Isnin, 7 Januari 2013

PERSAHABATAN DAN KEKELUARGAAN DALAM THE KITE RUNNER

THE KITE RUNNER merupakan sentuhan pertama Khaled Hosseini selaku novelis. Novel yang pertama kali diterbitkan di Britain pada tahun 2003 ini berkisar pada kehidupan watak Amir yang berjuang dalam mencari secebis kasih sayang dan perhatian daripada ayahnya, Baba. Latar cerita novel ini bermula pada sekitar tahun 1970-an di Afghanistan dengan kisah hidup  Amir yang membesar bersama seorang anak kepada pembantu rumahnya iaitu Ali. Hubungan Baba dengan Ali ibarat isi dengan kuku lantaran Ali yang dipelihara oleh ayah Baba sejak dari kecil. Hassan yang dibesarkan oleh Ali pula merupakan satu-satunya sahabat yang setia menemani dan melindungi Amir dalam kebanyakan situasi. Walau bagaimanapun, keakraban mereka itu sering tidak disenangi oleh masyarakat sekitar yang begitu mengambil serius persoalan kasta. Perbuatan Amir bersahabat baik dengan seorang yang berketurunan Hazara menjadikan Amir dan Hassan sering dijadikan sasaran Aseff (seorang anak kelas atasan) untuk dibuli. Namun begitu, kesetiaan dan kasih sayang Hassan yang tidak berbelah bahagi kepada Amir membuatkan Hassan sentiasa ada dan bersedia melindungi Amir walaupun akan mengancam nyawa dan kehormatannya.

Apabila Hassan telah dibuli dan ‘diperkosa’ oleh Aseff sewaktu mencari layang-layang milik Amir yang memenangi kejohanan musim salji buat pertama kalinya, Amir yang melihat perbuatan terkutuk Aseff terhadap Hassan tidak mampu tampil untuk membantu Hassan lantaran rasa takutnya kepada Aseff. Bermula adegan itu, Amir menjauhkan dirinya daripada Hassan yang terumbang-ambing dengan rasa sedih akan keadaan jijik yang menimpa dirinya. Amir enggan bersahabat baik dan mesra dengan Hassan seperti sebelumnya kerana rasa bersalah lantaran tidak berupaya membantu Hassan ketika dia ditimpa kejadian malang tersebut. Dalam masa yang sama, Amir yang dibesarkan oleh Baba tanpa belaian ibu yang meninggal ketika melahirkannya berasa cemburu dengan layanan dan keprihatinan yang sering diperlihatkan Baba terhadap Hassan. Tindakan Baba tanpa sedar ini telah menimbulkan dendam kepada Amir yang menganggap Baba bukan sebagai seorang ayah yang baik. Hal ini berdasarkan tindakan Baba yang kurang memberi perhatian dan sering mengabaikan perasaannya selaku anak. Amir mendakwa Baba membenci dirinya lantaran kelahirannya yang mengundang kematian ibu, iaitu isteri yang sangat dicintai Baba. Kebencian Amir ini terluah pada petikan berikut :

... But right then, I wish I could open my veins and drain his cursed blood from my body. (Khaled Hosseini:30).

Tindakan Amir memulau Hassan telah menyebabkan Ali tekad meninggalkan rumah dan Baba yang sama membesar bersamanya selama hampir empat puluh tahun. Tekad Ali itu timbul kerana fitnah yang dilakukan Amir terhadap Hassan yang didakwa telah mencuri duit dan jam pemberian Baba pada hari lahirnya. Pemergian Ali dan Hassan memberikan dampak yang besar kepada Baba dan hal ini sangat mengundang rasa bersalah Amir. Segala perasaan Amir hanya diluahkan kepada teman seperniagaan Baba iaitu Rahim Khan yang sentiasa ada dan sering menjadi tempat Amir meluahkan perasaan. Malah, pada banyak ketika, Amir sering berasakan bahawa Rahim Khan lebih mengenali dan menyayangi dirinya berbanding Baba.

Kejujuran palsu Hassan yang membenarkan dakwaan palsu Amir terhadapnya membuatkan Amir diselubungi rasa bersalah sepanjang hidupnya apatah lagi mengenangkan segala persendaaan yang dilakukan Amir terhadap Hassan yang buta huruf. Sungguhpun bersahabat baik, Amir sering merendah-rendahkan Hassan yang ditinggalkan ibu sejak kecil dengan menyebut-nyebut perkataan-perkataan yang tidak difahami Hassan. Walau bagaimanapun, Amir mengakui kebijaksanaan rakannya yang buta huruf itu dalam mentafsir sajak dan cerita-cerita yang dibacakan Amir kepadanya. Malah, Amir juga sering mengenang Hassan sebagai insan pertama yang mendorongnya untuk serius dalam menulis. Lebih menarik, Hassan yang buta huruf itu merupakan pengkritik pertama yang menyedarkan Amir tentang keperluan nilai kausalitif dalam sesebuah cerita sewaktu Amir membacakan sebuah cerpen yang pertama kali ditulis sewaktu dia berusia 10 tahun. Malangnya, kasih sayang dan kesetiaan yang diberikan Hassan telah dibalas oleh Amir dengan pengkhianatan dan fitnah yang membuatkan Hassan dan Ali nekad meninggalkan kediaman yang telah didudukinya sejak lahir.

Pada usia 17 tahun, Amir dan Baba telah berhijrah ke Amerika. Di sana, Amir melanjutkan pengajian dan bercita-cita untuk menjadi seorangguru. Di sana juga, Amir telah bertemu dengan jodohnya iaitu Soraya Taheri dan di sana juga Baba yang mula disayangi dan difahami setiap gerak hati dan langkahnya pergi buat selama-lamanya. Pertemuan Amir dengan Soraya memberikan satu kesedaran kepada Amir betapa tulu perbuatan yang dilakukannya terhadap Hassan sewaktu kecil dahulu. Hal ini kerana Soraya yang turut mempunyai rakan dari kelas bawahan tidak pernah memandang rendah rakannya itu. Malahan, Soraya dengan bangga menceritakan keadaan rakannya yang sudah pandai membaca setelah usaha kerasnya mengajar rakannya yang buta huruf itu membaca. Kejayaan rakan yang buta huruf itu untuk mengenal aksara telah mencetuskan keinginan tinggi Soraya untuk bergelar seorang mualimah. Hal ini nyata berbeza dengan apa-apa yang pernah dilakukan Amir terhadap Hassan dahulu.

14 tahun selepas kematian Baba, Amir menerima panggilan daripada Rahim Khan yang meminta untuk bertemu dengannya di Afghanistan. Ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Ada perhitungan darah yang perlu dilangsaikan. Di saat akhir kehidupan Rahim Khan, Amir dikejutkan dengan penantian Hassan terhadapnya yang akhirnya membawa kematian apabila Hassan dan isterinya dibunuh dalam satu tragedi. Kematian Hassan diiringi oleh sepucuk surat yang dikirimkan Hassan untuk Amir lewat Rahim Khan. Surat tersebut ditulis enam bulan sebelum Hassan meninggal dan merupakan tulisan yang bersungguh-sungguh selepas dia belajar menulis dengan Rahim Khan. Isi surat tersebut mengundang rasa pilu Amir yang terus dibelenggu rasa bersalah terhadap kekerasan dan penghinaan yang pernah dilakukannya terhadap Hassan yang sentiasa baik dan sabar dengannya.

Pada plot akhir cerita ini iaitu pada latar masa 2001, Amir turut dikejutkan dengan pembongkaran kisah hidupnya dan Baba oleh Rahim Khan yang tidak pernah diketahuinya sebelum itu. Melalui Rahim Khan, Amir mendapat tahu bahawa lelaki yang dihina dan difitnah satu masa dahulu juga merupakan anak Babanya bersama seorang pembantu rumah. Atas sebab kasta dan stigma masyarakat, Hassan terpaksa untuk tidak diakui sebagai anak oleh Baba. Pembongkaran ini menyedarkan Amir akan tindakan dingin Baba terhadapnya dan keprihatinan literal Baba terhadap Hassan. Hal ini secara tidak langsung menyedarkan Amir akan kasih sayang sama rata yang cuba dipamerkan Baba kepada dia dan Hassan.

Atas permintaan Rahim Khan, Amir telah diminta ke Kabul untuk mendapatkan semula Sohrab, anak kepada Hassan yang telah ditempatkan di sebuah rumah anak yatim yang penuh kekejaman. Dapatkah Amir menemui Sohrab dalam hiruk-pikuk politik Afghanistan ketika itu dan apakah pula pandangan Soraya apabila Amir mendesak ingin membawa Sohrab pulang ke Amerika? Adakah semudah itu untuk Amir membawa Sohrab bersamanya? Atau lebih mudah membiarkan Sohrab, anak saudaranya yang keseorangan itu terus terdampar hidup tanpa ibu dan bapa di jalanan tanpa ada yang ingin mencurah kasih dan perhatian?

Sesungguhnya, kisah kemanusiaan yang diangkat oleh Khaled Hosseini ini penuh dengan liku hidup yang terpaksa dijalani oleh mereka-mereka yang dilahirkan dalam daerah mencabar seperti yang muncul dan melewati karya ini; ada kasih sayang yang menuntut pengorbanan, ada persahabatan yang menjadi taruhan dan ada kebahagiaan di selut penderitaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan