Jumaat, 1 Mac 2013

ABI, PERGI JUA

PAGI TADI, saya ke tanah kubur emak. Ada jenazah yang sedang dikebumikan tidak jauh dari kubur emak. Saya berbalas senyum dengan seorang wanita tua yang mengayuh basikal Raleigh sambil di tangan kanannya ada pokok kecil yang selalu ditanam di atas kubur. Saya tidak tahu nama pokok itu. Setiap kali melewati kawasan perkuburan, saya berasa nyaman mengenangkan di dalam tanah itu ada jasad manusia yang amat saya cinta. Yang begitu banyak berkorban perasaan dan hidup demi kebahagiaan saya. Dia, ibu saya.

Keadaan di tanah kubur emak, pagi tadi
Saya tidak menyangka, pemergian saya ke tanah kubur pagi ini dan melihat jenazah yang dikebumikan [semoga roh jenazah itu mendapat kasih dan keampunan Allah], rupa-rupanya imbas muka pada saya juga yang terlibat dengan satu pengebumian sekitar jam 2:30 petang tadi pula.

Bagi sesiapa yang mengikuti tulisan saya mengenai Chubby atau lebih mesra dipanggil Abi, akan tahu cabaran yang dialami kucing saya itu. Chubby disahkan menghidap sakit jantung [saya tidak ingat istilah saintifiknya]. Jantung Abi tidak normal dan sentiasa membesar. Menurut Dr.Prem dari Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya yang merawat Abi sepanjang dua tahun ini, kita di Malaysia masih belum ada teknologi pemindahan jantung haiwan. Sedangkan, itulah rawatan paling baik untuk pesakit seperti Abi.

Tiga bulan lalu, Dr. Prem cadangkan pemberian suntikan sedatif [put to sleep] memandangkan Abi tidak akan sembuh malah akan menjadi kronik hari demi hari. Saya menghubungi beberapa ahli agama dan bertanya mengenai hal tersebut. Akan tetapi, saya masih mahu menjaga Abi. Keadaan Abi nampak seperti baik selepas diberi suntikan biasa. Cuma, apabila jantung Abi dipenuhi air kesan kegagalan fungsi jantung, Abi perlukan suntikan hebresser dan theolin.

Kata Dr. Tan pula, memandangkan jantung Abi akan terus membesar, maka Abi boleh 'pergi' bila-bila masa sahaja apabila rusuk Abi tidak dapat lagi menampung jantung yang semakin membesar. Ini yang Dr. Tan maksudkan sebagai mati mengejut bagi pesakit jantung. Semalam, Abi amat manja. Setelah dua tahun tidak dibenarkan keluar dari sangkar, melainkan saya akan mendukung dan membawa Abi menghirup udara luar, Abi berkelakuan aneh. Abi meronta-ronta mahu keluar dari sangkarnya. Manisnya, Abi juga saya beri makan ikan bilis. Makanan kegemaran Abi yang jarang saya beri kerana kandungan garamnya yang agak tinggi. Abi menjerit gembira dengan mata bersinar apabila melihat saya membawa bekas ikan bilis. Abi makan dengan penuh selera. 

Pagi tadi, Abi seperti biasa. Namun, ajal itu rahsia Allah. Jam 1:30, Abi diserang sakit jantung paling kronik. Abi tidak mampu bernafas. 20 minit kemudian, Abi pergi buat selama-lamanya. Itulah yang mungkin dikatakan mati mengejut bagi sesetengah orang. Abi pergi, tiba-tiba. 

Abi ketika selesai menghembuskan nafas terakhir di dunia
Tubuh Abi terkulai layu. Paw Abi membiru. Saya tidak berlengah. Kematian perlu segera diselesaikan. Cangkul jiran saya pinjam buat menggali liang lahad Abi. Keadaan Abi ketika itu masih panas. Abi saya baringkan penuh hormat di dalam tanah kuburnya.  Kali ini, saya tidak lagi mengekalkan tradisi mengkapankan kucing. Biarlah jasad Abi segera sebati dengan tanah.


Inilah juga kali pertama kucing saya pergi pada waktu siang dan masih lembut serta panas badannya. Selalunya, kucing saya pergi pada waktu malam atau dinihari. Abi pergi, selepas dua minggu Boboy meninggalkan saya. Abi pergi, selepas sembilan bulan emak menghadap Ilahi.

Ikatan  antara saya dan Abi amat erat kerana sayalah yang menjaga Abi ketika dia diserang sawan, buta sementara dan diserang ulser mulut yang menyakitkan. Kami amat rapat, seolah-olah ada jalinan perasaan yang untuh antara kami. Saya dan Abi boleh saling memahami hanya dengan pandangan antara satu sama lain. Saya tahu, Abi betul-betul tahu yang saya amat menyayanginya. 

Abi lahir pada September 2009. Ketika saya di tahun dua pengajian. Kelahiran Abi membuatkan saya tuang kuliah selama seminggu bagi memberi perhatian kepada Abi dan saudara-saudaranya [semua saudara Abi telah mati kecuali Omi].

Jika diikutkan jangkaan Dr. Prem, pesakit seperti Abi hanya bertahan selama enam bulan. Namun, Abi yang kuat dan tabah berserta takdir Allah menentukan Abi mampu bertahan lebih lama daripada jangkaan manusia itu. Saya lega, saya tenang, saya reda. Abi Allah ambil setelah Allah beri hampir enam tahun saya menjalin hubungan yang amat istimewa dengan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW ini. Semoga, saya dapat bertemu Abi dan kucing-kucing saya yang lain. 

Pada awal penubuhan blog ini, saya memang banyak menulis tentang kucing-kucing saya khususnya Chubby. Malah hingga kini. Pernah juga Mohd. Faizal Musa yang mengajar saya dahulu, menegur supaya saya tidak menulis tentang kucing di blog. Katanya, orang akan bosan. Dan, lebih baik saya simpan duit beli buku daripada bercerita tentang kucing-kucing dan rawatan saya terhadap kucing-kucing saya. Blog ini bukan blog yang saya tubuhkan untuk meminta perhatian sesiapa. Sesiapa saja boleh membaca dan tidak membacanya. Pada saya juga, buku boleh saya beli apabila saya mampu beli. Akan tetapi, jika kucing saya perlukan rawatan maka saya perlu dahulukan rawatan itu kerana kucing itu hadir dalam hidup saya sebagai satu nyawa yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk menjaganya dengan baik. Saya tidak mahu dibebani rasa terkilan seumur hidup kerana tidak memberi bantu kepada mereka ketika perlu dan di dalam batas kemampuan saya. Buku, boleh saya pinjam untuk baca. Nyawa mereka, tiada galang gantinya.

Alhamdulillah, setelah tamat belajar dan bekerja, saya benar mampu memiliki dan membeli banyak buku berbanding semasa belajar dulu. Tidak pernah saya terkilan kerana mendahulukan duit untuk rawatan kucing berbanding memenuhi nafsu saya terhadap buku. 

Abi ialah kucing yang sangat tabah dengan segala dugaan sakit yang Allah beri kepadanya. Banyak yang saya dapat belajar daripada ketabahan Abi. Saya yakin, Abi kini sudah beroleh kebahagiaan hakikinya sebagai makhluk ciptaan Allah. Saya berharap, saya dapat bertemu Abi lagi.


Kenangan dan pengalaman bersama Abi amat indah dan tidak akan saya lupa dan tidak mahu untuk saya lupakan. Semoga, Abi juga tidak lupa kepada saya. 

Al Fatihah.

Antara cerita tentang Abi yang pernah saya tulis di sini :


Abi, di bawah lengan ibunya ketika baru dilahirkan
Rumah Abi, telah kosong
Baki, ubat Abi

Abi saya. Selamat tinggal sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan