Selasa, 26 Februari 2013

NILAI SETIA SEORANG WANITA

SALINA, sebuah novel yang begitu hebat naik turun grafnya dalam sejarah kesusasteraan Melayu Moden. Saya pula tidak pernah terfikir Salina akan hadir setelah lima tahun saya mengenalinya dalam keadaan yang begitu mendukacitakan saya. Seorang sarjana dalam satu situasi formal yang saya hadir hari ini mengatakan "Ya, walaupun Samad Said menceritakan kisah perempuan pelacur tapi dari segi nilai kita dapat lihat kenapa Salina begitu. Ada nilai kesetiaan perempuan kepada kekasih ...." 

Kenyataan tersebut menggambarkan keputusan Salina melacurkan diri boleh diterima atas tiket Salina sebagai citra "kesetiaan seorang perempuan terhadap kekasih". Saya benar tersentak dengan kenyataan itu. Barangkali ada yang mengatakan saya feminis jika membaca tulisan saya ini, atau cauvanis, seperti yang pernah saya tulis dalam entri mengenai Aci Patmabi.  Dalam Islam, tiada istilah feminis [seperti fahaman Barat, yang menuntut kesamarataan dengan melupakan fitrah kejadian wanita dan lelaki] kerana Islam telah hadir dengan meletakkan hak dan kedudukan yang sepatutnya bagi wanita. Malah Surah An Nisa menjadi tanda penting betapa bernilai dan tingginya martabat wanita diangkat oleh Islam dan Nabi Muhammad SAW. Tiada yang perlu dipertikaikan.

Namun demikian, kenyataan berat yang keluar dari bibir seorang sarjana mengenai nilai kesetiaan seorang wanita citraan Salina gubahan A. Samad Said amat memilukan jiwa wanita saya. Kenapa saya berasa terkilan dengan kenyataan sarjana lelaki itu? Kerana saya wanita? Ya, kerana bagi saya (wanita Islam), jika kesetiaan seorang wanita terhadap cinta murahan itu yang dikedepankan sebagai nilai (maksud nilai dalam Kamus Dewan merujuk : mutu, kualiti, taraf, sifat ketinggian) maka kenyataan seperti itu adalah satu penghinaan bagi seorang wanita. Tambahan pula, budaya Melayu yang penuh santun dan terikat kuat dengan paksi Islam juga tidak pernah mengiktiraf kesetiaan membabi buta seorang perempuan kepada lelaki yang bukan suami sebagai tindakan yang baik. Jika perkara ini dianggap sebagai nilai yang baik, bayangkanlah keadaan yang akan menimpa kehidupan masyarakat Melayu sehari-hari. Sebaliknya, budaya Melayu memandang buruk perbuatan lelaki dan perempuan bukan mahram berdua-duaan, apatah lagi memberi kesetiaan yang melulu melibatkan tubuh, jiwa dan fikir!

Seorang wanita yang bijaksana dan tinggi nilai hidupnya tidak akan menyerahkan diri dan maruah kepada seorang lelaki yang bukan halal untuknya. Apatah lagi membiarkan dirinya menjadi  pemuas nafsu berahi dan alat material bagi lelaki durjana (dalam konteks ini, Abdul Fakar hidup dengan hasil 'kerja' Salina). Sentuhan yang saya terima daripada kenyataan lewat petang ini adalah reaksi semula jadi saya sebagai wanita.  Kesetiaan yang dianggap sarjana itu sebagai nilai seorang wanita bagi saya ialah ketuluan dan kedunguan seorang perempuan. Maka, kesetiaan itu tidak boleh diangkat sebagai nilai yang baik untuk diteladani hadirin.

Salina menyerahkan diri kepada Abdul Fakar yang menyerupai wajah kekasihnya, Yusuf yang terkorban dalam perang dunia ke-2. Atas faktor keserupaan wajah antara Fakar dan Yusuf, Salina rela membiarkan diri bersekedudukan dengan lelaki yang tidak pun berlaku baik kepada dia, malah bukan suaminya pun. Salina tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menyedari bahawa dirinya dipergunakan Fakar secara mutlak dan larut dalam emosi cinta melulu. Itu bukan satu kebijaksanaan apatah lagi kesetiaan yang wajar bagi seorang wanita. Tindakan-tindakan Salina ini perlu dibaca dan ditafsirkan dengan betul.

Apabila Islam hadir ke muka bumi, hadirnya membawa rahmat ke sekalian alam terutama sekali wanita yang sebelum kehadirannya hidup dalam penindasan kaum lelaki yang jahil, dalam konteks zaman jahiliyah. Di samping itu, memang tidak dinafikan ketaatan seorang wanita / isteri itu wajib kepada suaminya. Namun ketaatan itu tetap dibatasi konteks yang diredai Allah. Apabila suami berkehendakkan isteri / wanita patuh pada perintah yang bertentangan dengan PERINTAH ALLAH, maka isteri berkewajipan mendahulukan perintah ALLAH berbanding perintah suami. Tiada ketaatan pada usaha melanggar batas Allah.

Oleh yang demikian, jika nilai kesetiaan wanita itu ditafsirkan pada watak Salina, saya berasa dalam dukacita. Jika anda seorang suami, abang atau adik lelaki, apakah anda akan membiarkan saja isteri, kakak atau adik perempuan anda hanyut dengan cinta murahan terhadap lelaki yang tidak sepatutnya? Apakah simpati akan mengatasi waras fikir berteraskan wahyu Ilahi? 

Sekiranya benar nilai kesetiaan yang disebut sarjana itu mengenai Salina boleh diterima lantaran faktor zaman semata-mata, saya sebagai wanita begitu dukacita dan berkecil hati dengan kenyataan semberono tersebut. Jika dibandingkan kepayahan Salina dengan Sumayyah dan Asiah [yang hidupnya diuji rohani dan jasmani pada zaman yang lebih sadis], bagai langit dengan bumi. Al-Quran memerikan kisah mereka, untuk diteladani kesabaran dan kegigihan mereka dalam menjadi wanita kental yang beragama.

---

Barangkali muka depan Salina edisi baru ini menggambarkan keseluruhan tentang Salina. Kelemahan seorang wanita yang kalah pada emosi melulu terhadap seorang lelaki. Edisi Khas dengan ilustrasi wanita berpakaian yang tidak senonoh [bertentangan dengan Salina sebagai perempuan Melayu/Islam] dan edisi seterusnya dengan foto kupu-kupu di telapak tangan, umpama penyerahan total wanita terhadap nasibnya yang ditentukan lelaki atas kecelaruan kognitif wanita tersebut  membezakan antara kesetiaan seorang perempuan dengan 'perjuangan' wanita beragama dan berbudaya. Barangkali kupu-kupu itu juga ada kaitannya dengan kiasan 'kupu-kupu malam'.

Salina hanyalah cerita, yang jika dibaca perlu diterjemahkan maksudnya secara adil. Saya mengulas kenyataan sarjana tersebut, di sini dalam konteks saya sebagai pendengar dan pembaca wanita Islam, kerana bagi saya, nilai yang disebutkan sarjana itu mengenai Salina sama sekali tidak wajar untuk saya terima sebagai seorang wanita Islam.

"Have you read Salina? Salina is a novel written by Datuk A. Samad Said (Pak Samad) and it was first published in 1961. After claiming back his publishing rights, Pak Samad decided to print it under his own company, Wirabukit Sdn Bhd. I was trusted with the design job from cover to typesetting. I proposed many cover designs and these 2 were the favourites." - petikan daripada ilustrator muka depan terbaharu Salina dari laman sesawang Ilustrasi Salina Edisi Baharu

Perhatikan bahagian yang ditebalkan, ilustrasi-ilustrasi berkenaan dipilih setelah banyak ilustrasi lain yang dicadangkan.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum Wardah,

    Angah pernah dihadiahkan novel ini ketika menang pertandigan menulis puisi GPMS pada usia 16 tahun. Angah membacanya, tapi pada usia itu angah langsung tak faham kenapa budak sekolah dihadiahkan dengan novel yang agak 'lucah' seperti naskah Salina ini....

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam Sdr. Angah.

    Terima kasih atas perkongsian pandangan daripada Angah. Semoga kita menjadi pembaca yang bijak.

    BalasPadam