Selasa, 26 Februari 2013

NILAI SETIA SEORANG WANITA

SALINA, sebuah novel yang begitu hebat naik turun grafnya dalam sejarah kesusasteraan Melayu Moden. Saya pula tidak pernah terfikir Salina akan hadir setelah lima tahun saya mengenalinya dalam keadaan yang begitu mendukacitakan saya. Seorang sarjana dalam satu situasi formal yang saya hadir hari ini mengatakan "Ya, walaupun Samad Said menceritakan kisah perempuan pelacur tapi dari segi nilai kita dapat lihat kenapa Salina begitu. Ada nilai kesetiaan perempuan kepada kekasih ...." 

Kenyataan tersebut menggambarkan keputusan Salina melacurkan diri boleh diterima atas tiket Salina sebagai citra "kesetiaan seorang perempuan terhadap kekasih". Saya benar tersentak dengan kenyataan itu. Barangkali ada yang mengatakan saya feminis jika membaca tulisan saya ini, atau cauvanis, seperti yang pernah saya tulis dalam entri mengenai Aci Patmabi.  Dalam Islam, tiada istilah feminis [seperti fahaman Barat, yang menuntut kesamarataan dengan melupakan fitrah kejadian wanita dan lelaki] kerana Islam telah hadir dengan meletakkan hak dan kedudukan yang sepatutnya bagi wanita. Malah Surah An Nisa menjadi tanda penting betapa bernilai dan tingginya martabat wanita diangkat oleh Islam dan Nabi Muhammad SAW. Tiada yang perlu dipertikaikan.

Namun demikian, kenyataan berat yang keluar dari bibir seorang sarjana mengenai nilai kesetiaan seorang wanita citraan Salina gubahan A. Samad Said amat memilukan jiwa wanita saya. Kenapa saya berasa terkilan dengan kenyataan sarjana lelaki itu? Kerana saya wanita? Ya, kerana bagi saya (wanita Islam), jika kesetiaan seorang wanita terhadap cinta murahan itu yang dikedepankan sebagai nilai (maksud nilai dalam Kamus Dewan merujuk : mutu, kualiti, taraf, sifat ketinggian) maka kenyataan seperti itu adalah satu penghinaan bagi seorang wanita. Tambahan pula, budaya Melayu yang penuh santun dan terikat kuat dengan paksi Islam juga tidak pernah mengiktiraf kesetiaan membabi buta seorang perempuan kepada lelaki yang bukan suami sebagai tindakan yang baik. Jika perkara ini dianggap sebagai nilai yang baik, bayangkanlah keadaan yang akan menimpa kehidupan masyarakat Melayu sehari-hari. Sebaliknya, budaya Melayu memandang buruk perbuatan lelaki dan perempuan bukan mahram berdua-duaan, apatah lagi memberi kesetiaan yang melulu melibatkan tubuh, jiwa dan fikir!

Seorang wanita yang bijaksana dan tinggi nilai hidupnya tidak akan menyerahkan diri dan maruah kepada seorang lelaki yang bukan halal untuknya. Apatah lagi membiarkan dirinya menjadi  pemuas nafsu berahi dan alat material bagi lelaki durjana (dalam konteks ini, Abdul Fakar hidup dengan hasil 'kerja' Salina). Sentuhan yang saya terima daripada kenyataan lewat petang ini adalah reaksi semula jadi saya sebagai wanita.  Kesetiaan yang dianggap sarjana itu sebagai nilai seorang wanita bagi saya ialah ketuluan dan kedunguan seorang perempuan. Maka, kesetiaan itu tidak boleh diangkat sebagai nilai yang baik untuk diteladani hadirin.

Salina menyerahkan diri kepada Abdul Fakar yang menyerupai wajah kekasihnya, Yusuf yang terkorban dalam perang dunia ke-2. Atas faktor keserupaan wajah antara Fakar dan Yusuf, Salina rela membiarkan diri bersekedudukan dengan lelaki yang tidak pun berlaku baik kepada dia, malah bukan suaminya pun. Salina tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menyedari bahawa dirinya dipergunakan Fakar secara mutlak dan larut dalam emosi cinta melulu. Itu bukan satu kebijaksanaan apatah lagi kesetiaan yang wajar bagi seorang wanita. Tindakan-tindakan Salina ini perlu dibaca dan ditafsirkan dengan betul.

