Selasa, 19 Februari 2013

DADA-DADA ILMU

SAYA benar tertarik dengan mukadimah Syed Muhammad Muhiyiddin Alatas yang membentangkan dapatannya mengenai pertembungan kutub antara Emmanuel Kant dengan Al Attas dalam Wacana Adab dan Peradaban, 16 Februari 2013, satu pengiktirafan kepada Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al Attas. Banyak pencerahan yang saya dapati, khususnya mengenai historiografi linguistik. Saya begitu meminati bidang bahasa namun sejauh mana saya memahami perdebatan mengenai makna 'bahasa' itu sendiri terjawab apabila tokoh teladan saya, Dr. Awang Sariyan memberi buah fikirnya. 

Dalam hal ini, masyarakat Melayu Moden terlalu lama dimomokkan dengan idea-idea Barat yang secara jelas meminggirkan konsep agama dalam ketuhanan atas sebab sejarah hitam mereka dengan konsep tersebut. Namun demikian, masyarakat tempatan dengan selesa dan mudah membiarkan diri menjadi bekas kosong yang sedia diisi dengan idea-idea tersebut tanpa melakukan penyaringan yang tuntas. Hal inilah yang menerbitkan segala idea baharu dan tindakan moden yang sekular sifatnya tetapi begitu tabo sifatnya dalam era kegemilangan Islam dahulu, seperti yang ditegaskan Syed Naquib Al Attas dalam syarahan pengukuhannya, 41 tahun yang lampau. 

Berbalik kepada mukadimah Muhammad Muhiyidin, beliau mengatakan "Terima kasih kepada guru-guru saya yang daripada dada-dada mereka memberikan ilmu kepada saya dengan penuh ikhlas." Bagi saya, sepotong ayat tersebut begitu dalam bermakna. 'Dada' sebagai analogi tempat menyimpan segala ilmu, yang benar dan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan manusia untuk dua dunia. Atas sebab itu, adalah amat penting untuk individu menjadi begitu berhati-hati dalam usaha mengejar ilmu dan pengetahuan, bagi menjadi manusia yang tahu membezakan antara yang hak dan yang batil, secara jelas.

Seorang rakan saya pernah berkata, jangan mudah membiarkan diri dirugui dan menggurui. Pada fikir saya, memang manusia berakal tidak seharusnya membiarkan diri dan jiwa mereka dipimpin oleh guru-guru yang tidak terpimpin akal dan jiwanya kepada ilmu yang benar, ilmu yang membawa manusia semakin faham terhadap dua hakikat hakiki iaitu hakikat manusia sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya. Walau bagaimanapun, guru-guru yang membawa ilmu mengenai dua hakikat ini, tidak ada alasan untuk diri tidak menggurui mereka. 

Bagaimana dengan pengetahuan yang hadir tanpa membawa manusia kepada dua hakikat itu? Apakah perlu ditolak sepenuhnya? Bagi saya, ya. Akan tetapi, hal ini tidak bermakna kita tidak perlu mengambil tahu. Kita perlu ambil tahu guna untuk tidak terjerumus dalam penyelewengan pengetahuan. Di sinilah pentingnya peranan akal dan jiwa yang terpimpin iaitu sebagai wadah penyaringan yang mantap. Segala yang diberi, tidak seharusnya diterima apabila prinsip kerohanian boleh tercabar menerusinya. Kemahiran menyaring ini yang perlu dipelajari menerusi pencarian ilmu yang benar. 

Daripada 'dada-dada' guru yang sarat ilmu benar dan ikhlas, maka di situlah seharusnya murid merelakan diri untuk berguru dengan tujuan yang satu, iaitu untuk memahami hakikat diri dan Allah sebagai medan tujuan.

Guru bukan sekadar mengajar murid tulis dan baca agar dewasa menjadi jurutera, orang kaya dengan wang berjuta. Akan tetapi, fungsi utama guru adalah memimpin akal dan jiwa murid-muridnya, agar dengan kemahiran, kejayaan dan kekayaan bersulam ketakwaaan, dia mampu menundukkan dunia kepada agamanya. Malah, dia sendiri tunduk dan patuh pada Penciptanya.

Kepada guru-guru yang tekal menyampaikan ilmu nan benar, semoga keikhlasan kalian mampu melahirkan seribu mujahid dalam mendepani dunia akhir zaman, yang dijanjikan Allah.

Memetik kata-kata Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin dalam “Kitabul Ilmi":

Tidak sama orang yang berilmu dan tidak berilmu, sebagaimana tidak sama orang yang hidup dengan yang mati, yang mendengar dengan yang tuli, yang melihat dengan yang buta. Ilmu ialah cahaya yang dengannya manusia mendapat petunjuk, yang dengannya manusia keluar dari kegelapan menuju cahaya. Dengan ilmu Allah mengangkat dan melebihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada para makhluk-Nya.

Maha Besar Allah

1 ulasan:

  1. Salam Wardah.

    Tk untuk pos ini, yg menyentuh fikir saya. Semoga kita semua menuju ilmu yg benar drp dada-dada guru yg ikhlas. Tk.

    Fzm

    BalasPadam