Ahad, 6 Januari 2013

'MANDI PANAS' TEJA, JIE JIE DAN BOBOY

AKHIRNYA, hari ini saya tunaikan janji saya kepada anak-anak bulus - Jie Jie, Teja dan Boboy untuk membawa mereka 'mandi panas' di luar. Beberapa minggu ini, fokus saya terlalu berat kepada proses membaca sehingga janji saya tersebut sering tertunda. 

Bagi saya, membawa anak-anak bulus (gelar yang diberi pencinta kucing seperti Papa Hero, Sri Diah dan Siti Zainon kepada anak-anak kucing) itu penting bagi memenuhi tuntutan psikologi mereka. Apatah lagi, anak-anak bulus saya tidak dibenarkan keluar dari rumah. Barangkali disebabkan bosan melihat dinding rumah dan ruang yang terhad untuk bermain, Teja dan Jie Jie sering mengintai ke luar jendela, melihat kanak-kanak bermain dan kenderaan yang lalu lalang. 

Saya semakin memahami psikologi haiwan ini apabila mengikuti siri rancangan Dog's Whisperer yang dikelolakan Ceaser Milan di saluran Animal Planet (siri-siri ini banyak juga di laman Youtube). Buku tulisan Ceaser Milan ada dijual di Kinokuniya bagi sesiapa yang berminat. Saya mengagumi pakar haiwan ini berhadapan dengan konflik-konflik emosi yang dilalui haiwan khususnya anjing sama ada terbiar atau terpelihara. Banyak kaedahnya boleh juga diaplikasi kepada kucing.


Berbalik kepada anak-anak bulus, simpati saya paling dalam kepada Boboy, kucing kacukan baka British Blue yang lahir pada tahun 1996. Ketika itu saya baru berusia sembilan tahun. Kini, usianya begitu lanjut. Jalannya tidak lagi gagah. Makan juga semakin payah. Dia menjadi kerisauan utama saya apabila keluar rumah. Jie Jie dan Teja mudah urus diri. Tidak memberi masalah. Boboy pula, najisnya sendiri sudah tidak mampu dikawal. Bila-bila saja boleh keluar, semasa tidur, makan dan sebagainya. Semoga Allah terus memberi kesabaran kepada saya untuk melayan dan bertanggungjawab kepada Boboy. 


Ada jiran saya yang menganjurkan saya supaya mengurung saja Boboy ke dalam sangkar. Akan tetapi, saya tidak sampai hati untuk mengurung Boboy yang sudah 16 tahun bebas berjalan ke sana ke mari, tiba-tiba perlu dihadkan perjalannya pada akhir-akhir usianya itu. Bagi mengatasi masalah ini, saya mencari papan terbuang beberapa hari lalu. Papan itu saya dirikan secara melintang di antara pintu dapur bagi menghalang Boboy bergerak ke ruang tamu. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya kekotoran yang ada pada tubuh Boboy tidak merebak ketika saya tiada di rumah. Saya hanya perlu membersihkan bahagian dapur dan memandikan Boboy setiap kali saya pulang ke rumah.
Semoga Allah beri yang terbaik buat Boboy. Semoga Teja dan Jie Jie akan sihat selalu. Giliran Teja pula akan menyusul di laman ini, satu hari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan