Selasa, 11 Disember 2012

UNTUKMU IBU


LEWAT petang semalam, saya mendapat panggilan telefon daripada Haji Malim. Saya sendiri tidak berapa ingat akan gerangan pemanggil itu. Barangkali kerana hanya bertemu sekali sahaja pada dua bulan lepas, pada waktu malam, maka wajah dan nama Haji itu pun tidak saya ingat jelas. Kata Haji Malim, individu yang bertanggungjawab melaksanakan haji badal untuk arwah emak sudah kembali ke Malaysia. Jadi, Haji Malim ingin berikan saya cenderahati dan sijil.

Oh, baru saya ingat. Emak meninggalkan saya buat selama-lamanya pada 19 Mei 2012. Hampir tiga bulan sebelum Ramadan. Alhamdulillah, haji badal untuk emak sudah dilaksanakan. Semoga pahalanya sampai kepada emak.

Panggilan Haji Malim mengingatkan saya pada aneka harapan dan cita-cita untuk emak. Antara impian saya adalah untuk membawa emak menunaikan haji dan saya berusaha untuk itu. Saya begitu pasti bahawa impian itu akan dapat saya laksanakan. Emak selalu berkata, "Rasanya tak sempat dik". Tapi, saya akan jawab "Sempatlah. Kita pergi sama." Betapa takbur saya sebagai hamba-Nya. Saya lupa, di sebalik perancangan yang saya atur untuk hidup saya, Allah yang Maha Kuasa dan Pentadbir semesta itu juga mempunyai takdir dan perancangan untuk saya dan emak.

Keangkuhan saya itu Allah tegur apabila Dia mengambil emak dalam keadaan yang tidak diduga. Manusia bukan tidak boleh merancang tetapi rancangan itu tetap perlu berpaksikan pada sifat kehambaan terhadap Allah SWT. Ikhtiar dan doa yang berterusan agar segala perancangan mendapat berkat dan reda Allah itu perlu. Sejak itu, saya semakin berhati-hati dalam mengatur rancangan. Segala yang saya rancangkan perlu saya kembalikan kepada Allah sebagai penentunya. Dengan kesedaran ini, saya tidak lagi membentuk kepastian daripada akal fikir seorang manusia tetapi sebagai, hamba.

Terlalu banyak rancangan dan impian yang ingin saya tunaikan untuk emak sudah terkubur bersama jasad emak. Akan tetapi, pengajaran yang saya dapat ini akan saya guna untuk sepanjang usia yang Allah tentukan untuk saya. Sungguh, pemergian emak bererti hilangnya doa seorang emak yang pernah saya diami rahimnya untuk saya. Satu kehilangan yang amat saya rasai. Semoga, Allah memakbulkan doa-doa emak untuk saya selama hayat emak. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Al Fatihah.

Untukmu Ibu (Exist)
Oh ibu
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian

Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat kulayarkan
Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati

Kutatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih-kekasihMu

Oh ibu
Kau kasih sejati
Kutaburkan doa
Untukmu ibu

Ampunilah dosaku
Sejak kudilahirkan
Hingga akhir hayatmu

Saat ini
Kuteruskan hidup
Tanpa bersamamu ibu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan