Sabtu, 1 Disember 2012

MEREKA TANPA RUMAH

DUA hari saya tidak beri kucing jalanan itu makan seperti biasa. Dua hari juga rasa bersalah menghantui saya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membiarkan hari berlalu tanpa beri mereka makan, cuma dua hari yang lalu saya kehabisan biskut untuk mereka.Waktu pulang yang agak lewat menyebabkan saya tidak dapat memberi ikan kembung rebus yang digaul dengan nasi kepada mereka. Setiap kali saya gagal beri mereka makan seperti biasa, saya teringat akan pesan emak sebelum emak dibawa keluar dari rumah untuk ke hospital. Sebelum emak ditidurkan selama enam hari dan pergi dalam lenanya pada hari ketujuh. Kata emak sebelum keluar dari pintu pada dinihari itu, "Jaga kucing dik. Bagi makan kucing." 

Begitu cinta dan kasihannya emak kepada haiwan khususnya kucing. Petang ini, saya meneruskan semula rutin yang tergendala dua hari. Hati saya sebak melihat kucing-kucing lorong tidak bertuan ini akan berlari-lari menuju kepada saya sebaik-baik sahaja mendengar bunyi enjin skuter merah saya. Selalunya, yang berlari paling hadapan ialah Si Teleng (kepalanya teleng dan dia tidak pernah bunting) dan juga Mak Jie Jie. 

Terdapat sembilan ekor kucing lorong ini yang sudah mengenali saya. Setiap daripada mereka saya beri nama mengikut perwatakan mereka. Si Teleng kerana lehernya yang teleng. Smart (kucing jantan) kerana perwatakannya yang nampak selalu segak walaupun kucing jalanan. Kakak Jie Jie kerana dia kakak kepada Jie Jie yang saya ambil. Adik Jie Jie, dan Manis (wajahnya manis). Saya berasa amat gembira melihat mereka makan.Setiap kali saya mula membahagikan nasi-nasi itu kepada mereka, saya berharap Allah beri pahala itu jika ada kepada arwah emak yang mendidik dan mewariskan sifat ini kepada saya.


Secara fizikal, kucing-kucing ini tidak berumah. Saya juga tidak mampu memberi mereka rumah tetapi, di 'hati saya mereka berumah'. Saya teringat kata-kata seorang rakan, bayangkan kalau kamu beri makan kucing yang sedang bunting. Kamu bukan saja beri makan kepada ibunya tetapi jua kepada anak yang sedang dibuntingkan itu. Subhanllah. Perkara kecil yang baik untuk direnungkan.
Al Fatihah buat emak, Rambelah binti Maryam (2671952-19052012). Semoga kami dapat bertemu lagi.

2 ulasan:

  1. Salam, saya sudah lama perhatikan dan membaca catatan saudari Wardah tentang haiwan (kucing) ini. Ternyata saudari seorang yang baik hati. Meletakkan kasih sayang buhan hanya pada Allah SWT dan manusia tetapi juga makhluk ciptaan lain (kucing) juga. Tahniah!

    BalasPadam
  2. Salam, saudara.

    Terima kasih atas kesudian membaca tulisan saya. Semoga ada manfaatnya.

    BalasPadam