Isnin, 24 Disember 2012

SENI SILAT MELAYU


SEKIRANYA kaum Cina terkenal dengan seni mempertahankan diri kung fu, bangsa Melayu sinonim dengan seni silat yang wujud sejak zaman-berzaman. Hal ini dapat dilihat menerusi kemasukan elemen-elemen silat dalam sastera Melayu klasik. Menyedari peri penting melestarikan seni silat dalam budaya Melayu, buku Seni Silat Melayu dihasilkan agar masyarakat Melayu khususnya generasi muda tidak lupa akan kewujudan seni tradisi ini.

Dengan 188 halaman, buku ini mempunyai lima bab yang membincangkan aspek-aspek penting dalam usaha mengenali seni silat Melayu. Bagi memudahkan rujukan pembaca, buku ini dilengkapi peta, gambar rajah dan fotograf berserta senarai. Buku ini dimulakan dengan Bab 1 Pendahuluan yang memperkenalkan silat sebagai ilmu peperangan yang diamalkan oleh orang Melayu sejak zaman dahulu. Selain berperanan sebagai alat mempertahankan diri, seni silat ialah medium yang berkesan bagi memupuk  semangat kebangsaan dan mengukuhkan jati diri Melayu pengamalnya. Seni silat melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan sarat nilai murni berdasarkan falsafah silat yang dipelajari. Kuda-kuda, hambat, kiat, kedu, bersagang, elak dan gelek pula ialah istilah-istilah dalam ilmu persilatan yang memperkasa bahasa Melayu. 

Sementara itu, Bab 2 Seni Silat Melayu pada Zaman Tradisi, memerihalkan ciri-ciri zaman tradisi yang berhubung aspek seni silat serta ketenteraan Melayu. Menerusi pemerhatian terhadap karya klasik seperti Tuhfat al-Nafis, kewujudan seni silat dilihat menjadi teknik dan strategi utama peperangan selain penggunaan meriam dan istinggar. Seni mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa Melayu ini pada awalnya berfungsi untuk menentang musuh dalam peperangan. Amalan kebatinan melengkapkan ilmu persilatan setiap pengamal. Selain usaha fizikal pesilat, amalan kerohanian ialah usaha pengamal untuk mendapatkan pertolongan alam ghaib. Amalan kebatinan ini dianggap sebagai pelengkap kepada teknik fizikal yang dipelajari. Walau bagaimanapun, kedatangan Islam ke alam Melayu telah memurnikan ilmu kebatinan dengan Islam. Proses ini melibatkan penyesuaian antara ilmu kebatinan yang sedia ada dengan kehendak Islam.

Hubungan seni silat dengan teks sastera Melayu klasik ibarat aur dengan tebing. Bab 3 Seni Silat dalam Teks Kesusasteraan Melayu Klasik memperincikan hubungan tersebut. Menurut penulis yang membesar dalam dunia persilatan, jurus silat ialah aspek yang penting dalam seni silat Melayu. Jurus silat merupakan pergerakan serang, bela dan langkah silat yang dilakukan oleh pesilat secara persendirian. Hal ini dilakukan bagi melatih kemahiran dan membentuk kecergasan fizikal dalam mempertahankan diri. Teks Melayu klasik banyak menggambarkan latihan jurus silat dilakukan dengan menggunakan senjata. Dalam Hikayat Hang Tuah, muncul beberapa adegan yang melibatkan pahlawan-pahlawan berlatih jurus silat sebagai persiapan menghadapi perlawanan. Pertarungan silat Melayu terbahagi kepada beberapa bentuk. Perlawanan silat tanpa senjata seperti dalam Sulalatus Salatin diperlihatkan melalui watak Badang atau perlawanan silat bersenjata seperti yang dilakukan Hang Tuah ketika berdepan dengan perajurit Jawa.


Dalam dunia moden, seni silat Melayu berkembang  hingga ke peringkat antarabangsa. Bab 4 Seni Silat Melayu pada Zaman Moden memperincikan perkembangan seni silat di Malaysia. Seni silat Melayu turut berkembang di alam Barat seperti Seni Gayung Fatani Malaysia yang dilatih oleh jurusilat tempatan iaitu Eduard Linhart. Seni Gayung Fatani Malaysia pula ialah aliran Seni Silat Melayu tertua di Tanah Melayu. Seni silat ini mempunyai aneka sifat Seni Silat Melayu seperti muzik tradisi, teknik bela diri yang lengkap dan ilmu kebatinan yang merangkumi tradisi kepercayaan seperti animisme, Hindu, Buddha dan Islam.

2 ulasan:

  1. Orang Melayu Jawa juga terkenal dengan tradisi dan budaya, terutamanya silat Cimande yang berasal dari Indonesia, dan masih diteruskan warisannya di pekan saya - Sri Medan. Saya ada masukkan seni tradisi itu dalam cerpen senandungkan gurindam itu. :)

    BalasPadam
  2. Tahniah atas kelahiran cerpen itu. Semoga terus menulis yang baik.

    BalasPadam