Jumaat, 15 Februari 2013

SAYA, GULA-GULA KAPAS DAN BULAN

SAYA menunggu hujan reda sebelum memulakan perjalanan pulang ke Selayang dari Serdang, semalam. Lima minit selepas hujan rintik-rintik yang membuatkan saya tekad untuk memulakan perjalanan, hujan turun lebat semula. Saya singgah di Hentian Sebelah Serdang untuk memakai baju hujan dan selipar. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 4:05 petang. Saya teringat akan Teja, Jie Jie dan Boboy yang saya tinggalkan sejak pagi. Kalau dulu ingatan saya kuat untuk selalu pulang segera ke rumah kerana adanya emak yang menunggu, kini ingatan yang sama kerana adanya mereka bertiga khususnya Boboy yang semakin uzur.

Perjalanan yang memakan masa sekitar 40 minit itu menyediakan banyak ruang untuk saya fikirkan, diselang dengan zikir dan hati-hati dalam perjalanan. Emak selalu berpesan, apabila berada dalam perjalanan, banyakkan zikir. Kalau apa-apa terjadi, sekurang-kurangnya kita pergi dalam keadaan hati 'zikir', mengingati-Nya. Saya terfikir juga, jika apa-apa terjadi dalam perjalanan itu, saya berharap agar ada syahidnya dalam pemergian itu. Kehidupan sebagai pelajar, ilmu yang sedang dituntut dan rencana perjuangan yang sedang dibuat, semoga itu memberi bantuan kepada saya.

Di sebalik ingatan-ingatan itu, perjalanan semalam ditemani hujan dan dingin suasana, sesekali kereta yang meredah lopak menyebabkan tempiasnya terkena seluruh tubuh. Namun, hal itu sedikit saja mengalih perhatian dan fikrian saya akan beberapa subjek dalam pengalaman saya ketika kanak-kanak. Ketika saya berusia sekitar 5-9 tahun. Pertama, saya teringat akan gula-gula kapas.

Apa kenanya dengan gula-gula kapas? Sebagai kanak-kanak, saya percaya kebanyakannya suka dan tertarik akan gula-gula kapas. Warna gula-gula kapas selalunya lembut seperti merah jambu, hijau pucuk pisang dan biru laut. Warna-warna yang menenangkan. Saya juga amat tertarik dengan gula-gula kapas. Sebagai anak tunggal perempuan, saya menjadi 'beg tangan' emak. Kedudukan itu membuatkan saya selalu dibawa emak ke mana-mana, terutama ke pasar raya. Di pasar raya, saya selalu tertarik kepada gula-gula kapas. Saya selalu merengek, meminta emak membelikan saya gula-gula kapas.

Bagi saya sebagai anak ketika itu, gula-gula kapas itu ialah keperluan, guna memuaskan keinginan saya terhadapnya. Akan tetapi, emak tidak pernah sekalipun membelikan saya gula-gula kapas. Kata emak, gula-gula kapas itu manis. Tidak sihat untuk gigi. Emak tidak mahu gigi saya rosak. Mungkin benar juga alasan atau hujah emak itu. Akan tetapi, akal kanak-kanak saya tidak dapat menerima hujah tersebut sepenuhnya.

Apabila saya berusia sekitar 12 tahun, saya sendiri membeli gula-gula kapas yang cantik itu. Saya membeli gula-gula kapas berwarna merah jambu. Hati saya gembira melihat gula-gula kapas di tangan. Strukturnya yang lembut dan baunya yang wangi begitu mempesonakan. Saya mabuk dengan keindahan itu. Namun, apabila saya menikmati gula-gula kapas pada gigitan pertama, saya terus berkata di dalam hati "Ini kali pertama dan terakhir aku beli benda ni." Rasanya yang terlalu manis menghilangkan pesona saya terhadapnya yang saya pendam beberapa tahun. Kemanisan yang melampau itu tidak memberi nikmat dan kebahagiaan kepada saya yang sungguh lama mengidamkannya. Maka, benarlah hujah emak ketika saya kecil, yang saya anggap sebagai alasan semata-mata.

Gula-gula kapas cantik, indah. Strukturnya lembut. Elok pada pandangan mata. Walau bagaimanapun, natijah menikmatinya langsung tidak baik. Saya terpesona dengan keindahan luaran. Apabila saya mula menikmatinya, barulah saya tahun keindahan itu telah menipu saya selama bertahun-tahun. Mata kasar saya telah menipu saya, mujurlah deria rasa telah menyelamatkan saya daripada terus dalam tipu daya mata kasar itu. Implikasi pengalaman itu, saya akan berpesan hal yang sama kepada anak-anak kecil yang juga mengimpikan dan menginginkan gula-gula kapas seperti saya dahulu. Tiada guna pengalaman saya itu jika tidak saya turunkan kepada anak-anak kecil itu. 

 Ketika saya berusia sekitar sembilan tahun, pada bulan Ramadan sekitar tahun 1996. Saya selalu mengikut emak ke rumah kawan emak. Jaraknya dalam 10 minit perjalanan. Emak mengambil upah membantu kawan emak yang saya panggil Cik Limah itu membuat kuih raya. Kami pulang dalam jam 11 malam. Keadaan memang gelita. Ketika itu juga saya ingat, isu hantu purdah sedang berleluasa. Pada satu malam, saya asyik mendongak ke langit, melihat bulan penuh yang amat indah dilihat dari jauh. Saya pasti ketika itu ialah pertengahan Ramadan, memandangkan bulan penuh sebegitu rupa.

Saya masih ingat perasaan ketika itu. Hati saya terasa benar-benar bulan itu mengekori saya. Saya berkata emak, "Bulan ni asyik ikut kita je mak. Kenapa dia ikut kita?". Bulan asyik mengekori saya. Itu kepercayaan saya. Emak menjawab, "Bukan bulan ikut kita. Adik saja yang rasa macam tu. Bulan tu tak bergerak pun di tempat dia di langit itu." Pelik bagi saya ketika itu, kalau bukan bulan tidak ikut saya, kenapa bulan itu tampak seolah-olah mengikut saya. Satu perkara yang sukar untuk dijelaskan kepada anak kecil ketika itu, barangkali.

Namun, apabila saya semakin menginjak usia. Apabila saya semakin mengenal cakerawala, apatah lagi dengan subjek seperti Kimia, Fizik dan Biologi yang perlu ditekuni, saya mula tahu mengenai persoalan kecil semasa saya masih kecil itu.

Daripada pengalaman-pengalaman  dengan subjek-subjek tersebut, saya terfikir betapa hidup ini memerlukan kita begitu menyaring segala perkara yang kita alami dan ketahui. Penyaringan yang perlu agar kita tidak tertipu dengan keindahan luaran yang menenggelamkan aspek dalaman yang mampu memudaratkan kita jika lewat melakukan baik pulih.

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Marya (1951-2012) yang memberi saya banyak erti.

Apabila manusia itu mengatakan dia ikhlas dalam sesuatu, maka keikhlasannya akan diuji oleh Allah SWT. Begitu, apabila dia seorang pejuang, akan ada perjuangan dan pertentangan yang perlu dilalui, bagi mengajar dia makna ikhlas yang hakiki. Maka, apabila dia berkata dia ikhlas, bersedia dan terbukalah untuk diuji oleh-Nya, sehingga dia nampak dan tahu hakikat sebenar ikhlas dalam diri dan dirinya ~Nur Fatiha Fadila

1 ulasan:

  1. Al-Fatihah, semoga arwah emak awak tenang di sana

    BalasPadam