Ahad, 31 Mac 2013

CINTA SEORANG WANITA

RABIAH AL ADAWIYAH, anak keempat yang terpisah daripada adik-beradiknya setelah ibu dan ayahnya  meninggal dunia. Pernah menjadi hamba dan terbiar di padang pasir sendirian dalam perjalan menuju Baitullah. Rabiah memilih kehidupan yang tersendiri, menggugurkan taklif atas dirinya kerana keinginannya beribadat dan mencintai Allah tidak didasari kepada perintah Allah agar manusia menyembah dan beribadah kepada-Nya. Sebaliknya, Rabiah mencintai dan menyembah Allah kerana cintanya yang agung kepada Allah.

Kehidupan wanita sufi ini dipenuhi dengan kecintaan yang mendalam terhadap Allah sehingga Rabiah menolak segala kehidupan dunia, yang diambil begitu pada kadar yang paling sedikit. Hampir 15 tahun yang lalu, saya membaca sepotong ayat yang selalu saya ingat dan petik, yang berbunyi "Tidak akan terhimpun selamanya dua cinta dalam satu jiwa. Iaitu cinta dunia dan cinta kepada Allah". Rabiah juga pernah menyatakan perkara yang sama. Barangkali potongan ayat yang saya kenal itu berpunca daripada lafaz mulia seorang wanita sufi. Rabiah menolak cinta Hasan al Basri dan beberapa ulama sezaman dengannya kerana kemampuannya hanya untuk mencintai Allah, bukan selain daripada-Nya.

Oleh sebab cinta Rabiah yang terlalu mendalam kepada Allah, Rabiah memperuntukkan jalan hidupnya sedapat-dapatnya dekat kepada keredaan Allah. Rabiah hanya meminta kepada Allah sepenuhnya. Hal ini menjadikan Rabiah wanita sufi yang sentiasa berhati-hati agar tidak masuk ke dalam tubuh dan hatinya sesuatu yang haram dan syubhah. Saya teringat kisah pelayan Rabiah yang mengadu mengenai mereka yang kehabisan bawang. Pelayan Rabiah meminta izin untuk meminta bawang daripada jiran mereka, akan tetapi Rabiah tegas melarang perbuatan itu dengan berkata "Telah 40 tahun aku berjanji kepada Allah SWT tidak akan meminta sesuatupun kecuali daripada-Nya. Lupakanlah bawang itu." Tidak lama selepas Rabiah berkata begitu, seekor burung terbang dari udara. Di dalam paruh burung itu terdapat sebiji bawang yang sedia dikupas lalu dijatuhkan ke dalam belanga. Apabila menyaksikan kejadian itu, Rabiah berkata "Aku takut jika semua ini adalah tipu muslihat." Maka Rabiah memilih untuk tidak menikmati sup itu.

Ada banyak kisah yang menarik tentang wanita sufi ini. Antara yang kuat di ingatan saya ialah kisah beberapa lelaki yang mengunjungi Rabiah dengan tujuan menguji kebijaksanaan Rabiah berhadapan dengan soalan-soalan yang tiba-tiba. Lelaki-lelaki itu berkata, "Segala kebajikan telah dibahagi-bahagikan kepada kaum lelaki. Mahkota kenabian telah diletakkan di kepala kaum lelaki. Ikat pinggang bangsawan telah diikatkan di pinggang kaum lelaki. Tiada seorang perempuan yang diangkat Allah menjadi Nabi."
Rabiah menjawab, "Semua itu benar. Tetapi kesombongan diri, memuji diri sendiri dan ucapan "bukankah aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi? (ucapan Firaun) tidak pernah tersimpan dalam dada seorang wanita. Malah tidak ada seorangpun yang membenci. Semua itu ialah bahagian kaum lelaki." (2009:58)

Saya mengakhiri catatan ingatan saya terhadap wanita sufi ini dengan doa Rabiah kepada Allah untuk kita renungkan bersama :

Ya Allah, apa-apa yang akan Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini, berikanlah kepada musuh-musuhMu. Dan apa-apa yang akan Engkau kurniakan kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabatMu, kerana Engkau sendiri cukuplah bagiku. Ya Allah, jika aku menyembah Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga, maka haramkanlah aku daripada memasuki syurga, tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata-mata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku. Ya Allah, semua susah payahku dan semua hasratku antara segala kesenangan dunia ini adalah utnuk mengingati Engkau, adalah untuk berjumpa denganMu. Begitulah halnya dengan diriku, seperti yang telah kukatakan. Kini, perbuatlah seperti yang Engkau kehendaki.

Wallahu'alam

Selasa, 19 Mac 2013

DILEMA KRITIKAN TEMPATAN

BEBERAPA hari ini, media sosial penulis-penulis tempatan giat membicarakan isu Shahnon Ahmad yang mengkritik penobatan Baharuddin Zainal atau Baha Zain sebagai Sasterawan Negara ke-12. Isu ini bermula apabila Dr. Mohd. Faizal Musa menyampaikan hasrat gurunya, iaitu Shahnon Ahmad agar disebarkan enam sebab Shahnon mempertikaikan Baha Zain sebagai penerima anugerah sastera yang perdana sifatnya dalam jalur kesusasteraan Melayu moden di Malaysia. 

Berdasarkan keterangan Dr. Mohd Faizal Musa yang disiarkan secara terbuka di laman Facebooknya, Uthaya Sankar dihubungi bagi menyebarkan pandangan dan kritikan Shahnon tersebut menerusi Klik sini untuk baca. Implikasi daripada kenyataan terbuka Shahnon tersebut menyebabkan berlakunya polemik dalam kalangan penulis dan peminat kegiatan kreatif di Malaysia menerusi akaun masing-masing. Setiap daripada mereka memberi pandangan yang pelbagai mengenai kritikan Shahnon dan penobatan Baha Zain sebagai SN ke-12. Meninjau pula reaksi pembaca-pembaca artikel tulisan Uthaya Sankar mengenai kritikan tersebut di laman sesawang Malaysiakini, yang rata-rata bukan daripada penggiat kreatif dan peminat kegiatan kreatif Malaysia juga pelbagai sifatnya. Ada yang mengecam, ada yang positif dan tidak kurang yang bagai lalang ditiup angin.

Ada yang menganggap satu nama yang terlibat di atas sebagai Si Kitul, yang terlalu durjana kerana mengharapkan perhatian. Ada juga yang menyatakan begitulah kesan berbaik-baik dengan golongan yang oportunis sifatnya. Akan tetapi, pada hemat saya, yang ditimbang tara secara adil dalam polemik ini bukanlah kenyataan dan kritikan-kritikan (enam poin) yang diujarkan Shahnon. Sebaliknya, yang dipolemikkan ialah peranan penyebar dan medium kritikan Shahnon itu tersiar. Secara peribadi saya fikir hal ini kurang adil kerana seperti yang dijelaskan sebelum ini, Shahnon sendiri yang meminta pandangan bernas beliau itu disebarkan. Berikut enam sebab Shahnon menolah Baha Zain sebagai SN ke-12 (berdasarkan sumber daripada laman FB Mohd Faizal Musa :

"Pertamanya, karya-karya Baha Zain adalah 'berselerak' dan 'tidak fokus'. Keduanya, Cikgu Shahnon berpandangan karya puisi Baha adalah kontot (pendek), sangat bersahaja justeru kurang menyerlah mesej dan gagasan yang ingin dibawa. Ketiganya, Cikgu Shahnon juga melihat Baha Zain tidak berupaya dari segi kritikan sastera dan tulisan-tulisan yang dihasilkannya 'tidak begitu ketara' dari segi sumbangan. Seterusnya, yang keempat Cikgu Shahnon menyatakan penglibatan Baha Zain dalam gerakan sastera kurang menonjol. Era beliau memimpin PENA misalnya memperlihatkan keperlahanan suara golongan sasterawan berdepan dengan isu semasa yang memerlukan suara tegas golongan seniman ini. Kelima, Cikgu Shahnon berpandangan Baha Zain agak sunyi dari berjujur dalam isu-isu semasa. Yang keenam, Cikgu Shahnon menyatakan antologi puisi Baha Zain yang dibacanya membuatkan beliau berasa karyanya 'tidak bermakna dan tidak seberapa'. Sasterawan Negara, Dato Shahnon Ahmad bagaimanapun terbuka kepada apa jua respon ekoran pandangan beliau ini."

Tidak ketinggalan ada juga yang mempertikaikan kewibawaan Shahnon dalam menyatakan kritikan tersebut. Maka, di satu pihak Shahnon dikritik kerana dengan berani mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan kewibawaan Anugerah Sastera Negara yang disifatkan khalayak sastera sebagai tinggi prestijnya. 

Pada saya, tradisi kritikan yang bermanfaat ialah kritikan yang paksinya ditegakkan pada ilmu, bukan retorik semata-mata. Maka, sesiapa yang ingin menyampaikan sesuatu hujah perlulah bersedia untuk mempertahankan hujahnya dengan ilmu, bukan emosi. Walau bagaimanapun, tradisi kritikan dalam kesusasteraan kreatif tempatan kelihatan tidak memberi ruang yang wajar dan sepatutnya untuk kritikan berasaskan ilmu dan permasalahan yang kukuh tampil dan diterima baik dalam gelanggang kritikan sastera. Saya menghormati pandangan yang diberikan Shahnon Ahmad, akan tetapi saya berasa adalah wajar untuk Shahnon menghuraikan enam faktor penolak kepada beliau menerima kewibawaan Baha Zain sebagai SN dengan hujah yang lebih mantap bersandarkan pada satu-satu teras. Bukan sekadar memberi lontaran kata kunci tanpa menjelaskan peranan kunci-kunci tersebut untuk pintu-pintu yang mana.

Pertikaian terhadap pemilihan Sasterawan Negara telah sering dibicarakan, jauh sebelum Shahnon Ahmad tampil dengan buah fikirnya yang terkini, yang pada pandangan kebanyakan khalayak sastera terlalu cabul untuk diucapkan kepada tokoh yang diiktiraf oleh negara. Akan tetapi, saya melihat kemunculan kritikan Shahnon dengan enam poin tersebut sebagai sesuatu yang positif dan perlu disambut dengan baik dan berilmu dalam menanganinya. Usah bersikap prejudis kepada niat Shahnon mahupun Si Kitul yang didakwa itu. Masyarakat sastera seharusnya menjadi lebih bijaksana dengan mengambil peluang polemik terbuka ini untuk berhujah secara ilmiah dan bukan lagi mengkedepankan emosi dalam mempertahankan sesuatu perkara. Sebagai pengamat sastera, tentulah saya berasa sedih melihat sebilangan penulis mapan sampai sanggup menggunakan kata 'cilakak si kitul' dan seumpamanya semata-mata tersinggung dengan perbuatan penyebaran kritikan seorang penulis mapan itu. Biarlah rasa tersinggung dalam diri kita hadir kerana tercabarnya ilmu yang hakiki, bukan dek kerana tercalarnya emosi yang kurang matang sifatnya

Saya sebagai generasi muda dalam industri kreatif ini mengharapkan satu tradisi kritikan dan tradisi ilmu yang berpaksikan kebenaran, yang matlamatnya adalah mencari kejernihan sebenar. Saya percaya, bukan saya sahaja yang mengharapkan perkara ini. Hasil perbualan saya dengan beberapa penulis lain pada awal minggu ini dan pengalaman mengikuti seminar dengan judul besar "Seminar Enam Sasterawan Negara", mendedahkan saya bahawa, memang bukan saya saja yang semakin runsing dan bingung dengan kritikan ala 'sinopsis' yang tidak menyumbang apa-apa kepada pemikiran dan ilmu peserta yang terlibat dalam 'ruang wacana' seperti itu yang seharusnya sungguh dimanfaatkan dengan wacana dan ilmu, bukan cerita-cerita biasa.

Sungguh, pembaharuan itu perlu - tanpa bermakna terus ke depan sehingga meninggalkan kebenaran yang sedia ada di belakang.

Akhir kalam, renungkan sejenak bicara Maulana Iqbal ini :

Orang berwatak kuat yang menguasai diri sendiri
Akan menikmati setiap nasib datang kepadanya
Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya
Dia akan berusaha menggempur langit angkasa
Wallahu'alam.

Isnin, 18 Mac 2013

PAGI INI DINIHARI INI

PAGI INI, genap 11 bulan 1 hari emak pergi. Isnin yang penuh makna, kerana pada dinihari Isnin juga emak ditidurkan oleh doktor sebaik-baik emak dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang. Dinihari yang sama, doktor mengatakan emak dalam keadaan kritikal dan tidak boleh dibiarkan dalam keadaan sedar. Dinihari dan pada masa saya menulis catatan ini, 11 bulan 1 hari, Isnin yang sama, saya sedang menunggu di kawasan Zon Kritikal. Berulang kali saya menjenguk emak di katilnya, yang badannya ketika itu dipenuhi wayar. Dinihari ini. Isnin ini.
11 bulan 1 hari, Isnin yang sama - bagi saya terlalu baru berlaku. Tidak ada apa-apa yang mengubah keutamaan ingatan saya kepada emak. Dan, hati saya begitu luruh dinihari ini, apabila terkenang dinihari dan hari yang sama ini, emak tiba-tiba tiada lagi seperti biasa.
Dinihari dan hari yang sama ini, 11 bulan 1 hari yang lalu, saya kehilangan emak. Pengalaman pertama yang perlu saya lalui buat selama-lamanya. Semoga Allah, tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa akan emak. Semoga Allah sentiasa suburkan rindu dan cinta saya pada emak, walaupun sakitnya rindu dan cinta seperti itu.
Semoga roh emak bahagia dan dalam kasih-Nya sentiasa.
Dinihari ini, hari ini, 11 bulan 1 hari yang lalu, mengajar dan menyedarkan saya betapa emak manusia yang paling penting dan saya cinta di dunia. Bahawa emak, sahabat dan teman paling setia. Emak, wanita yang dicintai Allah SWT. Semoga Allah pertemukan saya dan emak, kembali. Dalam keadaan yang paling indah.
Al Fatihah Rambelah binti Maryam
27.6.1951-19.5.2012