Apabila Islam hadir ke muka bumi, hadirnya membawa rahmat ke sekalian alam terutama sekali wanita yang sebelum kehadirannya hidup dalam penindasan kaum lelaki yang jahil, dalam konteks zaman jahiliyah. Di samping itu, memang tidak dinafikan ketaatan seorang wanita / isteri itu wajib kepada suaminya. Namun ketaatan itu tetap dibatasi konteks yang diredai Allah. Apabila suami berkehendakkan isteri / wanita patuh pada perintah yang bertentangan dengan PERINTAH ALLAH, maka isteri berkewajipan mendahulukan perintah ALLAH berbanding perintah suami. Tiada ketaatan pada usaha melanggar batas Allah.

Oleh yang demikian, jika nilai kesetiaan wanita itu ditafsirkan pada watak Salina, saya berasa dalam dukacita. Jika anda seorang suami, abang atau adik lelaki, apakah anda akan membiarkan saja isteri, kakak atau adik perempuan anda hanyut dengan cinta murahan terhadap lelaki yang tidak sepatutnya? Apakah simpati akan mengatasi waras fikir berteraskan wahyu Ilahi? 

Sekiranya benar nilai kesetiaan yang disebut sarjana itu mengenai Salina boleh diterima lantaran faktor zaman semata-mata, saya sebagai wanita begitu dukacita dan berkecil hati dengan kenyataan semberono tersebut. Jika dibandingkan kepayahan Salina dengan Sumayyah dan Asiah [yang hidupnya diuji rohani dan jasmani pada zaman yang lebih sadis], bagai langit dengan bumi. Al-Quran memerikan kisah mereka, untuk diteladani kesabaran dan kegigihan mereka dalam menjadi wanita kental yang beragama.

---

Barangkali muka depan Salina edisi baru ini menggambarkan keseluruhan tentang Salina. Kelemahan seorang wanita yang kalah pada emosi melulu terhadap seorang lelaki. Edisi Khas dengan ilustrasi wanita berpakaian yang tidak senonoh [bertentangan dengan Salina sebagai perempuan Melayu/Islam] dan edisi seterusnya dengan foto kupu-kupu di telapak tangan, umpama penyerahan total wanita terhadap nasibnya yang ditentukan lelaki atas kecelaruan kognitif wanita tersebut  membezakan antara kesetiaan seorang perempuan dengan 'perjuangan' wanita beragama dan berbudaya. Barangkali kupu-kupu itu juga ada kaitannya dengan kiasan 'kupu-kupu malam'.

Salina hanyalah cerita, yang jika dibaca perlu diterjemahkan maksudnya secara adil. Saya mengulas kenyataan sarjana tersebut, di sini dalam konteks saya sebagai pendengar dan pembaca wanita Islam, kerana bagi saya, nilai yang disebutkan sarjana itu mengenai Salina sama sekali tidak wajar untuk saya terima sebagai seorang wanita Islam.

"Have you read Salina? Salina is a novel written by Datuk A. Samad Said (Pak Samad) and it was first published in 1961. After claiming back his publishing rights, Pak Samad decided to print it under his own company, Wirabukit Sdn Bhd. I was trusted with the design job from cover to typesetting. I proposed many cover designs and these 2 were the favourites." - petikan daripada ilustrator muka depan terbaharu Salina dari laman sesawang Ilustrasi Salina Edisi Baharu

Perhatikan bahagian yang ditebalkan, ilustrasi-ilustrasi berkenaan dipilih setelah banyak ilustrasi lain yang dicadangkan.

Isnin, 25 Februari 2013

MEMBACA SEJARAH

SAYA selesai membaca buku yang ditulis oleh dua orang profesor dalam bidang agama ini. Sejarah mengenai kehidupan Rasulullah SAW merangkumi perang-perang yang telah disertai baginda. Sejarah nabi itu disampaikan dalam bentuk fiksyen, penggunaan bahasanya agak santai. Barangkali penulis cuba menepati khalayak sasaran buku ini iaitu untuk pembaca bukan Islam. Cuma, saya kurang senang dengan penggunaan kata ganti diri ketiga iaitu Dia dan Beliau bagi menggantikan perkataan Baginda yang sudah tentu paling tepat untuk gelar diri ketiga Nabi Muhammad SAW.

Saya sedu-sedan tatkala membaca beberapa halaman terakhir buku ini. Menggamit semula ingatan mengenai perjalanan akhir baginda Muhammad SAW, kekasih Allah yang Mulia. Betapa pemergiannya benar-benar setelah matlamat kewujudannya disempurnakan iaitu ketika Islam telah tersebar ke serata dunia. Saya teringat akan kisah yang diperikan Prof. Wan Mohd. Nor mengenai perjalanan Nabi Muhammad dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ketika baginda telah melihat Allah. Baginda diberi peluang untuk memohon apa-apa. Bagi orang Muslim, kebahagiaan hakiki ialah kebahagiaan tatkala dapat melihat wajah Allah. Tiada kebahagiaan dan tujuan hidup yang dapat mengatasinya. Nabi sudah mendapat kebahagiaan itu tetapi baginda tetap mahu turun ke bumi. Keputusan baginda dibuat atas kesedaran baginda terhadap kewujudannya di muka bumi. Dengan pilihan itu, Nabi melalui aneka cabaran dahsyat dalam usaha dakwahnya. Sirah ini, benar membangkitkan semangat Muslim dan Mukmin dalam perjuangan yang dilalui jika dibaca dengan akal dan 'hati'. Betapa, perjuangan itu tidak ada yang mudah dan selesa jalannya.

Nabi Muhammad SAW bukan manusia biasa, tetapi baginda ialah manusia pilihan Allah yang membawa rahmat untuk sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan sahabat baginda. Semoga kita beroleh syafaat daripada baginda dan dapat bersama-sama di belakang baginda ketika di Mahsyar kelak.

--- 

Membaca sejarah satu keperluan untuk kita kenal asal diri dan tahu cara terbaik menjalani masa depan dengan lebih teratur dan terpandu tuju. Cuma, kita perlu berhati-hati dengan sejarah kerana tidak semua yang dikatakan sejarah itu benar-benar berisi fakta (Prof. Syed Naquib Al Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan), apatah lagi jika sejarah itu dinukilkan oleh golongan yang ada agenda dan kepentingan tertentu. Salah tafir sejarah akan merosakkan pilihan jalan dalam usaha mencari kebenaran yang jitu.

Khamis, 21 Februari 2013

PERGI YANG PASTI


HARI INI, genap sembilan bulan dua hari emak ke takah tiga. Alam barzakh yang tentunya pasti seperti yang dijanjikan Allah. SWT. Setiap yang bernyawa, pasti akan menemui mati. Setiap kematian, pasti datang bersamanya sakarat (kesakitan).

Isnin lalu, pada jam sekitar empat pagi, kucing saya iaitu Boboy yang berusia 16 tahun 8 bulan telah pergi buat selama-lamanya. Boboy lahir pada 23 Mei 1996. Ketika itu saya berusia sembilan tahun. Kelahiran Boboy disambut penuh gembira. Boboy kucing baka British Blue, jadi saiz rangka dan tubuhnya besar. Disebabkan saiz Boboy yang besar, Boboy terpaksa ditarik keluar daripada kemaluan ibunya, Tuti yang pergi buat selama-lamanya pada usia 10 tahun, 2006.

Sejak emak meninggal dunia, keadaan Boboy menjadi semakin uzur. Boboy boleh dikatakan sudah nyanyuk. Mana tidaknya, anggaran usia bagi kucing ialah 1 tahun usia kucing bersamaan 7 tahun usia manusia. Jadi, kiralah berapa usia Boboy jika dia seorang manusia. Begitulah tahap keuzuran yang dialami. Boboy sakit tua. Boboy tidak lagi mampu mengawal pembuangan air seninya. Oleh sebab itu, saya agak kerap memandikan Boboy apabila tubuhnya dipaliti air seni itu. Ada beberapa usaha untuk saya agar Boboy tidak selalu dimandikan. Saya akan membawa Boboy untuk membuang air seninya setiap satu jam. Hal ini akan mengurangkan ruang Boboy untuk terbuang air seni semasa tidur. Cuma, apabila saya tiada di rumah, memang sukar untuk saya bantu Boboy. Perkara ini tidak pernah terjadi semasa Boboy sihat, sebelum sembilan bulan yang lalu. Boboy dengan tepat tahu tempat untuk dia membuang segala hajat. Tidak pernah menyusahkan saya. 

Foto bawah, keadaan Boboy apabila saya pulang dari sebuah wacana, Sabtu lalu. Hari keempat Boboy berkelakuan ganjil. Pada hari ini, pandangan Boboy sudah hampir tiada. Perhatikan mata Boboy yang berkaca. Petanda kucing tidak sihat dan 'tidak sedar'. Wajahnya yang cengkung dengan mata terperosok ke dalam. Telinga yang mengeras. Pada waktu ini, Boboy semakin lemah, apatah lagi tidak makan langsung sejak 12.2. Syahada saya bisikkan acapkali ke telinganya. Saya berdoa semoga Allah beri yang terbaik buat Boboy. Antara hidup dan mati, Allah juga yang Maha Tahu setiap yang terbaik untuk makhluknya.
Seluruh gigi Boboy juga sudah tiada. Maka, saya perlu menyuap makanan basah ke dalam mulut Boboy dan mengurut bahagian rongga tekaknya, disebabkan masalah penghadaman. Jika tidak, untuk makan saja sudah menimbulkan banyak kesakitan kepada Boboy.

Boboy menjadi kekangan utama untuk saya meninggalkan kediaman dalam tempoh masa yang agak lama. Boboy juga saya letakkan di dapur dengan membuat penghalang setinggi 1 meter agar Boboy tidak ke ruang depan. Hal ini kerana masalah pembuangan air seni yang tidak terkawal boleh merebakkan najis jika Boboy ke ruang selain dapur. Saya berusaha mengehadkan pergerakan Boboy tanpa mengurung Boboy di dalam sangkar. Ada jiran yang mengesyorkan saya agar mengurung Boboy di dalam sangkar. Syor itu segera saya tolak. Boboy kucing rumah dan hampir 17 tahun bebas bergerak. Saya tidak mahu emosi Boboy terganggu apabila dia disangkar.
 
Enam hari sebelum Boboy meninggalkan saya buat selama-lamanya, Boboy memperlihatkan perwatakan dan pergerakan yang amat ganjil. Lima hari itu bermula (12.2.13-18.2.13). Itulah tanda-tanda kematian yang Allah perlihatkan kepada yang masih hidup terhadap mereka yang dekat dengan yang bakal pergi. Pada hari pertama, Boboy seolah-olah mendapat tenaga luar biasa. Dengan keadaan kaki yang sudah tidak kuat selama ini, Boboy terus boleh melompat batas yang saya sediakan dan berjalan ke merata tempat dengan gagah. Suara Boboy juga semakin kuat. Boboy boleh berdiri, berlari dalam keadaannya yang daif. Itu petanda ganjil. Apatah lagi kekuatan luar biasa Boboy itu membuatkan Boboy langsung tidak mahu makan.

Separuh hari kedua, Boboy kurang bising dan berjalan. Tetapi tetap tidak mahu makan. Air matanya asyik mengalir hingga saya perlu kerap membersihkan bahagian matanya. Hari ketiga, pandangan Boboy semakin berubah. Bagi yang biasa memelihara haiwan, ada pandangan mata yang memberitahu penjaga bahawa haiwan itu tidak sihat. Bahagian mata yang seperti kristal. Bermula hari ketiga juga, pandangan Boboy semakin kabur sehingga hilang seluruhnya pada petang hari keempat. Dua hari itu, Boboy sudah tidak boleh bangun langsung. Minuman saya suapkan ke dalam mulut Boboy tetapi dia menolak.

Ketika pandangannya sudah tiada dan terbaring saja, saya menemaninya sungguh-sungguh. Saya tidur di sisinya sambil memegang tubuhnya, biar dia tahu dia tidak sendirian melewati akhir usia itu. Itu juga janji saya pada dia. Saya akan menemaninya pada akhir usianya. Bagi saya, peristiwa menjaga Boboy dua hari terakhir itu sungguh istimewa. Tidur saya tidak menentu. Hal ini kerana walaupun Boboy sudah tidak nampak apa-apa dan tidak mampu bangun, tetapi Boboy tahu sama ada saya berada dekat dengannya atau tidak. Sebentar saja saya meninggalkannya, akan kedengaran suara Boboy yang lemah. memanggil saya agar kembali kepadanya. Apabila saya kembali di sisinya, mengusap tubuhnya, maka Boboy akan diam. Begitu juga apabila saya tertidur, tangan lemah Boboy akan menyentuh tangan saya, guna untuk mengingatkan saya akan kehadirannya di situ. Apabila tindakan Boboy itu saya sedar, tubuhnya akan saya usap perlahan sambil memanggil-manggil namanya. Boboy menjawab dengan suara sangat lemah dan perlahan.


Maha Suci Allah, Boboy seekor kucing, tidak berakal tetapi Allah beri Boboy perasaan dan naluri yang begitu istimewa. Dia juga mahu teman, dan dia tahu teman yang dia mahu pada masa-masa akhirnya ialah saya. Emak selalu berkata, biarlah Boboy pergi dulu sebelum emak. Emak takut Boboy tidak saya jaga dengan baik. Namun, sembilan bulan ini telah saya usahakan untuk menjaga Boboy dengan baik.

Kadangkala saya marah kepada Boboy apabila dia tanpa sedar membuang air seninya ketika tidur, menyebabkan tubuhnya berlumuran air seni yang tidak wangi itu. Itu marah saya kerana saya tidak mahu Boboy dipaliti kuman. Marah itu ialah marah penuh sayang saya kepada dia. Bukan, marah benci. Semoga Boboy tahu itu.

Saya yakin, Boboy sudah mendapat kejayaan dan kebahagiaan hakiki kini. Semoga Boboy tidak melupakan saya dan emak. Semoga kami dapat bersatu kembali, dengan izin Allah. Pemergian ini, pemergian yang pasti terjadi. Kita, harus menanti.


Al Fatihah.

Selasa, 19 Februari 2013

DADA-DADA ILMU

SAYA benar tertarik dengan mukadimah Syed Muhammad Muhiyiddin Alatas yang membentangkan dapatannya mengenai pertembungan kutub antara Emmanuel Kant dengan Al Attas dalam Wacana Adab dan Peradaban, 16 Februari 2013, satu pengiktirafan kepada Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al Attas. Banyak pencerahan yang saya dapati, khususnya mengenai historiografi linguistik. Saya begitu meminati bidang bahasa namun sejauh mana saya memahami perdebatan mengenai makna 'bahasa' itu sendiri terjawab apabila tokoh teladan saya, Dr. Awang Sariyan memberi buah fikirnya. 

Dalam hal ini, masyarakat Melayu Moden terlalu lama dimomokkan dengan idea-idea Barat yang secara jelas meminggirkan konsep agama dalam ketuhanan atas sebab sejarah hitam mereka dengan konsep tersebut. Namun demikian, masyarakat tempatan dengan selesa dan mudah membiarkan diri menjadi bekas kosong yang sedia diisi dengan idea-idea tersebut tanpa melakukan penyaringan yang tuntas. Hal inilah yang menerbitkan segala idea baharu dan tindakan moden yang sekular sifatnya tetapi begitu tabo sifatnya dalam era kegemilangan Islam dahulu, seperti yang ditegaskan Syed Naquib Al Attas dalam syarahan pengukuhannya, 41 tahun yang lampau. 

Berbalik kepada mukadimah Muhammad Muhiyidin, beliau mengatakan "Terima kasih kepada guru-guru saya yang daripada dada-dada mereka memberikan ilmu kepada saya dengan penuh ikhlas." Bagi saya, sepotong ayat tersebut begitu dalam bermakna. 'Dada' sebagai analogi tempat menyimpan segala ilmu, yang benar dan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan manusia untuk dua dunia. Atas sebab itu, adalah amat penting untuk individu menjadi begitu berhati-hati dalam usaha mengejar ilmu dan pengetahuan, bagi menjadi manusia yang tahu membezakan antara yang hak dan yang batil, secara jelas.

Seorang rakan saya pernah berkata, jangan mudah membiarkan diri dirugui dan menggurui. Pada fikir saya, memang manusia berakal tidak seharusnya membiarkan diri dan jiwa mereka dipimpin oleh guru-guru yang tidak terpimpin akal dan jiwanya kepada ilmu yang benar, ilmu yang membawa manusia semakin faham terhadap dua hakikat hakiki iaitu hakikat manusia sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya. Walau bagaimanapun, guru-guru yang membawa ilmu mengenai dua hakikat ini, tidak ada alasan untuk diri tidak menggurui mereka. 

Bagaimana dengan pengetahuan yang hadir tanpa membawa manusia kepada dua hakikat itu? Apakah perlu ditolak sepenuhnya? Bagi saya, ya. Akan tetapi, hal ini tidak bermakna kita tidak perlu mengambil tahu. Kita perlu ambil tahu guna untuk tidak terjerumus dalam penyelewengan pengetahuan. Di sinilah pentingnya peranan akal dan jiwa yang terpimpin iaitu sebagai wadah penyaringan yang mantap. Segala yang diberi, tidak seharusnya diterima apabila prinsip kerohanian boleh tercabar menerusinya. Kemahiran menyaring ini yang perlu dipelajari menerusi pencarian ilmu yang benar. 

Daripada 'dada-dada' guru yang sarat ilmu benar dan ikhlas, maka di situlah seharusnya murid merelakan diri untuk berguru dengan tujuan yang satu, iaitu untuk memahami hakikat diri dan Allah sebagai medan tujuan.

Guru bukan sekadar mengajar murid tulis dan baca agar dewasa menjadi jurutera, orang kaya dengan wang berjuta. Akan tetapi, fungsi utama guru adalah memimpin akal dan jiwa murid-muridnya, agar dengan kemahiran, kejayaan dan kekayaan bersulam ketakwaaan, dia mampu menundukkan dunia kepada agamanya. Malah, dia sendiri tunduk dan patuh pada Penciptanya.

Kepada guru-guru yang tekal menyampaikan ilmu nan benar, semoga keikhlasan kalian mampu melahirkan seribu mujahid dalam mendepani dunia akhir zaman, yang dijanjikan Allah.

Memetik kata-kata Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin dalam “Kitabul Ilmi":

Tidak sama orang yang berilmu dan tidak berilmu, sebagaimana tidak sama orang yang hidup dengan yang mati, yang mendengar dengan yang tuli, yang melihat dengan yang buta. Ilmu ialah cahaya yang dengannya manusia mendapat petunjuk, yang dengannya manusia keluar dari kegelapan menuju cahaya. Dengan ilmu Allah mengangkat dan melebihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada para makhluk-Nya.

Maha Besar Allah

Isnin, 18 Februari 2013

BICARA KARYA PEN

17 FEBRUARI 2013, saya di Institut Pendidikan Kampus Raja Melewar, Seremban. Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mengundang saya untuk membentangkan kertas kerja. Novel Meniti Jalan Hadapan, pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Novel Remaja) 2008 menjadi subjek saya. Antara panel yang turut membentangkan kertas kerja ialah Hamzah Hamdani dan SM Zakir.

Perjalanan yang jauh dari Selayang 'menghampiri' Seremban ialah pengalaman 'menunggang kuda' paling jauh pernah saya lalui.

Pengalaman hadir untuk dianalisis, difikir, guna untuk mematangkan diri dan memperbaiki diri.

Jumaat, 15 Februari 2013

SAYA, GULA-GULA KAPAS DAN BULAN

SAYA menunggu hujan reda sebelum memulakan perjalanan pulang ke Selayang dari Serdang, semalam. Lima minit selepas hujan rintik-rintik yang membuatkan saya tekad untuk memulakan perjalanan, hujan turun lebat semula. Saya singgah di Hentian Sebelah Serdang untuk memakai baju hujan dan selipar. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 4:05 petang. Saya teringat akan Teja, Jie Jie dan Boboy yang saya tinggalkan sejak pagi. Kalau dulu ingatan saya kuat untuk selalu pulang segera ke rumah kerana adanya emak yang menunggu, kini ingatan yang sama kerana adanya mereka bertiga khususnya Boboy yang semakin uzur.

Perjalanan yang memakan masa sekitar 40 minit itu menyediakan banyak ruang untuk saya fikirkan, diselang dengan zikir dan hati-hati dalam perjalanan. Emak selalu berpesan, apabila berada dalam perjalanan, banyakkan zikir. Kalau apa-apa terjadi, sekurang-kurangnya kita pergi dalam keadaan hati 'zikir', mengingati-Nya. Saya terfikir juga, jika apa-apa terjadi dalam perjalanan itu, saya berharap agar ada syahidnya dalam pemergian itu. Kehidupan sebagai pelajar, ilmu yang sedang dituntut dan rencana perjuangan yang sedang dibuat, semoga itu memberi bantuan kepada saya.

Di sebalik ingatan-ingatan itu, perjalanan semalam ditemani hujan dan dingin suasana, sesekali kereta yang meredah lopak menyebabkan tempiasnya terkena seluruh tubuh. Namun, hal itu sedikit saja mengalih perhatian dan fikrian saya akan beberapa subjek dalam pengalaman saya ketika kanak-kanak. Ketika saya berusia sekitar 5-9 tahun. Pertama, saya teringat akan gula-gula kapas.

Apa kenanya dengan gula-gula kapas? Sebagai kanak-kanak, saya percaya kebanyakannya suka dan tertarik akan gula-gula kapas. Warna gula-gula kapas selalunya lembut seperti merah jambu, hijau pucuk pisang dan biru laut. Warna-warna yang menenangkan. Saya juga amat tertarik dengan gula-gula kapas. Sebagai anak tunggal perempuan, saya menjadi 'beg tangan' emak. Kedudukan itu membuatkan saya selalu dibawa emak ke mana-mana, terutama ke pasar raya. Di pasar raya, saya selalu tertarik kepada gula-gula kapas. Saya selalu merengek, meminta emak membelikan saya gula-gula kapas.

Bagi saya sebagai anak ketika itu, gula-gula kapas itu ialah keperluan, guna memuaskan keinginan saya terhadapnya. Akan tetapi, emak tidak pernah sekalipun membelikan saya gula-gula kapas. Kata emak, gula-gula kapas itu manis. Tidak sihat untuk gigi. Emak tidak mahu gigi saya rosak. Mungkin benar juga alasan atau hujah emak itu. Akan tetapi, akal kanak-kanak saya tidak dapat menerima hujah tersebut sepenuhnya.

Apabila saya berusia sekitar 12 tahun, saya sendiri membeli gula-gula kapas yang cantik itu. Saya membeli gula-gula kapas berwarna merah jambu. Hati saya gembira melihat gula-gula kapas di tangan. Strukturnya yang lembut dan baunya yang wangi begitu mempesonakan. Saya mabuk dengan keindahan itu. Namun, apabila saya menikmati gula-gula kapas pada gigitan pertama, saya terus berkata di dalam hati "Ini kali pertama dan terakhir aku beli benda ni." Rasanya yang terlalu manis menghilangkan pesona saya terhadapnya yang saya pendam beberapa tahun. Kemanisan yang melampau itu tidak memberi nikmat dan kebahagiaan kepada saya yang sungguh lama mengidamkannya. Maka, benarlah hujah emak ketika saya kecil, yang saya anggap sebagai alasan semata-mata.

Gula-gula kapas cantik, indah. Strukturnya lembut. Elok pada pandangan mata. Walau bagaimanapun, natijah menikmatinya langsung tidak baik. Saya terpesona dengan keindahan luaran. Apabila saya mula menikmatinya, barulah saya tahun keindahan itu telah menipu saya selama bertahun-tahun. Mata kasar saya telah menipu saya, mujurlah deria rasa telah menyelamatkan saya daripada terus dalam tipu daya mata kasar itu. Implikasi pengalaman itu, saya akan berpesan hal yang sama kepada anak-anak kecil yang juga mengimpikan dan menginginkan gula-gula kapas seperti saya dahulu. Tiada guna pengalaman saya itu jika tidak saya turunkan kepada anak-anak kecil itu. 

 Ketika saya berusia sekitar sembilan tahun, pada bulan Ramadan sekitar tahun 1996. Saya selalu mengikut emak ke rumah kawan emak. Jaraknya dalam 10 minit perjalanan. Emak mengambil upah membantu kawan emak yang saya panggil Cik Limah itu membuat kuih raya. Kami pulang dalam jam 11 malam. Keadaan memang gelita. Ketika itu juga saya ingat, isu hantu purdah sedang berleluasa. Pada satu malam, saya asyik mendongak ke langit, melihat bulan penuh yang amat indah dilihat dari jauh. Saya pasti ketika itu ialah pertengahan Ramadan, memandangkan bulan penuh sebegitu rupa.

Saya masih ingat perasaan ketika itu. Hati saya terasa benar-benar bulan itu mengekori saya. Saya berkata emak, "Bulan ni asyik ikut kita je mak. Kenapa dia ikut kita?". Bulan asyik mengekori saya. Itu kepercayaan saya. Emak menjawab, "Bukan bulan ikut kita. Adik saja yang rasa macam tu. Bulan tu tak bergerak pun di tempat dia di langit itu." Pelik bagi saya ketika itu, kalau bukan bulan tidak ikut saya, kenapa bulan itu tampak seolah-olah mengikut saya. Satu perkara yang sukar untuk dijelaskan kepada anak kecil ketika itu, barangkali.

Namun, apabila saya semakin menginjak usia. Apabila saya semakin mengenal cakerawala, apatah lagi dengan subjek seperti Kimia, Fizik dan Biologi yang perlu ditekuni, saya mula tahu mengenai persoalan kecil semasa saya masih kecil itu.

Daripada pengalaman-pengalaman  dengan subjek-subjek tersebut, saya terfikir betapa hidup ini memerlukan kita begitu menyaring segala perkara yang kita alami dan ketahui. Penyaringan yang perlu agar kita tidak tertipu dengan keindahan luaran yang menenggelamkan aspek dalaman yang mampu memudaratkan kita jika lewat melakukan baik pulih.

Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Marya (1951-2012) yang memberi saya banyak erti.

Apabila manusia itu mengatakan dia ikhlas dalam sesuatu, maka keikhlasannya akan diuji oleh Allah SWT. Begitu, apabila dia seorang pejuang, akan ada perjuangan dan pertentangan yang perlu dilalui, bagi mengajar dia makna ikhlas yang hakiki. Maka, apabila dia berkata dia ikhlas, bersedia dan terbukalah untuk diuji oleh-Nya, sehingga dia nampak dan tahu hakikat sebenar ikhlas dalam diri dan dirinya ~Nur Fatiha Fadila