam karyanya.

    Salam mesra,

    Salle Sulieman.

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam Saudara Salle Sulieman

    Jika saudara perhatikan, entri saya ini tidak mempertikaikan penobatan Baha Zain sebagai SN ke-12 atau menerimanya secara mutlak. Sebaliknya, yang saya utamakan ialah 'wajah' kritikan yang berlaku dalam lapangan kesusasteraan Melayu.

    Seperti yang saya jelaskan, sesiapapun yang mahu memberi kritikan seharusnya membahaskan hujah masing-masing berdasarkan ilmu, bukan emosi. Shahnon memberikan enam hujah mengenai penolakan beliau terhadap gelar SN kepada Baha Zain. Itu tidak salah, akan tetapi yang kurang wajar apabila Shahnon tidak menyampaikan hujah itu secara tuntas. Sebagai contoh, apabila Shahnon mengatakan puisi-puisi Baha Zain 'kontot-kontot', maka Shahnon seharusnya menjelaskan apa masalahnya dengan 'puisi kontot-kontot'? Kenapa puisi seperti itu tidak baik? Apa yang dimaksudkan Shahnon dengan puisi yang baik, lawan kepada puisi kontot yang disampaikan dengan konotasi negatif itu?

    Perkara yang sama perlu dilakukan oleh sesiapa yang membidas sebab-sebab penolakan Shahnon itu. Bukan sekadar membuat spekulasi dan tanggapan umum yang langsung tidak ilmiah sifatnya.

    Bagi saya, SN itu hanya satu gelaran daripada kebanyakan gelar yang kita ada. Yang paling penting ialah kewajaran kewujudan gelar itu.

    Secara jujurnya, saya gemar membaca tulisan-tulisan Baha Zain yang tersiar dalam Dewan Sastera pada setiap bulan. Akan tetapi, saya tidak mengakrabi puisi-puisi dan cerpen-cerpen beliau secara keseluruhan, maka saya fikir tidak wajar untuk saya mengemukakan hujah sama ada kenyataan Shahnon terhadap Baha Zain itu benar atau kenyataan penyokong-penyokong Baha Zain itu salah. Bagi saya, mengemukakan pandangan pada satu perkara yang tidak saya ketahui secara mantap adalah satu penyelewengan ilmiah yang harus dielakkan.

    Salam mesra.

    Wallahu'alam.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum dan selamat pagi.

    Saya setuju dengan pandangan saudari. Seeloknya, perbahasan ilmiah wajar dibuat. Walau bagaimanapun, lebih banyak perkara dalam bidang kesusasteraan Melayu yang perlu dibahaskan, bukannya perkara remeh temeh seperti ini. Polemik seperti ini, pada pandangan saya, adalah amat merugikan kita.

    Salam mesra.

    Salle Sulieman.

    BalasPadam