Ahad, 17 Mac 2013

BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL

APABILA saya tidak tahu, saya suka bertanya dan paling tidak suka simpan ketidaktahuan itu lama-lama. Beberapa hari lalu, saya mendengar seorang tokoh bahasa menyebut perkataan 'menyebarkan' dengan sebutan e-pepet, bukan e-taling seperti kebiasaan yang saya tahu. Sebutan itu sering bergema ke dalam fikir saya beberapa hari ini, begitu juga perkataan transenden disebut tran[senden]. Mengapa disebut begitu? Pagi ini saya mendapat pengetahuan baharu, mengapa perkataan itu disebut begitu. Menurut Dr. Awang Sariyan, pada awalnya sebutan yang betul bagi perkataan berkenaan adalah dengan sebutan e-pepet. Akan tetapi, lama-kelamaan masyarakat menukar sebutan itu kepada sebutan dengan penggunaan e-taling. Jika kita biasa mendengar sebutan bahasa Melayu golongan yang mahir bahasa Melayu seperti Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di situ terpancar sebutan bahasa Melayu yang asli dan tepat pada maknanya. Hal ini berlaku sebaliknya kepada sebilangan pengguna bahasa yang hanya tahu menggunakan bahasa tanpa faham makna bahasa yang digunakan. Sebagai contohnya, kata 'sadis' sering dianggap sebagai 'sedih' maka berlakukan pemerkosaan bahasa khususnya dalam karya-karya kreatif yang berusaha memerikan kesedihan sebagai 'kesadisan' yang pada hakikatnya bermaksud 'zalim'. 

Tidak kurang juga lesen kreatif digunakan untuk menggunakan bahasa secara semberono tanpa memikirkan konsep makna bagi setiap kata yang dibawa. Konsep makna yang dimaksudkan di sini ialah faham dan falsafah yang terkandung di sebalik setiap perkataan, khususnya yang berkaitan dengan aspek keagamaan. Sebagai contoh, tidak sedikit puisi yang menggunakan kata-kata berunsur agama bagi menjelaskan emosi harfiah manusia. Umpamanya, seorang penyair menulis "Aku tidak lagi beriman pada cintamu" yang merujuk cinta seorang isteri, walhal dalam konsep Islam, 'iman' bermaksud keyakinan terhadap wujudnya Allah dengan hati, yang dilafazkan dengan kata-kata dan dilaksanakan dengan amalan.

Penyelewengan bahasa berpunca daripada kurangnya ilmu pengguna bahasa terhadap bahasa yang digunakan. Bagi mengatasi gejala ini, setiap pengguna bahasa khususnya penulis sama ada dalam bidang kreatif mahupun ilmiah wajar mengenali dan mengetahui dengan bersungguh-sungguh terhadap bahasa dan peranan bahasa agar pemilihan kata yang dibuat selalu tepat, benar dan padat - sekali gus melancarkan proses dekod dan enkod dalam amalan komunikasi baik bertulis, mahupun lisan.

Satu lagi perkataan yang pernah dibincangkan Dr. Awang Sariyan ialah 'pengantar'. Kenapa kata dasar 'hantar' berubah menjadi 'pengantar'? Menarik bukan untuk dibincangkan soal-soal nahu bahasa ini. Saya teringat, seorang sarjana bukan ahli bahasa pernah berkata, "Tatabahasa BM ini semua orang yang buat. Tak ikut pun tidak apa". Bolekah begitu? Setiap bahasa, ada tatabahasa apatah lagi jika bahasa yang terbina itu berdiri atas konsep-konsep akidah yang menjadi pegangan pengguna bahasa. Hal ini tidak boleh dinafikan kerana al-Quran sendiri ada sistem nahunya.

Betul-betulkan yang biasa. Biasa-biasakan yang betul.

Wallahu'alam.

Jumaat, 15 Mac 2013

ILMU, REZEKI TERINDAH

"KALAU KITA dapat apa-apa pelajaran yang baik daripada sesiapa pun, kita mesti bersyukur. Itu pun sejenis rezeki. Rezeki rohani yang penting dalam membentuk peribadi kita." Itu antara kata hikmah yang saya sematkan sungguh-sungguh dalam hati, yang saya petik daripada sebuah karya idea yang sedang saya tekuni. Mengingati kata-kata itu membuatkan saya semakin meneliti setiap perkara baik dalam setiap hari yang saya lalui, sebagai rezeki daripada Allah yang tidak lagi disempitkan hanya kepada 'tiga ta' semata-mata. Ya, rezeki bukan sahaja muncul sebagai wang, harta dan takhta. Sebaliknya, jiran yang baik, perjalanan yang baik, ilmu yang baik, hati yang damai dengan ilmu yang baik, yang dapat menjadikan kita lebih ingat Allah dan tahu akan peranan diri sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya, juga ialah rezeki yang besar kepada kita. Rezeki terindah. Rezeki yang jika dikongsikan bersama-sama mereka yang mahu, akan menambahkan lagi kebahagiaan di sanubari.
Hari ini, saya ke Kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka, usai kuliah di ASWARA. Tujuan utama saya ke sana hanya untuk membeli sebuah buku. Akan tetapi, saya teringat akan seorang kenalan yang bertugas di DBP, dan sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Saya segera menghubungi kenalan tersebut, meminta izin untuk mengunjungi beliau jika ada kelapangan ketika itu.
Saya bersyukur, setiap kali saya bertemu dengan beliau - saya akan mendapat banyak pesanan dan hikmah dalam perbualan kami. Kali ini, saya diperkenalkan dengan 'idea' Profesor Muhaya. Beliau yang saya maksudkan, Rozninah Abd. Azib sedang dalam proses menulis biografi mengenai Profesor Muhaya. Pada saya, nama Profesor Muhaya bukanlah asing kerana tokoh itu sering saya lihat wajahnya di televisyen. Akan tetapi, saya tidak pernah menonton rancangan motivasi yang dikendalikan Profesor Muhaya, mahupun membaca buku-buku motivasi Islami tulisan Profesor Muhaya. Pendek kata, saya hanya kenal nama tetapi tidak kenal idea dan sumbangan Profesor Muhaya kepada masyarakat kita. Di satu pihak, tidak dinafikan kehadiran Profesor Muhaya mendapat sambutan yang baik. Beliau sering disebut sebagai teladan yang baik kepada setiap individu yang berusaha menjadi manusia positif terhadap kehidupan yang Allah beri.


Tidak terlepas daripada itu, saya juga pernah mendengar bicara yang kurang muluk mengenai Profesor Muhaya. Menurut golongan tersebut, Profesor Muhaya kelihatan terlalu idealis, yang bagi mereka adalah mustahil untuk diikuti. Saya hanya mendengar, tidak berani untuk saya memberi sebarang maklum balas kerana pengetahuan saya terhadap Profesor Muhaya begitu terhad, maka adalah tidak adil untuk saya berkata apa-apa tentang seseorang yang tidak berapa saya kenal. Pada hemat saya, dalam kehidupan, memang tidak wajar untuk kita berkata tentang sesuatu yang tidak kita tahu dan kenal sepenuhnya. Perbicaraan tanpa ilmu hanya mengundang fitnah dan lontaran kata yang berat sebelah siftanya.
Akan tetapi, saya mendapat gambaran yang agak jelas mengenai Profesor Muhaya apabila membaca beberapa bab manuskrip biografi yang ditulis kenalan saya itu. Menurut Kak Ena (panggilan saya kepada Puan Rozninah), bahan tulisan itu diperoleh menerusi temu ramah dengan individu-individu berkaitan, secara persendirian. Hal ini bagi memastikan tiada kekangan pengalaman dan kisah mengenai Profesor Muhaya berlaku. Saya mendapati, Profesor Muhaya juga seperti kebanyakan insan, kehidupan bermula dengan kepayahan, tidaklah semudah yang dipertikaikan golongan yang saya sebutkan sebelum ini.
 
Pandangan hidup Profesor Muhaya dicorak banyak oleh pandangan bapanya yang dipanggil sebagai 'bak'. Perjalanan hidup bersama 'bak' membina Profesor Muhaya untuk sentiasa bersikap postitif terhadap segala ujian yang dialami. Amat indah kata-kata ini bagi saya, "Kita tidak boleh mengubah perkara yang telah berlaku, akan tetapi kita boleh ubah respons kita terhadap perkara yang berlaku" [olahan daripada saya berdasarkan maksud asal]. Perkara ini antara elemen yang ditekankan dalam idea Reset Minda yang membawa diri kembali kepada akar Islam, secara tidak langsung telah ada dalam diri Profesor Muhaya sejak kehidupan gadisnya.

Perbincangan mengenai idea dan kehidupan Profesor Muhaya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai idealis memancing ingatan saya kepada bicara guru Prof. Dr. Wan Mohd. Nor dalam satu kuliah yang saya ikuti. Prof. Dr. Wan Mohd. Nor melanjutkan pesan gurunya iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib Al Attas bahawa manusia selalu mengeluh bahawa manusia tidak boleh melakukan sesuatu dengan sempurna kerana kelemahan yang ada. Akan tetapi, manusia lupa bahawa manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika manusia berusaha ke arah itu. Pokoknya, ialah bersifat positif dengan Islam yang dianuti dan selalu mengutamakan kehendak dan pandangan Allah daripada kehendak dan pandangan diri serta manusia.

Dugaan dan ujian akan selalu mendatangi manusia, mengikut kemampuan manusia itu sendiri. Allah juga Maha Mengetahui kemampuan setiap hamba-Nya. Oleh itu, kesedaran akan tahap akal dan kemampuan manusia untuk berhadapan dengan segala ujian perlu selalu dipasakkan kepada asas tauhid. Selagi kita berpegang pada tauhid, selagi itu hidup akan terpimpin sekali gus membolehkan manusia tenang dalam reda-Nya. Hal ini jelas sekali dengan pemikiran kejiwaan Barat yang memperuntukkan jangkaan-jangkaan negatif dalam kehidupan seperti yang ada dijelaskan dalam bab mengenai pertentangan pemikiran Barat dengan reset minda.
Terima kasih Kak Ena, atas perkongsian ilmu hari ini. Semoga manuskrip itu akan siap dengan berjaya sebelum Pesta Buku Antarabangsa 2013, dan dapat menambah ilmu kepada mereka yang membaca.

Reset Minda, kembali kepada Allah.

Selasa, 12 Mac 2013

MAAF HAMBA BERTANYA

SEPANJANG hari ini, ingatan saya amat kuat pada sebuah puisi karangan Dr. Awang Sariyan yang tersiar dalam Berita Harian, Disember lalu. Puisi tersebut turut dimuatkan dalam kumpulan puisi Dr. Awang berjudul Mencari Makna Diri. Atas ingatan yang amat kuat terhadap puisi "Maaf Hamba Bertanya", saya meminta izin daripada Dr. Awang untuk menyiarkan puisi beliau itu, di laman ini. Bacalah dengan akal dan hati.

Maaf Hamba Bertanya

Masihkah tuan hamba percaya?
Tamadun kita lebih dua alaf usianya
sudah terbina
sistem pemerintahannya
wilayah takluknya
hingga ke Senggora dan Langkasuka
berita kebesarannya dan hubungan
akrabnya sampai di Sri Lanka
bahasanya menjadi wahana pentadbiran
juga bahasa dagang
antara mancabangsa
dan bahasa para pendeta
mengaji agama.

Maaf hamba bertanya :

Masihkah tuan hamba percaya
Tamadun kita sudah cemerlang,
gemilang dan terbilang
pada zaman kesultanannya
di serata pelosok Alam Melayu
wujud kerajaan dengan daulatnya
hidup bersendikan adat,
adat bersendikan syariat
-Samudera Pasai, Melaka, Acheh
Patani, Kalimantan, Riau-Johor-Lingga
dagang dan senteri memakmurkan
iktisad dan ilmu bangsa
ulama, pujangga dan pencerita
menghasilkan karya
-peihal agama wahyu,
ilmu duniawi,undang-undang
peraturan, ketatanegaraan,
kisah dan ceritera
dalam prosa dan puisi bermutu
bahasa Melayu masyhur
hingga ke Turki dan Parsi
dipelajari dan dikuasai
menjadi syarat mendatangi negeri
diperikan menyamai
bahasa Latin dan Perancis
di benua atas angin.

Maaf hamba bertanya :

Masihkah tuan hamba percaya?
Tamadun yang kita warisi
daripada keruntuhan sejarah
kita jadikan asas kenegaraan
kala menuntut pembebasan
agama tonggak kehidupan
bahasa wahana pemikiran
budaya teras peradaban
hak peribumi dikembalikan
hak saudara senegara
diperkongsikan
raja nan adil dipertuankan.

Maaf hamba bertanya :

Masihkah semua itu
tuan hamba pertahankan
dalam mengendalikan watan?

Nah, jawablah wahai bangsa Melayu akan soalan-soalan yang diberikan. Jawapan anda, menentukan kedudukan bahasa Melayu di dalam jiwa dan hidup anda. 

Terima kasih kepada Dr. Awang Sariyan yang memberi teladan baik kepada saya untuk terus tekal mencintai dan memperjuangkan kedaulatan bahasa kebangsaan.

Jumaat, 8 Mac 2013

IKHLAS UNTUK DIUJI

SEORANG GURU selalu berpesan, bahawa keikhlasan manusia dalam perjuangan, datang bersama-samanya ujian dan dugaan. Pakej berkembar itu diturunkan Allah bagi menguji takah keikhlasan sebenar, yang diungkapkan manusia 'pejuang'. Apakah pejuang akan tunduk pada dugaan atau terus tekal mengharungi rintangan, seperti yang diuar-uarkan pada awal perjalanan di medan juang. Kalah atau menang pejuang dengan ujian tersebut menentukan tahap keikhlasan sebenar individu.

Syeikh Qadir Jailani dalam kitab Fath Al Rabbani, Menjadi Kekasih Allah - Wasiat dan Nasihat Kerohanian, dalam siri kuliah beliau pada 3 Syawal 545 Hijrah, menegaskan begitu banyak manusia yang berdusta atas nama cinta pada Allah ketika memperoleh nikmat. Sebaliknya, manusia sering lari daripada Allah apabila didatangkan kepadanya cubaan demi cubaan yang bertujuan menguji dan menentusahkan takah ikhlas manusia dalam perjuangan. 

Apabila seorang manusia didatangi ujian dan dugaan, namun dia tetap bersabar dan meneruskan ikhlasnya berjuang atas nama Allah, maka manusia itu ialah insan yang mencintai Allah dengan sebenarnya. Cinta tanpa syarat, bukan retorik semata-mata. Walau bagaimanapun, jika manusia mengubah hala tujunya ketika ujian diberikan kepadanya, maka jelaslah manusia itu telah melakukan pembohongan yang nyata terhadap keikhlasan yang dicanang sebelumnya. Cita-cita dan matlamat asal perjuangan mula dianggap sebagai utopia yang tidak memungkinkan dirinya berjaya hatta dengan satu langkah. Lebih teruk, apabila pejuang mula dibumbui rasa khuatir akan masa depan dan kestabilan hidupnya yang pada dasarnya ialah urusan Allah.

Syeikh Qadir dalam membicarakan hal ini, menurunkan kisah seorang lelaki yang mendatangi Rasulullah SAW. Lelaki itu berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai engkau." Baginda bersabda, "Sediakanlah jilbab (perisai, penutup) untuk kefakiran."

Perkara yang sama diulang Nabi Muhammad SAW kepada seorang lelaki lain yang menyatakan cintanya kepada Allah SWT.

Hal ini menjelaskan bahawa apabila individu itu muktamad menyatakan cinta kepada perjuangan atas jalan Allah, maka yang diperolehnya ialah ujian, yang jarang membuatkan manusia senang dan mewah hidupnya. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan keikhlasannya berjuang, perlu bersedia untuk diuji dan diduga, seperti kisah pesan guru pada awal tulisan ini. 

Akhir sekali, menarik untuk saya petik kata-kata Syeikh Qadir Jailani mengenai kecintaan kepada kebenaran (Allah dan Rasul), yang datang bersamanya kefakiran dan ujian. Namun, perlu difahami bahawa pada hakikatnya, pejuang yang sabar dan tekal di atas perjuangannya tidak pernah akan fakir kerana adanya Allah yang memberi 'kemewahan' tidak terhingga kepadanya.

Setiap orang yang menjadi kekasih-Nya selalu diberi-Nya cubaan. Agar tiada seorang juapun yang dapat mengaku sebagai wali (kekasih) Allah. Jika tidak demikian, maka setiap orang akan mengaku bahawa dia mencintai Allah. Maka tetapkanlah pembuktian cinta itu dengan kefakiran dan cubaan [kesediaan untuk diuji dan menerima hasil ujian itu nanti dengan reda]

Sebagai penutup, adalah baik saya turunkan lagi pesan guru berbunyi "Apabila anda menyatakan keikhlasan untuk berjuang, ingat, keikhlasan anda akan diuji. Bersedialah untuk diuji".
Jika niat tidak salah, pejuang tidak pernah kalah.

Cita-cita, tidak bersekutu dengan cinta.

Waalahua'alam

Jumaat, 1 Mac 2013

ABI, PERGI JUA

PAGI TADI, saya ke tanah kubur emak. Ada jenazah yang sedang dikebumikan tidak jauh dari kubur emak. Saya berbalas senyum dengan seorang wanita tua yang mengayuh basikal Raleigh sambil di tangan kanannya ada pokok kecil yang selalu ditanam di atas kubur. Saya tidak tahu nama pokok itu. Setiap kali melewati kawasan perkuburan, saya berasa nyaman mengenangkan di dalam tanah itu ada jasad manusia yang amat saya cinta. Yang begitu banyak berkorban perasaan dan hidup demi kebahagiaan saya. Dia, ibu saya.

Keadaan di tanah kubur emak, pagi tadi
Saya tidak menyangka, pemergian saya ke tanah kubur pagi ini dan melihat jenazah yang dikebumikan [semoga roh jenazah itu mendapat kasih dan keampunan Allah], rupa-rupanya imbas muka pada saya juga yang terlibat dengan satu pengebumian sekitar jam 2:30 petang tadi pula.

Bagi sesiapa yang mengikuti tulisan saya mengenai Chubby atau lebih mesra dipanggil Abi, akan tahu cabaran yang dialami kucing saya itu. Chubby disahkan menghidap sakit jantung [saya tidak ingat istilah saintifiknya]. Jantung Abi tidak normal dan sentiasa membesar. Menurut Dr.Prem dari Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya yang merawat Abi sepanjang dua tahun ini, kita di Malaysia masih belum ada teknologi pemindahan jantung haiwan. Sedangkan, itulah rawatan paling baik untuk pesakit seperti Abi.

Tiga bulan lalu, Dr. Prem cadangkan pemberian suntikan sedatif [put to sleep] memandangkan Abi tidak akan sembuh malah akan menjadi kronik hari demi hari. Saya menghubungi beberapa ahli agama dan bertanya mengenai hal tersebut. Akan tetapi, saya masih mahu menjaga Abi. Keadaan Abi nampak seperti baik selepas diberi suntikan biasa. Cuma, apabila jantung Abi dipenuhi air kesan kegagalan fungsi jantung, Abi perlukan suntikan hebresser dan theolin.

Kata Dr. Tan pula, memandangkan jantung Abi akan terus membesar, maka Abi boleh 'pergi' bila-bila masa sahaja apabila rusuk Abi tidak dapat lagi menampung jantung yang semakin membesar. Ini yang Dr. Tan maksudkan sebagai mati mengejut bagi pesakit jantung. Semalam, Abi amat manja. Setelah dua tahun tidak dibenarkan keluar dari sangkar, melainkan saya akan mendukung dan membawa Abi menghirup udara luar, Abi berkelakuan aneh. Abi meronta-ronta mahu keluar dari sangkarnya. Manisnya, Abi juga saya beri makan ikan bilis. Makanan kegemaran Abi yang jarang saya beri kerana kandungan garamnya yang agak tinggi. Abi menjerit gembira dengan mata bersinar apabila melihat saya membawa bekas ikan bilis. Abi makan dengan penuh selera. 

Pagi tadi, Abi seperti biasa. Namun, ajal itu rahsia Allah. Jam 1:30, Abi diserang sakit jantung paling kronik. Abi tidak mampu bernafas. 20 minit kemudian, Abi pergi buat selama-lamanya. Itulah yang mungkin dikatakan mati mengejut bagi sesetengah orang. Abi pergi, tiba-tiba. 

Abi ketika selesai menghembuskan nafas terakhir di dunia
Tubuh Abi terkulai layu. Paw Abi membiru. Saya tidak berlengah. Kematian perlu segera diselesaikan. Cangkul jiran saya pinjam buat menggali liang lahad Abi. Keadaan Abi ketika itu masih panas. Abi saya baringkan penuh hormat di dalam tanah kuburnya.  Kali ini, saya tidak lagi mengekalkan tradisi mengkapankan kucing. Biarlah jasad Abi segera sebati dengan tanah.


Inilah juga kali pertama kucing saya pergi pada waktu siang dan masih lembut serta panas badannya. Selalunya, kucing saya pergi pada waktu malam atau dinihari. Abi pergi, selepas dua minggu Boboy meninggalkan saya. Abi pergi, selepas sembilan bulan emak menghadap Ilahi.

Ikatan  antara saya dan Abi amat erat kerana sayalah yang menjaga Abi ketika dia diserang sawan, buta sementara dan diserang ulser mulut yang menyakitkan. Kami amat rapat, seolah-olah ada jalinan perasaan yang untuh antara kami. Saya dan Abi boleh saling memahami hanya dengan pandangan antara satu sama lain. Saya tahu, Abi betul-betul tahu yang saya amat menyayanginya. 

Abi lahir pada September 2009. Ketika saya di tahun dua pengajian. Kelahiran Abi membuatkan saya tuang kuliah selama seminggu bagi memberi perhatian kepada Abi dan saudara-saudaranya [semua saudara Abi telah mati kecuali Omi].

Jika diikutkan jangkaan Dr. Prem, pesakit seperti Abi hanya bertahan selama enam bulan. Namun, Abi yang kuat dan tabah berserta takdir Allah menentukan Abi mampu bertahan lebih lama daripada jangkaan manusia itu. Saya lega, saya tenang, saya reda. Abi Allah ambil setelah Allah beri hampir enam tahun saya menjalin hubungan yang amat istimewa dengan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW ini. Semoga, saya dapat bertemu Abi dan kucing-kucing saya yang lain. 

Pada awal penubuhan blog ini, saya memang banyak menulis tentang kucing-kucing saya khususnya Chubby. Malah hingga kini. Pernah juga Mohd. Faizal Musa yang mengajar saya dahulu, menegur supaya saya tidak menulis tentang kucing di blog. Katanya, orang akan bosan. Dan, lebih baik saya simpan duit beli buku daripada bercerita tentang kucing-kucing dan rawatan saya terhadap kucing-kucing saya. Blog ini bukan blog yang saya tubuhkan untuk meminta perhatian sesiapa. Sesiapa saja boleh membaca dan tidak membacanya. Pada saya juga, buku boleh saya beli apabila saya mampu beli. Akan tetapi, jika kucing saya perlukan rawatan maka saya perlu dahulukan rawatan itu kerana kucing itu hadir dalam hidup saya sebagai satu nyawa yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk menjaganya dengan baik. Saya tidak mahu dibebani rasa terkilan seumur hidup kerana tidak memberi bantu kepada mereka ketika perlu dan di dalam batas kemampuan saya. Buku, boleh saya pinjam untuk baca. Nyawa mereka, tiada galang gantinya.

Alhamdulillah, setelah tamat belajar dan bekerja, saya benar mampu memiliki dan membeli banyak buku berbanding semasa belajar dulu. Tidak pernah saya terkilan kerana mendahulukan duit untuk rawatan kucing berbanding memenuhi nafsu saya terhadap buku. 

Abi ialah kucing yang sangat tabah dengan segala dugaan sakit yang Allah beri kepadanya. Banyak yang saya dapat belajar daripada ketabahan Abi. Saya yakin, Abi kini sudah beroleh kebahagiaan hakikinya sebagai makhluk ciptaan Allah. Saya berharap, saya dapat bertemu Abi lagi.


Kenangan dan pengalaman bersama Abi amat indah dan tidak akan saya lupa dan tidak mahu untuk saya lupakan. Semoga, Abi juga tidak lupa kepada saya. 

Al Fatihah.

Antara cerita tentang Abi yang pernah saya tulis di sini :


Abi, di bawah lengan ibunya ketika baru dilahirkan
Rumah Abi, telah kosong
Baki, ubat Abi

Abi saya. Selamat tinggal sayang.