Khamis, 21 Februari 2013

PERGI YANG PASTI


HARI INI, genap sembilan bulan dua hari emak ke takah tiga. Alam barzakh yang tentunya pasti seperti yang dijanjikan Allah. SWT. Setiap yang bernyawa, pasti akan menemui mati. Setiap kematian, pasti datang bersamanya sakarat (kesakitan).

Isnin lalu, pada jam sekitar empat pagi, kucing saya iaitu Boboy yang berusia 16 tahun 8 bulan telah pergi buat selama-lamanya. Boboy lahir pada 23 Mei 1996. Ketika itu saya berusia sembilan tahun. Kelahiran Boboy disambut penuh gembira. Boboy kucing baka British Blue, jadi saiz rangka dan tubuhnya besar. Disebabkan saiz Boboy yang besar, Boboy terpaksa ditarik keluar daripada kemaluan ibunya, Tuti yang pergi buat selama-lamanya pada usia 10 tahun, 2006.

Sejak emak meninggal dunia, keadaan Boboy menjadi semakin uzur. Boboy boleh dikatakan sudah nyanyuk. Mana tidaknya, anggaran usia bagi kucing ialah 1 tahun usia kucing bersamaan 7 tahun usia manusia. Jadi, kiralah berapa usia Boboy jika dia seorang manusia. Begitulah tahap keuzuran yang dialami. Boboy sakit tua. Boboy tidak lagi mampu mengawal pembuangan air seninya. Oleh sebab itu, saya agak kerap memandikan Boboy apabila tubuhnya dipaliti air seni itu. Ada beberapa usaha untuk saya agar Boboy tidak selalu dimandikan. Saya akan membawa Boboy untuk membuang air seninya setiap satu jam. Hal ini akan mengurangkan ruang Boboy untuk terbuang air seni semasa tidur. Cuma, apabila saya tiada di rumah, memang sukar untuk saya bantu Boboy. Perkara ini tidak pernah terjadi semasa Boboy sihat, sebelum sembilan bulan yang lalu. Boboy dengan tepat tahu tempat untuk dia membuang segala hajat. Tidak pernah menyusahkan saya. 

Foto bawah, keadaan Boboy apabila saya pulang dari sebuah wacana, Sabtu lalu. Hari keempat Boboy berkelakuan ganjil. Pada hari ini, pandangan Boboy sudah hampir tiada. Perhatikan mata Boboy yang berkaca. Petanda kucing tidak sihat dan 'tidak sedar'. Wajahnya yang cengkung dengan mata terperosok ke dalam. Telinga yang mengeras. Pada waktu ini, Boboy semakin lemah, apatah lagi tidak makan langsung sejak 12.2. Syahada saya bisikkan acapkali ke telinganya. Saya berdoa semoga Allah beri yang terbaik buat Boboy. Antara hidup dan mati, Allah juga yang Maha Tahu setiap yang terbaik untuk makhluknya.
Seluruh gigi Boboy juga sudah tiada. Maka, saya perlu menyuap makanan basah ke dalam mulut Boboy dan mengurut bahagian rongga tekaknya, disebabkan masalah penghadaman. Jika tidak, untuk makan saja sudah menimbulkan banyak kesakitan kepada Boboy.

Boboy menjadi kekangan utama untuk saya meninggalkan kediaman dalam tempoh masa yang agak lama. Boboy juga saya letakkan di dapur dengan membuat penghalang setinggi 1 meter agar Boboy tidak ke ruang depan. Hal ini kerana masalah pembuangan air seni yang tidak terkawal boleh merebakkan najis jika Boboy ke ruang selain dapur. Saya berusaha mengehadkan pergerakan Boboy tanpa mengurung Boboy di dalam sangkar. Ada jiran yang mengesyorkan saya agar mengurung Boboy di dalam sangkar. Syor itu segera saya tolak. Boboy kucing rumah dan hampir 17 tahun bebas bergerak. Saya tidak mahu emosi Boboy terganggu apabila dia disangkar.
 
Enam hari sebelum Boboy meninggalkan saya buat selama-lamanya, Boboy memperlihatkan perwatakan dan pergerakan yang amat ganjil. Lima hari itu bermula (12.2.13-18.2.13). Itulah tanda-tanda kematian yang Allah perlihatkan kepada yang masih hidup terhadap mereka yang dekat dengan yang bakal pergi. Pada hari pertama, Boboy seolah-olah mendapat tenaga luar biasa. Dengan keadaan kaki yang sudah tidak kuat selama ini, Boboy terus boleh melompat batas yang saya sediakan dan berjalan ke merata tempat dengan gagah. Suara Boboy juga semakin kuat. Boboy boleh berdiri, berlari dalam keadaannya yang daif. Itu petanda ganjil. Apatah lagi kekuatan luar biasa Boboy itu membuatkan Boboy langsung tidak mahu makan.

Separuh hari kedua, Boboy kurang bising dan berjalan. Tetapi tetap tidak mahu makan. Air matanya asyik mengalir hingga saya perlu kerap membersihkan bahagian matanya. Hari ketiga, pandangan Boboy semakin berubah. Bagi yang biasa memelihara haiwan, ada pandangan mata yang memberitahu penjaga bahawa haiwan itu tidak sihat. Bahagian mata yang seperti kristal. Bermula hari ketiga juga, pandangan Boboy semakin kabur sehingga hilang seluruhnya pada petang hari keempat. Dua hari itu, Boboy sudah tidak boleh bangun langsung. Minuman saya suapkan ke dalam mulut Boboy tetapi dia menolak.

Ketika pandangannya sudah tiada dan terbaring saja, saya menemaninya sungguh-sungguh. Saya tidur di sisinya sambil memegang tubuhnya, biar dia tahu dia tidak sendirian melewati akhir usia itu. Itu juga janji saya pada dia. Saya akan menemaninya pada akhir usianya. Bagi saya, peristiwa menjaga Boboy dua hari terakhir itu sungguh istimewa. Tidur saya tidak menentu. Hal ini kerana walaupun Boboy sudah tidak nampak apa-apa dan tidak mampu bangun, tetapi Boboy tahu sama ada saya berada dekat dengannya atau tidak. Sebentar saja saya meninggalkannya, akan kedengaran suara Boboy yang lemah. memanggil saya agar kembali kepadanya. Apabila saya kembali di sisinya, mengusap tubuhnya, maka Boboy akan diam. Begitu juga apabila saya tertidur, tangan lemah Boboy akan menyentuh tangan saya, guna untuk mengingatkan saya akan kehadirannya di situ. Apabila tindakan Boboy itu saya sedar, tubuhnya akan saya usap perlahan sambil memanggil-manggil namanya. Boboy menjawab dengan suara sangat lemah dan perlahan.


Maha Suci Allah, Boboy seekor kucing, tidak berakal tetapi Allah beri Boboy perasaan dan naluri yang begitu istimewa. Dia juga mahu teman, dan dia tahu teman yang dia mahu pada masa-masa akhirnya ialah saya. Emak selalu berkata, biarlah Boboy pergi dulu sebelum emak. Emak takut Boboy tidak saya jaga dengan baik. Namun, sembilan bulan ini telah saya usahakan untuk menjaga Boboy dengan baik.

Kadangkala saya marah kepada Boboy apabila dia tanpa sedar membuang air seninya ketika tidur, menyebabkan tubuhnya berlumuran air seni yang tidak wangi itu. Itu marah saya kerana saya tidak mahu Boboy dipaliti kuman. Marah itu ialah marah penuh sayang saya kepada dia. Bukan, marah benci. Semoga Boboy tahu itu.

Saya yakin, Boboy sudah mendapat kejayaan dan kebahagiaan hakiki kini. Semoga Boboy tidak melupakan saya dan emak. Semoga kami dapat bersatu kembali, dengan izin Allah. Pemergian ini, pemergian yang pasti terjadi. Kita, harus menanti.


Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan