Selasa, 18 Disember 2012

TAJDIDKAN KESUSASTERAAN MELAYU

TAJDIDKAN kesusasteraan Melayu ialah perkara yang ingin disampaikan penulis menerusi buku setebal 105 halaman ini. Penulis dengan hujahnya mengenal pasti kesusasteraan Melayu moden telah kehilangan paksi apabila diresapi idea-idea sekular daripada Barat. Pengalihan paksi daripada Islam kepada sekular Barat berlaku apabila masyarakat dan dunia sastera moden menerima dan merelakan pemikiran dan nilai tradisional dipengaruhi oleh Barat yang tidak bertunjangkan agama dan tauhid.

Tradisi sastera Melayu tradisional yang kuat berpegang kepada unsur kerohanian telah diruntuhkan (seperti yang diakui Braginsky) oleh penggiat-penggiat sastera Moden yang mengagumi dan lebih mengenali pelopor dan sastera Barat. Hal ini menjadikan kebanyakan karya yang dihasilkan tidak memberi pencerahan kepada pembaca untuk membuat keputusan secara objektif mengenai sesuatu yang benar (hak) dan yang tidak benar (batil). Bagi menjernihkan pemahaman pembaca, buku ini dimulakan dengan pendahuluan yang diberi judul Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Bab ini membincangkan konsep sastera Islam yang telah 'dibunuh' oleh sastera sekular setelah diterima baik oleh kebanyakan penggiat sastera.



Dalam hal ini, penulis atas rasa tanggungjawab berusaha memperlihatkan kekeliruan penggiat sastera dalam menghasilkan karya yang disebut sebagai 'sastera Islam' walhal dari aspek isinya jauh menyimpang daripada konsep tauhid yang sebenar iaitu kepercayaan kepada Allah dengan mengakui tanggungjawab manusia sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya di muka bumi. Kekeliruan oleh segelintir penulis mengenai konsep sastera Islam yang sebenar menjelmakan karya-karya yang hanya meletakkan hadis, ayat Al-Quran dan imej-imej Islam secara sambil lewa tanpa penghujahan yang mantap dan benar. Tindakan ini dianalogikan penulis sebagai manusia Melayu yang berpakaian Barat tetapi mengenakan ketayap  atau serban besar di kepala (3:1992). Tindakan ini memperlihatkan cubaan individu yang menjadikan Barat sebagai paksi penulisannya tetapi berusaha melindungi perkara tersebut dengan tempelan-tempelan bernuansa Islam yang diberikan secara superfisial.


Seterusnya, buku ini membincangkan pendekatan tauhid dalam pendidikan estetika iaitu ganti nama bagi pendidikan sastera yang digunakan kini, tetapi tidak berlunaskan konsep tauhid. Dalam bahagian ini, penulis menjelaskan pendidikan estetika sebagai pendidikan adab yang merangkumi aspek kehidupan manusia (Rohani, Jasmani, Akal) yang akan membentuk insan kamil iaitu insan yang kenal hakikat kewujudannya dan peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Bahagian ini turut menjustifikasikan keindahan sastera berdasarkan konsep keindahan dan makna yang disebut sebagai estetis-intelektual (1992:11). Konsep ini terbina berdasarkan pandangan dunia (world-view) tauhid. Berdasarkan pandangan ini, penulis memperincikan kepentingan manusia untuk mengenal batas akal dan peranan akal untuk mengenal Tuhan dan hakikat insan. Dalam hal ini juga, pendidikan estetik yang ditekankan penulis bermatlamat menjadikan pembaca dan penikmat karya lebih dekat kepada Pencipta sekali gus menjadi manusia yang baik dan bertakwa (1992:12).

Dari aspek penulisan, bab ini menerangkan makna kalam yang disebut Allah menerusi surah Al-Alaq (berdasarkan tafsiran Muhammad Asad)  sebagai pena dan alat dalam persuratan. Al Quran dikenal pasti telah memberi panduan yang lengkap tentang peranan penulis dan kaedah persuratan dalam Islam (1992:13). Antara perkara penting yang diketengahkan penulis dalam bab ini juga ialah pengertian mengenai konsep didaktik dan propaganda dari perspektif Islam. Menurut Mohd. Affandi Hassan, kesusasteraan seperti yang diperlihatkan Al-Quran (kisah Qarun, Nabi Hidzir dan Nabi Musa, Nabi Yaakub, Nabi Ibrahim) bersifat didaktik iaitu menggambarkan sesuatu yang benar, indah, harmonis, sempurna dan paling utama - menjadikan manusia lebih mengenal hakikat diri dan Pencipta. Kisah Qarun pula dijadikan contoh penggunaan style yang berbeza dengan propaganda yang sering digunakan kebanyakan penulis bagi menyampaikan amanat.

Sementara itu, peranan penulis menurut Al-Quran dijelaskan berdasarkan pandangan yang ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi. Dalam hal ini, kesusasteraan yang terikat dengan konsep tauhid dapat melahirkan penulis yang beradab, beriman dan beramal soleh (1992:13).

Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal, Hakikat dan Fungsi Sastera

Manusia ialah ciptaan Allah dengan peranan tertentu. Manusia perlu menyedari akan perjanjian di alam roh antara diri dengan Allah (primordial contract) iaitu manusia berjanji untuk menyembah Allah SWT. Dengan memahami hakikat insan dan perjanjian ini, pendidikan estetik bertujuan menjaga fitrah manusia melalui iman, ilmu dan amal agar kembali pada masa yang ditentukan dalam keadaan yang sama iaitu fitrah  (1992:15). Dalam masa yang sama, penulis menghuraikan konsep kewujudan syaitan dan peranannya untuk mempengaruhi manusia agar lupa terhadap tugas utamanya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sifat lupa manusia ini akan menjadikan manusia melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah.

Manakala, hakikat ilmu secara ringkasnya ialah pemahaman manusia bahawa ilmu yang benar ialah ilmu yang berdasarkan iman dan Allah sebagai sumber ilmu utama yang diterima oleh hati untuk dianalisis dan ditafsirkan akal (1992:20). Tiga pokok ilmu yang perlu dikuasai insan ialah wahyu, akal dan pengalaman. Akal memerlukan wahyu sebagai panduan agar tidak tersalah dalam membuat penilaian. Implikasi aplikasi ilmu yang benar akan membawa insan melakukan amal soleh (ibadah) dalam aneka bentuk. Jelas, hakikat ini menuntut setiap tindakan manusia berdasarkan ilmu yang benar.

Sementara itu, hakikat dan fungsi sastera yang menjadi antara teras teori ini melihat kesusasteraan daripada pandangan Islam sebagai sebahagian daripada amal manusia. Amal ini terhasil daripada kreativiti (bakat sebagai amanah Allah) dengan keindahan bahasa untuk menjadikan manusia lebih faham hakikat insan, ilmu dan amal. Hal ini berbalik pada persoalan keindahan dan makna yang menggandingkan ilmu yang benar dan amal. Perkara ini berbeza dengan tradisi sastera Barat yang menjadikan keseronokan dan hiburan sebagai matlamat sastera melalui konsep memesis. Sekiranya hakikat tauhid yang mendasari Islam meletakkan matlamat menyembah Allah sebagai matlamat pengkarya yang kenal tiga hakikat tersebut; konsep sastera Barat pula menjadikan nafsu (keseronokan, hiburan) sebagai matlamat. Walau bagaimanapun, sastera Islam tidak menolak secara mutlak elemen mimesis dan fungsionaliti seperti yang diterima sepenuhnya oleh sastera Barat. Namun, sastera Islam hanya menggunakan dua elemen tersebut sebagai alat untuk menyampaikan perutusan.

Selain membentangkan gagasan mengenai estetik dalam pengertian tauhid menerusi Hakikat Insan, Hakikat Ilmu dan Amal dan Hakikat dan Fungsi Sastera, penulis turut memberikan cadangan mengenai kaedah pengajaran sastera (estetik) menerusi Kaedah Bersepadu Lima Tangga (KIBLAT). Kaedah-kaedah yang dimaksudkan ialah membaca, memahami, mentafsir, menikmati dan mengarang. Matlamat akhir KIBLAT adalah untuk menjadikan pelajar sastera mahir dalam membezakan antara yang baik dan yang buruk berasaskan kriteria yang sah, tepat dengan pandangan dunia Islam (world-view) (1992:47).

Mohd. Affandi Hassan
Selain itu, penulis turut memperkenalkan Espen sebagai satu genre sastera Islam. Espen terhasil daripada gabungan bentuk esei dan cerpen. Walau bagaimanapun, espen mementingkan isu, ilmu yang ditampilkan. Dalam masa yang sama, espen turut meniktikberatkan teknik penulisan kreatif yang mantap. Hal ini sejajar dengan matlamat espen iaitu menyatakan kebenaran yang sesuai dengan konsep Islam. Bagi espen, isi karya genre ini sewajarnya mencerminkan hakikat kejadian insan berasaskan ajaran wahyu (1992:84). Penghasilan espen berdasarkan konsepnya yang tersendiri dapat menghindarkan penulis daripada dibuai nafsu dan jiwa yang sesat yang secara tidak langsung menolak kebenaran hakikat insan seperti yang diajarkan Islam. Di samping itu, kesan utama yang ingin ditimbulkan espen ialah kesan intelektual. Meskipun mementingkan isu, espen bukanlah genre yang menjurus pada bentuk yang kompleks dan ilmiah seperti dalam sebuah esei ilmiah sebaliknya berada di tahap pertengahan. Di sinilah peranan keindahan (struktur, bahasa, teknik) penulisan kreatif yang mantap oleh pengarang berupaya menjadi alat dalam menyampaikan makan (amanat, mesej, isu) dengan cemerlang (1992:86). Espen pertama yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi genre sastera Islam ini ialah "Kesan Dari Suatu Majlis Forum" yang tersiar dalam Dewan Sastera, September 1989.

Intihanya, kegawatan dunia kesusasteraan tempatan yang semakin berkiblatkan sastera sekular wajar diberi perhatian oleh semua penggiat dan pemerhati sastera. Oleh yang demikian, seruan kembali kepada tradisi persuratan Melayu tradisional yang amat dekat dengan Islam wajar diberi perhatian dan keutamaan. Sekiranya kegawatan ini terus dibiarkan, maka tidak mustahil generasi akan datang akan terus berbangga dan mewarisi tradisi sastera sekular tanpa langsung mengenal tradisi persuratan Islam yang hakiki. Sesungguhnya, tradisi persuratan Islam telah wujud lebih awal dan lebih maju daripada Barat (seperti yang dijelaskan Prof. Syed Naquib Al Attas). Maka, pengkarya khususnya pengkarya Muslim wajar menyedari dan menyegarkan semula ingatan mengenai hakikat-hakikat ini agar setiap karya yang dihasilkan tidak bersifat sia-sia.

6 ulasan:

  1. Slm, sy suka bc ulasan2 sdr sejak sdr mula bena blog ini. Kini,nmpknya sdr mula bc tulisan mohd affandi,sdr dah mula tpengruh dgn dkyah PB ke?Tak minat lg dgn lacan, freud, alain showalter?
    Sdr pn dh kafikrn salina spt mohd zariyat dlm buku gagasan psuratan satu pengenalan? apakah sdr jg menidakkan hadis mgenai pelacur yg masuk syurga sbb beri anjing haus minum air?

    fikir fikirkn sdr.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,

    Terima kasih atas kunjungan dan kesudian anda membaca tulisan saya di laman ini. Sebelum saya menjawab soalan demi soalan daripada anda, saya dengan rendah hati memohon anda agar menggunakan bahasa Melayu secara baik untuk berkomunikasi di laman ini.

    Soal terpengaruh atau tidak dengan ideologi Persuratan Baru tidak timbul kerana penerimaan saya terhadap gagasan ini berdasarkan logik akal dan kedekatannya dengan nilai Islam yang menjadi pegangan saya. Adalah sesuatu yang tidak rasional apabila saya menolak idea yang mempunyai kekerabatan yang tinggi dengan agama yang saya anuti. Apakah anda sudah membaca buku yang saya ulas ini? Jika tidak, saya menyarankan anda agar membaca buku ini dengan hati yang terbuka, tanpa stigma dan prejudis terhadap gosip murahan yang melanda gagasan ini. Saya andaikan anda sudah membaca buku Gagasan Persuratan Baru: Satu Pengenalan kerana anda ada menyebut mengenai kritikan terhadap Salina oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani. Walau bagaimanapun, pemahaman anda terhadap gagasan ini tidak akan sempurna dan menyeluruh tanpa anda membaca buku-buku lain yang berkaitan dengannya terutamanya buku yang saya ulas ini bagi memahami konsep taklif dan tiga hakikat itu. Persoalan yang mungkin timbul ketika anda membaca buku Gagasan Persuratan Baru : Satu Pengenalan dapat dijernihkan dengan membaca buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid ini. Apabila anda meneliti dan berusaha memahami idea ini, saya percaya tidak ada sebab untuk anda menolaknya. Namun, anda perlu membaca dengan ikhlas untuk menuntut ilmu sebagai jalan mengenal diri anda sebagai hamba-Nya dan jalan untuk lebih mengenal-Nya.

    Seterusnya, jawapan saya untuk persoalan anda apakah saya tidak lagi berminat dengan idea-idea Sigmund Freud, Jaques Lacan dan lain-lain adalah tidak. Ketika saya meneliti konsep psikologi Lacan, saya sudah mula mendapati konsep triniti Freud adalah sangat mengarut apatah lagi apabila anakandanya sendiri iaitu Ana Freud mendakwa ayahnya sebagai gila kerana terlalu obses dengan kejiwaan kanak-kanak, juga membuat kajian berkenaan triniti id, ego dan super ego pada kumpulan buruh binaan semata-mata. Jaques Lacan yang juga penganut setia konsep triniti Freud akhirnya menolak idea tersebut dan membina idea baharu tetapi masih lagi berpaksikan asas libido Freud. Ketika itu, saya tidak kenal bahawa dalam Islam juga ada kajian kejiwaan manusia seperti yang dilakukan oleh Imam Al Ghazali (ada disebut secara ringkas dalam buku yang saya ulas ini) sekali gus memperlihatkan kesyumulan Islam yang sering terlepas pandang oleh penganutnya sendiri. Apabila saya sudah temui sesuatu yang lebih dekat dengan Islam, perlukah saya berpegang lagi kepada idea-idea yang bertentangan dengannya?

    Mengenai novel Salina, saya fikir kritikan itu sudah jelas mengenai kedudukannya. Semoga anda akan membaca kritikan itu dengan lebih teliti dan dengan hati yang terbuka serta jernih bagi memahami makna sebenarnya.

    Tentang hadis mengenai pelacur yang masuk syurga itu, mohon anda rujuk Majalah Al-Islam, November 2012 yang ada berbicara mengenainya (tajuk utama mengenai kasih sayang manusia kepada haiwan). Dalam salah satu artikel, hadis dan kisah itu ialah gambaran sifat Ar Rahman Allah, banyak lagi kisah hampir serupa, bukan sekadar melibatkan pelacur saja. Ada juga kisah lelaki yang terjun ke dalam perigi untuk memberi minum seekor anjing. Mohon anda membaca dan memahaminya dengan jelas sebelum memberi persepsi.

    Terima kasih atas komentar daripada anda. Semoga ada hikmahnya.
    Wassalam.

    BalasPadam
  3. Sy ml brasakn yg sdr akn jadi sbahagian drp pengnut taksub PB. Sdr perlu ingt, PB bkn al quran yg tpelihara dn tak ada cacat cela. Musthail PB maha sempurna. Nasihat sy, jgn sdr jd spt, anggap diri sdr dn pb yg plg betul, kamdian mngkafikrn karya org lain. bhati2lah

    BalasPadam
  4. Untuk makluman anda, Mohd. Affandi Hassan sebagai penjana gagasan ini menyebut berulang kali di beberapa tulisan beliau bahawa PB terbuka pada sebarang penambahbaikan dan sebagainya. Jika anda mempunyai idea-idea lebih bernas untuk memantapkan atau memperbaiki PB, saya sarankan anda berhubung langsung dengan beliau. Dengan laras akademik yang wajar dan emosi yang terkawal, saya pasti beliau tidak teragak-agak untuk berdiskusi dengan anda. Ya, PB bukan al-Quran tetapi PB menggunakan al-Quran sebagai terasnya (tauhid). Maka, apakah tidak wajar kerangka ini diterima? Berbanding teori-teori lain khususnya Barat yang nyata tidak mengenal Islam secara menyeluruh?

    BalasPadam
  5. Affand, PB dn pgikut2 nya jgn jd mcm firaun, anggap kamu plg benar. bahaya tu. sdr hati2lah. apa2pun, mnarik utk sy ikuti pkmbgn penulisn sdr. smg sdr mampu yakinkn sy mgeni pb satu ms nti tnpa sdr jd spt firaun yg mghukum sebarangan. slm.

    BalasPadam
  6. Salam, saya mohon anda rujuk sejarah Firaun yang sebenar terlebih dahulu sebelum anda melabelkan sesiapa yang bersetuju dengan PB dan persuratan Islam sebagai Firaun. Pada fikir saya, label itu terlalu melulu dan berat. Kematian Firaun, Ramses III baru dikenal pasti oleh saintis pada minggu lalu adalah disebabkan lehernya dikelar sehingga memutuskan urat leher yang menyebabkan kematian. Para sejarawan mengenal pasti anak dan isteri Ramses III sendiri yang melakukan hal ini. Kenapa? Kerana Firaun menganggap dirinya sebagai DEWA (baca: dia menganggap diri sebagai Tuhan semesta alam). Firaun mengerah tenaga rakyat dan menzalimi rakyat. Perkara utama mengenai Firaun ialah dia manusia syirik yang tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Firaun menolak kebenaran dan Allah SWT sebagai yang maha kuasa. Firaun menolak tauhid. Maka, wajarkah sesiapa yang berusaha menelusuri Persuratan Islam yang berteraskan tauhid - anda samakan seperti Firaun? Anda tidak perlu menjawab persoalan ini kerana jawapannya sudah nyata. Jawab saja untuk hati dan fikir anda. Terima kasih atas kunjungan dan berbagi pandangan di sini meskipun pandangan anda bagi saya tidak logik dan waras sekiranya anda seorang Islam (saya andaikan anda seorang Islam berdasarkan pemahaman anda terhadap beberapa hal yang anda sebutkan di ruang ini). Semoga anda beroleh ketenangan, kewajaran dan ketepatan dalam menganalsis sesuatu perkara berdasarkan akal dan iman, bukan nafsu dan perasaan semata-mata.

    Salam hormat. Wassalam

    BalasPadam