Khamis, 17 Januari 2013

CITRA CINTA DUA JIWA

PERJUANGAN mendapatkan cinta tidak sama bagi setiap manusia. Ada yang melalui jalan mudah dengan masa yang singkat. Tidak sedikit juga yang perlu mengharungi aneka rintangan dengan jalur masa yang panjang. Novel setebal 423 halaman dengan 63 bab ini meriwayatkan kisah cinta sepasang kekasih yang berputik pada akhir tahun 1950-an namun mencapai puncak bahagia pada akhir tahun 1990-an.

Novel yang dimulakan dengan epilog dan diakhiri dengan prolog ini mengisahkan perjalanan hidup Aziz, anak pesawah di Kampung Kubang Lembu, Kedah dengan Rohana, anak bangsawan yang menjadi kegilaan ramai teruna. Pautan hati antara dua insan ini bermula apabila Aziz terpandangkan Rohana yang menyanyikan lagu “Seri Dewi Malam” bersama orkestra pimpinan ayahnya En. Fazil di Pasar Ria, Kubang Pasu pada tahun 1958.

Dengan latar budaya ketika itu yang amat menitikberatkan status, cinta Aziz dan Rohana mendapat tentangan hebat En. Fazil. Walau bagaimanapun, kasih suci Aziz dan Rohana tidak pernah menemui titik noktah. Aziz seorang genius Melayu berjaya dipilih masuk ke Program Saintis Muda anjuran Universiti Malaya. Sebagai lelaki pintar, Aziz berusaha penuh kesungguhan untuk menjadi saintis Melayu Malaysia yang bakal memberi sumbangan besar kepada negara sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia dan pandangan masyarakat terhadap anak pesawah sepertinya.

Dalam masa yang sama, mekar cinta Aziz dan Rohana diganggu dengan kehadiran Syed Munawir. Novel yang membawa elemen cinta, dendam, pengkhianatan dan kekeluargaan ini menampilkan Nasir – sepupu Rohana yang berkomplot dengan Syed Munawir untuk meragut kegadisan Rohana. Kezaliman yang dilakukan Syed Munawir mencetuskan rancangan balas dendam Rohana. Rohana bersetuju menikahi Syed Munawir enam minggu selepas bercerai talak satu dengan Aziz yang dinikahi secara tersembunyi di Satun daripada pengetahuan keluarga.

Sepanjang hampir dua dekad perkahwinan ‘tidak sah’ antara Rohana dan Syed Munawir, suami yang dahulunya begitu baran dan pemabuk berubah sikap setelah diberi serbuk dengan kandungan estrogen yang tinggi setiap hari. Kesan pemberian serbuk itu menyebabkan Syed Munawir mengalami keadaan ‘mati pucuk’. Sementara itu, Aziz yang menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University Cornell mengkhianati cinta mereka dengan menikahi Shazlin yang ditemui di Minangkabau ketika menjejaki salasilah keturunannya.

Aziz menikahi Shazlin dengan alasan tuntutan seksual sebagai lelaki normal yang terpaksa menunggu Rohana menyelesaikan rancangan balas dendamnya terhadap Syed Munawir. Perkhidmatannya dengan NASA secara langsung menyebabkan Aziz terpaksa memutuskan hubungan dengan seluruh keluarga di Malaysia lantas membuatkan Rohana semakin tertekan. Namun, perubahan positif Syed Munawir yang semakin berusaha mendekatkan diri kepada Allah menjadikan Rohana insaf akan rancangannya.

Kekuatan fiksyen ini terletak pada pemilihan elemen jalur dan latar masa yang dipilih penulis. Awal cerita ini dimulakan dengan teknik imbas kembali (2009 – 1970 – 1963 – 1958 – 1970-an – 1980-an – 1990-an – 2000 - 2001 – 2008) yang berterusan hinggalah kembali pada latar masa terkini. Setelah kematian Syed Munawir dalam keadaan bertaubat kepada Allah, Rohana menuntut pertemuan dengan Aziz yang juga kematian Shazlin pada awal tahun perkahwinan mereka di Ithaca. Cinta yang terpisah selama lebih dua dekad bersatu kembali apabila Aziz yang menjawat jawatan besar di sebuah syarikat farmasi antarabangsa di Amerika pulang ke Malaysia dengan tawaran sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah perbankan antarabangsa yang berpusat di Kuala Lumpur.

Setelah tamat tempoh 44 hari berkabung, Rohana bertemu secara rahsia dengan Aziz di kondo Shangri La tanpa pengetahuan Fauziah iaitu anaknya. Meskipun novel ini mempunyai kekuatan dari segi teknik penceritaan yang tersusun, kemas sekali gus memudahkan pembaca untuk memahaminya, kekurangan nilai estetik bahasa menjadikan karya ini sedikit suram. Dalam masa yang sama, ketohoran unsur saspens memberikan impak negatif. Namun demikian, karya yang terbit pada tahun 2012 ini mampu memberi pengalaman penuh nostalgik kepada pembaca generasi 1950-an dan pengalaman baharu kepada pembaca generasi 1990-an melalui latar budaya dan pemikiran zaman yang dibawa penulis menerusi karya ini.

Saya percaya, sebahagian daripada cerita ini ialah pengalaman Datuk Afifuddin Omar sendiri, selaku pengarang novel ini. Hal ini setelah saya mencari serba sedikit info mengenai beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan