Sabtu, 26 Januari 2013

ILMU ATAU LUCU?

LAWAK sebagai alat untuk mendekatkan emosi antara khalayak dengan panel tertentu dalam sesebuah majlis semakin menjadi lumrah sejak akhir-akhir ini. Hal ini berlaku bukan sahaja dalam majlis-majlis biasa malah dalam majlis-majlis ilmu juga. Dalam Islam, kita percaya dan yakin bahawa majlis-majlis ilmu turut disertai oleh malaikat yang mendoakan kebaikan para penuntut dalam majlis ilmu tersebut. Bukan itu saja, penuntut ilmu juga diberi ganjaran yang besar bukan sahaja ketika menghadiri majlis ilmu malah ketika dalam perjalanan ke majlis ilmu. Hal ini kerana ilmu (yang benar) ialah panduan buat manusia menuju kebaikan di dunia dan akhirat dengan reda Allah SWT. Pencarian ilmu ialah tuntutan kepada semua manusia tanpa mengira jantina. Sejarah para imam meriwayatkan betapa tugas menyebarkan ilmu dan menuntut ilmu ialah perkara serius. Ada adab-adab tertentu yang wajar dipatuhi dalam proses memberi dan mencari ilmu. Kamus Dewan mentakrifkan 'adab' dengan tiga makna iaitu tingkah laku tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan. Maksud seterusnya adalah cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu. Takrif-takrif tersebut memperlihatkan peri penting kehalusan bicara dan tingkah laku sebagai adab dengan makna yang positif.

Namun demikian, apakah yang terjadi kepada majlis-majlis ilmu kini? Para alim (orang yang berilmu) menjadikan inti majlis sebagai perkara kedua manakala hiburan menerusi senda gurau sebagai perkara utama. Hal ini terbukti apabila satu kumpulan pelawak yang mengajuk tingkah laku alim-alim tersebut ketika berada dalam majlis ilmu, sebagai bahan jenaka pula dalam satu program lawak jenaka. Kumpulan tersebut akhirnya menang dengan hadiah berjumlah RM 500 000 di samping sokongan berterusan daripada puluhan atau ratusan ribu peminat yang menyaksikannya. Kenapa? Kerana, yang jelas memberi kesan kepada khalayak majlis-majlis ilmu zaman kini ialah lawak jenaka dan nyanyian-nyanyian para alim moden. Inti majlis ilmu kini menjadi perkara kedua yang diingati khalayak.

Bagi saya, hal ini ialah fenomena (keadaan yang perlu diperhatikan, Kamus Dewan) yang wajar diperhatikan dan diperbetulkan bagi memelihara kemuliaan majlis ilmu yang turut disertai para malaikat. Sehubungan itu, adalah wajar untuk para alim moden kita merenung kembali cara dan gaya dakwah yang menjadikan unsur lelucon sebagai alat utama meraih perhatian khalayak yang tanpa sedar merendahkan martabat sesebuah majlis ilmu. Apakah wajar para alim merendahkan martabatnya sebagai seorang alim sama seperti manusia yang tunailmu semata-mata untuk mendapat tempat di hati para khalayak? Antara ilmu dan senda gurau, perlu ada batasnya. Antara orang yang berilmu dengan orang yang tunailmu, ada bezanya.

Ilmuwan bukan jenakawan yang memerlukan unsur lelucon sebagai modal. Sebaliknya, modal utama ilmuwan ialah ilmu yang benar dengan penguasaan dan pengetahuan mendalam sehingga ke akarnya. Jenakawan membuatkan manusia gembira dan tertawa tetapi ilmuwan menjadikan insan kenal makna bahagia. Jenakawan perlu tunduk kepada tuntutan khalayak tetapi ilmuwan perlu membuatkan khalayak tunduk dan akur kepada kebenaran ilmu yang nyata. 'Jubah' jenakawan dan 'jubah' ilmuwan, sungguh tidak sama.

wallahua'alam.

1 ulasan: